Richard D. Winters(1918-2011) ialah salah seorang askar payung terjun yang berkhidmat dengan Kompeni ‘Easy”, Batalion Ke-2, Rejimen Ke-506 Infantri Payung Terjun (2/506 PIR) semasa Perang Dunia II. Dia meninggal pada 2 Januari 2011.

Richard Winters dalam tahun 2005
Richard Winters dalam tahun 1942
Damian Lewis membawa watak Winters dalam Band of Brothers

Beliau masih diingati kerana menjadi tumpuan penulisan buku “Band of Brothers” oleh Stephen E. Ambrose dan menjadi watak utama dalam mini siri “Band of Brothers” (didasarkan kepada buku tulisan Ambrose) yang diterbitkan oleh HBO hasil kerjasama Steven Spielberg dan Tom Hanks. Watak Richard D. Winters dibawakan oleh pelakon British Damian Lewis.

Hayat Awal sunting

Richard Winters dilahirkan di Lancaster, Pennsylvania dan membesar di bandar Ephrata tidak jauh daripada situ. Richard adalah graduan dalam bidang perniagaan daripada Kolej Franklin and Marshall tahun 1941. Semasa bersekolah, Richard membuat kerja sambilan mengecat wayar elektrik voltan tinggi untuk membiayai persekolahannya.

Perang Dunia II sunting

Winters menyertai Tentera Darat Amerika Syarikat dalam tahun 1941 sebagai sukarelawan. Selepas menjalani kursus asas tentera, Richard terpilih menyertai Sekolah Pegawai Kadet. Di situ dia berkawan dengan Lewis Nixon yang menjadi kawan karibnya dan berjuang bersama-sama Richard sepanjang Perang Dunia II dalam Divisyen 101 Payung Terjun. Selepas ditauliahkan sebagai pegawai, Richard dan Lewis secara sukarela menyertai pasukan askar payung terjun yang baru ditubuhkan.

Richard Winters adalah seorang anggota asal Kompeni “Easy” Batalion Ke-2, Rejimen Ke-506 Infantri Payung Terjun (2/506 PIR). Winters pada mulanya menjadi seorang Ketua Platun dalam Kompeni Easy, tetapi telah dipilih oleh Kapten Herbert Sobel untuk menjadi Pegawai Laksana (Executive Officer) kompeni tersebut dan dinaikkan pangkat menjadi Leftenan. Semasa latihan Richard Winters menunjukkan kemampuannya sebagai seorang pemimpin tempur yang baik. Dia dihormati oleh anggota-anggotanya sebagai orang yang tegas tetapi adil.

Selepas Divisyen 101 Payung Terjun ditempatkan di England, Richard Winters berselisih faham dengan Kapten Sobel, mengakibatkan Richard dilucutkan jawatan sebagai XO Kompeni “Easy” , dan ditugaskan semula di dewan masak di Markas Rejimen. Namun Kapten Sobel, dikeluarkan daripada Kompeni Easy setelah pegawai-pegawai tanpa tauliah Kompeni Easy menyatakan keengganan mereka untuk berperang di bawah pimpinan Kapten Sobel. Dengan ketiadaan Kapten Sobel, Richard Winters kembali sebagai XO di Kompeni Easy. Selepas Kapten Sobel ditukarkan ke sekolah payung terjun di Chilton Foliat, Leftenan Thomas Meehan III dilantik menjadi Pegawai Pemerintah Kompeni Easy.

Dalam penerjunan yang dibuat pada malam 6 Jun 1944, kapal terbang C-47 Skytrain yang membawa Leftenan Thomas Meehan III dan Markas Kompeni Easy ditembak jatuh oleh meriam anti-kapal terbang Jerman, mengakibatkan kesemua di dalamnya terkorban. Sebagai pegawai paling kanan di dalam Kompeni Easy, Richard Winters mengambil alih kepimpinan Kompeni Easy sehinggalah tamat kempen di Normandy.

Kapal terbang yang membawa Richard Winters tidak menepati sasaran zon pendaratan yang ditetapkan, dan Richard mendarat berhampiran Sainte-Mère-Église. Richard kehilangan senjata Garand M1 yang biasa digunakannya semasa membuat penerjunan kerana tali yang mengikat beg berisi senjatanya (dipanggil leg bag) terputus. Kini Richard hanya mempunyai sebilah pisau sebagai senjata.

Richard mengambil pedoman kedudukan beliau dan mula mengumpul askar-askar payung terjun yang beliau jumpa untuk menuju ke objektif yang ditugaskan kepada unit beliau berhampiran Sainte-Marie-du-Mont. Semasa di Sainte-Marie-du-Mont, Richard Winter ditugaskan oleh pemerintah batalionnya untuk menyerang satu kedudukan artileri 88mm Jerman yang membedil askar-askar di Pantai Utah dan dikatakan mengakibatkan kemalangan jiwa yang tinggi di kalangan askar-askar di sana. Kedudukan itu dipertahankan oleh hampir 50 orang askar Jerman sedangkan Richard Winters hanya mempunyai kekuatan anggota seramai 12 orang.

Richard membawa kumpulannya ke kedudukan artileri Jerman tersebut dan mendapati meriam di itu adalah meriam 105mm bukan meriam 88mm. Richard dengan cepat membuat perancangan serangannya. Dia membahagikan pasukannya kepada 3 kumpulan di mana dia mengetuai pasukan seramai 6 orang yang akan membuat serangan utama. Serangan yang dibuat mengejutkan pasukan Jerman yang bertahan di kedudukan artileri tersebut dan pasukan pimpinan Richard Winters berjaya menawan 3 daripada 4 buah meriam di situ. Richard Winters juga menjumpai sebuah peta yang menunjukkan kedudukan semua meriam artileri Jerman di sekitar Pantai Utah.

