Tok Kenali
Muhammad Yusuf bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali (1868 – 19 November 1933) ialah seorang tokoh ‘Ulama’ Ulung, guru agama Islam yang agung, tokoh pembangun pemikiran umat Islam di dunia dan pencetus ilmu pengajian Islam di Malaysia dan Asia Tenggara khususnya, di awal abad ke-20.[1] Beliau seorang Alim Rabbani yang dalam hidupnya banyak berpandukan kitab Suci Al-Quran disamping Sunnah Nabi Muhammad Shallallaahu alaihi wasallam. Beliau disebut juga sebagai seorang yang memilih hidup sederhana dan juga seorang wali keramat dan mendapat ilham daripada Allah dan ilmu laduni (Ilmu Kurniaan Ilahi tanpa belajar).
Tok Kenali |
---|
Tok Kenali - Tokoh Besar Ulama Kelantan
suntingBagi seseorang yang mengkaji sejarah tanah air, lebih-lebih lagi menyelidiki “sejarah kelantan’ maka dia secara langsung atau tidak, akan menemui nama Tok kenali’. Mengikut perkembangan sejarah, Tok Kenali adalah merupakan seorang pembangun fikiran umat Islam di dunia sebelah sini menerusi pengajaran kepada murid-murid yang bertebar pada beberapa tempat di Alam Melayu, juga melalui fikiran-fikirannya yang membina menerusi majalah “Pengasuh”, keluaran Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu kelantan dan majalah “Al-Hikmah” sebuah majalah pengatahuan yang antara lain yang sedang bersemarak di masa ini.
Sesuatu perkara yang menarik perhatian kita ialah perjuangan dan penghidupan Tok Kenali adalah agak nyata. Beliau banyak menerima pengaruh dari ajaran-ajaran Failasuf islam Al-Iman Ghazali, (1058-1111M) seorang pembangun dan pembina fikiran umat Islam yang banyak membuat pembaharuan dalam acara mengupas soal-soal agama berdasarkan ajaran-ajaran kitab suci Al-Quran dan hadis di samping memperoleh ilmu ladunni di zaman silam.
Untuk selanjutnya marilah sama-sama kita mengikuti garis-garis perjuangan beliau dan cebisan riwayat hidup beliau sebagai berikut:
Kelahiran Tok Kenali
suntingBeliau dilahirkan di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan kira-kira pada tahun 1287H (1868M*) dengan nama Muhammad Yusof (pernah disebut sebagai Awang sahaja) iaitu di penghujung pemerintahan Sultan Muhammad II (1837-1886M). Bapanya seorang petani bernama Ahmad, manakala Fatimah bt Salleh, ibunya adalah seorang insan yang sopan dan bercita-cita tinggi dan murni.[2]
Latar Belakangnya
suntingMuhammad Yusoff dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, dan ini adalah membentukkan sifat peribadinya yang tidak menonjol. Bapanya seorang petani manakala ibunya bagaimana kebiasaan orang-orang di kampungnya adalah bekerja menolong pekerjaan suaminya.
Sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negeri, Muhammad Yusof telah mula belajar pada datuknya sendiri Encik Salleh (Tok Leh) iaitu dalam pelajaran membaca kitab suci Al-Quran dan pelajaran tulis-menulis. Sesudah itu dia menyambungkan pelajaran ke masjid Besar Al-Muhammadi, Kota Bharu dan tempat-tempat pengajian lain di sekitar kota Bharu dalam pelajaran Bahasa Arab, nahu, saraf juga pengetahuan agama.
Isterinya ialah Cik Ruqayyah Mahmud. Beliau dikurniakan empat orang anak, iaitu Ahmad, Muhd Shaalih, Mahmud dan Abdullah Zawaawi.
Perlu disebutkan bahawa datuknya adalah seorang yang lebai, warak, mempunyai sedikit sebanyak ilmu-ilmu agama untuk panduan hidup, seorang yang mempunyai kesedaran, mematuhi peraturan-peraturan agama dan gemar berbuat ibadat semata-mata mencari keredaan Allah.
Bapanya meninggal dunia sewaktu umurnya baru meningkat 5 tahun. Beliau dilantik di bawah pengawasaan datuknya menyebabkan pengaruh bapanya kurang terasa dalam corak hidupnya. Di samping itu, nenek perempuan tirinya, Tok Mek ngah turut memberikan pendidikan yang baik kepadanya termasuk pengawasan terhadap punca-punca makanan yang hendak disajikan. Menurutnya pengaruh-pengaruh makanan-makanan yang haram adalah membawa akibat yang buruk dalam penghidupan di dunia ini, lebih-lebih lagi di akhirat.
