Anjing Kishu

baka anjing dari Jepun

Anjing Kishu atau hanya kishu[a] ialah satu baka anjing Jepun. Ia diturunkan daripada baka purba bersaiz sederhana dan dinamai sempena rantau Kishu, kini Wilayah Mie dan Wilayah Wakayama. Ia ditetapkan sebagai monumen kebangsaan hidup Jepun pada tahun 1934.[1] Anjing Kishu telah dihargai sejak zaman prasejarah untuk pemburuan babi hutan dan rusa.[1][2] Seperti shiba inu, ia kerap senyap. Kishu menghendap mangsa dengan senyap lebih daripada menyalak.[1] Ia merupakan baka tulen asli Jepun paling umum terpakai untuk pemburuan babi hutan sehingga kini.

Anjing Kishu
Nama lainAnjing Taichi
Anjing Kumano
Negara asalJepun
Trait
Berat 30–60 lb (14–27 kg)
Tinggi 17–22 in (43–56 cm)
Warna hitam dan sawo matang, merah, bijan, putih (paling banyak)
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sejarah sunting

Sebuah lagenda dari semenanjung Kii menyatakan bahawa anjing babi hutan pertama, dan leluhur kepada baka anjing Kishu, ialah seekor anak serigala Honshu yang dihadiahkan kepada seorang pemburu apabila dia menunjukkan belas kasihan kepada seekor serigala betina tercedera. Kisah ini berbeza-beza berdasarkan penceritaan, tetapi impak kisah ini terhadap baka anjing Kishu kekal sehingga kini: banyak anjing Kishu menyertakan perkataan "serigala" dalam nama mereka.[3][2]

Anjing Kishu dibiakbakakan secara terpilih untuk pemburuan babi hutan dan rusa di Wilayah Mie dan Wilayah Wakayama yang bergunung-ganang.[2] Anjing Kishu telah dikenal pasti dalam sebuah kajian pada tahun 1930-an yang dijalankan oleh pembiak baka Jepun, Haruo Isogai, yang mengelaskan semua baka anjing asli Jepun ke dalam tiga kategori: bersaiz besar, bersaiz sederhana, dan bersaiz kecil. Anjing Kishu tergolong dalam kumpulan anjing bersaiz sederhana.[4] Baka ini tidak dipiawaikan sehingga tahun 1934 dan terdiri daripada anjing-anjing yang dikumpulkan dari kawasan itu. Apabila baka pertama kali bermula, hampir-hampir 70% individu dikatakan tidak berwarna putih. Walau bagaimanapun, putih kini menjadi warna utama. Kepopularan susur galur anjing Kishu yang terutamanya putih menyebarkan gen yang bertanggungjawab untuk putih melalui takungan gen dan menjadikan anjing Kishu baka yang kebanyakannya putih seperti baka kini.[2]

Pejabat pendaftaran utama kini termasuk Japan Kennel Club (JKC) dan Nihon Ken Hozonkai (Nippo). Nihon Ken Hozonkai dianggap sebagai pejabat pendaftaran utama bagi baka ini di tanah airnya dan bertanggungjawab atas piawaian baka asli.[1] Anjing Kishu telah diiktiraf sebagai monumen semula jadi hidup di Jepun sejak tahun 1934.[2] Oleh sebab baka ini sangat jarang, ia mungkin hanya dapat dilihat di tanah airnya, Jepun. Malah di Jepun juga, bilangan Kishu semakin menurun dengan cepat, dan tanpa penggemar berdedikasi, baka ini mungkin lenyap tidak lama lagi.[5][6] Anjing Kishu tersenarai sebagai baka Ternakan Asasi dengan American Kennel Club. National Kishu Ken Club menjadi kelab induk rasmi bagi anjing Kishu di Amerika Syarikat pada tahun 2022. Anjing Kishu telah dipindahkan daripada Kumpulan Pekerja kepada Kumpulan Hound untuk mengiktiraf fungsinya dan sejarahnya pada tahun 2023.[7][8]

Ciri sunting

 
 

