Tetabu syaitan (burung)

Tetabu syaitan (Eurostopodus diabolicus), juga dikenali sebagai tetabu Heinrich[1] atau tetabu Sulawesi, ialah sejenis tukang bersaiz sederhana, bertompok, dan berwarna perang gelap yang endemik di pulau Sulawesi di Indonesia.[2] Ia ditemui pada tahun 1931 oleh Gerd Heinrich, sejarawan alam Jerman yang mengumpul galajenis betina tunggal dari Gunung Klabat di semenanjung Minahasa Sulawesi Utara.[3][4] Dalam dekad berikutnya, terdapat beberapa laporan yang belum disahkan mengenai penampakan dan seruan burung tersebut, tetapi ia tidak langmuncul rasminya sehingga tahun 1996 apabila David Bishop dan Jared Diamond mengenalpastinya di Taman Negara Lore Lindu melalui bunyinya, disaksikan oleh beberapa orang dalam kumpulan pelancongannya termasuklah penyair dan penulis Jan Zwaaneveld.[3][4] Penemuan tersebut meningkatkan anggaran julat burung tersebut sebanyak 750 km.[4] Sejak penemuan tersebut, ia telah diperhatikan dan diperihalkan dalam kesusasteraan beberapa kali.

Tetabu syaitan
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Aves
Order: Caprimulgiformes
Keluarga: Caprimulgidae
Genus: Eurostopodus
Spesies:
E. diabolicus
Nama binomial
Eurostopodus diabolicus

Pemerihalan

sunting

Ia berukuran panjang kira-kira 27 cm.[2][3] Ia mempunyai leher putih hingga kuning pucat, kepala kehitaman, belakang perang-kelabu, perut perang bersorot, dan tompok-tompoh putih pada pelepah primer luar ke-3 dan ke-4.[2][3] Ia boleh dibezakan daripada tukang lain di kawasan sekeliling dengan warna gelap dan ketiadaan jumbai telinga, ekor putih, dan tompok sayap.[4]

Etimologi

sunting

Nama Rumi dan nama lazimnya berasal daripada tafsiran seruannya.[5] Beberapa penulis melaporkan bahawa dalam penerbangan, ia membuat seruan "plip-plop" seperti air menitis, yang penduduk tempatan juga telah samakan seperti bunyi burung tersebut mencungkil mata seseorang.[5][6] Walau bagaimanapun, pemerihalan tersebut mungkin salah dikaitkan dengan spesies tersebut kerana ia tidak selaras dengan laporan terbaru tentang seruannya.[6] Ia juga kadang-kadang dipanggil tetabu Heinrich, tetabu Sulawesi, serta nama-nama lain yang tidak digunakan lagi.[3] Sesetengah penyokong burung tersebut lebih suka nama "syaitan" kerana mereka percaya ia akan menarik lebih banyak perhatian dan minat pemuliharaan kepada tetabu tersebut yang kurang dikenali.[3]

Taksonomi

sunting

Ia tergolong dalam order Caprimulgiformes, dan keluarga tukang Caprimulgidae, terletak dalam genus Eurostopodus bersama enam burung lain.[4] Walaupun ia kadangkala dikelirukan dengan tukang lain yang terdapat dalam julatnya seperti taptibau besar (Eurostopodus macrotis), tukang padang (Caprimulgus affinis), dan tukang Sulawesi (Caprimulgus celebensis), ia dipercayai berkongsi asalan evolusi yang lebih dekat dengan tukang di New Guinea, termasuklah tetabu gunung (Eurostopodus archboldi) dan tetabu Papua (Eurostopodus papuensis), yang paling menyerupai penampilan dan keutamaan habitatnya.[3][4] Walaupun tetabu syaitan sentiasa dianggap sebagai satu spesies, perbandingan terbaru individu yang ditangkap gambar dan diperhatikan telah mendedahkan perbezaan yang boleh menunjukkan sebenarnya terdapat dua jenis yang berasingan.[5] Individu dari Sulawesi tengah mempunyai kelabu pada ekor dan skapulanya, bersama dengan bulu pelepah dada berbentuk bujur berhujung putih.[5] Sebaliknya, individu dari utara pulau tersebut tidak mempunyai tanda kelabu dan mempunyai bulupelepah dada yang kurang jelas.[5] Perbezaan rantauan dari segi seruannya juga mungkin wujud.[5] Bagaimanapun, lebih banyak bukti mesti dikumpul sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat.[5]

