Buka menu utama

Kesusasteraan (Tulisan Jawi: كسوسسترأن) merujuk kepada hasil seni yang disampaikan melalui bahasa. Dari segi etimologi, kesusasteraan berasal daripada cantuman kata 'Su' dan 'Sastra' dalam Bahasa Sanskrit yang bermaksudnya karya yang indah dan berguna. Kedua-dua kata ini kemudian diberikan imbuhan ke-an bagi membentuk kata nama. Dari segi hurufiahnya, perkataan kesusasteraan bermaksud "kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya." Pada erti kata yang lebih luas, kesusasteraan boleh dimaksudkan sebagai segala pengucapan yang indah-indah, sama ada ia tertulis atau tidak.

Kesusasteraan pada lahiriahnya wujud dalam masyarakat manusia melalui bentuk tulisan dan juga wujud dalam bentuk lisan. Dalam kehidupan sehari-harian, kedua-dua bentuk kesusasteraan sememangnya tidak terpisah daripada kita. Misalnya, kita akan mendengar muzik yang mengandungi lirik lagu yang merupakan hasil sastera. Dan kita sendiri pula akan menggunakan pelbagai peribahasa dan pepatah yang indah-indah yang sebenarnya juga merupakan kesusasteraan.

Pada kesimpulannya, kesusasteraan merupakan sebahagian daripada budaya manusia. Ia adalah ekspresi diri manusia dan juga manifestasi estetik manusia terhadap bahasa yang dipertuturkan oleh mereka sendiri. Ia juga mempunyai unsur tersurat dan tersirat untuk mengungkapkan makna-makna simbolik di sebalik kata-katanya.

Kategori Kesusasteraan MelayuSunting

Secara umumnya, pengkategorian kesusasteraan Melayu akan merujuk kepada tradisional dan moden. Walaupun Kedua-dua kategori mempunyai genre prosa dan puisi serta menggambarkan cara hidup atau budaya Melayu, ciri-ciri mereka adalah berbeza.

Kesusasteraan Melayu tradisional merupakan karya-karya yang telah diwarisi secara turun-temurun, disebarluaskan melalui lisan. Manakala kesusasteraan Melayu moden disebarkan melalui lisan dan tulisan. Kesusasteraan Melayu tradisional terhad kepada sesebuah masyarakat tertentu sahaja yang bersifat esklusif, dan kesusasteraan Melayu moden bersifat individu dengan adanya cipta terpelihara. Tambahan pula, kesusasteraan Melayu moden tidak lagi bersifat kolektif atau kepunyaan umum tetapi khusus dimiliki oleh pengarangnya.

Bentuk-bentuk kesusasteraanSunting

Kesusasteraan dapat dilahirkan dalam pelbagai bentuk bahasa. Dan secara kasarnya ia boleh dikategorikan kepada 2 kategori yang besar menurut bentuk bahasa yang digunakan, yakni:

  • Prosa
  • Puisi

Prosa merujuk kepada hasil kesusteraan yang ditulis dalam ayat-ayat biasa, yakni dengan menggunakan tatabahasa mudah. Biasanya ayat-ayat dalam kesusasteraan akan disusun dalam bentuk karangan. Prosa adalah satu bentuk kesusasteraan yang lebih mudah difahami berbanding dengan puisi. Contoh bagi kesusasteraan prosa ialah: cerpen, novel, skrip drama, esei dan sebagainya.

Puisi merujuk kepada hasil kesusasteraan yang ditulis dengan "tidak menuruti tatabahasa". Ia sebenarnya tidak terdiri daripada ayat-ayat yang lengkap, melainkan terdiri daripada frasa-frasa yang disusun dalam bentuk baris-barisan. Pada lazimnya, puisi merupakan bahasa yang berirama dan apabila dibaca pembaca akan berasa rentaknya. Contoh bagi kesuasteraan puisi termasuklah: Sajak, Syair, Pantun, Gurindam, Lirik, Seloka, Mantera dan sebagainya.

Jenis-jenis kesusasteraanSunting

Sekiranya, hasil kesuasteraan dikategorikan secara semantik, yakni dari segi isi, kesusasteraan boleh dibahagikan kepada dua kategori yang besar, yakni:

  • Naratif
  • Bukan Naratif

Kesusasteaan Naratif merupakan hasil sastera yang mengandungi perkembangan plot. Dengan kata lain, ia adalah bahan sastera yang menceritakan suatu peristiwa, yang mengandungi unsur watak, masa berlaku dan tempat berlaku. Kesusasteraan ini biasanya dilahirkan dalam bentuk prosa, tetapi dalam keadaan tertentu ia juga dilahirkan dalam keadaan puisi, seperti apa yang dimaksudkan sebagai syair naratif seperti: Syair Siti Zubaidah.Kesusasteraan naratif adalah satu hiburan yang biasa terdapat dalam kehidupan manusia. Dalam masyarakat moden, kita dapat menjumpai kesusasteraan naratif dalam bentuk cerpen, komik, filem, drama dan sebagainya.

Kesusasteraan bukan Naratif merujuk kepada hasil kesusasteraan yang tidak mengandungi plot. Bahan sastera ini mengandungi lebih banyak ekspresi pengarang berbanding dengan kesusasteraan naratif. Kesusteraan ini lebih banyak dilahirkan dalam bentuk puisi.

Struktur teks kesusasteraanSunting

Kesusasteraan boleh dilahirkan dalam pelbagai cara, dan salah satu cara yang biasa ditemui adalah dalam bentuk teks, yakni dalam bentuk tulisan yang tersusun. Teks kesusasteraan merupakan satu bentuk binaan yang terdiri daripada unsur-unsur seperti apa yang sebut di bawah:

  • Tema
  • Gaya Bahasa

(Yang berikutnya untuk sastera naratif sahaja)

  • Plot
  • Watak dan Perwatakan
  • Sudut Pandangan
  • Latar

Kehadiran unsur-unsur ini dalam teks kesusasteraan membezakan teks kesusasteraan dengan bentuk tulisan yang lain seperti tulisan sains.

Lihat jugaSunting

RujukanSunting

Ali Ahmad, Pengantar Pengajian Kesusasteraan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994.