Dinamit adalah satu bahan letupan yang diperbuat daripada nitrogliserin, bahan penyerap (seperti tepung kerang atau tanah liat) dan penstabil. Ia dicipta oleh seorang ahli kimia dan jurutera Sweden bernama Alfred Nobel di Geesthacht dan dipatenkan pada tahun 1867. Ia segera mendapat kegunaan meluas sebagai bahan letupan alternatif yang lebih selamat berbanding mesiu dan nitrogliserin.

Rajah
  1. Tanah berdiatom (atau sebarang bahan penyerap) yang direndami nitrogliserin.
  2. Lapisan perlindungan meliputi bahan letupan.
  3. Penutup letupan.
  4. Wayar elektrik (atau fius) yang berhubung kepada penutup letupan.
Penyediaan dinamit sewaktu pembinaan Empangan Douglas di Tennessee, 1942.

Ciptaan, tujuan dan pengunaannya sunting

Dinamit merupakan ciptaan Alfred Nobel yang merupakan bahan letupan pertama yang selamat diuruskan tetapi lebih kuat daripada serbuk hitam. Nobel mempatenkan ciptaannya di England pada 7 Mei 1867 dan di Sweden pada 19 Oktober 1867.[1] Selepas ia diperkenalkan, dinamit pantas mendapat penggunaan yang meluas sebagai bahan alternatif yang selamat kepada serbuk hitam dan nitrogliserin. Nobel mengawal ketat patennya, malah syarikat yang meniru patennya secara tidak berlesen ditutup sebaik sahaja diketahuinya. Bagaimanapun, ada beberapa ahli perniagaan Amerika yang sedikit sebanyak melepasi paten tersebut dengan menggunakan formula yang sedikit berbeza.[2]

Alfred pada asalnya menjual bahan ini sebagai "Serbuk Letupan Nobel" namun beliau memutuskan untuk mengubah nama bahan tersebut kepada dynamite yang berasal daripada perkataan Yunani Kuno δύναμις dýnamis, yang bermaksud "kuasa".[3][4]

Ayah Alfred, Immanuel Nobel, merupakan seorang industrialis, jurutera dan pencipta yang bekerja membina jambatan dan bangunan di Stockholm. Kerja pembinaannya mennberi Alfred ilham untuk membuat penyelidikan terhadap kaedah meletupkan batu yang baru. Pengunaan bahan peledak dari kerja ayahnya turut menginspirasikan Alfred untuk membuat bahan letupan yang lebih selamat dan berkesan. Dinamit kinibdigunakan dalam industri-industri perlombongan, kuari, pembinaan dan pemusnahan rumah. Ia masih menjadi produk pilihan dalam penggalian parit, dan sebagai bahan alternatif yang menjimatkan kos kepada bahan penggalak.

Penghasilan sunting

Komposisi sunting

Nitrogliserin dengan sendirinya adalah bahan letupan yang sangat kuat, tetapi ia agak sensitif kepada gegaran (yakni, kejutan fizikal boleh menyebabkannya meledak) serta boleh terurai dalam masa yang lama menjadi bahan yang lebih tidak stabil, menjadikannya sangat berbahaya untuk diangkut atau digunakan. Dinamit menggabungkan nitrogliserin dengan bahan-bahan penyerap dan penstabil yang menjadikan ia selamat sambil mengekalkan sifat letupanya yang kuat.

Bentuk sunting

Dinamit biasanya dijual dalam bentuk silinder kadbod dengan panjang sekitar 20 sm (8 in) dan diameter sekitar 3.2 sm (1.25 in) dengan berat kira-kira 190 gram (1⁄2 paun troy).[5] Sebatang dinamit menghasilkan kira-kira 1 MJ (megajoule) tenaga.[6] Saiz lain juga wujud sama ada ia mengikut bahagian ('suku batang' atau 'setengah batang') mahupun berat.

Peraturan sunting

Banyak negara di seluruh dunia yang telah menguatkuasakan undang-undang berkaitan bahan letupan serta pengeluaran lesen untuk pembuatan, pengedaran, penyimpanan, penggunaan serta pemilikannya mahupun bahan mentahnya.

Rujukan sunting

  1. ^ Schück & Sohlman (1929), p. 101.
  2. ^ US Patent 234489 issued to Morse 16 November 1880
  3. ^ "dynamite."
  4. ^ "dynamite."
  5. ^ "Austin Powder Guide, Dynamite series page 2" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2012-03-21. Dicapai pada 9 June 2012.
  6. ^ ChemViews. "145 Years of Dynamite". Chemistry Views. ChemViews Magazine. Dicapai pada 6 May 2017.