Komondor

baka anjing dari Hungary

Komondor[a], juga dikenali sebagai anjing gembala Hungary, ialah satu baka anjing penjaga haiwan ternakan Hungary yang besar dan berwarna putih dengan bulu panjang dan pintal.[1]

Komondor
Komondor
Nama lainKomondor Hungary
Anjing gembala Hungary
Negara asalHungary
Anjing (Canis lupus familiaris)

Komondor, yang kadang-kadang dirujuk sebagai "anjing mop", ialah satu baka anjing yang sudah lama terasas[2] yang digunakan untuk menjaga haiwan ternakan dan harta benda lain. Komondor dibawa ke Eropah oleh orang Cuman[3] dan sebutan terlama tentangnya yang diketahui adalah dalam sebuah kodeks Hungary dari tahun 1544.[2] Baka ini telah diisytiharkan sebagai salah satu khazanah kebangsaan Hungary yang perlu dipulihara dan dilindungi daripada pengubahsuaian.[4]

Etimologi dan sejarah sunting

Komondor dibawa ke Hungary oleh orang Cuman, orang nomad berbahasa Turkik yang menetap di Hungary pada abad ke-12 dan abad ke-13. Nama komondor diterbitkan daripada *Koman-dor, yang memmaksudkan "anjing Cuman". Baka ini diturunkan daripada anjing Tibet dan datang dari Asia dengan orang Cuman, yang tanah airnya mungkin berhampiran dengan Sungai Kuning. Pada akhir lewat abad ke-10, orang Mongol mula meluaskan wilayah mereka dengan mengorbankan orang Cuman, memaksa mereka untuk bergerak ke arah barat. Semasa melarikan diri daripada orang Mongol, mereka tiba di sempadan Hungary pada abad ke-12. Orang Cuman diberi suaka dan menetap di Hungary pada tahun 1239 di bawah Köten Khan.[3] Tinggalan komondor telah ditemukan di tapak perkuburan orang Cuman.

Nama "quman-dur" yang memaksudkan "kepunyaan Cumans" atau "anjing Cuman", dengan itu membezakannya daripada baka anjing gembala Hungary serupa yang kemudiannya bergabung dengan komondor. Nama komondor ditemukan buat kali pertama yang ditulis pada tahun 1544 dalam Sejarah Raja Astiagis oleh Kákonyi Péter, dalam bahasa Hungary Moden Awal. Kemudian, pada tahun 1673, Amos Comenius menyebut komondor dalam salah sebuah karya beliau.[5] Kini, komondor ialah baka agak umum di Hungary, negara asalnya. Banyak komondor terkorban semasa Perang Dunia Kedua dan kisah tempatan mengatakan bahawa ini adalah kerana apabila pihak Jerman (dan kemudian pihak Rusia) menyerang, mereka terpaksa membunuh anjing ini sebelum mereka dapat menangkap ladang atau rumah yang dijaga olehnya.

 
Komondor ialah anjing besar. Komondor jantan muda, baru selepas usia 12 bulan, tiada pintalan yang sudah terbentuk.
 
Komondor muda, pintalan mula terbentuk.

Komondor berkaitan dengan anjing gembala Rusia Selatan, puli, dan, dengan lanjutan, pumi, mudi, anjing gembala tanah pamah Poland, schapendoes, collie berjanggut, dan anjing gembala lama Inggeris.[6] Pada tahun 1947, komondor digunakan untuk memperoleh darah segar pada anjing gembala Rusia Selatan yang jarang. Pada tahun 1970-an, satu lagi silangan komondor dibuat.[7] Ia juga dipercayai berkaitan dengan anjing Brie, anjing gembala Catalonia, anjing Serra de Aires, anjing gembala Pyrénées, dan anjing gembala Bergamo, tetapi anjing Bergamo mempunyai kawanan ternakan tidak seperti komondor.[8]

Dua baka anjing penjaga haiwan ternakan Hungary telah ber-evolusi secara bebas. Ini kerana komondor dikembangkan oleh sekumpulan orang yang memanggilnya Kuman-dor, "anjing Cuman", dan kuvasz pula dibiakbakakan oleh orang berlainan - orang Magyar. Untuk sebahagian besar sejarah awal Hungary, kedua-dua orang ini tinggal di kawasan berasingan di Hungary, menuturkan bahasa berlainan, dan oleh itu tidak bercampur. Akibatnya, anjing mereka mempunyai hanya sedikit, jika ada pun, campuran.

