Edisi Siasat

akaun media sosial yang mendedahkan salah laku dan guna kuasa oleh penjawat awam di Malaysia

Edisi Siasat (Jawi: ايديسي سياست), atau dikenali sebagai ES, ialah sebuah entiti, aktivis dan akaun media sosial Malaysia yang kini aktif di dalam aplikasi Telegram, Twitter[nota 1] dan Facebook.[nota 2] Entiti ini mendedahkan salah laku, salah guna kuasa dan korupsi yang dibuat oleh penjawat awam di Malaysia tidak kira dari yang berjawatan tinggi mahupun berjawatan rendah. Entiti ini sudahpun dikenali di Malaysia, terutamanya rakyat biasa.

Logo Edisi Siasat yang digunakan media sosial seperti Telegram, Twitter dan Facebook.

Antara badan kerajaan yang menjadi sasaran Edisi Siasat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM),[1] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Peguam Negara Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sebagainya. Edisi Siasat juga lantang mengkritik parti dan ahli politik tidak kira dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).

Sejarah sunting

Edisi Siasat mula dikenali pada tahun 2020 setelah banyak membuat pendedahan kepada orang ramai tentang Skandal daging import Malaysia 2020 sehingga menarik perhatian pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Identiti sunting

Identiti Edisi Siasat sedang giat disiasat dan dicari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Walau bagaimanapun, pemilik sebenar masih belum diketahui atau ditangkap oleh PDRM sehingga hari ini. Terdapat spekulasi bahawa laman The Corporate Secret sebagai pemilik Edisi Siasat, namun telah dinafikan.[2] Mohd Rafizi Ramli juga dikatakan sebagai salah satu pemegang akaun Edisi Siasat, tetapi telah dinafikan oleh Edisi Siasat sendiri di dalam akaun Telegramnya. Spekulasi lain termasuklah pemilik Edisi Siasat merupakan seorang pegawai tinggi polis di Bukit Aman, namun tiada bukti yang dapat menyokong kenyataan ini. Ciri-ciri pemilik akaun Edisi Siasat ini yang dapat dikenal pasti termasuklah entiti ini merupakan penyokong tegar Perdana Menteri ke-7, Datuk Seri Mohammad Najib Abdul Razak dan menegaskan bahawa beliau tidak bersalah dalam skandal 1MDB.

Pada tahun 2022, pakar keselamatan siber Siraj Jalil berkata, pemilik Edisi Siasat sukar dikesan memandangkan entiti ini berada di luar negara atau di Malaysia dan menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) untuk menyembunyikan lokasi. VPN membenarkan pengguna menyembunyikan alamat Protokol Internet (IP) bagi menghalang sesiapa daripada menjejaki lokasi mereka. Akaun Twitter yang menukar namanya kepada Edisi Khas baru-baru ini, menimbulkan kekecohan susulan beberapa hantarannya membabitkan pegawai tertinggi kerajaan, termasuk dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).[3]

Tuduhan, dakwaan dan kritikan sunting

JPJandora Papers sunting

Edisi Siasat telah membuat tuduhan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Kementerian Pengangkutan Malaysia bahawa di mana nombor-nombor klasik kenderaan bernilai tinggi telah dipunggah keluar, didaftarkan hak milik dan ada yang telah dijual dengan harga yang amat lumayan. Edisi Siasat dalam file pdf yang diedarkan ke dalam akaun media sosial Telegramnya juga berkata bahawa pegawai badan awam atau anggota pentadbiran kerajaan menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan atau mengambil apa-apa tindakan berhubung dengan sesuatu perkara di mana dia, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menafikan wujud sebarang kepentingan dalam penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan salah laku di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan pendaftaran nombor plat klasik kenderaan. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pasukan petugas khas yang turut dianggotai Ketua Pengarah JPJ itu ditubuhkan bagi memperoleh akses siasatan lebih menyeluruh. "Sudah mesti (pasukan itu) dianggotai JPJ. Sebab Ketua Pengarah JPJ sekarang baru. Jadi dia sebut (pihak mendakwa) isu itu adalah dari 2016, jadi Ketua Pengarah tidak ada kepentingan. Sebab itu perlu ada pembabitan JPJ. Sebab dia memerlukan akses kepada maklumat daftar dan sebagainya. Kalau tiada pembabitan Ketua Pengarah JPJ bagaimana dia boleh akses maklumat," kata beliau pada sidang media sempena Persidangan Parti DAP 2023.[4] Kementerian Pengangkutan diarah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan salah laku di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan pendaftaran nombor plat klasik kenderaan. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pasukan petugas khas yang akan dianggotai Unit Integriti kementerian itu diamanahkan menyiasat dakwaan salah laku yang dibuat saluran Telegram Edisi Siasat. Beliau berkata, perkara itu dibangkitkannya dalam mesyuarat pasca Jemaah Menteri hari ini susulan pendedahan dokumen dikenali sebagai JPJandora Papers.[5]

