Nikola Tesla (10 Julai 1856 - 7 Januari 1943) merupakan seorang pereka, ahli fizik, jurutera mekanik dan jurutera elektrik. Beliau dilahirkan di Smiljan,Croatia- Empayar Austria dan menjadi warganegara Amerika Syarikat semasa dewasa. Kerja penyelidikannya merupakan asas penciptaan arus elektrik ulang-alik yang digunakan oleh kebanyakan perkakas elektrik hari ini. Beliau merupakan penyumbang utama di dalam penciptaan barangan elektrik pengguna serta lebih dikenali hasil daripada penyelidikannya yang menghasilkan revolusi di dalam pembangunan bidang elektromagnetik pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Paten dan teori kerja beliau menjadi asas kepada teori arus ulang-alik moden, sistem kuasa elektrik termasuk sistem polifasa elektrik yang digunakan dalam pengagihan elektrik. Tesla pernah menjadi pembantu kepada Thomas Edison.

Nikola Tesla

Unit ukuran SI untuk medan magnet B (juga dirujuk sebagai ketumpatan fluks magnet dan induksi magnet), dikenali sebagai tesla. Ia dinamakan sempena menghormati sumbangan beliau di dalam kemajuan bidang elektrik.

Kehidupan awal sunting

 
Rumah kelahiran Nikola Tesla dan patung peringatan beliau di Smiljan, Croatia
   
Nikola Tesla pada umur 23, 1873 dan paspot beliau pada 1883

Nikola Tesla lahir di dalam keluarga Serbia di kampung Smiljan, Empayar Austria berhampiran dengan bandar Gospić, di dalam wilayah yang kininya Croatia. Di dalam sijil pembaptisan beliau melaporkan tarikh lahir beliau ialah pada 10 Julai 1856 dan merupakan anak kepada Father Milutin Tesla, paderi Gereja Ortodoks Serbia. Ibu beliau, Đuka adalah anak kepada paderi Gereja Ortodoks Serbia. Beliau berbakat dalam hasil kerja tangan di rumah dan berkebolehan menghafal sajak-sajak epik bahasa Serbia namun beliau tidak pernah belajar membaca.

Anak keempat dari 5 adik beradik, Nikola belajar di Higher Real Gymnasium, Karlovac semasa keluarga beliau berpindah ke Gospić pada tahun 1862.[1]

Pada tahun 1875, beliau meneruskan pengajian kejuruteraan elektrik di Politeknik Austria (Technische Universität Graz) di Graz. Semasa menuntut di sana, beliau mempelajari penggunaan arus ulang-alik. Dalam bulan Disember 1878, beliau meninggalkan Graz dan memutuskan hubungan dengan keluarganya. Kehilangan beliau pada awalnya disangka oleh rakan-rakan terdekat beliau oleh kerana mati lemas di sungai Mur. Beliau pergi ke Marburg (kini dikenali sebagai Maribor di Slovenia), di mana beliau telah bekerja sebagai pembantu jurutera selama setahun. Dalam masa yang sama, beliau sedang menderita tekanan jiwa. Tidak lama kemudian, bapa beliau telah memujuk beliau untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Charles-Ferdinand (Karls-Universität zu Prag) di Prague. Pada musim panas 1880, beliau memulakan pengajian dan semasa tempoh pengajiannya beliau banyak dipengaruhi oleh Ernst Mach. Bagaimanapun, selepas bapanya meninggal dunia, beliau menamatkan pengajian beliau dan hanya sempat pada penggal pertama sahaja.[2]

Pada kebanyakan masa, beliau banyak meluangkan masa membaca laporan kerja-kerja saintifik serta menyelidiki keseluruhan isi buku-buku. Beliau mampu melakukannya kerana mempunyai kelebihan memori fotografi.[3] Beliau menceritakannya kebolehannya di dalam buku autobiografi beliau. Pada masa yang sama, beliau sering mengalami gangguan mental dari masa ke semasa. Namun, gangguan sedemikian memberikan kelebihan kepada beliau dalam memberikan gambaran mengenai hasil kajiannya dengan lebih jelas sebelum memindahkannya ke atas kertas kerja. Beliau mengalami masalah gangguan mental semenjak beliau masih kanak-kanak lagi.[3]

