Fundamentalisme adalah istilah yang boleh mempunyai banyak makna. Secara definisinya, fundamentalisme adalah satu kepercayaan berpendirian teguh kepasa satu ser prinsip-prinsip asas.[1] Pada mulanya ia digunakan untuk merujuk kepada beberapa kumpulan dalam komuniti Protestan di Amerika Syarikat pada awal kurun ke-20. Mereka ini mempunyai satu set nilai-nilai asas (fundamental). Nilai ini bertentangan dengan idea moden. Kumpulan ini berpendapat sangat penting untuk berpegang kepada kepercayaan (kitab injil).

Pada hari ini, istilah ini diguna secara umum untuk merujuk kumpulan manusia yang berpegang kepada nilai-nilai (selalunya moral dan agama) walaupun nilai-nilai ini dikritik oleh ramai orang. Nilai-nilai ini mungkin tidak popular. Golongan fundamentalis zaman moden mahu kembali kepada asas-asas ideologi atau kepercayaan agama yang mereka pegang. Mereka ini selalunya sanggup menggunakan kekerasan jika perlu.

Fundamentalisme dalam agama

sunting

Golongan fundamentalis percaya perjuangan mereka itu suci dan penting. Mereka melihat diri mereka sebagai pemelihara agama, prinsip dan doktrin penting, dan cara hidup dan jalan ke arah kebenaran. Masyarakat yang hidup dalam undang-undang dengan cara hidup agama yang jelas dalam segala aspek merupakan matlamat dan janji gerakan fundamentalis.

Golongan fundamentalis membina "tembok nilai" untuk memelihara identiti mereka bukan sahaja daripada agama lain tetapi juga versi moden atau nominal agama mereka sendiri. Dalam agama Kristian, golongan fundamentalis dikenali sebagai mereka yang "dilahirkan semula" dan Protestan yang "mempercayai injil".

Dalam Islam, terdapat golongan fundamentalis yang berjihad menentang budaya dan pemikiran diperkenalkan yang dikatakan menodai Islam yang "sebenar" dan memperjuangkan syariah sebagai satu cara hidup. Golongan fundamentalis terdapat juga dalam agama Yahudi, Hindu dan agama-agama lain.

Golongan fundamentalis berpegang bahawa merekalah pengikut sebenar kepercayaan agama yang dianuti berbanding dari golongan-golongan lain yang selalunya dilihat sebagai sekular ataupun mempunyai kepercayaan yang sudah tidak tulen. Golongan fundamentalis selalu mengkritik golongan lain sebagai tidak mengamalkan ajaran agama yang sebenar.

Kontroversi dalam istilah fundamentalis

sunting

Dalam panduan gaya tulisan agensi berita AP, istilah fundamentalis tidak digalakkan untuk digunakan bagi kumpulan yang tidak menggelar mereka sebagai fundamentalis. Kebanyakan cendekiawan bagaimanapun menggunakan istilah fundamentalis untuk merujuk pelbagai kumpulan-kumpulan agama dalam konteks yang lebih luas. Dalam diskusi popular, istilah fundamentalis disalahgunakan untuk konteks sempit yang ditujukan untuk golongan konservatif, ortodoks atau gerakan militan agama.

Rujukan

sunting