Penyeludupan barang-barang terlarang di Forest City, Johor sunting

Edisi Siasat telah banyak kali melemparkan tuduhan bahawa terdapat banyak penyeludupan barang-barang terlarang daripada Forest City, Gelang Patah, Johor, Malaysia termasuklah arak dan rokok.[6][7] Sindiket ini juga mendapat perlindungan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tambahan pula, terdapat pegawai-pegawai tinggi JKDM dan PDRM yang terlibat secara langsung dengan sindiket ini dan mendapat habuan ratusan ribu ringgit (RM) pada tiap-tiap bulan. Sindiket ini sudah mendapat liputan sejak 2021 dan mendapat perhatian pihak PDRM Daerah Iskandar Puteri,[8] namun sehingga kini masih tiada tangkapan yang dibuat.

Penggunaan dana RM700 juta bagi tujuan publisiti Keluarga Malaysia sunting

Edisi Siasat telah mendedahkan cadangan Pelan Komunikasi Strategik Kerajaan Malaysia "Keluarga Malaysia" yang bernilai hampir RM700 juta ketika pentadbiran Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.[9] Dokumen-dokumen yang telah didedahkan di akaun Telegramnya juga telah menunjukkan bahawa terdapat dakwaan rasuah dalam kontrak berkaitan kegiatan promosi konsep "Keluarga Malaysia" yang diperkenalkan Ismail pada Ogos 2021.[10] SPRM telah memulakan siasatan terhadap dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob. Bernama pula melaporkan pegawai SPRM juga ke Kementerian Kewangan bagi mendapatkan bahan bukti. Salah seorang yang disiasat adalah bekas perdana menteri era 'Keluarga Malaysia', Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan siasatan ini berkaitan dakwaan rasuah dalam penganugerahan kontrak untuk papan iklan 'Keluarga Malaysia' dan bahan kempen yang lain. Selain ahli parlimen Bera itu, beberapa bekas pegawainya turut disiasat, termasuk seorang pembantu Ismail yang dilantik secara politik ke jawatan kanan di Pejabat Perdana Menteri pada masa itu dan siasatan ini dibuat di bawah Akta SPRM 2009.

Sambungan kontrak Azam Baki sebagai Ketua Persuruhjaya SPRM sunting

Edisi Siasat telah menjangkakan bahawa Azam Baki akan disambung kontraknya selama setahun lagi oleh Kerajaan Malaysia. Pada awalnya, tuduhan ini ditolak memandangkan Azam sudah berusia 60 tahun pada tarikh 12 Mei 2024. Walau bagaimanapun, pada 10 Mei, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengesahkan bahawa perkara yang memaklumkan lantikan semula itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. “Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694], Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya SPRM untuk tempoh setahun berkuat kuasa mulai 12 Mei,” katanya dalam kenyataan media.[11] Tambahan pula, Azam juga menegaskan bahawa beliau akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh integriti.[12]

Serangan asid terhadap Faisal Halim sunting

"Bila ada yang menyebut kononnya ada pembabitan pihak istana dalam kes ini, ini adalah benda-benda yang tidak sepatutnya berlaku disebabkan kita (polis) sendiri belum dapat motif sebenar. JSJ juga masih lagi sedang bertungkus-lumus ke arah perkara itu dan petang tadi Pengarah JSJ, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, sendiri sudah turun ke lokasi kejadian serangan terhadap Faizal di Damansara. Sekarang ini pihak tidak bertanggungjawab termasuk laman telegram Edisi Siasat (ES) seolah-olah sudah menyelesaikan dan menjatuhkan hukuman sendiri dengan membuat spekulasi dan fitnah yang dia dapat daripada mana pun kami tidak tahu."