Kebolehan Luar Biasa
suntingKecenderungan Tok Kenali dalam pelajaran adalah nyata sejak kecil lagi. Perasaan ingin maju dan ingin tahu adalah meluap-luap di dadanya. Dalam tempoh yang pendek dia telah dapat mengkhatami pembacaan kitab suci Al-quran dan dapat menulis dengan baik. Kerana itu tidaklah hairan mengapa dia telah dipilih oleh penggawa daerahnya untuk menjadi seorang kerani sebagai pembantunya dalam mengira dan menguruskan hasil-hasil tanaman dan kebun di kawasan tersebut sewaktu dia berusia antara tujuh ke lapan tahun.
Dalam beberapa laporan lain, misalnya laporan dari salah seorang penduduk Kubang Kerian yang menceritakan pada wartawan Majalah Tiga yang ditayangkan pada Sabtu, 13 Jun 2009. Pemuda itu menceritakan bahawa ayahnya telah menceritakan kepadanya tentang kisah kebolehan Tok Kenali. Bapanya menceritakan bahawa pada suatu ketika, di sebuah kampung di Kelantan, terdapatnya beberapa masyarakat Melayu Kelantan lama yang suka menyabung ayam dan menyabung lembu, keadaan pesta menyabung itu sangat bising dan hiruk pikuk lantaran keasyikan masyarakat yang suka pada perbuatan menyabung haiwan,(pada kebiasaannya perbuatan menyabung haiwan dapat menyebabkan masyarakat penyabung terdedah dengan kegiatan judi dan pergaduhan). Oleh demikian, Tok Kenali dan beberapa orang kampung telah terganggu akan kebisingan pesta sehinggakan Tok Kenali pada waktu itu beranggapan dan melafazkan bahawa terdapatnya rumah terbakar di kampung itu. Dengan kuasa Allah, pada petang hari pesta menyabung itu juga, kebanyakan daripada rumah-rumah penyabung haiwan itu telah dijilat api keseluruhannya. Maka begitulah kekuasaan Allah SWT terhadap hamba-Nya yang beriman dan ingkar.
Menyambung Pelajaran Ke Kota Bahru
suntingSewaktu berusia antara sembilan ke sepuluh tahun, Muhammad Yusof telah mengambil langkah bagi menyambung pelajarannya ke Kota Bharu. Tempat pertama yang ditujunya ialah ke Masjid Al-Muhammadi, di mana terdapat beberapa orang guru agama dan beratus-beratus orang murid dari seluruh ceruk Negeri Kelantan menyambung pelajaran mereka ke sini. Sekitar masjid besar ini, dewasa ini penuh dengan pondok-pondok (asrama) penuntut.
Dalam masa menuntut di sini beliau berguru kepada Tuan Haji Wan Ismail (ayahanda Datuk Perdana Menteri Paduka Raja, Kelantan, Dato' Nik Mahmud) Beliau belajar bersama-sama Encik Idris yang kemudiannya menjadi “Mufti Kerajaan Kelantan”’ Selain itu beliau berguru kepada Tuan Guru Hj. Ibrahim, penambang (Mufti kerajaan Kelantan) Syaikh Muhammad Ali bin Ab. Rahman (Wan Ali) Kutan dan kepada Tuan Guru Padang (Hj. Ahmad) Kota Bharu.[3]
Melanjutkan Pelajaran Ke Tanah Suci Mekah
suntingSebagai seorang pelajar, Tok Kenali telah menaruh cita-cita yang kuat untuk melanjutkan pelajaran ke Mekah. Pada tahun 1887M (1305H). Menjelang umurnya kira-kira 18 tahun, Tok Kenali menjejak Tanah Suci Mekah untuk meninggikan pelajaran agamanya di samping menunaikan rukun islam yang kelima, ibadat Haji iaitu sesudah enam bulan mengalami kesusahan di Lautan Hindi disebabkan kerosakan kapal yang ditumpanginya.
Penghidupan Tok Kenali di Tanah Suci Mekah
suntingPemergian Tok Kenali ke Tanah Suci Mekah adalah semata-mata atas bantuan daripada sahabat dan kenalan beliau di Kota Bharu yang berjumlah kira-kira RM50.00 dan sumbangan daripada ibunya cuma berjumlah RM22.00. Kesukaran yang di hadapi Tok Kenali di rantau orang tidak dapat digambarkan lagi. Hampir tujuh bulan beliau di sana tanpa tempat kediaman yang tetap. Semasa itu beliau menginap di serambi Masjidil Haram, Mekah, dan hanya dapat tidur serta berehat-rehat bila menjelang sesuku malam disebabkan Masjidil Haram merupakan pusat ibadat tawaf, sa’i, sembayang dan sebagainya.
Pakaiannya sederhana, begitu juga tentang pemilihan makanannya untuk menampung kekosongan di waktu pagi dan petang. Memandangkan kedudukan ini, beliau pernah ditugaskan menjadi tukang masak sementara dalam sesuatu perkelahan atau antara kawan-kawannya di wadi-wadi (lembahan) dan di pinggir-pinggir bukit-bukit nan tandus.