Perihal sunting

Komondor ialah baka anjing besar—kebanyakannya setinggi lebih daripada 30 inci (76 cm). Tubuhnya dilitupi oleh lapis bulu berat, kusut, berpintal. Ia mempunyai tubuh tegap, berotot kuat dengan tungkai panjang dan belakang pendek. Ekornya terangkat dengan sedikit lingkaran. Tubuhnya apabila dilihat dari sisi, membentuk segi empat tepat tertiarap. Panjang tubuhnya lebih panjang sedikit daripada ketinggian pada paras kelasa. Komondor mempunyai kepala lebar dengan muncung lebih pendek sedikit daripada separuh panjang kepala dengan gigitan gunting separas dan lengkap. Hidung dan bibir sentiasa hitam.[9][10][11][12]

Ketinggian minimum komondor betina ialah 25.5 inci (65 cm) pada paras kelasa dengan purata ketinggian sebanyak 27.5 inci (70 cm). Ketinggian minimum komondor jantan ialah 27.5 inci (70 cm) dengan purata ketinggian sebanyak 31.5 inci (80 cm). Tiada had ketinggian atas yang diberikan.[10] Komondor betina secara purata mempunyai berat 88–110 lb (40–50 kg) dan komondor jantan pula mempunyai purata berat 110–132 lb (50–60 kg).[9][11]

Penampilan sunting

 
Lapis bulu sepenuhnya berpintal. Lapis bulunya panjang, tebal, dan amat berpintal

Lapis bulu komondor ialah lapis bulu putih panjang, tebal, dan amat berpintal yang kira-kira sepanjang 20–27 cm (7.9–10.6 in) (jumlah bulu terberat dalam kalangan anjing) dan menyerupai rambut pilinan atau mop. Lapis bulu anak anjing adalah lembut dan gebu. Walau bagaimanapun, lapis bulunya beralun dan cenderung untuk bergulung seiring dengan kematangan anak anjing. Lapis bulu sepenuhnya matang terbentuk secara semula jadi daripada lapis bulu bawah lembut dan lapis bulu luar lebih kasar yang bergabung untuk membentuk jumbai atau pintalan dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk terbentuk. Sedikit bantuan diperlukan dalam mengasingkan pintalan supaya anjing berkenaan tidak bertukar menjadi anjing kusut besar. Panjang pintalan bertambah seiring dengan masa apabila lapis bulu tumbuh. Salin bulu adalah minimum dengan baka ini, bertentangan dengan yang mungkin difikirkan (sebaik sahaja pintalan terbentuk sepenuhnya). Satu-satunya kali sali bulu besar berlaku sebagai anak anjing sebelum pilinan terbentuk sepenuhnya. Komondor lahir hanya dengan lapis bulu putih,[13] tidak seperti puli yang kelihatan serupa, yang dapat berwarna putih, hitam, atau kadang-kadang kekelabu-kelabuan. Walau bagaimanapun, lapis bulu komondor pekerja mungkin kehilangan warna akibat unsur-unsur persekitaran dan mungkin kelihatan putih pudar jika tidak dicuci dengan kerap. Secara tradisional, lapis bulu melindungi komondor daripada kemungkinan gigitan serigala kerana gigitan tidak dapat menembusi lapis bulu tebal.[14] Lapis bulu komondor memakan masa kira-kira dua hari setengah untuk kering selepas mandi.

