Raja Muda Musa ibni Sultan Abdul Samad
Almarhum Raja Muda Haji Musa ibni Almarhum Sultan Sir Abdul Samad (1845 - 7 Julai 1884) atau lebih dikenali sebagai Raja Muda Musa merupakan Tengku Mahkota bagi Kesultanan Selangor dan putera sulung kepada Sultan Abdul Samad bersama Raja Atfah binti Sultan Muhammad Shah.[1]
Raja Musa Eddin | |||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Raja Muda Negeri Selangor Darul Ehsan ke-6 | |||||||||||||||||
Fail:- | |||||||||||||||||
Raja Muda Selangor | |||||||||||||||||
Pemerintahan | 1858 - 1884 | ||||||||||||||||
Kemahkotaan | 1875 | ||||||||||||||||
Pemasyhuran | - | ||||||||||||||||
Didahului oleh | Raja Haji Sulaiman ibni Almarhum Sultan Musa Ghiatuddin Shah I | ||||||||||||||||
Diikuti oleh | Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Sultan Musa Ghiatuddin Shah I | ||||||||||||||||
Pemangku raja | - | ||||||||||||||||
Keputeraan | Raja Sulaiman ibni Raja Muda Musa 1845 Selangor | ||||||||||||||||
Kemangkatan | 1884 (berumur 38–39) Selangor | ||||||||||||||||
Pemakaman | ogos 1888 Makam Diraja Bukit Jugra, Banting, Selangor | ||||||||||||||||
Pasangan | Raja Buntal Raimah binti Almarhum Raja Barkat | ||||||||||||||||
Anakanda | Sultan Alaeddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa | ||||||||||||||||
| |||||||||||||||||
Kerabat | Diraja Bugis Luwu Opu Daeng Chelak | ||||||||||||||||
Kerabat | - | ||||||||||||||||
Wangsa | - | ||||||||||||||||
Ayahanda | Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Bendahara Raja Abdullah | ||||||||||||||||
Bonda | Raja Atfah binti Almarhum Sultan Muhammad Shah | ||||||||||||||||
Agama | Islam | ||||||||||||||||
Pekerjaan | - | ||||||||||||||||
Tandatangan |
Latar Belakang
suntingRaja Muda Musa diputerakan sekitar tahun 1845. Ketika Sultan Abdul Samad menaiki takhta kerajaan sebagai Raja dan Yang di-Pertuan Negeri Selangor serta jajahan takluknya pada tahun 1859, Raja Muda Musa dianggarkan berusia lingkungan 15 tahun.[2] Ibu baginda bernama Raja Atfah (disebut Raja Tepah) yang juga dikenali sebagai Raja Anjang, merupakan puteri kepada Sultan Muhammad Shah, Sultan Selangor ketiga.[3] Baginda telah mendirikan rumahtangga bersama Raja Buntal Raimah binti Raja Barkat [Encik' Uti']. Baginda mempunyai zuriat empat orang putera dan dua orang puteri iaitu:-
Putera
- Raja Sulaiman
- Raja Yahya
- Raja Abdul Murad
- Raja Muhammad Tahir
Puteri
- Raja Taksiah
- Raja Chik
Baginda ditabalkan sebagai Raja Muda Selangor oleh Sultan Abdul Samad pada 16 Mei 1875.[4] Pada bulan November 1878, Tengku Kudin telah meletakkan semua jawatannya di Selangor, kemudian Raja Muda Musa telah dilantik menjadi Yang di-Pertua Majlis Mesyuarat Negeri Selangor menggantikan Tengku Kudin. Pemangku Residen Selangor iaitu William Bloomfield Douglas telah menyifatkan baginda sebagai seorang yang agak pemuram namun tajam fikirannya dalam beberapa perkara.[5]
Keperibadian
suntingTegas Dalam Hal Ehwal Agama dan Kebajikan Rakyat
suntingRaja Muda Musa terkenal sebagai seorang Raja Muda yang sangat tegas dalam hal ehwal agama Islam dan kebajikan rakyat. Bahkan baginda juga sentiasa mendampingi para ulama, antaranya Imam Abdul Raub (Imam kampung Bandar) dan Tuan Muham.[6]
Raja Muda Musa amat disanjungi oleh rakyat jelata sebagai seorang Raja Muda dan pewaris takhta yang berjiwa rakyat dan mementingkan agama. Beliau juga amat digeruni oleh pihak Inggeris sebagai seorang yang tidak mudah dipengaruhi dan memiliki perwatakan yang agak bengis. Mereka berpandangan bahawa Raja Muda Musa seorang yang degil dan keras hati.
