Fahrenheit (kumpulan muzik Malaysia)

(Dilencongkan dari Kumpulan Fahrenheit)


Kumpulan Fahrenheit merupakan sebuah kumpulan pemuzik dan penyanyi yang aktif di Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu Melayu.

Fahrenheit
Berasal dariKuala Lumpur Kuala Lumpur, Malaysia Malaysia
PekerjaanVokal / Pemuzik
Tahun aktif1994–kini
Syarikat rakaman
Life Record
Pengkarya berkait
Berkumpulan
AhliYujie - Vokalis Semasa
Yan - Gitar utama
Paul - Gitar Kedua
Ajaq - Bass
Joe - Drum

Ary - Vokalis
Bekas ahliDino - Drum (Meninggal Dunia)
Bonn - Gitar utama

Sejarah sunting

Sejarah Fahrenheit bermula pada sekitar tahun 1993-94 dimana Yan dan Ary yang masing-masing datang dari utara berhijrah ke Kuala Lumpur. Mereka kerap jamming bersama di sebuah studio di Ampang Point iaitu Heaven Studio, milik gitaris Mus Satira. Disana, mereka bertemu Ajaq (Adeq) yang bekerja disana. Ajaq merupakan adik kepada pemain bass kumpulan Gersang, Man Greng. Mereka juga berkenalan dengan Joe yang merupakan pemain dram kumpulan Keno. Hasil kerja keras mereka berlatih di studio dan menerusi sokongan beberapa kenalan rapat dalam arena muzik rock tanah air, mereka kemudiannya berjaya menambat hati Haron BPR untuk menjadi artis rakaman dibawah naungan Life Record. Menyedari bahawa Life Record telah berjaya menaikkan nama XPDC dan beberapa artis yang lain, maka Yan, Ary dan Ajaq bersetuju untuk menyertai syarikat rakaman tersebut. Joe kemudiannya terpaksa menarik diri kerana komitmen kepada kumpulan Mercury yang pada masa itu telah pun menghasilkan album pertama mereka. Maka anggota Fahrenheit yang lainnya telah bersetuju untuk memilih Dino, bekas pemain dram kumpulan Teja sebagai pengganti.


Nama Fahrenheit telah dipilih yang diinspirasikan dari lagu Mr. Fahrenheit dari kumpulan legenda UK iaitu Queen. Akan tetapi, menurut ahli kumpulan itu, Fahrenheit adalah gabungan dari perkataan Far And Height (Jauh dan tinggi) sesuai dengan matlamat mereka untuk pergi jauh dan tinggi di persada muzik tanah air. Dalam masa yang sama, Fahrenheit juga berupa sukatan bagi suhu dan mereka mengharapkan kehadiran mereka mampu menghangatkan lagi industri muzik Malaysia.

 
Anggota Fahrenheit, Dari kiri: Yan, Ajaq, Dino dan Ary

Album pertama Cahaya Gemilang dikeluarkan pada awal 1996 dengan lagu hits Kasih Orang Muda dan Sabar Menanti yang diterbitkan oleh Haron |BPR. Haron juga terlibat bersama dengan Fahrenheit sebagai pemain gitar sessionist. Mereka turut bertuah apabila komposer terkenal JS Kevin turut menyumbang lagu dalam album mereka. Album pertama ini juga berjaya melayakkan mereka mendapat anugerah platinum apabila terjual lebih 50,000 unit. Pada tahun yang sama Fahrenheit turut dicalonkan untuk anugerah Artis Baru Berkumpulan Terbaik bagi Anugerah Industri Muzik (AIM 96).

Pada 1997, album kedua, Hero dikeluarkan dan masih menggunakan khidmat Haron BPR. JS Kevin turut menyumbangkan beberapa buah lagu untuk album ini. Antaranya ialah Kelmarin Yang Pijar. Pada tahun yang sama Dino bertindak untuk menarik diri disebabkan komitmen terhadap kerja. Tempat beliau diisi kembali oleh Joe. Malangnya, akibat masalah cetak rompak yang melampau, jualan album ini dilihat sedikit suram. Biarpun dihinggapi masalah yang sedemikian, nama Fahrenheit tetap digilai para "rockers" terutama semasa persembahan. Ramai yang memuji persembahan mereka cukup bertenaga setanding dengan kumpulan rock yang lain yang telah menempa nama seperti XPDC, Wings dan sebagainya.

