The Pusat Asasi UIAM (bahasa Inggeris: Centre for Foundation Studies; CFS) ialah sebuah institusi pendidikan pra-universiti di bawah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berpusat di Gambang, Pahang, Malaysia. Ia menawarkan 19 program asasi sepanjang tiga semester.[1] Graduan daripada CFS akan melanjutkan pelajaran ke kampus ijazah sarjana muda UIAM di Gombak, Kuantan, atau Pagoh dalam program masing-masing.

Pusat Asasi UIAM
Centre for Foundation Studies
Nama lama
Pusat Matrikulasi
JenisInstitusi pra-universiti awam
Ditubuhkan padaJulai 1985 (1985-07)
Institusi induk
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Gabungan agama
Islam
DekanHasanul Basri bin Abdullah
PengarahShahrizad binti Sa-idul Haj
Lokasi,
Pahang
,
26300
,
Bahasa
Warna          Firus dan kelabu
Laman sesawangcentre.iium.edu.my/cfs

Program asasi di CFS ditawarkan untuk rakyat Malaysia yang mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala mereka yang tidak mempunyai kelayakan tersebut akan menjalani pengajian asasi mereka di IIUM Academy yang terletak di kedua-dua kampus CFS di Gambang, serta kampus utama UIAM di Gombak.[2]

Sejarah sunting

Pusat Asasi UIAM dibuka pada Julai 1985 sebagai Pusat Matrikulasi UIAM di Subang Jaya. Ia menawarkan pengajian pra-universiti untuk bakal pelajar UIAM dalam bidang ekonomi dan ilmu pengetahuan berasaskan wahyu dan warisan Islam & sains kemanusiaan (IRKHS). CFS dahulunya menawarkan program matrikulasi 2 tahun sebelum dinaik taraf kepada CFS, menawarkan program asasi selama 1.5 tahun dan kini 1 tahun sahaja. Pusat ini kemudiannya berpindah ke lokasi lain di Lembah Pantai.[3]

 
Pelajar baharu mengelilingi kampus Pusat Asasi UIAM.

Pada tahun 2001, pusat itu kemudiannya dipindahkan ke kampus utama lama UIAM di Petaling Jaya, selepas pembinaan kampus utama baharu di Gombak selesai pada tahun 1995.[3] Selepas dipindahkan sebentar ke tapak lain di Nilai, Negeri Sembilan dan ke kampus Gombak, pusat ini dipindahkan ke kampus perubatan UIAM di Kuantan pada Disember 2017 sambil kampus baharu dibina untuk Pusat Asasi UIAM di Gambang.[4] Pada masa itu, CFS telah berpindah ke kampus baharu Gambang secara beransur-ansur sehingga tahun 2019.[3]

Kampus Gambang akan terus berkembang untuk menampung lebih ramai pelajar dan kemudahan, setelah hanya menamatkan fasa kedua setakat tahun 2023.[5]

Pada November 2022, CFS telah menganjurkan Persidangan Pendidikan Masa Depan dan Lestari (Conference on Future and Sustainable Education; CFSE) yang julung kali diadakan. Ia merupakan persidangan kebangsaan pertama yang mempunyai pembentangan kertas penyelidikan serta pertandingan poster penyelidikan dalam kalangan sarjana, intelektual dan ahli profesional.[6] CFSE 2022 melibatkan universiti, institusi pra-universiti dan sekolah menengah dari seluruh Malaysia serta negara lain.[7] Persidangan itu diadakan dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Pada Mac 2023, CFS telah menjadi tuan rumah bagi Sukan Asasi Malaysia 2023 yang melibatkan 13 institusi asasi di seluruh negara.[8]

Kampus sunting

Sepanjang operasinya, CFS (dan Pusat Matrikulasi UIAM dahulu) telah bertapak di tujuh kampus berasingan, di Subang Jaya, Lembah Pantai, Petaling Jaya, Nilai, Gombak (kampus induk UIAM), Kuantan (kampus perubatan UIAM), dan akhirnya di Gambang pada 2019.[3]

Kampus Gambang sunting

 
Bangunan pentadbiran pertama Pusat Asasi UIAM, bangunan Abu Bakr As-Siddiq. Bangunan ini tidak lagi digunakan bagi pentadbiran sejak Ogos 2022.

