Ops Junction City adalah satu operasi tentera semasa Perang Vietnam yang melibatkan satu-satunya penerjunan kombat oleh mana-mana pasukan besar askar payung terjun Amerika Syarikat. Sebelum itu, askar payung terjun Amerika Syarikat digunakan sebagai askar infantri biasa dan pengerahan dan pergerakan mereka di medan perang dibuat menggunakan helikopter. Operasi ini melibatkan penerjunan kombat terbesar askar payung terjun semenjak Operasi Market-Garden yang dijalankan dalam tahun 1944 semasa Perang Dunia II.

Jatuh udara bekalan dalam Ops Junction City

Pasukan terlibat sunting

Pasukan tentera Amerika Syarikat terdiri daripada Markas Kor, Divisyen Pertama Infantri dengan ditambah 1 Briged, Divisyen ke-9 Infantri, Divisyen ke-25 Infantri ditambah 1 Briged, Briged 173 Payung Terjun dan Rejimen ke-11 Kavalri Armor. Sebanyak 22 batalion askar tempur Amerika Syarikat digunakan.

 
Peta menunjukkan operasi Junction City

Ops Junction City dilaksanakan meliputi jangka masa 72 hari bermula pada 22 Februari 1967. Operasi ini melibatkan pasukan-pasukan tentera Amerika Syarikat dan Vietnam Selatan. Operasi ini melibatkan lebih 70,000 askar Amerika Syarikat dan 6000 askar Vietnam Selatan. Objektif Ops Junction City adalah untuk mengesan dan memusnahkan markas tertinggi Viet Cong di Vietnam Selatan yang terletak di sekitar kawasan Saigon yang dinamakan Central Office South Vietnam (COSVN).

Operasi Serangan Oleh Askar Payung Terjun sunting

Untuk operasi serangan oleh askar payung terjun, 845 orang askar payung terjun terlibat meliputi Batalion Kedua Rejimen 503 Infantri Payung Terjun (2/503) dan dibantu Bateri A Batalion Ketiga Rejimen 319 Artileri (3/319th Artileri) bersama-sama Markas 173 Briged Payung Terjun. Sebanyak 23 buah pesawat C-130 Hercules digunakan untuk melakukan penerjunan dan pengguguran, dengan 13 buah pesawat digunakan untuk penerjunan anggota dan 10 buah pesawat digunakan untuk menggugurkan kelengkapan. Pasukan ini diberikan tugasan sebagai pasukan penghalang untuk mengelakkan askar-askar Viet Cong melarikan diri ke Kemboja.

Kawasan pendaratan untuk askar payung terjun yang terlibat adalah satu kawasan sawah padi berukuran 1000 kaki x 6000 kaki yang terletak di dalam kawasan yang dikuasai Viet Cong. Saiz kawasan penerjunan yang hanya 26 saat memaksa pesawat membuat dua kali lintasan untuk membuat penerjunan ke kawasan pendaratan. Setiap pesawat C-130 Hercules membawa 60 orang askar payung terjun. Dalam mas 60 minit sahaja, batalion 2/503 Infantri payung terjun bersama-sama 1 regimen artileri dan markas Briged 173 Payung Terjun berjaya mendarat dan menguasai kawasan keselamatan di sekeliling zon pendaratan.

Semua unit yang terlibat berupaya perlu bertindak cepat untuk menjamin keselamatan zon pendaratan untuk pengguguran kelengkapan berat yang dijadualkan 30 minit selepas pendaratan askar payung terjun. Askar payung terjun berjaya membuat pendaratan tepat ke sasaran tanpa apa-apa kemalangan. Apabila askar payung terjun mendarat, dia mengumpulkan kelengkapan dan senjata peribadi dan berkumpulan di kawasan pengumpulan (assembly area). Ini dimudahkan dengan menggunakan bom asap berwarna, belon helium berwarna dan pita berwarna pada topi askar terlibat untuk menandakan tempat dan pasukan yang terlibat sehinggakan kepada unit kecil peringkat Seksyen.

Tepat pada masanya, pesawat C-130 Hercules yang membawa kelengkapan berat membuat pengguguran berat melibatkan penghantaran jip, meriam, mortar dan peluru. Pengguguran kelengkapan berat dibuat dengan menggunakan payung terjun yang ditandakan mengikut warna-warna tertentu mengikut jenis muatannya. Kelengkapan yang digugurkan meliputi kesemua 6 pucuk meriam howitzer 105mm milik A Bateri Rejimen 3/319 Artileri, dengan 2,400 butir peluru 105mm, 4 x trak ¾ ton, 1 x treler ¾ ton, 6 x kenderaan Mule, 4 x mortar 4.2 inci dengan 746 butir peluru, 6 x mortar 81mm bersama 1,500 butir peluru, 416 x tong air 5 gelen, 746 peti C-ration, 116000 butir peluru 5.56mm, 1440 butir grenad 40mm, 1000 butir bom tangan dan 500 butir bom asap.

Fasa serangan oleh askar payung terjun dilihat sebagai kejayaan besar dan membuktikan bahawa pasukan askar payung terjun masih mendapat tempat dalam doktrin peperangan moden.

Operasi Pasukan Darat sunting

Tiga pertempuran besar berlaku semasa Ops Junction City iaitu pertempuran di Ap Bau Bang; pertempuran di Suoi Tre (Fire Support Base Gold); dan pertempuran di Ap Gu. Dalam kesemua pertempuran ini, serangan oleh pihak Viet Cong berjaya dipatahkan oleh pasukan Tentera Amerika Syarikat.

Hasil operasi sunting

Ops Junction City berakhiran dengan kejayaan membunuh 2,728 askar Viet Cong dan 34 askar Viet Cong ditawan serta penawanan banyak kelengkapan tentera dan bekalan Viet Cong. Tetapi pasukan Tentera Amerika gagal mengesan dan memusnahkan markas COSVN kerana strategi COSVN mengelakkan pertempuran besar dengan pasukan tentera Amerika Syarikat. Selepas pasukan tentera Amerika berundur, pasukan Viet Cong kembali menguasai kedudukan.