Saluran televisyen

Istilah saluran televisyen secara amnya bermaksud stesen televisyen atau yang seumpamanya dalam televisyen kabel/satelit. Selalunya, khususnya di luar AS dan dalam konteks TV kabel/satelit, istilah saluran TV dikelirukan dengan istilah rangkaian televisyen yang sebetulnya memaksudkan segugusan stesen TV yang bertaburan luas dan saling berkongsi gabungan atau pemiliknya serta sebahagian atau seluruh rancangan TV.

Istilah ini juga memaksudkan suatu kedudukan fizikal atau maya yang menyalurkan pengedaran saluran TV (dalam erti kata tadi). Contohnya di negara-negara luas di Amerika Utara, "saluran 2" merupakan jalur penyiaran 54 hingga 60 MHz, dengan frekuensi pembawa 55.25 MHz untuk video analog NTSC (VSB) dan 59.75 MHz untuk audio analog (FM).

Istilah ini lagi dikelirukan di tempat-tempat lain, contohnya di negara-negara kecil di Eropah dan Asia, di mana saluran terestrial biasanya dipetakan dari saluran fizikal ke kedudukan bernombor yang biasa dipakai (contohnya, RTM1 bukannya bersiaran melalui "saluran 1" tertentu, namun tetap ditala pada input "1" di kebanyakan set TV Malaysia).

Stesen televisyen sunting

Stesen televisyen ialah sejenis stesen penyiaran yang menyiarkan kedua-dua audio dan video sekaligus ke penerima televisyen di suatu kawasan tertentu. Asalnya, stesen TV bersiaran dengan menghantar isyarat radio yang dikodkan khas ke udara, dipanggil televisyen terestrial. Sesebuah stesen televisyen lazimnya dikurniakan lesen oleh badan kerajaan untuk menggunakan sebahagian spektrum radio tertentu (iaitu saluran) untuk menyalurkan isyaratnya. Sesetengah stesen menggunakan penterjemah penyiaran LPTV untuk menancarkan atau menyiarkan semula isyaratnya ke kawasan lebih jauh. Stesen televisyen merupakan satu bentuk saluran televisyen, tetapi bukan semua saluran televisyen adalah stesen juga.

TV kabel/satelit sunting

Oleh sebab sesetengah kawasan sukar menerima isyarat dari udara (khususnya di kawasan bergunung), maka diperkenalkannya kaedah pengedaran alternatif seperti TV satelit dan kabel. Saluran TV yang didirikan khusus untuk siaran kabel atau satelit ini mengaburkan perbezaan antara maksud stesen TV dan rangkaian TV.