– Tan Sri Razarudin Husain, 9 Mei 2024

Pemain bola sepak Selangor, Faisal Halim disimbah asid oleh seorang suspek di hadapan sebuah pusat beli-belah. Bagaimanapun, suspek telah ditangkap. Menurut beberapa saksi, suspek sempat mengucapkan "Selamat maju jaya" kepada Faisal sebelum menyimbah asid.[13] Insiden ini berlaku beberapa hari selepas rakan sepasukan kebangsaannya Akhyar Rashid disamun di kediamannya. Beliau cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Icon Residence, Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia.[14] Edisi Siasat dalam akaun Telegramnya menuduh bahawa Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi dalang di sebalik serangan ini. Edisi Siasat mengatakan bahawa terdapat arahan daripada Tunku Ismail untuk menyerang pemain bola tersebut. Tambahan pula, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah bertungkus lumus untuk menutup kes tersebut. Laporan polis yang dibuat berkenaan perkara ini juga telah dikelaskan sebagai sulit.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menyangkal dakwaan yang ditimbulkan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial yang seolah-olah sudah mengetahui motif kejadian itu dengan fitnah yang tidak benar dan tidak berasas.[15][16]

Siasatan sunting

Pada 22 Oktober 2021, Edisi Siasat mendedahkan salah laku pelbagai agensi penguat kuasa termasuk tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mencuri wang tunai bernilai jutaan ringgit. Oleh itu, pihak polis sedang giat mengesan siapakah individu disebalik identiti dan akaun terbabit. Tambahan pula, pihak polis sudah pun meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik akaun laman sosial terbabit.[17]

Pada 7 November 2021, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mendapat 13 laporan polis dan sedia menyiasat entiti ini. Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan bahawa polis sudah membuka 13 kertas siasatan bagi menyiasat berhubung perkata itu. Beliau menambah bahawa pihak polis sudah buka 13 kertas siasatan untuk menyiasat dan mengenal pasti pihak yang berada di belakang Edisi Siasat.[18]

Pada 13 Januari 2022, pihak Polis Negeri Sembilan sedia menyiasat dan membuka kertas siasatan berhubung kenyataan pemilik akaun Twitter, Edisi Siasat. Edisi Siasat mendakwa yang pihaknya terlibat dalam kehilangan barang kes iaitu wang tunai berjumlah lebih RM600,000 pada Mei 2020. Siasatan ini dijalankan mengikut Sekyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah. Semalam tular di laman Twitter mengenai pendedahan ‘Edisi Siasat’ berhubung satu laporan polis bertarikh 5 Mei 2020 yang dibuat seorang lelaki berhubung kehilangan wang tunai lebih RM600,000 miliknya ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.[19]

Pada 30 April 2023, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menegaskan bahawa akaun Telegram bernama ‘Edisi Siasat’ menyebarkan info palsu dan meminta orang ramai supaya tidak terpedaya. Beliau juga menambah info-info yang disebarkan ini sengaja direka-reka pihak yang membenci Kerajaan Perpaduan.[20]

Kontroversi dan isu sunting

Akaun disekat oleh Twitter sunting

Pada 20 Februari 2022, pihak Twitter telah mengantung akaun Edisi Siasat. Hal ini berlaku sehari selepas dakwaannya berhubung bekas Peguam Negara, Tommy Thomas membebaskan anak taikun Vincent Tan daripada tuduhan serius berkaitan dadah.[21][22][23] Akaun Twitter Edisi Siasat mendakwa walaupun anak lelaki Tan ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya kerana terlibat dengan kuantiti dadah sangat besar, Tommy Thomas mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Hantaran disekat oleh Telegram sunting