Bermula 1880, beliau berpindah ke Budapest untuk bekerja dengan sebuah syarikat telegraf[4], dibawah tunjuk ajar dari Tivadar Puskás. Di sana, beliau telah bertemu dengan Nebojša Petrović, seorang pereka muda berketurunan Serbia yang tinggal di Austria. Walaupun pertemuan mereka hanya sekejap, mereka berdua masih sempat bekerjasama dalam sebuah projek membangunkan kuasa selanjar dengan menggunakan turbin berkembar. Menjelang pembukaan ibu sawat telefon di Budapest pada tahun 1881, Nikola Tesla telah menjawat sebagai ketua juruelektrik syarikat tempat beliau bekerja serta kemudiannya muncul sebagai jurutera pertama negara. Beliau juga telah mencipta peranti yang berfungsi sebagai pengulang atau penguat untuk digunakan dalam sistem talian telefon untuk mendapatkan komunikasi yang lebih berkesan.[5]

 
Lukisan dari Paten U.S. 381968, menggambarkan tentang prinsip rekaan motor arus ulang alik


Perancis dan Amerika Syarikat sunting

Pada tahun 1882, beliau telah berpindah ke Paris untuk bekerja sebagai jurutera dengan syarikat Continental Edison, syarikat yang dibentuk memperbaiki mutu rekabentuk peralatan elektrik berdasarkan idea rekabentuk Thomas Edison. Berdasarkan catatan autobiografi beliau, ketika di sana beliau menyempurnakan idea terhadap rekaan konsep motor aruhan dan mula membangunkan pelbagai alatan yang menggunakan putaran medan magnet, di mana beliau telah berjaya mempatenkan pada tahun 1888.

Tidak berapa lama selepas itu, ibu beliau pula telah meninggal dunia.[6] Akibat daripada kematian bondanya, Nikola Tesla telah jatuh sakit. Beliau menghabiskan masa selama dua hingga tiga minggu untuk menenangkan jiwanya di Gospić di samping menziarahi kampung halaman ibu beliau di Tomingaj berhampiran Gračac.

Pada 6 Jun 1884, Nikola Tesla telah menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat di bandar New York buat pertama kalinya [7] dengan hampir sehelai sepinggang dan disertakan bersama surat pengesyoran dari Charles Batchelor, majikan beliau yang terdahulu. Di dalam surat pengesyoran kepada Thomas Edison, Encik Batchelor menulis, 'Saya mengetahui terdapat dua manusia yang hebat dan salah seorang daripadanya adalah anda; manakala seorang lagi adalah orang muda ini,' bagaimanapun isi kandungan surat ini telah disanggah oleh McNichol di dalam bukunya. Edison menggaji Tesla bekerja di dalam syarikatnya, Edison Machine Works. Kerjaya Tesla bermula dengan menyelesaikan masalah kejuruteraan elektrik yang mudah dan kemudiannya dengan pintar dan pantas telah berjaya menyelesaikan masalah kejuruteraan yang paling sukar di dalam syarikat. Tesla juga turut diberikan tugas untuk memperbaiki rekabentuk penjana arus terus keluaran syarikat Edison.[8]

Tesla mendakwa beliau telah ditawarkan USD50,000 jika berjaya memperbaiki reka bentuk motor dan penjana buatan Edison supaya menjadi lebih cekap.[9] Pada tahun 1885, apabila Tesla menuntut bayaran yang telah dijanjikan, Edison menjawab, 'Tesla, kamu tidak faham jenaka orang Amerika,' secara tidak langsung memungkiri janji Edison ke atas Tesla.[10][11] Dengan pendapatan hanya USD18 seminggu, beliau perlu bekerja selama 53 tahun untuk mendapatkan jumlah ganjaran seperti yang telah dijanjikan. Tawaran tersebut boleh digunakan sebagai modal permulaan membuka syarikat baru. Beliau meletakkan jawatan setelah permintaan beliau untuk kenaikan gaji kepada USD25 seminggu ditolak.[12]