Perangai sunting

Komondor terbina untuk penjagaan ternakan. Perangainya seperti kebanyakan anjing penjaga haiwan ternakan; ia tenang dan mantap apabila keadaan normal, tetapi, sekiranya berlaku masalah, anjing berkenaan akan mempertahankan tuduhannya tanpa takut. Ia dibiakbakakan untuk berfikir dan bertindak secara bebas dan membuat keputusan sendirian.[1]

Komondor bersikap penyayang dengan keluarganya[2][13] dan lemah lembut dengan kanak-kanak dan rakan-rakan keluarga. Walaupun berwaspada terhadap orang asing, ia mampu menerima mereka apabila ada kejelasan bahawa tiada bahaya yang menanti[15] kerana naluri untuk bersikap pelindung terhadap keluarga, rumah, dan harta bendanya.[13]

Komondor sangat baik dengan haiwan peliharaan keluarga lain, kerap melindungi mereka, tetapi tidak toleran terhadap haiwan menceroboh dan bukan anjing baik untuk pangsapuri. Anjing ini berjaga-jaga dan berehat pada waktu siang, mengawasi persekitarannya, tetapi pada waktu malam sentiasa bergerak-gerak, meronda di tempat berkenaan, naik dan turun mengelilingi seluruh wilayahnya.[2] Anjing ini biasanya menumbangkan dan menahan penceroboh sehingga pemiliknya tiba.[2]

Pembiak baka komondor Hungary pernah mengatakan bahawa penceroboh mungkin diizinkan untuk memasuki hartanah yang dikawal oleh komondor, tetapi penceroboh itu tidak diizinkan untuk keluar atau melarikan diri.[2]

Kegunaan sunting

Baka ini mempunyai naluri penjaga semula jadi dan keupayaan sedia ada untuk menjaga haiwan ternakan.[16] Sebagai anjing atletik, komondor adalah pantas dan berkuasa dan akan melompat ke arah pemangsa untuk mengusirnya atau menjatuhkannya. Ia dapat berjaya digunakan untuk menjaga biri-biri daripada serigala atau beruang. Ia merupakan baka anjing besar dan kuat, berperisai dengan lapis bulu tebal. Lapis bulu memberikan perlindungan menentang haiwan liar, cuaca, dan tumbuh-tumbuhan. Lapis bulunya kelihatan serupa dengan lapis bulu biri-biri supaya ia boleh dengan mudah bersepadu dalam kawanan dan menyamar, lalu memberikan kelebihan apabila pemangsa seperti serigala menyerang. Komondor ialah salah satu baka anjing penjaga haiwan ternakan yang telah menyaksikan peningkatan besar dalam penggunaan sebagai penjaga biri-biri dan kambing di Amerika Syarikat untuk melindungi haiwan ternakan menentang pemangsa seperti koyote, kugar, beruang, dan pemangsa lain.[1]

Pelatihan sunting

Oleh sebab saiz, kuasa, kelajuan, dan perangai komondor, kekurangan pelatihan kepatuhan dapat mengakibatkan bahaya kepada orang lain. Komondor biasanya bergerak balas dengan baik terhadap pelatihan jika dimulakan lebih awal (sebaik-baiknya pada usia 4–8 bulan). Komondor dapat menjadi ketegar apabila bosan. Oleh itu, ada kemustahakan supaya sesi latihan rancak dan menggembirakan. Pujian ialah kemestian, begitu juga pembetulan tekal dan berperikemanusiaan. Sebaik sahaja komondor terlepas dengan tingkah laku tidak mesra atau bermusuhan, ia akan sentiasa berfikir bahawa tingkah laku tersebut adalah sesuai. Oleh itu, pembetulan tekal walaupun dengan anak anjing muda adalah perlu untuk memastikan anjing dewasa tersesuai dengan baik. Sosialisasi juga amat penting.[13] Komondor patut didedahkan kepada situasi baharu, manusia, dan anjing lain semasa masih anak anjing. Oleh sebab ia merupakan anjing pengawal semula jadi, komondor yang tidak tersosialisasi dengan betul mungkin bertindak balas dengan cara terlalu agresif apabila berhadapan dengan situasi atau orang baharu.[perlu rujukan]

