Mohd Rosli Saludin

tokoh sejarah Malaysia

Profesor Madya Dr Mohd Rosli Saludin (25 September 1962 – 4 April 2024[1]) ialah seorang tokoh adat dari Malaysia yang menjadi rujukan berkenaan Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Beliau telah dinobatkan sebagai Warisan Kebangsaan bagi kategori Orang Hidup oleh Jabatan Warisan Negara Malaysia pada 2018.[2]

Profesor Madya Datuk Paduka Dr

Mohd Rosli Saludin

D.P.U.N. (Naning), Ph.D (UM)
Warisan Kebangsaan
bagi kategori Orang Hidup
Dalam jawatan
17 Oktober 2018 – 4 April 2024
Butiran peribadi
LahirMohd Rosli bin Saludin
(1962-09-25)25 September 1962
Kampung Dioh Kecil, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Persekutuan Tanah Melayu.
Meninggal dunia4 April 2024(2024-04-04) (umur 61)
Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Malaysia
Tempat persemadianTanah Perkuburan Islam Kampung Dioh Besar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Alma materUniversiti Kebangsaan Malaysia
Universiti Malaya

Latar belakang sunting

Mohd Rosli dilahirkan di Kampung Dioh Kecil, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 25 September 1962. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah dan Sekolah Menengah Zaaba, Kuala Pilah. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian, Diploma Pendidikan dan Diploma Psikologi Kaunseling dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)[3].

Pada tahun 1987, beliau ditawarkan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan dan bidang pengajaran ialah Kesusasteraan Melayu, Bahasa Melayu dan Sejarah. Pada tahun 1996, beliau telah melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang Sastera di UKM dan bidang yang dikaji adalah Adat Perpatih. Seterusnya pada tahun 2000, beliau telah melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Komunikasi Tradisional Melayu dan telah menerima Ijazah Doktor Falsafah pada 3 Ogos 2004 daripada Universiti Malaya (UM). Seterusnya beliau menyambung pelajaran di universiti di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada tahun 1997[3].

Kerjaya sunting

Pernah menjawat jawatan Ketua Jabatan Bahasa dan Timbalan Dekan Penyelidikan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Pengarah Institut Peradaban Melayu dan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi di UPSI. Kini beliau menjawat jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

Bidang pengkhususan beliau ialah Sastera Tradisional, Kesenian, Kebudayaan, Adat Melayu, Puisi Moden, Drama, dan Teater Melayu. Beliau juga pernah terlibat dalam dokumentari Adat Perpatih di TV1 dan 3, serta aktif di pentas dalam deklamasi sajak dan Puisi Melayu Tradisional terutama teromba.

Beliau juga pernah menulis beberapa buah buku berkaitan pendidikan, drama dan teater, teromba, cerita lisan dan ungkapan Melayu. Antara penulisan beliau adalah Anjung Teromba, Naning Luak Terbilang, Puisi Melayu Tradisional, Sejarah Kuala Pilah, Ibu Soko, Institut Undang di Negeri Sembilan, Penggunaan Teromba dalam Seni Pengucapan Melayu, Institut Yamtuan Negeri Sembilan, Hari-Hari Mendatang Adat Perpatih, Penulisan Sastera Kanak-Kanak dan Remaja, Pepatah-Petitih dan banyak lagi. Beliau pernah membentangkan kertas kerja berkaitan bidangnya di UM, UKM, Universiti Putra Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada tahun 2018, beliau telah menerima anugerah Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup Teromba Penglipurlara. Beliau juga merupakan penasihat bagi Persatuan Sejarah Jempol dan juga Pengerusi Telapak Warisan Ulu Gachong Negeri Sembilan.