Pembinaan kampus Gambang telah bermula pada tahun 2012, sebagai kampus baharu yang dibuat khas untuk CFS seluas 200 ekar.[9] Hartanah kampus itu dikendalikan oleh Konsesi Pusat Asasi Gambang Sdn Bhd (KPAG) dengan persetujuan UIAM dan kerajaan Malaysia, kecuali dua kawasan iaitu bangunan pentadbiran dan asrama Mahallah al-Biruni. [9] Kampus ini mencapai tahap yang boleh digunakan pada tahun 2017 apabila pusat itu mula secara beransur-ansur berpindah dari kawasan sementaranya di kampus Kuantan UIAM.[4] Peralihan penuh telah selesai pada 2019 selepas kampus tersebut dianggap cukup sesuai untuk penggunaan penuh. Sehingga 2023, kampus tersebut masih menjalani kerja-kerja pembesaran untuk fasa seterusnya bagi membolehkan lebih ramai pelajar dan kemudahan di dalam pusat itu. [5]

Kampus Gambang akan dirasmikan pada Oktober 2023 bersempena dengan ulang tahun ke-40 UIAM.

Kampus ini dilengkapi dengan masjidnya tersendiri, auditorium, dewan serbaguna, studio, makmal, perpustakaan, asrama, pusat sukan, stadium dan lain-lain. Di bahagian tengah kampus terletak Pusat Siswa, dengan kafeteria utama dan Klinik Sejahtera UIAM, serta Perpustakaan Dar al-Hikmah.[3]

Kemudahan kesihatan sunting

Kampus Gambang mempunyai kliniknya tersendiri iaitu Klinik UIAM Sejahtera yang terletak di dalam kompleks Pusat Siswa. Klinik ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan perubatan termasuk bilik radiologi, bilik pergigian, bilik optometri dan lain-lain. Klinik ini menyediakan perkhidmatan penjagaan primer kepada pelajar dan kakitangan CFS. Kes lanjut akan dirujuk ke Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC@UIAM) di UIAM Kuantan.[10]

Perpustakaan sunting

Perpustakaan Dar al-Hikmah di CFS terletak di sebelah Pusat Siswa di tengah-tengah kampus.[3] Perpustakaan ini lebih kecil berbanding perpustakaan lain di UIAM, namun masih menyediakan kemudahan seperti bilik komputer, dewan dan bilik serba guna, unit karel, bilik perbincangan dan juga sebuah kafe.

Kemudahan sukan sunting

 
Mahasiswa CFS bermain bola sepak di Stadium Kompleks Sukan Al-Fatih, Mei 2022.

Kampus ini dilengkapi dengan kompleks sukan yang dinamakan Pusat Sukan Al-Fatih sempena nama Sultan Uthmaniyyah, Muhammad Al-Fatih. Pusat sukan ini mempunyai stadium dengan trek dan padang, bersebelahan gelanggang serbaguna dan padang memanah.[3]

Di dalam asrama, terdapat juga gimnasium bagi pelajar lelaki dan juga bagi pelajar perempuan, serta gelanggang yang lebih kecil untuk bola jaring, sepak takraw dan badminton, serta padang kedua untuk ragbi dan bola sepak.[10] Dewan serbaguna utama Al-Khawarizmi juga berfungsi sebagai gelanggang badminton utama.

Pada Mac 2023, kemudahan sukan CFS telah digunakan bagi menganjurkan Sukan Asasi Malaysia 2023.[8]

Asrama sunting

 
Laluan ke Mahallah Fatimah Al-Majritiya.

CFS boleh menempatkan seramai 3952 pelajar dalam enam mahallah (asrama) mereka, dua daripadanya untuk pelajar lelaki dan empat untuk pelajar perempuan. Mahallah-mahallah yang tersedia di CFS adalah seperti berikut (kapasiti dalam kurungan): [10]

  • Mahallah Al-Zahrawi (800)
  • Mahallah Al-Biruni (752)
  • Mahallah Azdah (800)
  • Mahallah Umamah (800)
  • Mahallah Fatima Al-Majritiya (800)
  • Mahallah Aishah (800)
 
Kafeteria Mahallah Al-Biruni.

Setiap mahallah menyediakan kemudahan seperti dobi, bilik belajar, dan bilik TV, manakala kemudahan tertentu seperti kafeteria dan kedai serbaneka adalah terhad kepada mahallah-mahallah tertentu seperti Mahallah Al-Biruni dan Mahallah Fatima Al-Majritiya. Empat daripada mahallah CFS menyediakan bilik untuk pelajar kurang upaya yang terletak di tingkat bawah dengan akses dalam bilik ke tandas serta susun atur yang lebih mudah dicapai.[10]

Tempat beribadat sunting

Setiap bangunan di CFS Gambang mempunyai musalanya (surau) tersendiri. Tempat solat utama ialah Masjid Pusat Asasi UIAM yang terletak berhampiran pintu pagar kampus. Ia juga menjadi tempat bagi warga kampus kolej berdekatan menunaikan solat berjemaah terutamanya solat Jumaat. Masjid ini berada di bawah pengurusan pentadbiran universiti (di bawah Jabatan Pembangunan Kerohanian) dan juga para pelajar (di bawah Kelab Imaratul Masjid).[3]

Akademik sunting

 
Sesi kelas yang dijalankan secara hibrid semasa penularan wabak Covid-19, Mei 2022.

