Pendidikan rendah di Jepun

Pendidikan rendah di Jepun adalah program pendidikan yang disediakan untuk kanak-kanak di Jepun setelah mereka mencapai usia 6 tahun. Dikenali sebagai shogakko (Jepun: 小学校), atau persekolahan rendah, ianya termasuk dalam pendidikan wajib yang perlu diberikan kepada kanak-kanak[1]. Pendidikan wajib pula meliputi pendidikan rendah bermula pada usia 6 tahun sehingga 12 tahun, dan bersambung ke pendidikan menengah rendah atau chugakko (Jepun: 中学校) bermula pada usia 12 tahun sehingga 15 tahun[1].

Murid-murid dari Gred 6 sekolah rendah di Jepun.

Pendidikan rendah di Jepun dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) di bawah Biro Pendidikan Rendah dan Menengah[2]. Di bawah undang-undang yang ditetapkan, sesi persekolahan di Jepun bermula pada bulan April dan tamat pada 31 Mac tahun berikutnya[3]. Sesi persekolahan pula berjalan selama 5 hari seminggu bermula Isnin hingga Jumaat[4] dan cuti pada hujung minggu ditetapkan pada hari Sabtu dan Ahad.


Sejarah sunting

Sebelum Perang Dunia Kedua sunting

Sejarah merekodkan institusi pendidikan pertama yang ditubuhkan di Jepun sekitar tahun 662 dan 671 selepas Masihi, semasa dalam pemerintahan Emperor Tenji[5]. Pada zaman Edo (selepas tahun 1600), lebih banyak sekolah telah ditubuhkan. Antaranya ialah sekolah yang ditubuhkan oleh organisasi keagamaan yang terbuka kepada rakyat biasa yang ingin mempelajari ejaan dan bacaan[5]. Terdapat juga sekolah yang ditubuhkan khusus untuk mempelajari subjek-subjek seperti abakus, sejarah Jepun atau China, kaligrafi dan pendidikan Barat.

Era pendidikan moden di Jepun bermula pada tahun 1872, dengan penggubalan akta yang melahirkan sistem pendidikan nasional pertama Jepun. Menerusi akta ini, yang dikenali sebagai Akta Pendidikan atau Gakusei (Jepun: 学制), sekolah rendah, menengah dan universiti diperkenalkan bagi menyokong sistem pendidikan ini[6]. Pada awalnya, kanak-kanak di Jepun perlu menghabiskan 4 tahun di sekolah rendah, namun begitu, pada tahun 1909, tahun persekolahan rendah wajib telah ditambah kepada 6 tahun[5]. Sistem pendidikan Gakusei ini diolah mengikut sistem pendidikan di Perancis, dengan mengamalkan kaedah persempadanan berdasarkan kepada 8 universiti[7]. Pada ketika itu, bilangan sekolah rendah dianggarkan sebanyak 53,760 buah sekolah. Pada tahun berikutnya, akta ini disemak semula dengan bilangan daerah universiti berkurangan kepada 7 bagi tujuan melancarkan penguatkuasaan[7].

Subjek "Pengenalan kepada Garis Geometri" atau Kikagaku Keiga Taii telah diperkenalkan sebagai subjek wajib bagi murid-murid tahap atas pendidikan rendah (berusia 10 hingga 13 tahun) di semua sekolah rendah[8]. Tahun berikutnya, nama subjek ini diubah kepada Keiga yang memfokuskan kepada cara untuk menyalin gambar dalam buku teks menggunakan kertas graf, kaedah yang memerlukan perhatian lebih teliti dan menekankan kepada praktikaliti[8]. Ini merupakan pengenalan kepada pendidikan seni di Jepun, kemudiannya direvolusi oleh Kanae Yamamoto, yang membawa idea kebebasan dalam mendidik kesenian dalam kalangan kanak-kanak.