Perkembangan Pelajaran
suntingSebelum beliau keluar negeri dahulu, beliau telahpun mempunyai pengetahuan-pengetahuan asas dalam pelajaran-pelajaran yang telah dipelajari ketika itu . Beliau telah pun menguasai pengetahuan bahasa arab (Nahu dan Sarafnya) bagi mengikuti setiap segi jurusan pengetahuan agama di masa itu. Perkara-perkara ini adalah melayakkan Tok Kenali untuk menerima dan mengikuti pelajaran-pelajarannya yang sedang berkembang dewasa ini di Tanah Suci Makkah.
Tok Kenali terpaksa belajar mendengar sahaja tanpa kitab. Di samping itu juga beliau terpaksa membaca di kedai-kedai kitab dengan meminta izin tuan-tuan kedai itu untuk membaca dan menatap kitab-kitab jualannya dalam tempoh yang agak lama dengan cara yang cermat sekali. Kitab-kitab Wakaf yang ada dalam simpanan di Masjid Al-Haram juga dipergunakan untuk memahami kuliah-kuliah gurunya. Selain itu, Tok Kenali terpaksa pula meminjam kitab-kitab gurunya sendiri. Kerana kemiskinanlah agaknya, membawa Tok Kenali mengharungi lautan ilmu dan kemajuan melebihi kawan-kawannya yang lain.
Jelaslah bahawa Tok Kenali banyak sekali membaca dan menatap kitab-kitab buah tangan ulamak dan para failasuf islam yang telah dan sedang tersebar di dunia islam dewasa itu. Beliau juga mempunyai sifat suka bertanya dan mengkaji pelajarannya sebelum pelajaran itu di ajar oleh gurunya dengan mengadakan perbandingan-perbandingan sendiri dan pergalaman sendiri. Banyak membaca dan banyak membuat kajian adalah merupakan faktor-faktor besar dalam perkembangan ilmu seseorang pelajar atau siswa.
Antara guru-guru di Masjid yang namanya banyak disebut-sebut oleh Tok Kenali ialah Tuan Guru Wan Ahmad atau nama penuhnya Wan Ahmad bin Muhammad Zain yang terkenal sebagai seorang pengarang sesudah nama Syaikh Daud Patani. Kepada Guru inilah Tok Kenali mendapat bimbingan dan bantuan baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun penghidupan. Disamping itu, terdapat beberapa orang guru dari patani dan indonesia yang mungkin mendapat perhatian Tok kenali disamping guru-gurunya yang terdiri daripada orang-orang Arab.
Lawatan Tok Kenali ke Mesir
suntingDalam tahun 1904M, Tok Kenali telah melawat Mesir bersama Tuan Guru Wan Ahmad, Encik Nik Mahmud (yang kemudiannya bergelar Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan) dan Hj. Ismail Patani. Garis-garis kasar lawatan ini adalah menunjukkan bahawa lawatan beliau ke Mesir adalah berbentuk lawatan sambil belajar terutama kerana mengkaji hal-hal perkembangan pelajaran yang berhubung dengan Agama Islam di Universiti Al-Azhar dan lain-lain tempat pengajian di sekitar kota Kahirah.
Pulang ke Tanah Air
suntingPada tahun 1909M (1327 H) iaitu sesudah menjalani pengajian selama 22 tahun di tanah suci mekah, maka Tok Kenali pun pulang ke tanah air iaitu ke Kelantan seterusnya pada tahun 1911M (1329M) beliau mula membuka pondok Kenali, sebuah tempat pengajian yang kemudiannya menjadi pusat pengajian agama di semenanjung ini. Dua tahun kemudian, beliau menjadi guru di Masjid Besar Al-Muhammadi, Kota Bharu yang waktu itu menjadi pusat pengetahuan agama terbesar di kelantan, malahan juga dikenali di Semenanjung sebagai Serambi Mekkah.
Murid-murid dari seluruh Kelantan telah membanjiri pondok-pondok yang terletak berderet-deret di sepanjang jalan di kawasan masjid dan di kawasan Kubang Pasu. Selain itu, bukan sedikit murid-murid dan pelajar-pelajar dari luar negeri datang yang menceduk pengetahuan agama daripada guru-guru yang terkenal . Selain daripada Tok kenali, mereka belajar pada Tuan Guru Hj. Nik Abdullah, Tuan Guru Hj.Idris (yang kemudiannya berjawatan “Mufti kelantan) dan lain-lain.
Memandang hak-hak kemasyarakatan di kampung sendiri perlu pula dititik beratkan, maka Tok Kenali terpaksa pula menetap di kampungnya sendiri iaitu sesudah lima tahun mengajar di Masjid Besar Al-Muhammadi. Dewasa itu pondok kenali kembali bersemarak sehingga namanya termasyur ke serata ceruk rantau Semenanjung ini, malah sampai ke Indonesia (terutama Sumatera) Kemboja, Patani dan lain-lain. Jumlah pelajar-pelajar yang menetap di asrama (Pondok) meningkat 400 orang suatu jumlah yang besar dalam pertumbuhan pengajian Islam dikala itu.