Semasa tempoh yang singkat di syarikat Edison, Tesla mendapati dirinya telah berjaya mendapat asas yang kukuh untuk bertapak dan selepas perletakan jawatannya telah memberikan ruang kepada beliau untuk menumpukan terhadap kajian mengenai sistem polifasa arus ulang alik.[13]

Pertengahan usia sunting

Pada tahun 1886, Tesla telah menubuhkan syarikatnya sendiri, di atas nama Tesla Electric Light & Manufacturing. Para pelabur syarikat pada mula enggan bersetuju dengan idea Tesla mengenai motor arus ulang-aliknya sehingga akhirnya membuatkan Tesla melepaskan tanggungjawabnya pada syarikatnya sendiri. Tesla terpaksa memburuh di kota New York sebagai menyara hidupnya disamping mengumpulkan dana untuk projek beliau yang seterusnya. Pada 1887, beliau membina model terawal motor aruhan tanpa berus dan melakukan demonstrasinya di hadapan American Institute of Electrical Engineers (sekarang dikenali sebagai IEEE). Pada tahun 1888, beliau telah membangunkan kajian mengenai prinsip Lingkaran Tesla dan mula bekerja dengan George Westinghouse di Syarikat Pembuatan Barangan Elektrik Westinghouse di makmal di Pittsburgh. Westinghouse menerima idea Tesla mengenai sistem polifasa, di mana ia membolehkan penghantaran elektrik menggunakan arus ulang-alik pada jarak yang jauh.

Pada bulan April 1887, Tesla memulakan kajian mengenai tentang apa yang dikenali kini sebagai sinar-X dengan menggunakan tiub vakum terminal tunggal rekaan beliau sendiri. Alatan ini berbeza dengan tiub sinar-X awal kerana ianya tanpa elektrod sasaran. Fenomena yang terhasil daripada penggunaan alatan ini dikenali dengan istilah moden sebagai bremsstrahlung atau sinaran membrek. Pada masa kini, umum telah mengetahui bahawa alat ini beroperasi dengan memancarkan elektron dari elektrod tunggal melalui kombinasi di antara pancaran medan elektron dan pancaran termion. Apabila dibebaskan, elektron ditolak dengan daya yang kuat oleh medan elektrik berkuasa tinggi berhampiran elektrod semasa kemuncak voltan negatif yang dihasilkan akibat ayunan HV pada keluaran lingkaran Tesla, mewujudkan sinaran-X apabila ia bertembung pada permukaan kaca. Beliau juga pernah menggunakan tiub Geissler. Menjelang 1892, Tesla telah menyedari akan kesannya terhadap kerosakan kulit yang kemudiannya dikenal pasti oleh Wilhelm Röntgen sebagai kesan sinar-x.

Semasa kajian awal beliau dijalankan, Tesla membuat beberapa tetapan berkenaan eksperimen untuk menghasilkan sinar-x. Dalam kenyataannya berdasarkan eksperimen menggunakan hasil reka bentuk beliau, beliau menyatakan, "instrumen ini (membolehkan seseorang itu untuk) menjanakan sinar Röntgen yang lebih berkuasa berbanding dengan apa yang selalu diperoleh dengan alatan biasa,"[14]

Beliau juga mengulas mengenai bahaya yang terhasil dari eksperimen beliau. Berdasarkan dari nota-nota eksperimen, beliau telah menerima kesan kerosakan terhadap kulit beliau sendiri di mana kesan tersebut beliau mendakwa terhasil daripada tindak balas ozon yang terhasil disamping kesan kecil daripada asid nitrus. Tesla telah tersilap dalam mengenalpasti sinar-x sebagai gelombang longitudinal sebagaimana gelombang yang dihasilkan di dalam plasma. Gelombang plasma boleh berlaku di dalam keadaan medan magnet yang bebas-daya.[15][16] Segala hipotesis dan hasil eksperimen beliau telah disahkan oleh ahli-ahli sains yang terkemudian selepas beliau.[17]

