Perang Jambatan berlaku pada bulan Oktober 634 M. Tentera Parsi Sassanid di bawah pimpinan Panglima Bahman Jadu menyusun semula kekuatan dengan strategi baru. Setelah mengenalpasti kekuatan serangan tentera Islam adalah berasaskan kepantasan serangan tentera berkuda, Bahman Jadu menggunakan khidmat tentera bergajah.

Perang Jambatan
Sebahagian daripada Penyebaran Islam di Parsi
TarikhOktober 634M
Lokasi
Berdekatan Sungai Furat
Keputusan Kemenangan tentera Parsi Sasan
Perubahan
wilayah
Kawasan pesisir Sungai Furat dirampas semula oleh tentera Parsi
Pihak yang terlibat
Empayar Sasan Khulafa al-Rasyidin
Komandan dan pemimpin
Bahman Jadu, Abu Ubaid, Muthanna ibn Harith
Kekuatan
Sekitar 30,000 Sekitar 15,000
Kerugian dan korban
Sekitar 1,000 Sekitar 4,000

Lokasi pertempuran ini terletak berdekatan dengan Sungai Furat, Kufah. Ketika hari pertempuran, tentera Islam pimpinan Abu Ubaid mara dan menguasai medan peperangan. Setelah keadaan tentera Parsi agak terdesak, Bahman kemudiannya menyerang balas terhadap tentera Islam dengan tentera bergajah mereka. Bahman Jadu berpendapat penggunaan tentera bergajah dapat menyerap dan menahan serangan pantas pasukan berkuda tentera Islam. Akibat daripada serangan tentera bergajah Parsi, tentera berkuda Islam yang tidak mempunyai pengalaman berhadapan dengan tentera bergajah terpaksa berundur dan ini membuatkan tentera Parsi berjaya mengalahkan mereka. Abu Ubaid terbunuh dalam serangan ini.

Seramai 4,000 orang tentera Islam terkorban syahid. Ketika itu tentera Islam kemudiannya dipimpin oleh Muthanna ibn Harith. Memandangkan serangan kali ini gagal dan tidak mampu menembusi pertahanan pasukan bergajah tentera Parsi, Muthanna mengarahkan tentera Islam berundur dari medan perang. Pengunduran tentera Islam di bawah pimpinan Panglima Muthanna ibn Harith berjaya mengelakkan tentera Islam terkorban dengan lebih ramai.

Pada ketika Bahman Jadu ingin mengejar tentera Islam untuk menghancurkan kekuatan tentera Islam yang mempunyai petempatan sementara di Sungai Furat, Panglima Besar Parsi Rostam Farrokhzad memanggil beliau supaya pulang ke Madain, ibu kota Parsi kerana berlakunya masalah dalaman negara. Ini menyebabkan pasukan tentera Islam terselamat daripada serangan balas pihak Parsi. Buat pertama kali, tentera Islam tewas dalam pertempuran dengan tentera Parsi.

Selepas peperangan ini, tentera Islam mula memperlahankan rentak dan mengambil sikap hanya bertahan dengan membina sebuah markas pertahanan di Kufah. Ini kerana terdapatnya masalah logistik, kekurangan bekalan asas dan ketiadaan panglima perang yang cekap untuk memimpin tentera untuk menakluk negara Parsi. Dengan ini, operasi ketenteraan terhenti buat seketika waktu. Walau bagaimana pun tentera Parsi masih menganggap garisan pertahanan yang dibuat oleh tentera Islam memberi ancaman yang serius.