Dalam menjalankan tugasnya, Tok Kenali menetapkan beberapa buah kitab pelajaran (teks) dalam berbagai-bagai jurusan, iaitu pengajian Bahasa dan pengetahuan-pengetahuan Agama islam dalam berbagai-bagai peringkat pelajaran. Beliau sendiri banyak mengambil peranan dalam mengembangkan pengetahuan Bahasa Arab, manakala pelajaran-pelajaran lain diperkembangkannya selaras dengan kehendak-kehendak masyarakat dewasa itu. Murid-murid beliau yang telah matang dalam pengajiannya dilantiknya menjadi kepala telaah (guru Kumpulan) disamping itu, kitab-kitab agama dalam tulisan jawi diajarkan juga kepada pelajar-pelajar dan orang-orang kampung. Menerusi pengajian-pengajian kepada orang-orang dewasa inilah lahirnya cerita-cerita tauladan yang kadang-kadang menggelikan, sebagai suatu cara untuk menarik perhatian murid-murid kepada pelajaran yang sedang ditumpukan. Suatu hal yang agak luar biasa bahawa dalam masa mengajar itu, Tok Kenali mengajar tanpa kitab, di hadapannya tiada kitab-kitab pelajaran sedangkan muridnya mempelajarinya dengan menggunakan kitab. Inilah menunjukkan bahawa Tok Kenali adalah seorang yang mempunyai daya ingatan yang kuat.
Kemasyuhuran Tok Kenali telah menarik ramai pelajar Islam dari serata ceruk semenanjung. Antara mereka ini ada yang telahpun mempunyai kematangan dalam pengetahuan Agama islam datang untuk mengenal wajah dan mengikuti sebahagian pelajaran yang diajar oleh Tok Kenali. Antara mereka ada yang datang kira-kira seminggu, sebulan, tiga atau empat tahun seterusnya. Ini bergantung kepada keadaan masing-masing, sebab di antara mereka ada yang sudahpun bekerja sebagai guru agama. Qadi atau sebagainya. Untuk meminta Tok Kenali membaca kitab, cukuplah dengan meminta izin beliau di mana si peminatnya sendiri yang akan disuruh membacanya di hadapan kumpulan pelajar-pelajar. Sesudah itu Tok Kenali memainkan peranan memberi kefahaman dan mensyarahkan isi kitab itu, juga memberi peluang-peluang bertanya.
Menghembus Nafas Terakhir
suntingSetelah kira-kira 65 tahun menghirup udara dunia ini, maka Tok Kenali pun dipanggil menghadap Allah, kekasihnya iaitu pada Ahad 19 November 1933M, berikutan suatu penyakit di kakinya.
Majalah “Pengasuh” keluaran 11 disember 1933M mencalitkan berita tentang kematian Tok Kenali antara lain berbunyi;
“kembali ke Darul-Baqa 1352 yang meredupkan alam Kelantan dendan dukacita. Innalillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun:.
“Hari wafatnya; dilawati oleh tidak kurang daripada 2,500 orang dan disembahyang jenazahnya lebih daripada 1,000 orang dan disembahyang jenazahnya lebih seribu orang yang khalis liwajhillaahi Ta’ala.
Tok Kenali dikebumikan di perkuburan yang sekarang terkenal dengan nama Kubur Tok Kenali’ kilometer 5 jalan Pasir Puteh, Kota Bharu, tidak jauh dari istana negeri. Kuburnya selalu dizarahi oleh Duli Yang Maha Mulia Al-marhum Sultan Ibrahim (nenekanda kepada Duli Yang mulia Sultan Ismail Putera Sekarang) apa lagi oleh ramai terutamanya bekas murid-murid beliau yang ada berselerak di negeri ini, juga oleh pelawat-pelawat.
Dari desa pergi ke kota mencari sahabat nan berbudi kematiannya tanpa mewarisi harta tapi meninggalkan ilmu dana bakti.
Jawatan-jawatan Tok Kenali
suntingTok Kenali ada di antara orang-orang yang memikul tugas dan jawatan terpenting dalam perkembangan pengajian islam dan pertubuhan kebudayaan timur yang berteraskan islam di negeri Kelantan berdasarkan jawatan-jawatan yang pernah disandangnya sebagai berikut:
1. Ahli Majlis Ulama Islam Kelantan (7 Disember 1951- 19 November 1933).
2. Ketua Pelajaran Agama (Pengarah Bahagian Ilmu Agama. Bertanggungjawab memimpin Madrasah Muhammadiyyah dan penerbitan buku teks.
3. Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh (lidah rasmi Majlis Agama Islam Kelantan dikeluarkan setiap Isnin, dijual 10 sen senaskah).
4. Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
5. Pengasas Jamiyyah al-Ashriyyah - kumpulan ilmiah membincangkan isu agama dan semasa.
6. Penterjemah kitab dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu.
7. Guru agama di Masjid Besar al-Muhammadi, Kota Bharu.
8. Penasihat agama kepada Datuk Perdana Kelantan (Menteri Besar).
Kegiatan-kegiatan dan Jasa Tok Kenali
suntingSelain daripada mengajar, Tok Kenali juga bergiat dalam lapangan-lapangan yang berhubung dengan kemajuan agama dan kebudayaan islam. Datu Paduka Menteri Paduka Raja (Tuan haji Mahmud bin Ismail) dengan nasihat beliau telah dapat membentuk Majis Agama Islam dan Adat istiadat melayu kelantan pada 24 Disember 1915M (17 Safar 1334H). Ini adalah satu jasa yang dapat dilihat buktinya sampai sekarang.
Semasa hendak mengeluarkan majalah pengasuh 1918M iaitu warta majlis Agama islam dan Adat Istiadat Melayu kelantan. Tok Kenali telah dipilih untuk menjadi ketua pengarang kehormat . pada mulanya majalah ini dikeluarkan berupa lembaran akhbar yang mempunyai bidang besar, diterbitkan setiap hari Isnin, senaskah berharga 10 sen. Penerbitan majalah ini juga adalah daripada saranan dan dorongan-dorongan beliau.
Selain itu beliau telah ditugaskan oleh pihak majlis Agama Islam kelantan untuk menterjemahkan Tafsir Al-Khazin yang bertajuk “Lubaab at-Ta,wiil fil Ma’aani At-Tanzil” ke dalam bahasa melayu. Tugas berat ini telah dijalankan oleh beliau dan sebahagian daripada tafsir Al-khazin telahpun siap diterjemahkan. Sayangnya, naskah ini tidak dapat dikesan sehingga sekarang.
Juga tidak dapat dilupakan bahawa majalah Al-Hikmah (lahir 1 julai 1923M) di mana ketua Pengarang dan penerbitnya yang berbahagia Tuan Hj. Ahmad bin Ismail (Datuk Lela Negara) adalah kerap menerima nasihat-nasihat dan fikiran-fikiran yang berguna daripada Tok Kenali. Majalah pengetahuan ini diterbitkan tiga kali sebulan. Pejabat penerbitan ini selalu didatangi oleh Tok Kenali danaa merupakan salah satu tempat beliau membaca surat-surat khabar dan majalah dewasa itu.
Tok Kenali adalah seorang pencinta ilmu pengetahuan. Hal ini ternyata sekali dalam sejarah hidupnya . Beliau juga pernah menyimpan sebuah buku cetera Raja Muda. salah sebuah buku sejarah kelantan yang penting. Buku ini kemudiannya telah diberikan kepada pengarang buku Hikayat Seri Kelantan.
Dalam kegiatan kemasyarakatan pula, beliau telah melancarkan suatu getakan perhimpunan umat islam yang di namakan ‘Jam ,iyyatul Asriyyah] ‘[Perhimpunan semasa] yang kerap membicangkan perkara-perkara hangat dalam masyarakat [Politik] , perbincangan-perbincangan ilmu dan perhimpunan kerana ibadat. Sebagai megekal gerakan tersebut ,maka satu bangunan telah didirikan di tengah-tengah ibu kota dengan nama yang sama, terletak di Jalan Tengku Petra Semarak , Kota Bharu.
Perkembangan Pengaruh
suntingMelihatkan jawatan-jawatan penting yang telah disandang oleh Tok Kenali dalam masa hayatnya,juga memandang kepada kegiatan dan jasa -jasa beliau yang cemerlang dalam perkambangan pengajian ugama dan kebudayaan Islam di Negeri Kelantan khasnya dan Alam Melayu amnya.
Maka sudah sewajarnyalah pengaruh beliau segera berkembang ke segenap pelusuk tanah air dalam masa yang singkat sekali. Perkembangan-perkembangan ini adalah agak memuncak di penghujung pemerintahan Sultan Muhammad IV (1900-1920M) dan di awal pemerintahan Sultan Ismail (1920-1944M) . Kedua-dua baginda sultan ini adalah di antara sultan-sultan yang banyak mencipta kemajuan negeri dalam serba lapangan, lebih-lebih lagi di lapangan kemajuan agama Islam. Ini adalah memberi peluang yang besar kepada perkembangan pengaruh Tok Kenali yang sedang berkembang ke seluruh tanah air, apa lagi melihat kedudukan Tok Kenali yang sedang berkembang ke seluruh tanah air, apa lagi melihatkan eratnya perhubungan Tok Kenali dengan anak tuan gurunya dahulu iaitu dengan Hj. Nik Mahmud bin Ismail (Datuk Perdana Menteri Paduka Raja) yang juga memegang peranan terpenting dalam pentadbiran negeri Kelantan dewasa itu.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa tersebarnya pengetahuan Bahasa Arab dan pengetahuan-pengetahuan agama melalui pondok dan sekolah-sekolah pondok ke seluruh Tanah melayu ini antara lain ialah daripada jasa Tok Kenali yang menyusun kata-kata Tassrif yang kemudiannya diperkenalkan oleh murid-muridnya terutama tuan guru Hj. Ali Shalaahuddin Pulau Pisang dan Syaikh Uthman Jalaluluddin, Seberang Prai dalam buku Tatriful Arf- itu, Syaikh Uthman menulis;
“Sesungguhnya hamba pungut akan dia daripada beberapa mutiasa tasrif yang amat elok bagi guru hamba yang alim lagi yang amat ilmunya lagi yang menghimpunkan bagi beberapa fan ilmu yang bangsa kepada agama iaitu Muhammad Yusof yang masyhur akan gelarannya di seluruh Tanah Melayu dengan Tok Kenali di negeri Kelantan.
