Asura (Bahasa Sanskrit:असुर) ialah kelas makhluk dalam agama Dharma. Mereka digambarkan sebagai puak pencari kuasa yang mempunyai hubung kait dengan Deva yang lebih baik (juga dikenali sebagai Sura) dalam agama Hindu. Dalam konteks agama Buddha, perkataan itu kadang-kadang diterjemahkan sebagai "titan", "separa dewa", atau "antituhan".[1]

Asura yang digambarkan dalam ukiran relief Samudra manthan dari Angkor Wat.

Menurut kitab suci Hindu, para asura sentiasa berperang dengan para Deva.[2]:2–6  Asura digambarkan dalam teks India sebagai golongan separa dewa sangat berkuasa yang mempunyai kualiti baik atau buruk. Dalam kesusasteraan Veda awal, Asura yang baik dipanggil Aditya dan dipimpin oleh Varuna, manakala yang jahat dipanggil Danava dan dipimpin oleh Vritra.[2]:4  Dalam lapisan terawal teks Veda, Agni, Indra dan dewa-dewa lain juga dipanggil Asura. Hal ini adalah demikian untuk menunjukkan fungsi mereka sebagai "tuan" yang menguasai kawasan, kepakaran dan kebolehan masing-masing. Dalam teks Veda dan pasca Veda kemudiannya, dewa-dewa yang baik hati dipanggil Deva, manakala Asura jahat lbersaing dengan para Deva ini dan dianggap sebagai "musuh para dewa".[2]:5–11, 22, 99–102

Asura ialah sebahagian daripada mitologi India bersama-sama dengan Deva, Yaksha (semangat alam), Rakshasa (makhluk pemakan manusia yang ganas atau syaitan), Bhuta (hantu) dan banyak lagi. Asura telah dimasukkan ke dalam banyak teori kosmologi dan legenda dalam agama Buddha dan Hindu.[3][4][5]

Etimologi sunting

Monier-Williams menjejaki akar etimologi Asura (असुर) kepada Asu (असु), yang bermaksud kehidupan dunia rohani atau roh yang berpergian.[6] Dalam ayat-ayat tertua bagi lapisan Samhita dalam teks Veda, Asura ialah mana-mana makhluk rohani dan berciri ketuhanan termasuk mereka yang mempunyai niat baik atau buruk, dan kecenderungan atau sifat membina atau merosakkan.[6] Dalam ayat-ayat seterusnya dalam lapisan Samhita teks Veda, Monier Williams menyatakan Asura ialah "semangat jahat, syaitan dan penentang tuhan". Ahli falsafah Buddha abad ke-5, Buddhaghosa menjelaskan bahawa nama mereka berasal daripada mitos kekalahan mereka di tangan dewa Śakra. Menurut mitos tersebut, para asura telah disingkirkan dari negara mereka di Trāyastriṃśa kerana mereka menjadi mabuk lalu dilemparkan ke bawah Gunung Sumeru. Selepas kejadian ini, mereka berikrar tidak akan minum sura lagi. Dalam beberapa kesusasteraan Buddha, mereka kadang-kadang dirujuk sebagai pūrvadeva (Pāli: pubbadeva) yang bermaksud "dewa purba."[7]

Asura ialah suatu istilah yang mempunyai konotasi "kejahatan yang mencipta huru-hara" dalam mitologi Indo-Iran (secara kolektif disebut Aryan) tentang pertempuran antara kebaikan dan kejahatan.[6] Ahli Indolog Finland, Asko Parpola, menjejaki satu lagi kemungkinan akar etimologi Asura kepada *asera- dalam Bahasa Ural, di mana ia bermaksud "tuan, putera".[8]

Rujukan sunting

  1. ^ Robert Beer. The Handbook of Tibetan Buddhist Symbols Serindia Publications 2003 ISBN 978-1-932-47603-3 page 246
  2. ^ a b c Hale, Wash Edward (1999). Ásura in Early Vedic Religion. Motilal Barnarsidass. ISBN 978-8120800618.
  3. ^ Don Handelman (2013), One God, Two Goddesses, Three Studies of South Indian Cosmology, Brill Academic, ISBN 978-9004256156, pages 23–29
  4. ^ Wendy Doniger (1988), Textual Sources for the Study of Hinduism, Manchester University Press, ISBN 978-0719018664, p. 67
  5. ^ Robert E. Buswell Jr., Donald S. Lopez Jr. (2013). The Princeton Dictionary of Buddhism. m/s. 411. ISBN 978-1400848058.CS1 maint: uses authors parameter (link)
  6. ^ a b c Monier Monier-Williams, A Sanskrit-English Dictionary” Etymologically and Philologically Arranged to cognate Indo-European Languages, Motilal Banarsidass, page 121
  7. ^ Malalasekera, G.P. (2007). "Asurā". Dictionary of Pali Proper Names. Motilal Banarsidass Publishers. ISBN 978-81-208-3020-2.
  8. ^ Asko Parpola (2015), The Roots of Hinduism: The Early Aryans and the Indus Civilization, Oxford University Press, ISBN 978-0190226923, pages 114-116