Linguistik perbandingan

Linguistik
Linguistik teori
Fonetik
Fonologi
Morfologi
Sintaksis
Semantik
Semantik leksikal
Semantik statistik
Semantik struktur
Semantik prototaip
Stilistik
Preskripsi
Pragmatik
Linguistik gunaan
Pemerolehan bahasa
Psikolinguistik
Sosiolinguistik
Linguistik generatif
Linguistik kognitif
Linguistik pengiraan
Linguistik perihalan
Linguistik sejarah
Linguistik perbandingan
Etimologi
Sejarah linguistik
Senarai ahli linguistik
Masalah yang belum diatasi

Linguistik perbandingan (asalnya filologi perbandingan) ialah satu cabang linguistik sejarah yang berkenaan dengan pembandingan bahasa-bahasa supaya dapat menentukan perhubungan sejarah antara bahasa-bahasa itu.

"Perhubungan" membayangkan asal yang sama atau bahasa proto, dan linguistik perbandingan bertujuan untuk membina semula bahasa-bahasa proto dan menentukan perubahan-perubahan yang telah berlaku pada bahasa-bahasa yang didokumenkan itu. Supaya dapat memastikan perbezaan yang nyata antara bentuk-bentuk yang diakui dengan bentuk-bentuk yang dibina semula, ahli-ahli linguistik perbandingan telah membubuh awalan asterik pada mana-mana bentuk yang tidak terdapat dalam teks-teks yang masih wujud.

Teknik asas linguistik perbandingan ialah kaedah perbandingan yang bertujuan untuk membandingkan sistem-sistem fonologi, sistem-sistem morfologi, sintaksis, dan leksikon. Pada dasarnya, setiap perbezaan antara dua bahasa yang berkait harus dapat diterangkan dengan amat munasabah, dan perubahan-perubahan sistematik, umpamanya dalam sistem-sistem fonologi atau morfologi, dijangka amat tetap. Walaupun bahasa-bahasa proto yang dibina semula melalui kaedah-kaedah perbandingan adalah andaian, pembinaan semula ini mungkin mempunyai daya peramalan. Contoh yang paling terkenal ialah cadangan Saussure bahawa sistem konsonan Indo-Eropah mengandungi laringeal , sejenis konsonan yang tidak terdapat di mana-mana bahasa Indo-Eropah yang diketahui ketika itu. Hipotesis itu telah diwajarkan oleh penemuan bahasa Hittite yang terbukti mempunyai konsonan-konsonan yang betul-betul sama dengan konsonan-konsonan yang diramalkan oleh Saussure untuk persekitaran-persekitarannya.

Jika bahasa-bahasa berasal daripada leluhur yang amat jauh, dan tidak rapat hubungannya, kaedah perbandingan tidak begitu berguna. Khususnya, percubaan untuk menghubungkan dua bahasa proto yang dibina semula melalui kaedah perbandingan secara amnya tidak menghasilkan keputusan yang telah diterima secara meluas. Sebilangan kaedah yang berdasarkan analisis statistik untuk perbendaharaan kata telah dikembangkan untuk mengatasi pengehadan ini. Asas teori untuk kaedah-kaedah ini ialah bahawa butir-butir perbendaharaan boleh dipadankan tanpa sebarang pembinaan semula yang terperinci dan membandingkan jumlah butir perbendaharaan kata akan mengelakkan ketidaktepatan individu.

Kaedah terawal untuk jenis ini ialah glotokronologi yang mencadangkan satu formula matematik untuk menentukan tarikh ketika kedua-dua bahasa itu berpisah, berdasarkan peratusan perbendaharaan kata teras sebanyak 100 butir (kemudian 200) yang seketurunan dalam bahasa-bahasa yang dibandingkan. Glotokronologi telah diterima dengan keraguan yang berterusan, dan jarang digunakan pada hari ini. Yang lebih penuh dengan perbalahan ialah kaedah leksikal massa yang menafikan kebolehan untuk menentukan tarikh perkembangan-perkembangan, dan hanya bertujuan untuk menunjukkan bahawa bahasa-bahasa yang lebih kurang serupa. Kaedah ini adalah serupa dengan kaedah klados dalam biologi evolusi. Bagaimanapun, oleh sebab perbandingan massa menjauhkan diri daripada penggunaan pembinaan semula dan alat-alat tradisional yang lain, ia telah ditolak bulat-bulat oleh sebilangan besar ahli-ahli linguistik sejarah.

Kaedah-kaedah yang mendasarkan perbendaharaan kata ini hanya boleh menentukan tahap-tahap perkaitan dan tidak boleh digunakan untuk memperoleh ciri-ciri sebuah bahasa proto, selain daripada butir-butir yang sama dalam perbendaharaan kata yang dibandingkan. Pendekatan-pendekatan ini telah dicabar kerana masalah-masalah metodologinya — tanpa pembinaan semula atau sekurang-kurangnya satu senarai padanan fonologi yang terperinci, tidak terdapatlah pembuktian bahawa dua patah perkataan daripada bahasa-bahasa yang berbeza adalah berseketurunan. Bagaimanapun, kaedah-kaedah leksikal boleh disahkan melalui statistik dan ketekalannya dengan dapatan-dapatan sejarah, arkeologi, dan genetik penduduk yang berasingan.

Terdapat juga cabang-cabang linguistik lain yang melibatkan pembandingan bahasa yang bukannya sebahagian linguistik perbandingan:

  • Tipologi bahasa membandingkan bahasa supaya dapat mengelaskannya mengikut ciri-ciri. Tujuan utamanya ialah untuk memahami ciri kesejagatan bahasa yang menguasai sesuatu bahasa, serta jenis-jenis bahasa yang didapati di dunia dari segi mana-mana ciri yang tertentu (umpamanya, urutan perkataan atau sistem vokal). Persamaan tipologi tidak bermaksud perhubungan sejarah. Bagaimanapun, alasan-alasan tipologi boleh digunakan dalam linguistik perbandingan: satu pembinaan semula mungkin lebih diutamakan berbanding yang lain kerana lebih munasabah.
  • Linguistik hubungan memeriksa kesudahan-kesudahan linguistik tentang hubungan antara penutur-penutur bahasa yang berbeza, khususnya sebagaimana yang terbukti dalam kata-kata pinjaman. Sebarang kajian empirik tentang kata-kata pinjaman adalah, menurut takrif, bersifat sejarah dalam tumpuannya dan oleh itu, merupakan sebahagian linguistik sejarah. Salah satu matlamat etimologi ialah untuk menentukan butir-butir yang mana dalam sebuah perbendaharaan kata bahasa berasal daripada hubungan linguistik. Ini juga merupakan persoalan yang penting bagi kedua-dua kaedah perbandingan dan kaedah perbandingan leksikal kerana kegagalan untuk mengakui peminjaman mungkin akan memutarbalikkan dapatan-dapatannya.
  • Linguistik bezaan membandingkan bahasa-bahasa biasanya untuk tujuan membantu pembelajaran bahasa dengan mengenal pasti perbezaan-perbezaan yang penting antara bahasa asli dengan bahasa sasaran pelajar. Linguistik bezaan hanya terlibat dalam bahasa-bahasa kini.

Lihat juga sunting