Bahtera atau tongkang matahari ialah sebuah kapal yang digunakan oleh dewa matahari Ra dalam mitologi Mesir purba. Pada siang hari, Ra dipercayai menggunakan kapal yang dipanggil Mandjet (Bahasa Mesir: mꜥnḏt) atau Kapal Berjuta-juta Tahun (Bahasa Mesir: wjꜣ-n-ḥḥw), dan kapal yang digunakannya pada waktu malam dikenali sebagai Mesektet (Bahasa Mesir: msktt).

Gambaran sebuah tongkang (kononnya model tongkang Mandjet) sedang diproses. Diukir pada dinding Kuil Isis di Pulau Philae, Mesir.

Mitos sunting

 
Ra menaiki bahtera matahari dalam pelayaran hariannya merentasi langit, memakai cakera matahari

Menurut mitos Mesir, apabila Ra menjadi terlalu tua dan letih untuk memerintah bumi, dia melepaskan takhta dan naik ke langit.[1] Ra dikatakan mengembara melalui langit di atas bahteranya, membawa cahaya kepada dunia.[2] Setiap 1/12 perjalanannya dikira sebagai 1/12 jam Mesir dalam sehari, setiap satu dikawal oleh seorang dewa pelindung. Apabila matahari terbenam dan senja tiba, dia dan bahteranya melalui akhet, ufuk, di barat dan pergi ke alam ghaib.[3]

 
Af atau Afu (biasanya dikenali sebagai Afu-Ra), bentuk Ra berkepala bebiri di Duat menyusuri Sungai Nil alam ghaib (12 jam waktu malam dan alam ghaib) dengan bahtera Mesektet bersama-sama dengan Sia (kiri dan depan bahtera) dan Heka (kanan dan belakang bahtera), dikelilingi oleh dewa ular pelindung, Mehen.

Ada kalanya ufuk digambarkan sebagai gerbang atau pintu ke Duat. Di sana, dia perlu berlayar di Sungai Nil alam ghaib dan lepasi dua belas pintu dan daerah,[3] dengan setiap jam pada malam itu dianggap sebagai satu pintu gerbang yang diawasi oleh dua belas dewa pelindung lagi. Setiap malam ular besar Apep, dewa keadaan huru-hara (isfet), cuba menyerang Ra dan menghentikan perjalanan bahtera mataharinya. Selepas mengalahkan Apep, Ra akan meninggalkan alam ghaib, muncul pada waktu subuh dan menerangi hari semula.

Dia dipercayai merentasi langit dalam bentuk berkepala falkon di atas Tongkang Mandjet pada waktu siang, kemudian beralih ke Tongkang Mesektet dalam bentuk berkepala bebiri untuk turun ke alam ghaib selama beberapa jam pada waktu malam.[4] Pergerakan Ra di atas Mandjet kadangkala dibayangkan sebagai penuaan, kesusutan, kematian dan kebangkitan hariannya dan ia muncul dalam simbolologi teks-teks pengebumian Mesir.

Amalan pengebumian dan agama sunting

 
Kapal Khufu yang dibina semula

Dalam cerita rakyat, kapal jenis ini digunakan oleh dewa matahari. Kerana firaun ialah wakil dewa matahari di bumi, raja akan menggunakan kapal yang serupa apabila mangkat untuk memasuki alam ghaib untuk ke akhirat.[4]

Salah satu contoh yang paling terkenal ialah kapal Khufu, yang dibina dan kemudian dikebumikan di Giza bersama-sama dengan Khufu dan barang-barang lain yang akan dibawanya ke akhirat.[5] Kapal itu pada asalnya dipamerkan di muzium Tongkang Matahari Giza yang dibina khas tetapi kemudiannya dipindahkan ke Muzium Besar Mesir.[6][7]

Rujukan sunting

  1. ^ The Complete Gods And Goddesses Of Ancient Egypt (dalam bahasa English).CS1 maint: unrecognized language (link)
  2. ^ "The Sun Boat", The Gods of Ancient Egypt, Tour Egypt, dicapai pada 7 March 2017.
  3. ^ a b Hart 1986, pp. 68–72.
  4. ^ a b Abubakr, Abdel Moneim (1955). "Divine Boats of Ancient Egypt". Archaeology. 8 (2): 96–101. JSTOR 41663287. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Abubakr1955" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  5. ^ McGovern, Patrick E. (2019). "Sailing the Wine-Dark Mediterranean". Uncorking the Past. m/s. 159–197. doi:10.1525/9780520944688-008. ISBN 978-0-520-94468-8.
  6. ^ "A team from the Grand Egyptian Museum succeeded in the first trial run conducted to test the vehicles that will be used in the transferring the first Khufu Solar Boat from its current location".
  7. ^ "In pictures: Egypt pharaoh's 'solar boat' moved to Giza museum". BBC News. 2021-08-07. Dicapai pada 2021-08-07.