Disney's Nine Old Men

Disney's Nine Old Men (Sembilan Orang Tua Disney) ialah gelaran yang diberikan kepada sekumpulan juruanimasi di Walt Disney Productions yang menghasilkan antara karya-karya teragung dari Disney, mulai Snow White and the Seven Dwarfs hingga The Rescuers. Ada di antara mereka yang turut menjadi pengarah filem. Walt Disney menggelar kelompok tersebut "Nine Old Men" sempena buku The Nine Old Men oleh Robert S. Allen dan Drew Pearson tentang sembilan orang hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang kebanyakannya mencecah usia 70 tahun pada tahun 1937, walhal sembilan juruanimasi itu hanya berusia sekitar 30-an dan 40-an.

Kesemua ahli kumpulan ini sudah pun meninggal dunia (yang terakhir ialah Ollie Johnston yang meninggal pada tahun 2008), dan diberi pengiktirafan sebagai Disney Legends.

Ahli Disney's Nine Old Men sunting

 
Frank Thomas (tengah) bersama kawan baiknya Ollie Johnston dan isteri masing-masing (1985)
  • Ollie Johnston (31 Oktober 1912 – 14 April 2008) yang menyertai Disney pada tahun 1935, mula-mula mengusahakan Snow White. Kemudian, beliau mengarang buku panduan juruanimasi, The Illusion of Life bersama Frank Thomas. Antara hasil kerjanya ialah Mr. Smee (dalam Peter Pan), Adik-Beradik Tiri (dalam Cinderella), Peguam Daerah (dalam The Adventures of Ichabod and Mr. Toad), dan Putera John (dalam Robin Hood). Menurut buku The Disney Villain oleh Johnston dan Frank Thomas, Johnston turut bekerja bersama Thomas untuk mereka watak-watak seperti Ichabod Crane (dalam The Adventures of Ichabod and Mr. Toad) dan Sir Hiss (dalam Robin Hood).
  • Milt Kahl (22 Mac 1909 – 19 April 1987) bermula pada tahun 1934 dengan Snow White. Antara hasil kerjanya ialah watak-watak jahat seperti Shere Khan (dalam The Jungle Book), Edgar (dalam The Aristocats), Syerif Nottingham (dalam Robin Hood), dan Madame Medusa (dalam The Rescuers).
  • Ward Kimball (4 Mac 1914 – 8 Julai 2002) menyertai Disney pada tahun 1934. Antara hasil kerjanya ialah Lucifer, Jaq dan Gus (dalam Cinderella), dan Mad Hatter dan Cheshire Cat (dalam Alice in Wonderland). Hasil kerjanya dianggap unik dan lebih 'buas' berbanding para juruanimasi Disney yang lain.
  • Eric Larson (3 September 1905 – 25 Oktober 1988) menyertai Disney pada tahun 1933. Sebagai salah seorang juruanimasi terhandal di Disney, beliau menghidupkan watak-watak seperti Peg dalam Lady And The Tramp; Burung Hering dalam The Jungle Book; penerbangan Peter Pan di langit dari London ke Neverland; dan Brer Rabbit, Brer Fox, dan Brer Bear (dalam Song of the South). Disebabkan perilaku Larson yang baik serta kebolehannya untuk melatih bakat baru, Larson diberi tugas untuk mencari dan melatih juruanimasi baru di Disney pada 1970-an.
  • John Lounsbery (9 Mac 1911 – 13 Februari 1976) masuk pada tahun 1935. Sebagai anak buah Norm 'Fergy' Ferguson, beliau dengan cepatnya menjadi seorang juruanimasi yang handal. Lounsbery yang dikenali dengan nama timangan 'Louns' oleh rakan sekerjanya, merupakan seorang pelukis handal yang mengilhamka ramai juruanimasi selama bertahun-tahun. Gaya animasinya disifatkan sebagai lembut dan memberi. Lounsbery menganimasikan Ben Ali Gator dalam Fantasia; George Darling dalamPeter Pan; Tony, Joe, dan beberapa ekor anjing di Lady And The Tramp; Para Raja dalam Sleeping Beauty; Kawanan Gajah dalam The Jungle Book; dan banyak lagi. Pada 1970-an, Louns dinaik pangkat menjadi Pengarah lalu mengarah Winnie The Pooh And Tigger Too dan filem terakhirnya, The Rescuers.
  • Wolfgang Reitherman (26 Jun 1909 – 22 Mei 1985) menyertai Disney pada tahun 1933 sebagai juruanimasi dan pengarah. Beliau mengarah kesemua filem animasi Disney mulai selepas kematian Walt hinggalah persaraannya. Antara hasil kerjanya ialah ikan paus Monstro dalam Pinocchio, Sang Buaya (dalam Peter Pan), Sang Naga (in Sleeping Beauty), dan Sang Tikus (in Lady and the Tramp).
  • Frank Thomas (5 September 1912 – 8 September 2004) menyertai Disney pada tahun 1934. Beliau juga merupakan pengarang buku panduan juruanimasi The Illusion of Life bersama Ollie Johnston. Antara hasil kerjanya ialah Ibu Tiri (dalam Cinderella), Ratu Hati (dalam Alice in Wonderland), dan Kapten Hook (dalam Peter Pan).

Rujukan sunting

  • Canemaker, John (2001). Walt Disney's Nine Old Men and the Art of Animation. New York, NY: Disney Editions. ISBN 0-7868-6496-6.