Seorang pengembara wanita Inggeris bernama Isabella Lucy Bird menceritakan peribadi baginda ketika bertemu dengannya sekitar tahun 1879 :[7]
...Raja Musa, seorang Melayu yang kelihatan sangat ganjil, seorang Muslim yang tegas, yang diketahui—seperti kata Tuan Residen—bahawa apabila baginda menjadi Sultan, baginda akan "menghambat orang-orang putih ke dalam laut". Raja Musa bekerja keras, menjadi teladan kepada orang-orangnya, dan apabila bekerja baginda berpakaian seperti seorang buruh. Raja Musa sangat membenci perbuatan menyabung ayam dan lain-lain hiburan Melayu, baginda seorang pembaharu, keras kepala, berkeazaman tinggi, dan sebagai pewaris takhta, baginda agak digeruni oleh Tuan Residen, memandangkan baginda bukan seorang anak raja yang mudah dikawal. Baginda ialah seorang Haji, dan memakai serban yang diperbuat daripada berela-ela kain khasah yang sangat mahal dan bersulam dengan sutera, berbaju putih, berkain sarung putih panjang dan berseluar putih—pakaian yang sungguh molek bagi seorang Timur. Baginda telah bersalaman dengan saya. Saya berharap agar mereka tidak meniru cara tabik hormat kita, kerana cara mereka lebih patut dan sesuai dengan watak peribadi mereka...
Pemimpin dan Usahawan
suntingPada tahun 1868, baginda dikatakan mempunyai perusahaan lombong bijih timah di Kanching, Rawang.[8] Ayahandanya iaitu Sultan Abdul Samad telah menyerahkan pentadbiran Kuala Selangor (pusat pemerintahan asal negeri Selangor) kepada baginda. Di sana baginda telah memerintah dan memungut cukai serta telah meneroka beberapa buah kampung di pinggir Sungai Selangor seperti Kampung Permatang Tengah, Bukit Belimbing dan Kampung Raja Musa (nama dahulu ialah Bukit Talang).[9]
Baginda rajin mengusahakan kebun kelapa yang terletak di Bandar Temasha, Kuala Langat.[10] Baginda memiliki 1,000 ekar tanah yang pada mulanya dijadikan ladang kelapa dan kemudiannya digantikan tebu dengan mengupah orang. Baginda menghantar puteranya, Raja Sulaiman, ke Seberang Perai untuk belajar teknik pengeluaran gula di sebuah ladang milik orang Eropah di Batu Kawan. Sebelum mangkat, baginda ada merancang hendak mengupah 200 atau 300 pekerja bagi membuka sebidang tanah yang luas.[11]
Pendirian ketika Perang Selangor
suntingSebagaimana ayahandanya, Raja Muda Musa dikatakan bersikap berkecuali dalam Perang saudara Selangor[12]. Menurut Dato' Amar Diraja Wan Muhammad Amin bin Wan Muhammad Said, Penghulu Adat Istiadat Negeri Selangor (1847-1931)[13][14]
Bahawasanya ada pun Yang Mulia Raja Musa tatkala berbangkit perang di Kuala Selangor itu tiadalah ia masuk campur. Ia beserta anak isterinya pergi bersenangkan hati di Singapura dan pada masa itu belum lagi menjadi Raja Muda. Apakala peperangan itu telah selesai, maka Kebawah Duli Seri Paduka ayahandanya Sultan Abdul Samad telah mengutus sepucuk surat bertarikh pada 10 haribulan Rabiulakhir Hijrat 1292 bersamaan dengan 16 haribulan Mei tahun Masihi 1875. Mempermaklumkan bahawa ia dipanggil balik ke Selangor dan Yang Tuan Terutama Gabenor pun memberi nasihat mempersilakan supaya ia balik
Walaupun dikatakan Baginda berkecuali, tetapi menurut Tengku Kudin, Baginda telah berpaling tadah dengan memberikan sokongan kepada Raja Mahdi dan pengikutnya di Kuala Selangor. Tengku Kudin berkata kepada Charles J. Iring (Auditor General Negeri-negeri Selat)[15] :-
