Raja Perempuan Zainab II

Raja Perempuan Kelantan
Raja Permaisuri Agong
Raja Perempuan Zainab II
Raja Permaisuri Agong ke- 6
Yang di-Pertuan Agong Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim
Negeri Kelantan
Kelahiran (1917-08-07)7 Ogos 1917
Kota Bharu, Kelantan, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Malaya British
Kemangkatan 10 Januari 1993(1993-01-10) (umur 75)
Istana Negeri, Kubang Kerian, Kelantan
Mula jawatan 21 September 1975
Tamat jawatan 29 Mac 1979
Penyandang terdahulu Sultanah Bahiyah
Penyandang kemudian Tengku Ampuan Hajah Afzan

Tengku Zainab binti Tengku Muhammad Petra (7 Ogos 1917 - 10 Januari 1993) merupakan mantan Raja Perempuan Kelantan dan Raja Permaisuri Agong yang ke-6. Baginda juga merupakan permaisuri Sultan Kelantan Ke-27, Sultan Yahya Petra dan bonda Sultan Kelantan Ke-28, Sultan Ismail Petra. Baginda merupakan puteri kepada YAM Tengku Sri Utama Raja Tengku Mohammad Petra bin YTM Tengku Petra Semerak Tengku Idris Ibni DYMM Sultan Ahmad Kelantan. Tengku Zainab menerima pendidikan awal agama yang disediakan oleh ayahanda bonda baginda selain mendapat asuhan dan didikan tentang adat resam Melayu dan adat istiadat Diraja yang diwarisi dari zaman ke zaman. Baginda juga diajar oleh guru-guru agama yang terkenal di Kelantan.

Tengku Zainab berkahwin dengan Sultan Yahya Petra pada 4 Jun 1939. Baginda dikurniakan lima anakanda, seorang putera dan empat puteri iaitu Tengku Merjan, Tengku Rozan, Tengku Salwani, Tengku Rohani dan Sultan Ismail Petra. Baginda dilantik sebagai Tengku Ampuan Mahkota Kelantan oleh ayahanda mentuanya Sultan Ibrahim pada 9 Ogos 1956 dan pada hari yang sama baginda dikurniakan Darjah S.P.M.K. Baginda kemudiannya dilantik sebagai Raja Perempuan Kelantan pada 17 Julai 1960 dan bergelar Raja Perempuan Zainab II pada hari Sultan Yahya Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan. Baginda juga dianugerahkan Darjah Kerabat (D.K.) pada ulang tahun pertama keputeraan Sultan Yahya Petra.

Tengku Zainab mengiringi Sultan Yahya Petra ke luar negeri semasa baginda mengadakan lawatan rasmi ke beberapa negara. Ternyata lawatan sedemikian menyediakan ruang yang luas bagi baginda menyempurnakan tanggungjawab sebagai Raja Perempuan dan Raja Permaisuri Agong. Seri Paduka Baginda seorang yang murah hati dan gemar membuat kerja-kerja alam kebajikan untuk rakyat. Baginda pernah menjadi Presiden pelbagai pertubuhan sosial seperti pertubuhan Pandu Puteri Kelantan dan Institusi Wanita.

Tengku Zainab menumpukan perhatian khas pada kerja-kerja rumah tangga seperti menghias istana dan menyediakan makanan untuk keluarga Diraja. Baginda sangat gemar membuat kerja-kerja pertukangan tangan, mengumpul barang-barang antik dan berkebun. Baginda mangkat pada 10 Januari 1993 di Istana Negeri, Kubang Kerian ketika berusia 75 tahun.