Penampilan sunting

Anjing Kishu berdiri setinggi 17–22 inci (43–56 cm) dengan purata berat 30–60 paun (14–27 kg) dan dianggap sebagai anjing bersaiz sederhana. Piawaian hanya mengizinkan anjing berwarna padu untuk ditunjukkan. Warna pertunjukan yang diterima merupakan putih, bijan, merah, dan hitam dan sawo matang (Nippo sahaja).[9] Putih ialah warna bulu paling umum dan paling diutamakan, kerana warna ini menjadikan anjing lebih mudah dibezakan daripada mangsa supaya pemburu tidak menembaknya secara tidak sengaja.[1] Warna hidung ialah hitam, tetapi dengan lapis bulu putih, hidung berwarna daging diizinkan.[9][10] Gigitannya sama ada gunting atau gigitan separas. Ekornya sama ada terangkat dengan gaya sabit atau melingkar ke atas belakang. Lapis bulunya pendek, lurus, dan kasar dengan lapis bulu bawah tebal. Terdapat rumbai pada pipi dan ekor. Telinganya condong ke hadapan dan lebih kecil dan bukan lebih besar pula, tetapi patut mengekalkan perkadaran dengan kepala dan keseluruhan anjing. Baka ini tahan lasak, tangkas, dan mesra. Matanya patut berbentuk kepah, dengan sedikit lengkung dari sudut dalam ke sudut luar.[1]

Perangai sunting

Anjing Kishu ialah anjing untuk seorang atau sebuah keluarga. Ia galak dan berani sebagai pemburu dan akan menjadi setia kepada pemiliknya. Ia mempunyai dorongan pemangsa kuat dan akan memburu haiwan kecil. Sebilangan kecil telah diketahui berbaik dengan kucing jika dibesarkan bersama-sama. Ia berbaik dengan anjing lain jika tersosialiasai dengan baik sebagai anak anjing; walau bagaimanapun, anjing Kishu mungkin galak bergaduh dengan anjing lain yang tidak menghormati batasnya, atau galak bergaduh dengan anjing lain apabila kecewa. Ia agak keras kepala dan degil, menjadikan pelatihan penting, tetapi ia setia kepada keluarga, berbaik dengan kanak-kanak, jika dibesarkan dengan mereka. Anjing Kishu suka mengawasi apa-apa yang sedang berlaku dan kadang-kadang bertenggek di tempat tinggi untuk mengawas. Ia dapat bersikap menyendiri atau malu di sekitar orang asing. Ia mudah dilatih dalam soal buang air, cerdas, dan ketegar.

Kesihatan sunting

Anjing Kishu ialah baka anjing agak sihat yang tidak menderitai keadaan kesihatan yang umum pada baka lebih popular dan halus, namun masih terdapat data sangat terhad tentang baka ini di dalam atau di luar negara asalnya.[11] Data terkini melalui pangkalan data kesihatan awam Finland KoiraNet mencadangkan bahawa anjing Kishu mungkin tidak terdedah kepada cacat bentuk sendi seperti baka bersaudaranya, dengan majoriti anjing Kishu teruji yang telah dinilai sebagai anjing dengan sendi pinggul bebas cacat bentuk.[12] Setakat ini, siku mempunyai penilaian paling kurang baik pada anjing Kishu dan displasia siku mungkin merupakan sesuatu yang perlu disaring pada anjing Kishu sebaik lebih banyak data spefisik baka menjadi tersedia.[12]

Berbanding dengan cacat bentuk fizikal yang menyebabkan isu kesihatan, anjing Kishu kelihatan lebih terdedah kepada alahan dan penyakit autoimun atau keadaan kulit. Ini biasanya tidak mengancam nyawa, tetapi boleh memerlukan rawatan sepanjang hayat melalui diet terkawal, kesedaran persekitaran, ubat-ubatan alahan, atau steroid bergantung pada individu. Alahan terhadap rumput dan tungau habuk mendapat perhatian khusus dalam kalangan pemilik anjing Kishu. Keadaan autoimun berbeza-beza, tetapi segelintir individu mempunyai respons imun mirip alahan yang menyebabkan kudis dan dermatitis yang kerap berespons terhadap steroid umum dan dirawat dengan steroid umum. Penyakit Addison juga diperhatikan pada baka, yang merupakan keadaan autoimun yang menyebabkan ralat dalam pengeluaran hormon di dalam kelenjar adrenal. Hipotiroidisme juga kadang-kadang diperhatikan. Pada anjing, bentuk hipotiroidisme paling umum disebabkan oleh keadaan autoimun dan anjing Kishu mungkin berisiko tertentu oleh sebab keadaan autoimun keseluruhan pada baka ini.

Mata ialah satu lagi kebimbangan sederhana pada anjing Kishu. Cacat bentuk mata paling umum dikenali sebagai membran pupilari tegar menurut pangkalan data kesihatan Finland.[12] Ini mungkin menyebabkan gangguan penglihatan atau tidak dan setiap anjing mesti dinilai berdasarkan kes demi kes melalui ujian mata ringkas. Ini bukan penyakit yang mengancam nyawa dan biasanya tidak memerlukan rawatan. Isu lain yang diketahui ialah entropion, iaitu kecacatan genetik yang menjejaskan mata yang melibatkan kelopak mata yang melipat ke dalam dan bulu mata yang menggaru biji mata. Ini mungkin sebahagiannya berhubungan dengan bentuk segi tiga bagi mata pada anjing Kishu. Entropion memerlukan pembedahan untuk mengelakkan kehilangan penglihatan pada mata dan kesakitan berterusan pada anjing berkenaan. Baru-baru ini, katarak juvenil telah terlihat pada baka ini.

