Pelantar minyak merupakan satu rangka binaan dibuat daripada besi yang dibina di tengah-tengah laut bagi menggerudi lapisan batu di dasar laut. Pelantar minyak dibina bagi mengeluarkan minyak mentah seperti petroleum dan gas asli di tengah laut. Di Malaysia, syarikat Petronas merupakan syarikat yang mengendalikan kerja-kerja mencari dan menggali minyak di perairan Malaysia. Petronas juga bekerjasama dengan syarikat multinasional luar negara seperti Shell dan Exxon Mobil bagi menjalankan aktiviti penggerudian ini. Setakat ini , belasan pelantar minyak telah dibina di Laut China Selatan.

Pelantar minyak P-51 di Brazil
Pelantar minyak Jerman.

Secara asasnya, pelantar minyak ini mempunyai bangunan mini untuk penginapan para pekerja, tempat pendaratan helikopter dan tempat pemprosesan minyak mentah.

Jenis Pelantar sunting

Terdapat beberapa jenis pelantar minyak yang ada di laut di seluruh dunia. Antaranya ialah:-


Pelantar Tetap - Pelantar ini dibina dengan kaki sokongannya terletak dan dipasang pada dasar laut untuk menyokong dek dan peralatan penggerudian yang lain. Secara amnya, pelantar jenis ini dipasang pada kawasan laut yang mempunyai kedalaman sehingga 520m. Pelantar ini mempunyai mini bangunan di mana binaannya termasuk dinding konkrit, paip besi untuk penginapan kakitangan dalam jumlah yang besar.


Pelantar Kecil - Pelantar ini dibina pada laut yang mempunyai kedalaman di antara 450m - 900m. Pelantar ini bersaiz kecil dengan bertujuan supaya mampu bertahan terhadap sebarang angin kencang lantaran tinggi kaki sokongannya semakin meningkat. Ia digunakan untuk kerja penggerudian dan penghasilan minyak mentah.


Pelantar Separa Terapung - Pelantar ini tidak dibina dengan menggunakan kaki sokongan sebaliknya pelantar ini dipasang dengan pelampung yang mampu membuatkan ia terapung di permukaan laut. Memandangkan ia terapung, pelantar ini boleh dipindah dan digerak ke mana-mana destinasi yang dikehendaki dan ia juga dilengkapi dengan sauh. Pelantar jenis ini sesuai untuk laut yang mempunyai kedalaman 180m - 1,800m.


Pelantar Mudah Angkat - Pelantar jenis ini mempunyai kaki sokongan yang boleh diturun dan dinaikkan dengan menggunakan sistem hidraulik. Seperti Pelantar Separa Terapung, pelantar jenis ini mempunyai sauh dan boleh bergerak ke arah destinasi yang dikehendaki. Kebiasaannya pelantar jenis ini terlibat dalam kerja-kerja penggerudian.


Pelantar Sokongan Mantap - Pelantar jenis ini dibina untuk beroperasi di laut pada kedalaman 2,000m. Pelantar ini biasanya dilengkapi dengan sistem janakuasa, penerokaan laut dalam yang mana ia bertindak sebagai sokongan kepada pelantar utama.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

Pautan sunting