Ketika itu, kumpulan dari kompeni “D” di bawah pimpinan Leftenan Ronald Speirs datang membantu dan menawan meriam keempat. Serangan ini dikenali sebagai Serangan Brécourt Manor dan sehingga ini masih ditunjukkan di Akademi Tentera Darat Amerika Syarikat di West Point sebagai satu serangan buku teks oleh pasukan kecil ke atas satu kedudukan yang mempunyai pertahanan kukuh.

Nama Richard Winters dimajukan oleh Kolonel Robert F. Sink untuk pertimbangan penganugerahan Medal of Honor tetapi cadangan itu diturun taraf kepada pingat ''Distinguished Service Cross'', pingat anugerah perkhidmatan yang kedua paling tinggi disebabkan oleh dasar Jabatan Pertahanan yang menetapkan hanya satu pingat Medal of Honor diberikan bagi setiap Divisyen semasa kempen di Normandy. Pingat Medal of Honor bagi Divisyen 101 Payung terjun diberikan kepada Leftenan Kolonel Robert G. Cole.

Semasa Operasi Market-Garden di negeri Belanda dalam bulan September 1944, Richard Winters dilantik menjadi XO Batalion 2/506 PIR. Biasanya jawatan ini disandang oleh seorang Mejar, tetapi Richard diberikan keyakinan menyandang jawatan tersebut walaupun hanya berpangkat Kapten. Semasa di negeri Belanda, Richard Winters memimpin satu kumpulan 20 orang askar yang menyerang dan menewaskan lebih 200 orang askar Waffen SS (Episode “Crossroads” dalam mini siri “Band of Brothers”)

Selepas operasi di negeri Belanda, Divisyen 101 Payung Terjun dikerahkan ke Bastogne untuk direhatkan dan dilengkapkan semula. Semasa Pertempuran Bulge yang bermula pada 18 Disember 1944, Richard Winters dan Kompeni Easy ditugaskan mempertahankan barisan pertahanan bertentangan bandar Foy. Selepas Pertempuran Bulge, Richard Winters dinaikkan pangkat menjadi Mejar.

Selepas Perang Dunia II sunting

Selepas Perang Dunia II, Richard Winters menerima tawaran bekerja dengan firma milik keluarga sahabat karibnya Lewis Nixon sebagai Pengurus Personnel. Apabila Perang Korea meletus dalam tahun 1950, Richard Winters dipanggil semula bertugas dengan Tentera Darat Amerika Syarikat untuk melatih askar infantri dan askar Renjer untuk Tentera Darat. Tetapi kali ini, Richard memilih untuk tidak pergi bertugas di Korea.

Selepas perkhidmatan kali keduanya dengan Tentera Darat, Richard Winters membuka perniagaan sendiri menjual makanan ternakan. Dia membeli sebuah ladang kecil dan bersama Ethel, isterinya, membesarkan dua orang anak di sana. Richard bersara dan berpindah untuk menetap di Hershey, Pennsylvania, berhampiran Harrisburg.

Richard Winters menjadi ikon Generasi Paling Cemerlang ("The Greatest Generation") melalui pendedahan daripada buku Stephen E. Ambrose terbitan tahun 1992 bertajuk Band of Brothers: E Company, 506th Regiment, 101st Airborne from Normandy to Hitler's Eagle's Nest dan juga mini siri HBO Band of Brothers, yang didasarkan kepada buku tersebut.

Richard Winters juga menjadi tumpuan buku “Biggest Brother: The Life of Major Dick Winters, The Man Who Led the Band of Brothers", tulisan Larry Alexander diterbitkan dalam tahun 2005.

Memoir Richard Winters bertajuk Beyond Band of Brothers: The War Memoirs of Major Dick Winters, terbitan tahun 2006 ditulis bersama sejarawan Cole C. Kingseed.

Pingat dan Darjah Kebesaran sunting

  1. Distinguished Service Cross
  2. Bronze Star Medal
  3. Purple Heart
  4. American Defense Service Medal
  5. European-African-Middle Eastern Campaign Medal
  6. Army of Occupation Medal
  7. World War II Victory Medal
  8. National Defense Service Medal
  9. Presidential Unit Citation (OLC)
  10. Orange Lanyard of the Royal Netherlands Army
  11. Medal of the City of Eindhoven (2006)

Pautan Luar sunting

Rujukan sunting

  • Band of Brothers: E Company, 506th Regiment, 101st Airborne from Normandy to Hitler's Eagle's Nest, Stephen Ambrose, Simon & Schuster, 1992. ISBN 0-7434-6411-7
  • D-Day, June 6, 1944, The Battle For The Normandy Beaches, Steven Ambrose, Simon & Schuster, 1994. ISBN 0-7434-4974-6
  • Beyond Band of Brothers : The war memoirs of Major Dick Winters , Major Dick Winters (with Cole C. Kingseed), Berkley Hardcover, 2006. ISBN 0-425-20813-3
  • Biggest Brother: The Life of Major Dick Winters, The Man Who Led the Band of Brothers, Larry Alexander, NAL Hardcover, 2005, ISBN 0-451-21510-9