Hasil penulisan sunting

Buku sunting

  1. Adab dalam Teromba: Unsur Islam Dalam Kesusasteraan Melayu, Pusat Kebudayaan USIM & Penerbit USIM, 2021
  2. Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd. Rosli Saludin (2012). Adat istiadat dan budaya dalam Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Balai Seni Visual Negara. m/s. 77–87.
  3. Mohd. Rosli Saludin (2008). Teromba sebagai alat komunikasi dalam kepimpinan adat perpatih. Shah Alam: Karisma Publications. ISBN 9789831954119.
  4. Mohd. Rosli Saludin (2009). Teromba : dalam puisi Melayu tradisional. Shah Alam: Karisma Publications. ISBN 9789831954133.
  5. Mohd. Rosli Saludin (2007). Anjung teromba. Bukit Mertajam: Goal Intelligent. ISBN 9833730272.
  6. Mohd. Rosli Saludin (2007). Naning luak terbilang. Bukit Mertajam: Goal Intelligent. ISBN 9833730310.
  7. Mohd. Rosli Saludin (2007). Seni berpuisi. Bukit Mertajam: Goal Intelligent. ISBN 9833730256.
  8. Mohd. Rosli Saludin (2007). Hari-hari mendatang adat perpatih. Bukit Mertajam: Goal Intelligent. ISBN 9833730302.
  9. Mohd. Rosli Saludin (2007). Mencari pengertian teromba. Bukit Mertajam: Goal Intelligent. ISBN 9833730280.
  10. Mohd. Rosli Saludin (2007). Nilai-nilai Islam dalam teromba. Bukit Mertajam: Goal Intelligent. ISBN 9833730299.
  11. Mohd. Rosli Saludin (2007). Puisi Melayu tradisional. Bukit Mertajam: Goal Intelligent. ISBN 9833730264.

Kajian sunting

Beliau menjalankan beberapa kajian penyelidikan, seperti berikut[4]:

  1. Adat Melayu Serumpun. Penyelidikan Di Bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Mula 1 Januari 2004 Tamat 2005
  2. Terombo. Penyelidikan Di Bawah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Negeri Sembilan.
  3. Adat Naning Melaka. Penyelidikan Di Bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.
  4. Adat Perpatih Berteraskan Islam. Penyelidikan Di Bawah Muzium Budaya Negeri Sembilan.
  5. Peranan Wanita Dalam Adat Perpatih. Penyelidikan Di Bawah Muzium Budaya Negeri Sembilan.
  6. Adat Perpatih Di Era Globalisasi. Penyelidikan Di Bawah Muzium Budaya Negeri Sembilan.
  7. Adat Luak Johol. Penyelidikan Di Bawah Balai Undang Johol, Negeri Sembilan.
  8. Adat Luak Tampin. Penyelidikan Di Bawah Balai Luak Tampin, Negeri Sembilan.
  9. Adat Menjemput Kematian Isteri. Penyelidikan Di Bawah Balai Luak Terachi, Negeri Sembilan.
  10. Peranan Pemimpin Adat. Penyelidikan Di Bawah Balai Luak Inas, Negeri Sembilan.

Anugerah dan pengiktirafan sunting

Anugerah ketokohan sunting

Darjah kebesaran sunting

  • Naning[n 1]
    • Darjah Kurnia Undang Naning (D.P.U.N.) - Dato' Paduka Kurnia (2007)[6]

Kematian sunting

Beliau meninggal dunia pada 4 April 2024 di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah akibat jangkitan kuman.[1]

Pautan luar sunting

Nota sunting

  1. ^ Darjah kebesaran ini tidak diiktiraf oleh kerajaan Melaka dan Malaysia

Rujukan sunting

  1. ^ a b HAMZAH, NOR AINNA (2024-04-04). "Tokoh Warisan Kebangsaan, Dr. Mohd Rosli meninggal dunia". Kosmo Digital. Dicapai pada 2024-04-04.
  2. ^ Amran Yahya (22 Oktober 2018). "Raja Teromba terharu diisytihar Tokoh Warisan Orang Hidup". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 April 2021. Dicapai pada 6 April 2021.
  3. ^ a b "PROF MADYA DATUK PADUKA DR MOHD ROSLI BIN SALUDIN". Pemetaan Budaya. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 April 2021. Dicapai pada 6 April 2021.
  4. ^ Mohamad Ikwan Hami (27 April 2017). "Kenali Tokoh: Profesor Madya Dr. Mohd Rosli bin Saludin". Adat Perpatih. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 September 2017. Dicapai pada 6 April 2021.
  5. ^ "Tahniah! Prof. Madya Dato' Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin". Institut Alam dan Tamadun Melayu. 2021. Dicapai pada 21 Julai 2023.
  6. ^ "Senarai Penerima Bintang dan Pingat Kebesaran". Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat. 2012. Dicapai pada 21 Julai 2023.