 
Momok adalah album ke-3 Fahrenheit

Tahun berikutnya, pembabitan mereka dalam industri muzik hanya menerusi persembahan pentas sehinggalah album Momok dihasilkan pada 1999 dan Haron BPR masih lagi kekal sebagai orang kuat dalam penerbitan album ini. Sebelum proses rakaman album dijalankan, gitaris utama mereka iaitu Yan mengambil keputusan untuk menarik diri bagi memberi tumpuan terhadap kerjaya tetap. Tempat Yan digantikan oleh seorang pemuzik metal underground iaitu Bonn. Album Momok turut menampilkan sisi lain Fahrenheit yang lebih heavy metal dengan riff gitar yang lebih keras dan tajam. Vokal Ary juga menunjukkan perubahan yang agak ketara. Ini mungkin kerana pembabitan Ary dalam beberapa projek sampingan bersama XPDC seperti kompilasi Metal 60an dan beberapa persembahan pentas bersama XPDC.


Kesemua anggota Fahrenheit kemudiannya bertindak mengambil haluan masing-masing bagi meneruskan kerjaya mereka dimana Ajaq, Bonn, dan Joe menyertai Mael XPDC untuk menubuhkan Real XPDC yang berpunca akibat salah faham Mael dengan anggota dan pengurusan XPDC. Real XPDC kemudiannya ditukar namanya menjadi Real X. Manakala Ary pula sesekali bersama dengan XPDC untuk persembahan pentas.


Bekas pemain drum Fahrenheit iaitu Dino atau nama sebenarnya Mohd Zainudin Kamamarulzaman, 47, telah menghembuskan nafas terakhir akibat sakit jantung pada 19 Mac 2018, meningalkan seorang balu iaitu Liza dan tiga orang anak mereka iaitu Tamy, Putra dan Amsha.[1] Penerbit 3 album Fahrenheit iaitu Haron BPR atau nama sebenarnya Haron Amat pula telah meninggal dunia pada 4 April 2022. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat cahaya mata.

Fahrenheit Reload (2023) sunting

Fahrenheit kini dihidupkan kembali bersama 3 anggota asal mereka iaitu Yan, Ajaq dan Joe. Perancangan asal untuk mengumpulkan semula kesemua anggota Fahrenheit termasuk Ary dan Bonn sedikit terbantut kerana kekangan komitmen Ary dan Boon terhadap kerjaya mereka. Ary kini telah rasmi bergerak sebagai vokalis XPDC Kita Peng Yu bagi meneruskan legasi Mael yang telah kembali ke rahmatullah pada 27 April 2023. Bagi mengisi kekosongan tempat Ary, tiga sahabat ini telah memilih seorang penyanyi baru, Mayujie Azmie atau Yujie sebagai vokalis. Dan bagi memantapkan lagi permainan muzik mereka, Paul telah dipilih sebagai pemain gitar kedua. Persembahan pertama mereka telah diadakan di The Pirates Club KL pada 5 November 2023. Yujie adalah merupakan adik kepada penyanyi Hazama.


Ahli-ahli sunting

Berikut adalah merupakan senarai ahli yang telah bersama dengan kumpulan Fahrenheit

1994 - 1996 (Album Cahaya Gemilang)

  1. Ary - Vokalis
  2. Yan - Gitar utama
  3. Ajaq - Bass
  4. Dino - Drum

1997 - 1998 (Album Hero)

  1. Ary - Vokalis
  2. Yan - Gitar utama
  3. Ajaq - Bass
  4. Joe - Drum

1999 - 2001 (Momok)

  1. Ary - Vokalis
  2. Bonn - Gitar utama
  3. Ajaq - Bass
  4. Joe - Drum

2023 (Fahrenheit Reload)

  1. Yujie - Vokalis
  2. Yan - Gitar utama
  3. Paul - Gitar Kedua
  4. Ajaq - Bass
  5. Joe - Drum


Diskografi sunting

Album sunting

1. Cahaya Gemilang
2. Hero
3. Momok

Lagu-lagu sunting

  1. Sabar Menanti
  2. Tabah
  3. Kelmarin Yang Pijar
  4. Ana

Sumber sunting

  1. Media Hiburan (1996 - 1998).
  2. Harian Metro (sekitar 96 - 2000).
  3. URTV (1996 - 1998).


Rujukan sunting

  1. ^ "Bekas Pemain dram FAHRENHEIT meninggal dunia". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-25. Dicapai pada 2018-07-25.

Pautan luar sunting