Pengajian Gender merupakan satu bidang yang merentas disiplin akademik mengenai hubungan, identiti dan peranan perempuan dan lelaki dalam budaya, politik, agama, dan ekonomi. Penggiat Pengajian Gender berminat untuk memperkayakan dan mentransformasikan ilmu pengatahuan sejagat kerana merasa wanita telah diabaikan atau diketepikan dalam ilmu pengetahuan dan bidang-bidang seperti sejarah, falsafah, sastera dan sains. Ini dilakukan dengan memperkenalkan fahaman feminisme kepada sistem-sistem penghasilan ilmu (epistemologi) bagi mencabar bias dan corak pengagihan ilmu yang bersifat androsentrik. Juga dikenali sebagai Pengajian Wanita, bidang ini meletakkan wanita sebagai ‘pusat’ dalam penjanaan ilmu atau "ginosentrik". [1]

Penggiat Pengajian Gender mempunyai pendirian kritikal terhadap bidang-bidang sosial yang “buta” kepada gender (gender-blind). Pengajian Gender menukar arah tumpuan daripada corak penghasilan ilmu pengetahuan yang androsentrik kepada suatu perspektif di mana idea-idea, pengalaman, keperluan dan minat wanita yang berlainan daripada lelaki dijadikan tumpuan penghasilan ilmu pengetahuan.

Sejarah penubuhan Pengajian Gender sunting

Asal usul Pengajian Gender bermula semenjak kenaikan ‘gelombang’ gerakan feminisme kedua di Amerika Syarikat dan Great Britain pada perhujungan tahun 1960-an. Pada waktu itu, penubuhan Pengajian Wanita sebagai kursus universiti merupakan satu tindakan yang bersifat politikal dan radikal. [2] Kursus-kursus awal yang ditubuhkan dalam Pengajian Wanita/Gender adalah mengenai kesihatan dan sejarah wanita, dan kursus penampilan diri bagi menerapkan pendirian yang lebih tegas. Program pasca-ijazah/sarjana/MA dalam Pengajian Wanita pertama ditawarkan di Cornell University, California State University pada tahun 1970-an dan University of Kent di UK pada 1980. Pada mulanya, kursus Pengajian Wanita ditawarkan untuk memecahkan perbezaan antara dewan kuliah dan kehidupan seharian. Pengajian Wanita ditawarkan kepada wanita yang meneruskan pendidikan ke universiti dan wanita dewasa yang sudah bekerja sebagai kursus yang memberi pencerahan kepada mereka mengenai status mereka dalam masyarakat.

Matlamat pedagogi Pengajian Gender sunting

Matlamat pedagogi (yakni teori dan sistem pengajaran) Pengajian Gender adalah mengubah definisi seorang ‘pakar’ dan ‘murid’. Secara lazimnya, ‘murid’ digambarkan sebagai tabula rasa atau kain putih yang jahil - peranan seorang murid adalah untuk menelan maklumat tanpa berfikiran kritikal. Seorang ‘pakar’ biasanya digambarkan sebagai ilmuwan yang mempunyai kuasa dan tidak boleh dipertikaikan. Tetapi seorang ‘pakar’ bukan Tuhan. Dalam Pengajian Gender, interaksi antara murid dan pengajarnya adalah lebih dinamik dan saling memanfaatkan dan mempelajari dengan satu sama lain. Matlamat terbesar Pengajian Gender adalah untuk memperkasakan individu yang tertindas melalui ilmu pengetahuan.


Ilmu pengetahuan yang bersifat androsentrik sunting

Maksud ‘androsentrik’ di sini tidak bererti berfokuskan lelaki semata-mata. Androsentrisme terdiri daripada perkataan Yunani kuno ‘andro’ (ἀνήρ) untuk lelaki. Maka, androsentrisme meletakkan sudut pandangan lelaki sebagai sudut pandangan sejagat (universal worldview). Pendekatan feminis pula mempersoal dan mempertikaikan segala ilmu yang bersifat ‘objektif’. Pendapat atau hasil kajian yang ‘objektif’ bermakna ia mengikuti kaedah yang sistematik atau saintififik untuk mendapatkan maklumat tertentu. Oleh yang demikian, pendapat dan hasil kajian yang ‘objektif’ tidak dipengaruhi atau ‘dicemari’ oleh bias dan unsur-unsur yang tidak rasional seperti emosi.

Ilmu yang bersifat androsentrik juga menitikberatkan pemikiran yang rasional dan penaakulan (akal). Dalam kata lain, pemikiran yang rasional berfokuskan minda seorang individu sahaja. Ini bermakna pemikiran yang rasional meletakkan cara-cara untuk mengetahui atau pendekatan epistemologi yang lain (melalui emosi dan pancaindera selain penglihatan) di taraf yang lebih rendah. Pendapat dan hasil pencarian ilmu yang ‘objektif’ dikira sahih, kukuh dan muktamad kerana ia tidak ‘dicemari’ prejudis dan emosi seseorang. Mengikut penelitian feminis, konsep ‘objectivity’ menyembunyikan prejudis dan bias pendapat dan hasil pencarian ilmu seseorang.

Daripada ‘wanita’ ke ‘gender’ sunting

Tumpuan yang diberikan kepada kategori ‘wanita’ sahaja kurang prihatin kepada konsep maskuliniti dan isu-isu transgender atau genderqueer (tidak memihak kepada femininiti atau maskuliniti). Kategori ‘gender’ adalah lebih sesuai kerana ia lebih peka kepada hubungan antara wanita dan lelaki dalam masyarakat. Kategori ‘gender’ boleh memperluaskan penyertaan dan sumbangan lelaki, transgender, golongan interseks, dan genderqueer ke dalam Pengajian Gender. Tetapi mengikut Victoria Robinson (1993), kategori ‘gender’ boleh menyumbang kepada ketidaknampakan wanita (invisibility of women) kerana ‘wanita’ sebagai kategori kurang diutamakan.


Cabaran Pengajian Gender dalam institusi pengajian tinggi sunting

Oleh kerana kursus Pengajian Wanita berasal daripada aktivisme gerakan feminis, pengajaran dan pembelajaran Pengajian Wanita mempunyai unsur yang politikal dan radikal. Di Malaysia, ‘feminisme’ masih mempunyai sambutan yang negatif kerana faktor-faktor sosial dan kurangnya pendedahan. Persepsi yang negatif ini boleh menjejaskan objektif kursus yakni yang meningkatkan kesedaran menggunakan pendekatan feminis. Oleh kerana Pengajian Gender mengkaji status dan sumbangan wanita dan menganalisis peranan gender dalam fenomena sosial, ia secara tidak langsung menyebalahi pendekatan feminis. Dengan kata lain, Pengajian Gender menegakkan bias – yakni bias yang bersifat feminis untuk memberi pencerahan kepada isu-isu gender dalam masyarakat. Cabaran besar Pengajian Gender adalah ia melibatkan perbincangan isu-isu yang sensitif dan boleh menyinggung perasaan seperti agama, homoseksualiti, pengguguran anak dan sebagainya. Lantas, perbincangan juga dikendalikan dengan menggunakan sudut pandangan feminis. Walaupun sensitif, hasil daripada perbincangan sebaik-baiknya adalah untuk keadilan sosial

Pautan berkaitan sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Victoria Robinson (2003) ‘Introducing women’s studies’. Dalam Introducing Women’s Studies, disunting oleh Diane Richardson dan Victoria Robinson. Macmillan Press
  2. ^ Robinson (2003) ‘Introducing women’s studies’