Taburan dan habitat

sunting

Ia terhad di Sulawesi, Indonesia.[3][4] Ia mendiami hutan hujan tanah rendah dan gunung di rantau tersebut dari 250 hingga 2300 meter dari aras laut.[3][5] Ia seolah-olah menggemar habitat pinggir dengan kanopi rendah dan pokok kelapa sawit dan rotan.[3] Ia boleh ditemui di kawasan pembukaan hutan, serta kawasan lapang yang dicipta oleh jalan raya dan denai di hutan pertumbuhan lama.[2][3][5] Walaupun ia kebanyakannya dilihat di bahagian utara dan tengah pulau tersebut, julatnya boleh meluas ke seluruh Sulawesi.[6]

Tingkah laku

sunting

Vokalisasi

sunting

Ia menghasilkan pelbagai seruan yang berbeza.[5] Semasa terbang, ia mengeluarkan letupan nada "fWIP! fWIP" yang kuat dan menaik, dengan selangan 1 saat. Nada tersebut juga boleh berlaku secara sporadik, kadangkala dibunyikan tiba-tiba dan rapat-rapat secara berpasangan "fWIP-WIK!, fWIP-WIK!" dengan nada terakhir lebih pendek dan tajam daripada yang pertama.[5] Semasa berehat, ia mungkin menggetarkan rentetan nada "TWIk-TWIk-TWIk" pantas dan berterusan yang berbunyi serupa dengan seruan berpasangannya.[5] Setiap nada bermula dengan kuat tetapi berakhir dengan lembut dan seruan tersebut amnya mengecil dalam kelantangan dan rani, berlangsung kira-kira 2–6 saat.[5] Dalam satu seruan getaran yang dirakam, seruannya didahului oleh beberapa bunyi "qu/wik!" yang lemah dan rendah. Apabila diganggu, ia juga mungkin mengeluarkan bunyi geram, yang mengiringi paparan ancaman.[5] Walau bagaimanapun, ia jarang berbunyi, yang mungkin menjelaskan separa sebab ia sukar ditemui.[4][5]

Pemakanan

sunting

Seperti tukang lain, ia memangsa serangga semasa terbang. Ia memburu di sepanjang pinggir hutan, giat menjelang senja dan subuh.[3][5] Walau bagaimanapun, tidak banyak yang diketahui tentang pemakanannya.[6] Ia dianggap memakan terutamanya serangga malaman seperti rama-rama.[3][6]

Pembiakan

sunting

Ia mempunyai masa penjanaan selama 5.4 tahun. Ia membiak dari Mac hingga Oktober, walaupun julat tersebut mungkin merangkumi dua musim pembiakan yang berbeza.[5][6] Ia bertengger dan bersarang di atas tanah, buluan samar-samarnya membantu ia sebati dengan sampah daun di sekelilingnya pada siang hari.[2][5] Ia membina sarang di kawasan lapang dengan sedikit perlindungan daripada balak dan tumbuh-tumbuhan di sekeliling seperti paku-pakis dan lumut.[3][5] Sarangnya terdiri daripada kikisan cetek dan beberapa helai daun, dengan satu sarang diukur sedalam 1 cm dan selebar 14 cm.[3] Ia akan menghasilkan telur berwarna santan dengan tompok-tompok perang.[5] Sarang yang diperhatikan biasanya hanya mengandungi sebiji telur atau anak yang dipelihara oleh induk selama sebulan atau lebih.[3][5] Apabila anaknya terancam, ia telah diperhatikan untuk mengembangkan sayap dan ekornya, dan menganga lebar, kadang-kadang menyeru atau menggerakkan badannya.[3][5]

