Timah ialah sebuah jenama wiski teradun dari Malaysia yang dihasilkan oleh syarikat tempatan, Winepak Corporation. Timah terdiri daripada adunan malt barli yang diproses melalui pemanasan gambut serta spirit buatan tempatan. Minuman ini memiliki kandungan alkohol 40% dan dijual sebanyak 750 mililiter sebotol.

Timah
JenisWiski teradun
PengeluarWinepak Corporation
Negara asalMalaysia
Alkohol mengikut isipadu40%

Huraian dan sejarah sunting

Timah ialah sejenis wiski teradun. Kandungan utama Timah ialah dua jenis malt barli matang yang diproses melalui pemanasan gambut yang memberikan bau dan rasa wiski yang berasap. Bersama-sama, malt ini diadunkan dengan spirit (cairan alkohol berwap) bersifat neutral asal tempatan.[1] Timah memiliki kandungan alkohol sebanyak 40% dan dibotolkan sebanyak 750 mililiter sebotol. Minuman ini dirasmikan secara maya oleh pengarah syarikat pengeluar, Gilbert dan Kenny Yeo, dan kini dipasarkan di beberapa buah negara, termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan Taiwan.[2] Di Malaysia, minuman beralkohol ini dijual dengan harga RM190 sebotol.[3]

Anugerah sunting

Minuman Timah telah memperoleh pengiktirafan dan merangkul anugerah-anugerah minuman beralkohol peringkat antarabangsa. Anugerah-anugerah yang diperoleh Timah termasuk anugerah emas "Wiski Terbaik Malaysia" dalam Pertandingan Wiski Antarabangsa 2021. Menurut para hakim satu lagi pertandingan minuman keras, Timah disifatkan sebagai "suatu spirit mengkagumkan yang menunjukkan kehalusan dan kerumitan."[2]

Kontroversi sunting

 
Potret Tristram Speedy yang diletakkan sebagai figura dalam bungkusan Timah.

Selepas pelancaran pada Oktober 2021, minuman keras ini mendapat kecaman daripada kelompok Islamis tempatan atas penjenamaan wiski itu yang disifatkan sebagai menghina masyarakat Islam, terutamanya pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang.[4][3] Menurut pembangkang, nama wiski itu, Timah dikatakan mirip atau dinamakan sempena nama wanita Muslim am, "Fatimah" yang lazim dikaitkan dengan puteri Muhammad, Fatimah al-Zahra.[5] Potret pada bungkusan yang menampilkan seorang figura bertopi kopiah dan berjanggut lebai juga dipersoalkan pihak pembantah kerana dikatakan berunsur Islamik.[6] Oleh kerana itu, pihak pembantah juga mengusulkan agar minuman itu diharamkan daripada dijual di Malaysia serta dijenamakan semula.

Walaupun begitu, pihak pengeluar menafikan logik di sebalik penjenamaan itu, dan menerangkan bahawa nama itu adalah berdasarkan unsur logam bernama sama serta tidak berniat untuk menerapkan unsur-unsur Islam, dan dipasarkan bagi warga bukan Islam. Mengikut pengeluar, penjenamaan wiski ini diilhamkan daripada kerancakan industri timah pada zaman kolonial Tanah Melayu. Sementara itu, potret pada bungkusan ialah seorang pegawai kolonial, Tristram Speedy (juga digelar Captain Speedy seperti pada bungkusan) yang dikatakan meperkenalkan wiski ke Tanah Melayu.[7]

Sementara itu, sesetengah golongan awam mengalu-alukan penjenamaan minuman itu, dan menggelar kecaman yang disampaikan sebagai "berlebih-lebihan" serta "petanda hampirnya musim pilihan raya."[7] Sementara itu, seorang pegawai utama PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengalu-alukan penjenamaan itu atas dasar toleransi ke atas masyarakat bukan Islam, dan menyifatkan kontroversi yang terbit sebagai suatu yang tidak perlu.[8]

Rujukan sunting

  1. ^ Pereira, Aaron (12 Oktober 2021). "Timah Is Malaysia's Award-Winning, Double Peated Whisky". Augustman (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Oktober 2021.
  2. ^ a b Augustin, Richard (13 Oktober 2021). "Malaysia Has An Award-Winning Whiskey And Its Called Timah". Augustman (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Oktober 2021.
  3. ^ a b "CAP calls for ban on 'Timah' alcohol". New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). 17 Oktober 2021. Dicapai pada 19 Oktober 2021.
  4. ^ Tan, Tarrence (18 Oktober 2021). "PAS Ulama Council wants four actions to address Timah whiskey controversy". The Star (Malaysia) (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Oktober 2021.
  5. ^ "What The Fish? Timah Explains Origin Of Controversial Whiskey Brand". The Rakyat Post (dalam bahasa Inggeris). 16 Oktober 2021. Dicapai pada 19 Oktober 2021.
  6. ^ "Idris agrees with Penang mufti's call to address issue of 'Timah' whiskey branding". The Star (Malaysia) (dalam bahasa Inggeris). 19 Oktober 2021. Dicapai pada 19 Oktober 2021.
  7. ^ a b Ong, Li Ping (18 Oktober 2021). "TIMAH Whisky explains 'controversial' name after call out by Consumer Association of Penang". Marketing Interactive (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Oktober 2021.
  8. ^ "Timah is a metal, not a Muslim name, explains Tuan Ibrahim". Free Malaysia Today (dalam bahasa Inggeris). 19 Oktober 2021. Dicapai pada 19 Oktober 2021.