Terdapat beberapa hantaran di akaun media sosial Telegram Edisi Siasat yang disekat. Arahan ini telah diberikan oleh Menteri Komunikasi Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil. Pihak pentadbiran Telgram telah memberikan kerjasama kepada beliau dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam isu keselamatan dalam talian seperti penipuan dan judi dalam talian dengan menurunkan kandungan atau saluran yang berkaitan.[24][25] Selepas pertemuan ini, sejumlah mesej dan hantaran telah disekat di dalam akaun Telegram Edisi Siasat yang berbunyi "This message couldn't be displayed on your device because it violates the Telegram Terms of Service". Sebelum ini, perkara ini tidak pernah berlaku kepada akaun Telegram ini memandangkan Telegram menghormati dan meraikan hak bersuara sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

Nota sunting

  1. ^ Sudah disekat oleh pihak Twitter.
  2. ^ Tidak aktif lagi sejak November 2023.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "How Is Edisi Siasat — The Malaysian Watchdog Account — Spreading on the Internet Like Wildfire?". Medium. 27 Oktober 2021. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  2. ^ "The Corporate Secret bukan Edisi Siasat". The Corporate Secret. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  3. ^ "Sukar kesan pemilik Twitter Edisi Siasat, kata pakar". Free Malaysia Today. 17 Februari 2022.
  4. ^ "MOT nafi wujud kepentingan dalam penubuhan pasukan khas siasat isu 'JPJandora Papers'". Berita Harian. 10 September 2023. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  5. ^ "Pasukan khas MOT siasat dakwaan 'JPJandora Papers'". Berita Harian. 8 September 2023. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  6. ^ "Forest City a smuggling hotspot [NSTTV]". Berita Harian. 5 Januari 2024. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  7. ^ "'Agents' touting to smuggle duty-free alcohol, cigarettes out of Malaysia's Forest City: Report". Berita Harian. 5 Januari 2024. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  8. ^ "Iskandar Puteri cops investigating alleged alcohol smuggling at Forest City". Berita Harian. 16 Mei 2021. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  9. ^ "RM62.7 juta projek Keluarga Malaysia, kini Pengarah SEPADU sambung kontrak kroni VFIVE Group 'Malaysia Madani' tanpa kelulusan PM?". The Corporate Secret. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  10. ^ "SPRM siasat dakwaan rasuah dalam kempen Keluarga Malaysia". Malaysia Kini. 2 Januari 2024. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  11. ^ "Kontrak Azam Baki sambung setahun lagi". Berita Harian. 10 Mei 2024. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  12. ^ "Saya akan laksana tanggungjawab penuh integriti – Azam". Kosmo. 10 Mei 2024. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  13. ^ "Suspek kes simbah asid Faisal Halim direman 2 hari - Semasa | mStar". www.mstar.com.my. 2024-05-06. Dicapai pada 2024-05-06.
  14. ^ "Faisal Halim disimbah asid | malaysiakini". www.malaysiakini.com/my. 2024-05-05. Dicapai pada 2024-05-06.
  15. ^ "Stop 'royal links' speculations behind attacks on footballers - IGP". Malaysia Kini. 9 Mei 2024. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  16. ^ "Serangan pemain bola sepak: Janganlah spekulasi sampai kaitkan istana - Razarudin". Berita Harian. 9 Mei 2024. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  17. ^ "PANAS: Dedah salah laku pihak berkausa, Edisi Siasat kini diburu polis". Cinca. 22 Oktober 2021. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  18. ^ "Polis terima 13 laporan terhadap Edisi Siasat". Harian Metro. 8 November 2021. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  19. ^ "Akaun Telegram Edisi Siasat sebar info palsu – Fahmi". Kosmo. 13 Januari 2022. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  20. ^ "Akaun Telegram Edisi Siasat sebar info palsu – Fahmi". Kosmo. 30 April 2023. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  21. ^ "Twitter Gantung Akaun 'Edisi Siasat'". Cinca. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  22. ^ "Akaun Twitter Edisi Siasat disekat". Free Malaysia Today. 21 Februari 2022. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  23. ^ "Akaun Twitter Edisi Siasat Digantung". Mynewshub. 20 Februari 2022. Dicapai pada 11 Mei 2024.
  24. ^ "Fahmi pleased with Telegram's cooperation in supervising platform". Free Malaysia Today. 10 Mac 2024. Dicapai pada 13 Mei 2024.
  25. ^ "Pengendali Telegram beri kerjasama baik kawal selia platform - Fahmi". Sinar Harian. 10 Mac 2024. Dicapai pada 13 Mei 2024.