Perkembangan Pondok Sekolah Agama dan Sekolah Melayu
suntingSistem persekolahan yang diutaamakan oleh Tok Kenali dalam masa hayatnya ialah sistem pondok, Sistem pondok yang menggunakan bahan-bahan pelajaran yang berdasarkan kitab dengan mengkelas-kelaskan kitab kepada pengajian peringkat rendah, menengah atas dana tinggi yang dipelajari secara berkelompok (berhalqah) di masjid atau madrasah (balaisah) . Manakala pelajar-pelajar yang tinggal di pondok-pondok (Asrama) di bawah bimbingan Tok Kenali, telah melahirkan beberapa orang tokoh ulamak. Tuan-tuan guru (tok guru_, pendakwah, pengarang yang terkenal yang datang dari beberapa tempat di seluruh tanah Melayu , sumatera, kemboja dan lain-lain.
Guru-guru pondok lepasan kenali inilah kemudiannya tersebar keseluruhan rantau ini di mana mereka menghidupkan pula sistem pondok.
Adalah agak luar biasa, di samping menggalakkan sistem pondok, Tok Kenali sebagai pencinta ilmu, tidaklah menghalang wujudnya sistem persekolahan.
Tertubuhnya Agama islam dan adat istiadat melayu kelantan pada tahun 1915M yang sudahpun mempunyai rancangana mendidikan sekolah-sekolah Agama islam di kelantan , adalah juga dengan mendapat nasihat daripada Tok Kenali. Maka pada 5 Ogos 1917M ditubuhkan sebuah Sekolah Agama berbahasa pengantar melayu yang menitik beratkan Bahasa Arab, dengan nama “Al-Madrasah Al-Muhammadiyyah Al-Kilantaniyyah”. Sekolah ini juga mengadakan pelajaran bahasa inggeris di sebelah petangnya.
Jadi, Tok Kenali sebagai Ketua Pelajaran Agama Islam di Kelantan adalah memainkan peranan dalam pembukaan dan perlaksaan sekolah ini. Sekolah ini lebih dikenal dengan nama “ Sekolah Agama Majlis”.
Kemudian pada tahun 1937 bila lahirnya sekolah aliran bahasa arab di Majlis dengan nama “Majlis Al-Muhammadiyyah Al-Arabiyyah” barulah Sekolah Agama Majlis tadi bertukar nama dengan “Sekolah Melayu Majlis”, manakala sekolah yang baru tadi disebut “Sekolah Arab Majlis”. Akhir sekolah aliran melayu ini diserapkan secara beransur-ansur ke dalam Bahasa Arab sesudah dia dipindahkan ke bangunan Maahad Al-Muhammadi sekarang ( sebagai ekoran daripada sekolah aliran arab tadi )
Keberkatan usaha beliau ini membawa Syaikh Uthman Jalaludin Al-Kilatani membuka sekolah arab Manaabi’ Ai-’Uluum, Bukit mertajam pada tahun 1934 (1353). Demikian juga Tuan Guru Hj. Ali Salaahudin membuka madrasah Al-Falaah di Pulau Pinang di mana kedua-dua madrasah ini lebih berbentuk pondok (sistem pondok).
Di samping itu beliau juga adalah dianggap sebagai pendorong pembukaan sebahagian sekolah-sekolah Melayu di Kelantan ini seperti Sekolah Melayu Kubang Kerian 1920M, Sekolah Melayu Mentuan, dan lain-lain. Beliau tidaklah memusuhi pembukaan sekolah-sekolah seperti ini selagi pelajaran yang diajar tidak menyelaweng daripada ajaran islam yang suci.
Tok Kenali Melahirkan Angkatan Pengarang
suntingDi antara murid-murid Tok Kenali terdapat suatu golongan atau angkatan pengarang buku-buku agama yang mempunyai kedudukan yang baik di kalangan masyarakat Islam di dunia sebelah sini. Mereka ialah:
1. Dr. Syaikh Muhammad idris Al-Marbawi, seorang pujangga Islam yang banyak memberio sumbangan dalam perkembangan ajaran-ajaran Isdlam dengan kamusnya “Kamus Al- Marbawi” (Arab-Melayu) dan kitab-kitab karyanya yang banyak di lapangan Agama Islam.