Maka hal Raja Musa itupun sekarang rupanya telah belot ke sebelah Raja Kahar dan Syed Mashor. Dari sebab itulah, pada ketika ia dalam Selangor itu diberinya masuk makanan dan ubat peluru dan lain-lain yang dihantar oleh Raja Jaafar dari Sungai Selangor itu ke ulu, beberapa kali. Melainkan Raja Yaakub adik Raja Musa itu seorang di sebelah saya. Tetapi sungguhpun saya telah menyerahkan Selangor itu kepada Raja Yaakub memerintah dan menjaga tetapi serba-salahlah ia hendak melawan atau menahan atau menegaskan Raja Musa daripada perbuatannya itu kerana dia abang kepadanya; melainkan berdiam diri sahaja
Krisis dan Konflik
suntingPada bulan Julai 1870, ketika berlaku Perang Saudara Selangor, Raja Mahdi dengan dibantu oleh Raja Hitam dari Sabak Bernam dan Raja Ali dari Jeram serta pasukan mereka seramai 200 orang telah menyerang Kuala Selangor tetapi Raja Muda Musa dan isteri tidak diapa-apakan. Setelah Kuala Selangor ditawan, lalu baginda suami isteri telah keluar dari Kuala Selangor dan pergi ke Langat mengadap ayahandanya untuk mengadukan hal yang telah berlaku. Tetapi Raja Muda Musa tidak mendapat apa-apa bantuan atau perangsang, sebaliknya Sultan Abdul samad menitahkan Raja Muda Musa mengadukan hal kesusahannya kepada Tengku Kudin. Kemudian baginda telah bertindak meninggalkan Langat pergi menetap ke Singapura dengan membawa puteranya Raja Sulaiman yang ketika itu baharu berusia lima tahun. Di Singapura, baginda menyekolahkan Raja Sulaiman dengan pelajaran Inggeris di Raffles Institution, dan Raja Sulaiman telah bersekolah di situ selama tiga tahun. Setahun lamanya Raja Muda Musa berada di Singapura, dan dalam bulan Ogos tahun 1871, baginda pulang semula ke Selangor dan kembali bersemayam di Kuala Selangor.[16]
Pada 10 September 1871, Tengku Kudin telah datang ke Kuala Selangor dalam lawatannya ke daerah-daerah yang dikuasainya, dan didapati Raja Muda Musa telah mendirikan sebuah kota di Permatang. Kota itu itu akan digunakan sebagai tempat berlindung dan menangkis serangan daripada Raja Mahadi dan kawan-kawannya iaitu Sayyid Mashhor dan Raja Mahmud. Pada masa itu Tengku Kudin telah memberi kuasa kepada Raja Muda Musa untuk memungut segala hasil cukai di Sungai Selangor dengan syarat hendaklah baginda menanggung segala bayaran kecil berkenaan dengan pemerintahan di daerah itu. Baginda telah menyatakan kepada Tengku Kudin bahawa ayahandanya Sultan Abdul Samad telah memberikan daerah Kuala Selangor itu di bawah perintahnya. Oleh sebab itu baginda meminta Tengku Kudin membayar segala ganti rugi kerosakan di daerah itu disebabkan oleh serangan orang-orang Inggeris terdahulu.
Tengku Kudin telah mengirim surat kepada Gabenor di Singapura mengatakan beliau terpaksa menggantikan Raja Muda Musa dengan adiknya (adik Raja Muda Musa) Raja Ya'akob yang lebih berani dan dipercayai itu, dan Tengku Kudin meminta gabenor itu menghantarkan seorang pegawai Inggeris bagi mengaturkan segala perkara di antara raja-raja di Selangor kerana dengan berbuat begitu Tengku Kudin percaya tiada akan timbul lagi sebarang pergaduhan.