Usaha kajian bidang sinar-x yang baru ditemukan beliau ini diteruskan lagi. Beliau menjalankan eksperimen-eksperimen yang masih belum lagi ditemukan oleh Roentgen. Beberapa penemuan terbaru beliau kongsikan bersama Roentgen, termasuklah imej tulang rangka tangan beliau sendiri yang dihantarkan kepada Roentgen. Penemuan beliau ini masih belum diketahui umum lagi; kebanyakan hasil kajiannya telah hilang di dalam kebakaran makmal beliau di 5th Avenue pada bulan Mac 1895.

Tesla menjalankan demonstrasi penghantaran tenaga tanpa wayar seawal tahun 1891 lagi. Aplikasi pengaliran elektrik ini dinamakan sebagai Kesan Tesla (Tesla Effect) berdasarkan pergerakan tenaga yang melalui ruang dan jirim yang tidak pula menggunakan voltan pada konduktor.[18]

Kerakyatan Amerika Syarikat sunting

Bertarikh 30 Julai 1891, pada usia 35 tahun, beliau telah mendapat naturalisasi kerakyatan Amerika Syarikat. Beliau turut mendirikan makmal beliau di selatan Fifth Avenue di kota raya New York pada tahun yang sama. Beliau menyalakan lampu-lampu elektrik di beberapa lokasi di sekitar New York, membuktikan potensi penggunaan pemindahan kuasa elektrik secara tanpa wayar.[19]

Beberapa orang rakan rapat Tesla adalah artis. Beliau turut berkawan rapat dengan editor majalah Century Magazine, Robert Underwood Johnson, yang menggemari puisi-puisi Serbia karya Jovan Jovanović Zmaj dan ianya diterjemahkan oleh Nikola Tesla. Juga pada masa yang sama, Tesla telah dipengaruhi oleh falsafah Veda (i.e. Hinduisme) ajaran Swami Vivekananda; sehinggakan Tesla mula menggunakan perkataan Sanskrit untuk menamakan konsep-konsep asas yang berkaitan dengan jirim dan tenaga.[20]

Ketika berusia 36 tahun, beliau telah dianugerahkan hak paten berkaitan dengan sistem kuasa polifasa. Kajian beliau mengenai asas sistem dan putaran medan magnet diteruskan. Dari 1892 hingga 1894, Tesla menyandang jawatan sebagai timbalan presiden Institut Jurutera Elektrikal Amerika (American Institute of Electrical Engineers), salah satu persatuan yang menjadi perintis kepada badan yang dikenali hari ini sebagai Institute of Electrical and Electronics Engineers, IEEE. Dari 1893 hingga 1895, beliau menjalankan penyelidikan mengenai frekuensi tinggi pada arus ulang-alik. Beliau menjanakan arus ulang-alik sebanyak 1 juta volt menggunakan kon lingkaran tesla untuk menyelidik kesan kulit pada pengalir, reka bentuk litar penalaan, mencipta mesin tidur nyenyak, lampu nyahcas gas tanpa kord, memancarkan tenaga elektromagnet tanpa wayar serta membina pemancar radio yang pertama.

Tesla dianggap sebagai orang pertama yang menemukan elektron, namun ianya masih lagi di dalam perdebatan. Pada 26 Ogos 1896, Tesla menerbitkan makalah yang bertajuk "Reply to J.J. Thomson's note" di dalam majalah "Electrical Engineer" yang diterbitkan di New York. Di dalam makalah tersebut, Tesla mendakwa wujudnya zarah kecil yang bercas di dalam eksperimen yang dilakukan beliau, tetapi telah disanggah oleh J.J. Thomson. Lima tahun kemudian, J.J. Thomson akhirnya mempersetujui kewujudan elektron melalui sebuah eksperimen yang lain.[21]

Pada tahun 1892, beliau telah mendapat alamat tentang kematian ibunya di dalam mimpi.[22] Tesla terus bergegas kembali ke Eropah untuk bertemu dengan ibunya. Beberapa jam sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir, Tesla sempat tiba di sisi pembaringan ibunya yang sedang nazak. Selepas kematian ibunya, Tesla menjadi terlalu sedih sehingga jatuh sakit dan mengasingkan dirinya di Gospić dalam perkampungan Tomingaj antara dua hingga tiga minggu.[23]

 
Paten dinamo generator eleltrik arus AU Nikola Tesla digunakan untuk menjanakan elektrik arus AU yang mampu diagihkan ke jarak yang sangat jauh. Ia terkandung di dalam U.S. Patent 390,721 .