2. Saahib Al-Fadhilah Datuk Hj. Ahmad mahir, Mufti Kerajaan kelantan yang juga seorang pengarang.
3. Syaikh uthman Jalaluddin Al-Kilantani, seorang pengarang buku-buku agama dan seorang guru.
4. Tuan guru Hj. Yaakub bin Ismail. Legor, Selatan Thailand.
5. Saahib Al-Fadhilah, Datuk Hj. Ismail bin Yusoff, Mufti Kerajaan kelantan.
6. Asy-Syaikh Muhammad Salih Tok Kenali, Makkah Al-Mukarramah Saudi Arabia.
7. Yang Berbahagia Hj. Ahmad bin Ismail (Datuk Lela Negara) pengarang majalah Al-Hikmah***(1923M) yang banyak mendidik bakat-bakat penulis dan pengarang-pengarang sebelum perang.
8. Tuan guru Hj. Ali Salahuddin, seorang guru agama terkenal yang juga menjadi seorang pengarang.
9. Tuan Guru Hj. Abdullah Tahir, seorang guru agama terkenal yang juga menjadi seorang pengarang.
10. Tuan Guru Hj. Yaakub bin Hj. Ahmad , lorong Gajah mati, kota Bharu adalah seorang guru agama dan seorang pengarang.
11. Yang berbahagia Datuk Hj. Hassan Yunus Al-Azhari, Bekas Menteri Besar Johor , ahli politik yang juga menjadi seorang pengarang.
12. Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Osmani, yang ditugaskan untuk membersihkan amalan-amalan seni mempertahankan diri dari unsur-unsur syirik dan khurafat.
Selain murid-murid beliau yang berbakat, terdapat pula cahaya-cahaya mata Tok Kenali yang turut memperkembangkan pengajaran ayahndanya, mereka ialah:
1. Al-Marhum Hj. Ahmad Tok Kenali, guru agama di pondok kenali dan guru yang mengajar pada beberapa buah surau dalam beberapa jajahan, daerah Negeri Kelantan.
2. Hj. Mahmud, wakil Syaikh haji , makkah.
3. Hj. Mohd Salleh Tok Kenali, guru agama di kota suci Makkah dan seorang pengarang buku-buku dan risalah-risalah agama. Beliau mendirikan persatuan “Darul-Islah” bertempat di Maulid nabi, Suatu persatuan astu perhimpunan kaum Muslimin dari Tanah melayu, patani, kemboja, Indonesia dan lain-lain yang datang ke Tanah Suci makkah terutamanya di musim-musim haji, di mana Tok Kenali diperkenal dan jasanya diperkenangkan. Suatu persatuan lagi didirikan oleh beliau dengan nama “Darul-Quran (Persatuan Al-quran) bertempat di Misfalah, Makkah.
4. Hj. Abdullah Zawawi, lulusan kuliah Syariah, makkah. Berkecimpung di bidang pendidikan dan menjadi pengetua sekolah-sekolah menengah di Kerajaan Arab Saudi dan Nigeria.
Peribadi dan Sifat-sifat Utama
suntingTok Kenali bukan hanya terkenal sebagai salah seorang ulamak besar sahaja, malah terkenal pula sebagai tokoh yang mempunyai sifat-sifat utama yang berguna untuk menjadi teladan kepada masyarakat islam. Antara sifat-sifat utama yang berguna untuk menjadi teladan kepada masyarakatt islam. Antara sifat-sifat tersebut ialah:
a) Sangat menghormati dan memuliai ibu
b) Pemurah, suka menderma terutamanya kepada fakir miskin dan anak-anak.
C) Seorang yang sabar, tidak lekas marah.
D) Suka berjalan kaki sahaja sebagai suatu langkah latihan melenyapkan perasaan sombong, bongkak dan megah.
E) mengamalkan hidup berdikari. Beliau membeli sendiri di pasar.
F) suka membaca dan menatap, baik buku-buku atau majalah-majalah di mana-mana sahaja beliau berada.
G) Suka beriktikaf di masjid, manakala tidur kerap berbantalkan lengan.
H) pakaian beliau amat sederhana.
Sebenarnya Tok Kenali ialah seorang “wali” atau seorang sufi disebabkan berlaku perkara luar biasa pada dirinya dan tidak inginkan kemegahan dan kesenangan hidup yang berlebihan. Tambahan pula memandang makhluk-makhluk lain dengan pandangan yang penuh bertimbang rasa dan kasihan belas.
