Semah (Jawi: سيمه) merujuk kepada upacara menyediakan barangan khusus yang dipersembah acak dengan matlamat mengelakkan berlakunya gangguan yang melibatkan jin-jin yang menghuni tempat berkenaan, ataupun dari luar, atau daripada gangguan angkara manusia dengan bantuan makhluk halus.

Upacara menyemah berbeza, bergantung kepada kelaziman yang dilakukan orang yang mengetuai sesuatu upacara, ataupun kehendak orang yang berkenaan atas permintaan jin-jin yang diberitahu melalui mimpi ataupun lain-lain wahana. Kerana itu maka bahan-bahan yang disediakan berbeza, selain daripada bergantung kepada bahan makanan yang boleh didapati dan digunakan oleh penduduk tempatan.

Tujuan sunting

Penyembuhan sunting

Upacara semah dilaksanakan apabila pesakit yang berubat melalui kaedah tradisional sembuh. Ini dianggap sebagai memenuhi perjanjian yang telah dipersetujui oleh orang yang melakukan rawatan dan jin-jin yang dikatakan membantu manusia yang dilakukan dalam keadaan menurun, ataupun melalui persembahan teater tradisional, yang juga melibatkan menurun. Jin yang merasuk pesakit dipujuk dan dijanjikan imbuhan makan (acak) kalau ia sudi keluar dan tidak mengganggu pesakit. Tujuan lain ialah sebagai tanda berterima kasih kepada makhluk ini, yang sudi datang membantu manusia melakukan rawatan, membolehkan pesakit sembuh.

Upacara menyemah adakalanya melibatkan darah serta organ dalaman binatang sembelihan seperti kambing, kerbau atau lembu yang ditadah dalam satu bekas,.[1] Bahan-bahan tadi diletakkan di satu tempat, sama ada di hujung kampung, di pinggir hutan, dihanyutkan di sungai ataupun di laut. Amalan ini dikenali sebagai menyemah kampung, menyemah pantai, bela kampung, buang ancak dan sebagainya.[2]

Persembahan seni sunting

Bagi mereka yang melakukan persembahan teater tradisional, bahan-bahan makanan, terutamanya ayam panggang diletakkan, adakalanya sebagai sajian di sepanjang persembahan, bagi memastikan persembahan mereka berjalan dengan lancarnya tanpa ada apa-apa gangguan oleh makhluk halus.

Dalam adat rasmi sunting

Acara semahan pernah dilakukan di pekarangan istana Kesultanan Indragiri di Riau dihadiri raja, permaisuri, putera mahkota dan para bangsawan serta wakil suku Mamak di mana seorang kadhi adat mengadakan pembacaan mantera dan doa dengan membakar kemenyan memohon restu segala roh halus ke atas istana pusaka; nasi kuning dan pelbagai lauk-pauk dijamu selepas acara ini dilakukan.[3]:12

Rujukan sunting

  1. ^ Keturunan Pemburu Pemungut Lanoh Terakhir di Malaysia. Penerbit USM. m/s. 33-IA1.
  2. ^ Limbeng, Julianus; Muchtadin (2011). Suku Akit di Pulau Rupat. Direktorat Kepercayaan Terhadap Tuhan Yang Maha Esa. m/s. 85.
  3. ^ Kartomi, M. J. (Mac 1997). "The Royal Nobat Ensemble of Indragiri in Riau, Sumatra, in Colonial and Post-Colonial Times". The Galpin Society Journal. 50: 3–15. doi:10.2307/842560 – melalui JSTOR.