Mamluk (Bahasa Arab:مملوك, mamluk (mufrad), مماليك, mamelik (jamak) ) adalah tentera hamba yang dipaksa untuk berkhidmat untuk khalifah Islam dan Kesultanan Ayyubi ketika Zaman Pertengahan. Mereka akhirnya menjadi tentera yang paling berkuasa dan juga pernah menjadi sultan sendiri seperti Kesultanan Mamluk di Mesir.

Tentera berkuda Mamluk dilukis pada tahun 1810

Pengenalan sunting

Pasukan Mamluk pertama dikerahkan ketika zaman Abbasiyyah pada abad ke-9. Bani Abbasiyyah merekrut tentera-tentera ini dari kawasan Kaukasus dan Laut Hitam dan mereka ini pada mulanya bukanlah orang-orang Islam. Penganggotaan dari Laut Hitam adalah Bangsa Turki dan kebanyakan mereka adalah daripada suku Kipchak.

Keistimewaan tentera mamluk ini ialah mereka tidak mempunyai hubungan dengan golongan bangsawan atau pemerintah lain. Tentera-tentera Islam selalunya setia kepada sheikh-sheikh, suku-suku dan juga bangsawan-bangsawan mereka. Jika terdapat penentangan daripada tentera-tentera Islam ini, cukup sulit bagi khalifah untuk menanganinya tanpa bantahan daripada golongan bangsawan. Tentera hamba pula adalah golongan asing dan merupakan lapisan yang terendah dalam komuniti. Maka, mereka tidak akan menentang khalifah dan mudah dijatuhkan hukuman jika menimbulkan masalah. Oleh itu, tentera Mamluk adalah aset terpenting dalam ketenteraan.

Organisasi sunting

Selepas tentera Mamluk diperolehi, mereka akan dilatih sebagai tentera berkuda. Mereka haruslah mematuhi Penetapan Furisiyya, sebuah kod perilaku yang memasukkan nilai-nilai seperti keberanian dan kemurahan hati dan juga doktrin mengenai taktik perang berkuda, kemahiran menunggang kuda, kemahiran memanah dan juga kemahiran merawat luka dan kecederaan.

Tentera Mamluk ini hidup di dalam komuniti mereka sahaja. Masa lapang mereka diisi dengan permainan seperti memanah dan juga persembahan kemahiran bertempur. Latihan yang intensif dan ketat untuk anggota-anggota baru Mamluk pula akan memastikan bahawa kebudayaan Mamluk ini berkekalan.

Setelah tamat latihan, tentera Mamluk ini dijadikan orang merdeka tetapi mereka harus setia kepada khalifah atau sultan. Mereka mendapat perintah terus daripada khalifah atau sultan. Selalunya tentera Mamluk dikerahkan untuk menyelesaikan pertelingkahan antara puak-puak tempatan. Pemerintah tempatan seperti Amir juga mempunyai pasukan Mamluk mereka yang tersendiri tetapi lebih kecil berbanding dengan pasukan Mamluk Khalifah atau Sultan.

Pada mulanya, status tentera Mamluk ini tidak boleh diwariskan dan anak lelaki tentera mamluk diharamkan daripada mengikut jejak langkah ayahnya. Di sesetengah kawasan seperti Mesir, tentera Mamluk mula menjalinkan hubungan dengan pemerintah tempatan dan akhirnya mendapat pengaruh yang luas.

Pautan luar sunting