Tok Kenali dan Hal-hal Kemasyarakatan
suntingSewaktu melancarkan pengajaran-pengajarannya, Tok Kenali didapati agak gemar sekali membincangkan hal-hal politik tanah air. Semasa hayatnya Tok Kenali tidak memisahkan politik daripada bidang pelajaran, malah beliau tidak mengenal pemisahan antara. Agama islam yang difahami dengan politik. Ini adalah merupakan suatu cara menyesuaikan pengajarannya dengan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat dengan alam keliling. Kerana itu dalam pengajarannya beliau mengemukakan beberapa anjuran melalui cerita-cerita tauladan yang berkesan antaranya: ikut bapamu, tetapi takutkan Tuhan kuasailah pengetahuan agama dan politik ilmu itu apa yang terguris dalam hati pengetahuan manusia terbatas. Mengaku salah jika bersalah. Sunnah Tuhan sudahlah wajar biar mati adat, jangan mati syarak. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Bertanya pada yang tahu. Penjahat itu mencukupi dengan kejahatannya. Doa adalah senjata orang mukmin. (Cerpen-cerpen Tok Kenali” oleh AQHAS - halaman 76), Terbitan baru dengan tajuk cerpen-cerpen warisan Tok Kenali).
Tok Kenali dan Puisi
suntingDalam masa menyampaikan pengajarannya, disamapaing mengutarakan ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis-hadis nabi Muhammad S.A.W , maka terhamburlah dari mulut beliau beberapa rangkap syair dan kata-kata hikmat bak mutiara gugur dari untainya.
Di sini dibentangkan sebuah syair yang pernah dikeluarkan oleh Tok Kenali iaitu:
Bahaya Merokok:
Perokok itu terhina, dungu, membazir dan keji, kerendahan bagi penagihnya, pasti, Darinya menguap kentut yang busuk dan diluati. Kepulan asap dari bibirnya mengasapi muka dana peribadi.
Antara kata-kata hikmatnya:
“orang yang mulia itu ialah orang yang memuliakan ibu” “mengkaji sendiri adalah punca kemajuan dalam pembelajaran”,
Pengaruh Imam Al-Ghazali
suntingMelihatkan peribadi dana sikap hidupnya, nyatakan bahawa Tok kenali adalah terpengaruh oleh ajaran-ajaran Failasuf islam Iman Ghazali, seorang Ahli Tasauf yang sampai kepada darjat “Hakikat” mengenal diri dan Tuhannya, ingin mencapai kebahagiaan dan kesucian yang setinggi-tingginya dalam penghidupan yang singkat ini, kemewahan hidup yang terhad dan sifat tidak membesar diri adalah nyata sekali dalam penghidupannya.
Unsur-unsur ini adalah terkandung dalam adoa yang dikumpul dan digubah oleh Iman Al-Ghazali dalam kitabnya “Ayyuhai Walad” (Wahai Anak) yang menjadi amalan Tok Kenali dan murid-murid beliau sehingga sesudah itu dikenal pula dengan “Doa Tok Kenali” (Doa mengiringi sembahyang Lima Waktu) yang antara lain bererti:
- "Wahai tuhan, sesungguhnya saya pohon pada Engkau pemberiannya sempurna , kesihatan yang berkekalan, rahmat yang menyeluruh dan kesegaran yang berguna. Saya pohonkan daripada Engkau puncak kesenangan hidup, puncak kebahagiaan umur, kesempurnaan kebaikan, juga keluasan pemberian dan kesopanan yang lebih berfaedah.”
Tuhanku, Tolonglah kami dan jangan pula kami ditindas. Tuhanku, Bahagiakanlah kesudahan hidup kami, buktikanlah hasrat kami dengan penambahan amalan. Susilah kesegaran dikala berpagi-pagi dan berpetang-petang.
Wahai Tuhanku, tumpahkanlah rahmat engkau di tempat kembali kami dan kesudahan kami dan tuangkanlah dulang kemaafan ke atas dosa-dosa kami dan kurniakanlah pembaikan kepada keaifan-keaifan kami dan berikanlah kegiatan kami pada agama engkau. Kepada Engkau kami berserah dan kepada engkau kami menggantung harapan”.
Meninjau kepada beberapa segi yang telah dikemukakan di atas, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa Tok Kenali adalah salah seorang tokoh ulama terkenal dan pembangun fikiran Umat Islam di dunia sebelah juga tidaklah salah jika dikatakan bahawa selagi terbitnya majalah pengasuh ke alam persuratan melayu, maka selama itulah Tok Kenali dikenangan, seterusnya tidaklah merupakan suatu penonjolan jika dikatakan bahawa selagi wujudnya majlis Agama islam dan Adat istiadat melayu kelantan” maka selama itulah Tok Kenali masih disebut dan dikenali.
Rujukan
sunting- Said, Abdul Ghani , 7 Wali Melayu, Mahbook Publications, Kuala Lumpur 1998
Pautan luar
sunting- Tokoh Kelantan di Laman Pendidikan Kelantan Diarkibkan 2009-01-30 di Wayback Machine
- http://ulama.blogspot.com/2006_10_01_ulama_archive.html
- http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Perspektif/20070318082401/Article/ Diarkibkan 2007-03-20 di Wayback Machine
- http://www.townplan.gov.my/al%20ansar/AL_ANSAR2.pdf Diarkibkan 2007-10-10 di Wayback Machine