Setakat tahun 1940, kurikulum di sekolah rendah Jepun adalah berdasarkan kepada lima subjek teras; Etika, Bahasa Jepun, Aritmetik, Muzik dan Pendidikan Fizikal[5]. Sementara bagi subjek Sejarah Jepun dan Sains pula ditambah bagi murid-murid tahap atas. Pendidikan rendah di Jepun pada ketika ini banyak dipengaruhi oleh sistem pendidikan Barat.

Selepas Perang Dunia Kedua sunting

Pada tahun 1947, sistem pendidikan di Jepun mengalami perubahan yang ketara, antara yang diperkenalkan ialah Undang-undang Asas Pendidikan. Dalam undang-undang ini, jangka masa pendidikan rendah yang akan dilalui kanak-kanak cukup umur berkurangan daripada 8 tahun kepada 6 tahun. Kurikulum bagi sekolah rendah ditambah kepada lapan subjek; subjek berkaitan Jepun, Pendidikan Sosial, Aritmetik, Sains, Muzik, Seni dan Kraftangan, Pengurusan di Rumah dan Pendidikan Jasmani.

Subjek Seni dan Kraftangan atau Zuga-kosaku[9] diperkenalkan pada bulan Mei 1947[10]. Para pendidik diberi kebebasan untuk melakukan aktiviti yang berkaitan bagi subjek ini. Pada tahun 1958, subjek ini diubah nama kepada Pendidikan Seni Visual atau Bijutsu. Pengharaman buku teks bagi subjek Kesenian yang diterbikan sebelum Jun 1946 oleh kerana buku teks terbaru yang diiktiraf mula digunakan di sekolah rendah bermula pada tahun 1955[8].


Rujukan sunting

  1. ^ a b Overview of the Japanese Education System, Jepun: National Institution for Academic Degrees and Quality Enhancement of Higher Education, dicapai pada 7 Julai 2023
  2. ^ Organization Chart, Jepun: Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun (MEXT), dicapai pada 7 Julai 2023
  3. ^ Overview of the Japanese Education System, Jepun: Kementerian Perhubungan Luar Jepun (MOFA), dicapai pada 7 Julai 2023
  4. ^ Brown, Jamila (2023), About the Japanese School Education System, Jepun: Japanese Job Board, dicapai pada 7 Julai 2023
  5. ^ a b c d Stevenson, Harold (September 1991). "Japanese Elementary School Education". The Elementary School Journal. 92 (1 (September 1991)): 109–120. ISSN 1554-8279. Dicapai pada 7 Julai 2023.
  6. ^ Yasutaka, Maruki. "Nose Sakae's Study Abroad: Idealization and Devaluation of American Education During Japan's Early Meiji Era". Oregon Historical Quarterly. 115 (1 (Spring 2014)): 38–59. doi:10.5403/oregonhistq.115.1.0038. ISSN 2329-3780. Dicapai pada 7 Julai 2023.
  7. ^ a b Gakusei (educational system, the Education System Order) (学制), Jepun: National Institute of Information and Communications Technology (NICT), dicapai pada 8 Julai 2023
  8. ^ a b c Masuda, Kingo. "A Historical Overview of Art Education in Japan". The Journal of Aesthetic Education. 37 (4 (Winter, 2003)): 3–11. doi:10.2307/3527328. ISSN 1554-8279. Dicapai pada 8 Julai 2023.
  9. ^ Amagai, Yoshinori. "The Kobu Bijutsu Gakko and the Beginning of Design Education in Modern Japan". Design Issues. 19 (2 (Spring, 2003)): 35–44. ISSN 1531-4790. Dicapai pada 8 Julai 2023.
  10. ^ Naoe, Toshio. "Art Education in Lower Secondary Schools in Japan and the United Kingdom". The Journal of Aesthetic Education. 37 (4 (Winter, 2003)): 101–107. doi:10.2307/3527328. ISSN 1554-8279. Dicapai pada 8 Julai 2023.