Perundangan spesifik baka mensyaratkan agar sesetengah baka diberongsong di tempat awam. Romania ialah satu-satunya negara yang mewajibkan agar komondor diberongsong.[17]

Dalam kebudayaan popular sunting

Odelay ialah album studio kelima oleh pemuzik Amerika Beck, yang dikeluarkan pada 18 Jun 1996 oleh DGC Records. Muka hadapan album ini menampilkan seekor komondor yang melompat melepasi halangan, yang diambil oleh jurugambar anjing Joan Ludwig (1914–2004) untuk keluaran Julai 1977 bagi Gazette terbitan American Kennel Club.[18]

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: کوموندور; Hungary: komondor; /ˈkɒməndɔːr, ˈkm-/[19]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c "Komondor Dog Breeds" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Februari 2009.
  2. ^ a b c d e f Kovács, András; Gibizer Tibor; Udvardiné Lukács Ildikó (1996). Komondor, Kuvasz (dalam bahasa Hungary). Elek és Társa Könyvkiadó. ISBN 963-7314-33-4.
  3. ^ a b "The early history of the Komondor" (dalam bahasa Inggeris). Komondor.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 November 2011. Dicapai pada 15 Januari 2024.
  4. ^ "32/2004. (IV. 19.) OGY határozat" (dalam bahasa Hungary). Parlimen Hungary. 2004. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Februari 2005. Dicapai pada 15 Januari 2024.
  5. ^ Komondor, kuvasz (Hungary). Ujváriné Lukács Ildikó.
  6. ^ "Bearded Collie Club of America" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 21 Januari 2024. Its ancestors likely included herding dogs from the European continent, such as the Poland Lowland Sheepdog (Polski Owzcarek Nizinny) and the Komondor, blended with the sheep herding dogs of the British Isles.
  7. ^ "South Russian Ovtcharka History". Euphoric Black Blossom (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 21 Januari 2024. To maintain some semblance of breed and bloodline, these pure-breds were crossed with dogs of SRO-type but unknown heritage. In 1947 the Komondor was used to acquire fresh blood; in the [1970s] another Komondor cross was made.
  8. ^ "Judging the Bergamasco Sheepdog". Bergamasco Sheepdog Club of America (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 21 Januari 2024.
  9. ^ a b "FCI Komondor Standards: FCI-Standard No 53" (dalam bahasa Inggeris). Ari Komondor Kennel. 13 September 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Februari 2012. Dicapai pada 21 Januari 2024.
  10. ^ a b "Komondor" (dalam bahasa Hungary). Kutya-Tár. 11 Ogos 2008. Dicapai pada 21 Januari 2024.
  11. ^ a b "Komondor Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 21 Januari 2024.
  12. ^ Soskin, Arthur R. (1998). "The FCI Hungarian standard" (dalam bahasa Inggeris). Komondor.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Mac 2009. Dicapai pada 21 Januari 2024.
  13. ^ a b c d Heaney, Richard; Therese Heaney (1995). "Komondors" (dalam bahasa Inggeris). K9web.com. Dicapai pada 21 Januari 2024.
  14. ^ The dog selector (Inggeris), David Alderton, 2010, ISBN 978-91-7401-2460 atau 0-7641-6365-5 atau 978-07-641-6365-4.
  15. ^ "About the Komondor" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 21 Januari 2024.
  16. ^ The dog selector (Inggeris), David Alderton, halaman 1562011, ISBN 978-91-7401-2460
  17. ^ "Cainii din rasa Pitbull vor fi interzisi in Romania". Adevărul (dalam bahasa Romania). Bucharest, Romania. 26 April 2002. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 November 2009. Dicapai pada 21 Januari 2024.
  18. ^ "Beck's 'All Original Collage' And How The American Kennel Club Helped Define 'Odelay'" (dalam bahasa Inggeris). 18 Jun 2016.
  19. ^ "komondor". Merriam-Webster.com Dictionary. Dicapai pada 15 Januari 2024.

Pautan luar sunting