Semasa berusia 36 tahun, paten Tesla yang pertama untuk sistem kuasa polifasa telah disahkan.[perlu rujukan] Beliau meneruskan kajian mengenai sistem dan prinsip putaran medan magnetik.[perlu rujukan] Dari 1892 hingga 1894, beliau menyandang jawatan sebagai naib presiden untuk American Institute of Electrical Engineers, pertubuhan yang kini lebih dikenali sebagai IEEE.[24]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

Nota sunting

  1. ^ O'Neill 2007, halaman 32
  2. ^ Seifer 2001, halaman 18
  3. ^ a b Cheney 2001, halaman 33
  4. ^ Wilson, James Grant (1901). Appleton's cyclopædia of American biography. m/s. 261. Dicapai pada 21 November 2010. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  5. ^ Klein, Maury (26 May 2009). The Power Makers: Steam, Electricity, and the Men Who Invented Modern America. Bloomsbury Press. ISBN 159691677X. Dicapai pada 14 November 2010.
  6. ^ Seifer 2001, halaman 94
  7. ^ "Coming to America". Public Broadcasting Service. Dicapai pada 14 November 2010.
  8. ^ Carey, Charles W. (2002). American inventors, entrepreneurs & business visionaries. Infobase Publishing. m/s. 337. ISBN 0816045593. Dicapai pada 27 November 2010.
  9. ^ Cheney 2001, halaman 54–57
  10. ^ Pickover, Clifford A. (1999). Strange brains and genius: the secret lives of eccentric scientists and madmen. Harper Perennial. m/s. 14. ISBN 0688168949. Dicapai pada 17 November 2010.
  11. ^ O'Neill 2007, halaman 64
  12. ^ Jonnes 2004, halaman 110
  13. ^ Tesla 2000, halaman 17
  14. ^ N. Tesla, HIGH FREQUENCY OSCILLATORS FOR ELECTRO-THERAPEUTIC AND OTHER PURPOSES. Proceedings of the American Electro-Therapeutic Association, American Electro-Therapeutic Association. Page 25.
  15. ^ Griffiths, David J. Introduction to Electrodynamics, ISBN 0-13-805326-X and Jackson, John D. Classical Electrodynamics, ISBN 0-471-30932-X.
  16. ^ Anonymous (1899). Transactions of the American Electro-therapeutic Association. m/s. 16. Dicapai pada 25 November 2010.
  17. ^ Shrady, George Frederick; Stedman, Thomas Lathrop (1897). Medical record. m/s. 287. Dicapai pada 25 November 2010.
  18. ^ Cheney 2001, halaman 174
  19. ^ Krumme, Katherine (2000). "Mark Twain and Nikola Tesla: Thunder and Lightning" (PDF). University of California, Berkeley. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 2010-09-28. Dicapai pada 2011-08-03. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  20. ^ "THE INFLUENCE OF VEDIC PHILOSOPHY ON NIKOLA TESLA'S UNDERSTANDING OF FREE ENERGY". Dicapai pada 27 November 2010.
  21. ^ "Tesla Timeline". Tesla Universe. Dicapai pada 5 July 2012.
  22. ^ Seifer 2001, halaman 94
  23. ^ "Tesla Timeline". Tesla Universe. Dicapai pada 4 July 2012.
  24. ^ Kenneth L. Corum and James F. Corum, Ph.D. "Tesla's Connection to Columbia University *" (PDF). Tesla Memorial Society of NY. Dicapai pada 5 July 2012.

Sumber sunting