Dewan Bahasa dan Pustaka

jabatan kerajaan Malaysia yang mengawal selia bahasa Melayu

Dewan Bahasa dan Pustaka (singkatan: DBP, Jawi: ديوان بهاس دان ڤوستاک) atau nama asalnya Balai Pustaka ialah sebuah jabatan kerajaan Malaysia yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 untuk menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara tersebut selaku bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Dewan Bahasa dan Pustaka
ديوان بهاس دان ڤوستاک
Jenis/bentuk sahBadan berkanun
Ditubuhkan22 Jun 1956; 67 tahun yang lalu (1956-06-22)
Ibu pejabatKuala Lumpur (ibu pejabat dan Menara DBP),  Malaysia
Tokoh pentingAwang Sariyan, (Pengerusi Pengelola)
PerkhidmatanMemartabatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu
Tapak webwww.dbp.gov.my
Facebook: DBPMalaysia Twitter: DBPMalaysia Instagram: dbpmalaysia TikTok: dbpmalaysia Sunting ini di Wikidata
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Pada 22 Jun 2006, Dewan Bahasa dan Pustaka menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-50. Sempena ulang tahun tersebut Pos Malaysia melancarkan setem kenang-kenangan ulang tahun ke-50 Dewan Bahasa dan Pustaka dengan menampilkan setem bernilai 50 sen (dua rekaan) dan seringgit (RM100).

Matlamat penubuhan DBP dan falsafah sunting

 
Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur.

Matlamat penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) ialah:

  • Untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi;
  • Untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan;
  • Untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain;
  • Untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan;
  • Untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul;
  • Untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Visi sunting

"Bahasa Melayu Salah Satu Bahasa Utama Kepada Semua Masyarakat Yang Hidup Di Dunia Ini"

Misi sunting

"Memartabatkan Bahasa Melayu"

Wawasan sunting

"Menjadi Peneraju Utama Pengembangan Bahasa dan Persuratan Melayu dalam Pembinaan Negara Bangsa"

Moto sunting

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sejarah sunting

DBP ditubuhkan sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di Johor Bahru, Johor semata-mata untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka ketika itu. Nama asalnya ialah "Balai Pustaka".

Setelah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada 16 - 21 September 1956, Balai Pustaka dinamakan sebagai "Dewan Bahasa dan Pustaka" atas cadangan kongres tersebut. Di samping itu, DBP juga dinaik taraf sebagai badan yang mempunyai anggota lembaga sendiri.

Pada tahun 1957, DBP berpindah ke Kuala Lumpur, ketika ibu pejabatnya merupakan bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, DBP dinaikkan taraf lagi menjadi sebuah badan berkanun. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi untuk:

  • menggubal dasarnya yang khusus;
  • menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera; dan
  • menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku yang serupa dengan sektor swasta.

Pada 31 Januari 1962, DBP berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama (sekarang Jalan Dewan Bahasa). Kemudian pada tahun 1977, DBP mengembangkan sayapnya ke Malaysia Timur dengan pembukaan dua pejabat di Kota Kinabalu, Sabah dan di Kuching, Sarawak. DBP juga membuka pejabat di Brunei pada tahun 1963. Ini diikuti pula dengan pembukaan tiga buah pejabat lagi, iaitu:

DBP menyambut ulangtahun Jubli Emas 50 Tahun DBP dan perasmian Menara DBP pada 22 Jun 2006. DBP juga berjaya mencungkil bakat terpendam penulis-penulis muda. Antara penulis muda DBP yang terus menampilkan novel-novel berkarya tinggi untuk DBP adalah Cik. Siti Habsah Abdullah, Pn.Malardevi Margamuthu & En.Syed Satahkatulah Bin Mohamed Kalik.

Lebih kuasa sunting

Pada 6 Oktober 2009, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 akan dipinda supaya dapat memberi lebih kuasa kepada DBP untuk menangani penggunaan 'bahasa rojak' dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kuasa itu bukan untuk menghukum sebaliknya lebih kepada memberi pendidikan.[1]

Pada 8 Mei 2011, para pengiklan perlu merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu sebelum memohon lesen memasang iklan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, peraturan tersebut telah dilaksanakan sejak tahun lalu di bawah undang-undang kecil iklan PBT.

Menurut bidang kuasa yang diberikan, DBP akan melihat dari segi penggunaan bahasa dan visual pada iklan berkenaan terlebih dahulu dan apabila diluluskan, barulah pihak yang membuat permohonan iklan boleh memohon lesen daripada PBT sebelum iklan boleh dipasang.[2]

Mana-mana pihak yang membelakangi peraturan ini jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda, penalti atau penjara mengikut undang-undang kecil PBT berkenaan.[3]

Dalam pada itu, Datuk Termuzi turut mengujar bahawa telah ramai pengiklan memohon iklan, dan mulai tahun 2011, akses perkhidmatan pengiklanan ke PBT turut dipaparkan di laman portal DBP.[4]

Di Malaysia, penggunaan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris dalam pengiklanan dilihat lebih diutamakan berbanding penggunaan bahasa Melayu sebagai medium bahasa pengiklanan utama di negara tersebut. Walaupun undang-undang telah ada namun penguatkuasaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang utama seperti pendidikan, perniagaan, pengiklanan dan komunikasi masih banyak tidak diendahkan dan kurang diutamakan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.[5]

Kritikan sunting

Ahli Parlimen Barisan Nasional kawasan Gerik merangkap Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia ketika itu, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh, telah menyifatkan Jawatankuasa Istilah Dewan Bahasa dan Pustaka "kemandulan minda" kerana dikatakannya bahawa jabatan tersebut terlalu meminjam perkataan bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu tanpa membuat penyelidikan untuk mencari atau mewujudkan istilah bahasa Melayu yang baharu terutamanya dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat.[6] Datuk Dr. Firdaus Abdullah, Ketua Pengarah DBP ketika itu, telah menafikan dakwaan Dr. Wan Hashim dengan menyatakan bahawa penghasilan istilah melalui suatu kaedah yang sistematik. Beliau turut menegaskan kemasukan istilah bahasa Inggeris dalam Kamus Dewan telah ditandai dengan label yang menunjukkannya sebagai bahasa percakapan dan tidak sesuai digunakan dalam konteks yang rasmi.[7]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "Pindaan Akta Dewan Bahasa", Utusan Online, 6 Oktober 2009.
  2. ^ http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_01.htm Rujuk DBP sebelum pohon lesen iklan
  3. ^ http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/443-berita/9728-rujuk-dbp-sebelum-pohon-lesen-iklan.html Diarkibkan 2017-12-01 di Wayback Machine Rujuk DBP Sebelum Pohon Lesen Iklan
  4. ^ http://www.bharian.com.my/articles/PengiklanperlurujukDBPsebelummohonlesenPBT/Article/ Diarkibkan 2011-05-11 di Wayback Machine Pengiklan perlu rujuk DBP sebelum mohon lesen PBT
  5. ^ http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=1200 Rugikah Perniagaan Jika Menggunakan Bahasa Kebangsaan?
  6. ^ "DBP alami kemandulan minda". Utusan Malaysia. 26 November 2007. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-12-01. Dicapai pada 1 Disember 2017 – melalui Utusan Online. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  7. ^ Ku Seman Ku Hussain (2 Disember 2007). "DBP dan kemandulan minda". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-12-01. Dicapai pada 1 Disember 2017 – melalui Utusan Online. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)

Pautan luar sunting