Kelab induk anjing Kishu AKC telah menyerahkan anjing Kishu kepada Orthopedic Foundation for Animals (OFA) untuk program CHIC (Canine Health Information Center, "Pusat Maklumat Kesihatan Anjing") mereka. Saringan yang disyorkan untuk pembiakbakaan anjing Kishu adalah untuk mata, tiroid, kegigian, perbankan DNA, dan sendi.[13]

Penjagaan bulu sunting

Anjing Kishu dapat diberus untuk mengekalkan bulunya bersih dan bebas daripada lapis bulu bawah terkesan, namun lapis bulu atas kakunya patut menanggalkan kotoran dengan sangat mudah, walaupun dalam keadaan basah dan berlumpur. Pemilik dapat memandikannya jika perlu, bergantung pada keutamaan pemilik. Telinganya patut diperiksa secara rutin untuk mengetahui pembentukan lilin, jangkitan, atau kotoran. Kukunya patut juga dipendekkan dengan kerap. Anjing Kishu berganti bulu sekali atau dua kali setahun menjadikan penjagaan bulu pada waktu-waktu ini perlu.

Senaman sunting

Anjing Kishu memerlukan ruang cukup untuk merayau-rayau dan bersenam, yang bermakna bahawa rumah dengan halaman atau persekitaran bandar dengan pagar. Ia memerlukan senaman kerap secara bercawak, berjalan-jalan, atau berlari. Ia juga dapat diberi kerja untuk dilakukan seperti berburu untuk memuaskan senamannya.

Peranan sunting

Kaedah perburuan tradisional yang digunakan dengan anjing Kishu dipanggil "satu senapang, satu anjing", yang melibatkan seorang pemburu dan anjingnya yang menghendap babi hutan.[1] Oleh sebab perburuan demi persaraan telah berkurang, anjing Kishu telah beralih ke tempat lain. Anjing Kishu cukup sesuai di mana-mana tempat yang memerlukan ikatan kuat dengan pemiliknya dan menggunakan dorongan semula jadinya untuk bekerja dan berburu. Tempat-tempat ini mungkin termasuk coursing umpan, perburuan bangsal, kepatuhan, rally, dan pertandingan ketangkasan oleh sebab kecerdasannya dan semangat kesukanannya yang kuat.

Dalam kebudayaan popular sunting

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ کيشو; کيشو; Jepun: 紀州犬; 紀州, rumi: Kishū ken; Kishū; kishū

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f g "紀州犬 – 公益社団法人 日本犬保存会" [Kishu Inu – Japan Dog Preservation Society]. Nihon Ken Hozonkai (dalam bahasa Jepun). Dicapai pada 5 Januari 2024.
  2. ^ a b c d e Kato, Shigeru. "The Kishu". The Nihon Ken Blog (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 5 Januari 2024.
  3. ^ Knight, John (2003). Waiting for wolves in Japan : an anthropological study of people-wildlife relations (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. m/s. 210–211. ISBN 9780199255184.
  4. ^ Daripada halaman anjing Shikoku
  5. ^ Kato (27 Februari 2018). "The Nihon Ken: Kishu Registration Decline". The Nihon Ken. Dicapai pada 5 Januari 2024.
  6. ^ 新聞, 毎日 (16 September 2018). "紀州犬:頭数激減 普及に向け地元保存会も準備" [A sharp decrease in the number of Kishu]. 毎日新聞 (dalam bahasa Jepun). Dicapai pada 5 Januari 2024.
  7. ^ "Foundation Stock Service® Program Home". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris).
  8. ^ "Foundation Stock Service® News & Updates". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris).
  9. ^ a b "FCI-Standard N° 318 KISHU" [Piawaian FCI No. 318 Anjing Kishu] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). 10 Februari 2017. Dicapai pada 5 Januari 2024.
  10. ^ "日本犬標準". 公益社団法人 日本犬保存会 (dalam bahasa Jepun). Dicapai pada 5 Januari 2024.
  11. ^ Japan Dog Export: Kishu Ken (Inggeris)
  12. ^ a b c "KoiraNet-jalostustietojärjestelmä". jalostus.kennelliitto.fi (dalam bahasa Finland). Dicapai pada 5 Januari 2024.
  13. ^ "Health". The National Kishu Ken Club: the official AKC parent club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 5 Januari 2024.

Pautan luar sunting