Semasa setiap pengambilan utama yang berlangsung pada bulan Ogos setiap tahun, pusat ini menerima hampir 4,000 pelajar. Sehingga 2023, univerisiti ini menawarkan 19 program asasi iaitu:[3]

  • Sains Kesihatan Bersekutu
  • Bahasa Arab
  • Bahasa Arab untuk Komunikasi Antarabangsa
  • Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar
  • Sains Biologi
  • Pergigian
  • Ekonomi dan Sains Pengurusan
  • Kejuruteraan
  • Bahasa Inggeris
  • Bahasa Inggeris untuk Komunikasi Antarabangsa
  • Sains Kemanusiaan
  • Ilmu Pengetahuan Berasaskan Wahyu dan Warisan Islam
  • Undang-undang
  • Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa
  • Perubatan
  • Kejururawatan
  • Sains Fizikal
  • Farmasi
  • Perancangan Pelancongan dan Pengurusan Hospitaliti

CFS dahulunya menawarkan program asasi dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi, tetapi kemudiannya digabungkan dengan program asasi dalam Kejuruteraan.

Kebanyakan program diajar dalam bahasa Inggeris, kecuali Bahasa Arab, Bahasa Arab untuk Komunikasi Antarabangsa dan Ilmu Pengetahuan Berasaskan Wahyu dan Warisan Islam yang diajar dalam bahasa Arab, dan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa yang diajar dalam bahasa Melayu.[3]

Kesemua pelajar dikehendaki menjalani dua semester program usrah, serta kursus teras universiti termasuk Memahami Agama Islam, dan Aplikasi Asas ICT.[3]

Kegiatan pelajar sunting

 
Latihan silat seni gayong di hadapan Perpustakaan Dar Al-Hikmah.

Seperti di kampus utama UIAM, pelajar CFS juga digalakkan untuk bergiat aktif di dalam aktiviti kokurikulum di universiti. Terdapat lebih 30 persatuan,[11] masing-masing menjalankan aktiviti mereka sepanjang tahun. Setiap pelajar dimasukkan ke dalam persatuan kuliah mereka secara automatik, dan boleh memilih untuk menyertai persatuan-persatuan lain.

Antara aktiviti kokurikulum utama di CFS termasuklah aktiviti kepidatoan seperti debat dan parlimen universiti, sukan, serta seni pertahanan diri seperti silat seni gayong dan aikido.[11]

Pelajar diberi insentif dalam bentuk markah "starpoint" (student activity record point) berdasarkan keaktifan mereka dalam kegiatan luar kurikulum.

Rujukan sunting

  1. ^ "Program - Foundation". International Islamic University Malaysia.
  2. ^ "Admission & CFS Entry". International Islamic University Malaysia.
  3. ^ a b c d e f g h i j k Centre for Foundation Studies Student Handbook. Gambang: Centre for Foundation Studies, International Islamic University Malaysia. 2021. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":0" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  4. ^ a b Awwabin Zainuddin (2017-12-18). "IIUM Alumni bid farewell to PJ Campus". IIUM Today. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":1" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  5. ^ a b Mohd Rafi Mamat (2020-03-15). "UIAM tangguh perasmian pusat asasi". Harian Metro. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":2" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  6. ^ "CFSE 2022". International Islamic University Malaysia.
  7. ^ "Main page". Conference on Future and Sustainable Education 2022.
  8. ^ a b "Persiapan Atlet-atlet ke Sukan Asasi Malaysia 2023". Pusat Asasi Pengurusan, Universiti Utara Malaysia. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":3" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  9. ^ a b "Unit Zelan meterai perjanjian tambahan dengan kerajaan, UIAM". BERNAMA. 2019-03-06.
  10. ^ a b c d "Residential, Discipline and Welfare Unit (RDW)". International Islamic University Malaysia. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":5" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  11. ^ a b "Leadership and Training Unit (LTU)". International Islamic University Malaysia.

Pautan luar sunting

Tapak web rasmi