Pembaharuan kehakiman Israel 2023

Pembaharuan kehakiman Israel 2023 ialah satu siri perubahan kepada sistem kehakiman dan keseimbangan kuasa di Israel yang diusulkan pada Januari 2023 dan diluluskan pada Julai 2023. Perubahan ini dibuat bagi mengekang pengaruh badan kehakiman ke atas penggubalan undang-undang dan dasar awam, dengan mengehadkan kuasa Mahkamah Agung dalam melaksanakan semakan kehakiman, memberikan kawalan ke atas pelantikan kehakiman oleh pihak pemerintah dan mengehadkan kuasa penasihat undang-undangnya. Usaha tersebut yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keadilan, Yariv Levin dan Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan, Undang-undang dan Keadilan Knesset, Simcha Rothman.

Untuk beberapa dasawarsa, Mahkamah Agung mengambil hak untuk mengisytiharkan undang-undang Knesset sebagai tidak berperlembagaan. Pembaharuan itu akan memberi kebenaran kepada Knesset untuk membatalkan keputusan sedemikian dengan memperkenalkan semula perundangan dan meluluskannya dengan majoriti anggota-anggota Knesset. Pembaharuan itu juga akan mengurangkan keupayaan mahkamah untuk menjalankan semakan kehakiman terhadap Undang-undang Dasar dan mengubah susunan Jawatankuasa Pemilihan Kehakiman supaya kawalan ke atas pelantikan hakim diberikan secara berkesan kepada pemerintah.

Levin dan pemerintah campurannya telah menyatakan bahawa perubahan-perubahan itu merupakan langkah pertama dalam reformasi kehakiman. Langkah-langkah tambahan telah dirancang termasuklah mengubah proses pelantikan penasihat undang-undang kepada kementerian pemerintah, supaya mereka boleh dilantik dan diberhentikan oleh menteri; menjadikan nasihat undang-undang mereka sebagai suatu saranan dan bukannya mengikat menteri serta menjadikan mereka orang bawahan secara terus kepada menteri dan bukannya pengawasan profesional Kementerian Kehakiman. Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berpendapat bahawa pembaharuan itu adalah perlu kerana badan kehakiman mempunyai terlalu banyak kawalan ke atas dasar awam dan keseimbangan yang lebih baik diperlukan antara penggubal undang-undang yang dipilih secara demokratik dan badan kehakiman. Walau bagaimanapun, Peguam Negara telah menghalang Netanyahu daripada mengambil bahagian secara aktif dalam proses pembaharuan kehakiman tersebut kerana konflik kepentingan yang berpunca daripada perbicaraan rasuahnya yang masih berjalan.

Pemerintah campuran itu juga memajukan beberapa rang undang-undang lain mengenai sistem kehakiman Israel dan keseimbangan kuasa, termasuklah reformasi untuk meluaskan kuasa Mahkamah Rabai, membenarkan mereka bertindak sebagai penimbang tara dalam perkara-perkara sivil dengan menggunakan undang-undang agama, jika kedua-dua pihak bersetuju; rang undang-undang yang mengehadkan keupayaan untuk mengemukakan undi tidak percaya dan kaedah-kaedah lain untuk membubarkan Knesset yang sedang bersidang; rang undang-undang yang melarang prosiding jenayah terhadap Perdana Menteri semasa; serta rang undang-undang yang membenarkan jawatan perkhidmatan awam utama menjadi jawatan amanah yang dilantik oleh ahli siasah dan bukannya pelantikan profesional.