LATAR BELAKANG TOK PELAM

Tok Pelam adalah seorang tokoh ulama tersohor di Kuala Terengganu, Terengganu.[1]

Nama sebenar Tok Pelam ialah Syeikh Abdullah Bin Abdul Aziz. Berasal dari Hadramaut, beliau telah berpindah ke Pattani. Pada tahun 1785, beliau telah berpindah ke Terengganu dan menetap di Kampung Pelam, Hulu Terengganu. Kemudian dari Kampung Pelam, beliau telah berpindah ke Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1819. Jenazah beliau dimakamkan di dalam bangunan yang dibina untuk berkhalwat dan mengajar agama di Makam Tok Pelam, Kampung Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu, Terengganu berhampiran dengan Masjid Al-Muktafi Billah Shah.[2]

WARIS TOK PELAM

Pada 5 Februari 2023 telah diadakan satu pertemuan antara pihak MAIDAM dan waris zuriat Tok Pelam untuk membincangkan tentang status Wakaf Zuriat Tok Pelam dan maklumat salasilah zuriat Tok Pelam. Pada perbincangan tersebut, telah terbentuk satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada wakil-wakil keluarga zuriat Tok Pelam untuk mencari lebih ramai zuriat Tok Pelam yang masih belum dikesan.

SURAT IKRAR TOK PELAM

Buat julung kalinya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengadakan pertemuan dengan para waris bagi Wakaf Zuriat Tok Pelam sempena Hari Raya 1444H. Pertemuan secara besar-besaran itu telah diadakan di Dewan Terbuka JHEAT, Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu pada 4 Syawal 1444H bersamaan 25 April 2023. Pertemuan seumpama ini  tidak pernah diadakan secara besar-besaran begini. Program wakaf ini wujud berdasarkan Surat Ikrar Tok Pelam yang telah diwasiat sejak puluhan tahun dahulu. Tok Pelam (atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah bin Abdul Aziz) meninggal dunia pada tahun 1819 Masihi dan disemadikan di Perkuburan Tok Pelam (sebelah Masjid Ladang), Kuala Terengganu.[3][4]

Tok Pelam juga ada mewakafkan tanahnya di sekitar bandaraya Kuala Terengganu untuk diwakafkan kepada zuriatnya yang dikenali sebagai Wakaf Zuriat Tok Pelam yang sekarang ini diuruskan oleh pihak MAIDAM.[5][6]