Siti Hajar Sadli (41–42 tahun) merupakan pembantu rumah (amah) warganegara Indonesia yang diseksa oleh majikannya di Malaysia pada hari Isnin, 8 Jun 2009. Siti Hajar berasal dari Garut, Jawa Barat. Majikannya ialah seorang ibu tunggal yang bernama Hau Yuan Tyng (51–52 tahun).

Siti Hajar bekerja di Lanai Kiara Condominium, Jalan Kiara 3, Mont Kiara pada bulan Februari dan Jun 2009. Dia yang beragama Islam mendakwa dia diberi makan nasi berlaukkan daging babi sejak hampir tiga tahun bekerja dengan majikannya itu. Dia juga mendakawa bahawa dia bukan sahaja dipukul dengan benda keras termasuk kayu, malah dia juga dijirus air panas di anggota badannya sehingga melecur.[1][2]

Seorang pemandu teksi menghantar Siti Hajar ke Kedutaan Indonesia. Kemudian, dia dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut selama empat hari.

Pada 12 Jun 2009, dia bertemu dengan kakaknya, Nani Suriani selepas hampir tiga tahun tidak berjumpa di perkarangan lobi Kedutaan Indonesia, Kuala Lumpur. Merka turut ditemani Duta Indonesia ke Malaysia, iaitu Tan Sri Da'i Bactiar; dan wakil media tempatan dan Indonesia. Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono telah berbual sekejap dengan Siti Hajar menerusi telefon bimbit milik Da'i Bactiar.[3]

Rentetan peristiwa tersebut turut menjejaskan perhubungan Malaysia-Indonesia. Antara lain, pihak pemerintah Indonesia memutuskan untuk menghentikan sementara pengiriman tenaga kerja Indonesia ke Malaysia.

Perbicaraan sunting

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Siti Hajar menceritakan dia disimbah air panas, manakala lehernya dikelar menggunakan pisau pemotong sayur. Dia juga mendakwa kerusi kayu patah digunakan untuk menyerangnya. Antara dakwaannya termasuklah lesung digunakan untuk menumbuk kaki serta kukunya manakala parang serta pisau kecil pula digunakan bagi mengelar lehernya; tukul besi digunakan untuk mengetuk hidung; mangkuk tandas digunakan untuk membersihkan muka yang berdarah kerana majikannya tidak membenarkan dia menggunakan sinki; dan Jeriji rumah sentiasa dikunci di samping tidak ramai orang lalu-lalang.

Dia melarikan diri dengan cara mengumpil pintu jeriji lewat malam sebelum menaiki lif dan menyorok selama beberapa jam dalam parit kecil di kondominium itu.

Hakim perbicaraan tersebut ialah SM Komathy Suppiah manakala timbalan pendakwa raya ialah Anselm Charles Fernandis. Peguam bela Hau ialah M Manoharan.[4]

Majikannya telah dituduh dengan tiga pertuduhan dan disabitkan bersalah. Dia dijatuhkan hukuman selama empat tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua dan enam bulan bagi pertuduhan ketiga.[5]

Rujukan sunting

Pautan luar sunting