Ancaman dan pemuliharaan

sunting

Senarai merah IUCN meletakkannya dalam tahap Terjejas. Populasinya kecil, jarang, dan terhad dalam julat terhad.[3][6] Dianggarkan terdapat antara 2500-10000 individu matang dalam populasi, dan jumlah tersebut merosot.[3][7] Ia kebanyakannya diancam oleh kehilangan habitat akibat pembangunan bandar, pertanian (seperti ladang kelapa), pembalakan, penuaian rotan, dan perlombongan, walaupun di kawasan perlindungan kerana beberapa kegiatan tersebut dilakukan secara haram.[2][7][8] Kebanyakan hutan tanah pamah di rantau tersebut sebahagian besarnya telah lenyap atau menjadi berpecah-belah.[6][7] Antara tahun 1990 dan 2000 sahaja, 20% daripada tutupan hutan telah hilang di rantau tersebut.[5] Hutan pertumbuhan sekunder yang dilangjana memang menyediakan habitat, tetapi nampaknya mempunyai kepelbagaian burung endemik Sulawesi yang lebih kecil daripada hutan pertumbuhan tua.[9] Walaupun taburannya kecil, ia boleh menyesuaikan diri dengan kawasan yang terganggu dengan lebih baik daripada yang diandaikan sebelumnya kerana ia menggunakan habitat pinggir di sepanjang kawasan yang ditebang.[5] Ia telah dilihat di dua kawasan terlindung dan berjulat jauh ke selatan daripada yang pernah difikirkan.[3] Oleh sebab itu, sesetengah pihak mencadangkan statusnya harus dituruntarafkan kepada tahap Hampir Terancam.[5] Tiada program semasa sedang dijalankan untuk memantau, mengurus, atau meningkatkan kesedaran tentangnya, dan tinjauan lanjut diperlukan untuk memastikan taburan, keperluan, dan statusnya.[7]

Rujukan

sunting
  1. ^ a b BirdLife International (2017). "Eurostopodus diabolicus". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2017: e.T22689670A110061123. doi:10.2305/IUCN.UK.2017-1.RLTS.T22689670A110061123.en. Unknown parameter |amends= ignored (bantuan) Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "IUCN" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  2. ^ a b c d e f del Hoyo, Josep; Elliott, Andrew; Sargatal, Jordi; Cabot, José (1999). Handbook of the Birds of the World. Barcelona: Lynx Edicions. m/s. 302–330 & 340. ISBN 8487334253.
  3. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t Riley, Jon; Wardwill, James C. (2003). "The Status, Habitat and Nest of the Satanic Nightjar Eurostopodus diabolicus". Kukila the Journal of Indonesian Ornithology. 12: 3–11 – melalui WorldCat.
  4. ^ a b c d e f g h Bishop, K. David; Diamond, Jared M. (July 1996). "3. Rediscovery of Heinrich's Nightjar". Kukila Journal of Indonesian Ornithology. 9: 71–73 – melalui WorldCat.
  5. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v w x y Yong, Ding Li; Harris, J. Berton C.; Rasmussen, Pamela C. (2012). "Notes on breeding behaviour, ecology, taxonomy and vocalisations of Satanic Nightjar Eurostopodus diabolicus in Central Sulawesi". Kukila Journal of Indonesian Ornithology. 16 (1): 16–30 – melalui WorldCat. Unknown parameter |displayauthors= ignored (bantuan)
  6. ^ a b c d e f g h Collar, N. J., penyunting (2001). Threatened birds of Asia: the BirdLife International Red Data Book (PDF). Cambridge, UK: BirdLife International. m/s. 1778–1780.
  7. ^ a b c d Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :5
  8. ^ Riley, Jon; Hunowu, Yusman; Mole, Joris; Wangko, Michael F. (2003). "Noteworthy Records of Birds from the Panua Nature Reserve, North Sulawesi". Kukila Journal of Indonesian Ornithology. 12: 17–26 – melalui WorldCat.
  9. ^ Waltert, Matthias; Mardiastuti, Ani; Mühlenberg, Michael (2004). "Effects of Land Use on Bird Species Richness in Sulawesi, Indonesia". Conservation Biology. 18 (5): 1339–1346. doi:10.1111/j.1523-1739.2004.00127.x.