Pada 20 November 1871, Pennefather, ketua yang menjaga askar-askar di Kota Kuala Selangor telah membuat aduan kepada Tengku Kudin mengatakan Raja Muda Musa telah mengambil semua cukai timah yang dibawa keluar melalui Kuala Selangor. Tengku Kudin telah mengatakan kepada baginda beberapa syarat yang mesti diturut oleh baginda jika baginda hendak memerintah di Kuala Selangor. Tetapi baginda tidak mahu menurut syarat-syarat yang dikenakan oleh Tengku Kudin. Tengku Kudin telah memohon kepada Sultan Abdul Samad agar memecat Raja Muda Musa sebagai pemerintah di Kuala Selangor, dan pemohonan Tengku Kudin itupun diperkenankan dan digantikan dengan Raja Ya'akub.[17]
Kemangkatan
suntingBaginda telah mangkat pada 7 Julai 1884 dan telah dimakamkan di Makam Bukit Jugra iaitu Kompleks Makam DiRaja Sultan Abdul Samad yang telah berhampiran dengan Makam Sultan Abdul Samad.[18]
Rujukan
sunting- ^ Royal Ark Selangor.
- ^ Muhamad Adha Abd Jalil (2021). Sultan 'Ala'uddin Suleiman Shah Payung Kesentosaan Negeri Selangor. Kuala Lumpur: Akademi Jawi Malaysia.m/s 11
- ^ J. M. Gullick (2007). Selections from the Selangor Journal 1892-1897. Bandar Puchong Jaya, Selangor: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.m/s 510
- ^ Buyong Adil (2019). Sejarah Selangor (Edisi Semakan). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.m/s 152
- ^ J. M. Gullick (2022). Sejarah Selangor 1766-1939 (Edisi terjemahan Monograph No. 28: A History of Selangor 1766-1939). Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn. Bhd.m/s 192
- ^ Muhamad Adha Abd Jalil (2021). Sultan 'Ala'uddin Suleiman Shah Payung Kesentosaan Negeri Selangor. Kuala Lumpur: Akademi Jawi Malaysia.m/s 11
- ^ Isabella L. Bird (1883). The Golden Chersonese and the Way Thither. New York: G. P. Putnam's Sons.m/s 286 Terjemahan oleh Muhamad Adha Abd Jalil
- ^ Buyong Adil (2019). Sejarah Selangor (Edisi Semakan). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.m/s 73
- ^ Yusoff Hassan (1983). Jugra Dalam Sejarah. Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd.m/s 9
- ^ Muhamad Adha Abd Jalil (2021). Sultan 'Ala'uddin Suleiman Shah Payung Kesentosaan Negeri Selangor. Kuala Lumpur: Akademi Jawi Malaysia.
- ^ J. M. Gullick (2022). Sejarah Selangor 1766-1939 (Edisi terjemahan Monograph No. 28: A History of Selangor 1766-1939). Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn. Bhd.m/s 151
- ^ A. Talib b. Hj. Rahman (1986). Perang Saudara Di Selangor 1868-1873. Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur: Pustaka Antara.m/s 28
- ^ Wan Muhammad Amin (Dikaji dan diperkenalkan oleh Mardiana Nordin (2020). Kenang-Kenangan Selangor. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.m/s 57
- ^ Wan Muhammad Amin (Disusun dan disunting oleh Abdul Samad Ahmad A.M.N (1966). Pesaka Selangor. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.m/s 51
- ^ Muhammad Ibrahim Munsyi (Dengan pengenalan dan anotasi oleh Mohd Fadzil Othman (1980). Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi. Kuala Lumpur: Dewan BahasadanPustaka.m/s 78
- ^ Buyong Adil (2019). Sejarah Selangor (Edisi Semakan). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.m/s 86
- ^ Buyong Adil (2019). Sejarah Selangor (Edisi Semakan). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.m/s 105
- ^ Menziarahi Makam DiRaja Sultan Abdul Samad, Jugra