Rig Veda
Rig Veda (Sanskrit: ऋग्वेद ṛgveda, dari akar ṛc "memuji, bersinar"[1] dan veda "ilmu") ialah sebuah koleksi purba India dalam bahasa Sanskrit. Ia merupakan kitab suci agama Hindu yang paling tua dan pertama. Teks ini mengandungi 1,028 him, 10,600 ayat-ayat suci, yang disusun dalam sepuluh buku atau Mandala. Setiap ayat-ayat suci dalam Rig Veda dinamakan sebagai satu 'rc' atau 'rk'.
Sebagai kitab suci yang paling purba, Rig Veda juga telah mempengaruhi tiga Veda lain iaitu Yajur, Sama, dan Atharva.
Zaman Rig Veda
suntingAyat-ayat suci (him) Rig Veda dianggap tertua dan paling penting bagi kitab-kitab Veda. Beberapa orang cendekiawan telah memberikan beberapa tarikh untuk Rig Veda, seperti berikut:[1]
- A.C.Dās : 25,000 S.M
- S.Srikanthasastri : 10,000 S.M.
- S.V.Venkatesvara : 10,000 S.M.
- B.G.Tilak : 6000 S.M.
- Hermann Jacobi : 4500 S.M.
- Haug M. : 2400 S.M.
- Winternitz, Moriz : 2000 S.M.
- Max Muller : 1200 S.M.
Namun, semua cendekiawan ini telah membuat kesimpulan mereka berdasarkan kepada beberapa penemuan yang bergantung sepenuhnya atau sebahagiannya daripada teori tentang evolusi bahasa dalam Rig Veda, beberapa maklumat astronomi (yang mungkin tidak dibuktikan tanpa keraguan), perubahan-perubahan ketara dalam sistem sosio-politik dan sebagainya. Maka, semua tarikh-tarikh ini tidak boleh diterima sebagai benar tanpa sebarang keraguan.[2]
Menurut pendapat golongan Hindu orthodoks, Veda bukanlah sebuah buku, tetapi ilmu yang didedahkan oleh Tuhan pada awal sesuatu kitaran ciptaan. Apa yang lebih penting ialah untuk mendapatkan ilmu yang terkandung dalam Veda.
Klasifikasi
suntingRig Veda telah didedahkan oleh Veda Vyasa kepada pengikutnya, Paila. Apabila Paila menurunkan Veda ini kepada pengikut-pengikutnya, suatu penyesuaian perlu dilakukan untuk mengikut kesesuaian dan kegunaan sesuatu mantera. Bentuk-bentuk penyusunan semula ini dikenali sebagai Sakha atau cabang-cabang.
Terdapat 21 Sakha dalam Rig Veda. Namun, hanya lima yang masih wujud kini iaitu Sakala, Baskala, Asvalayana, Sankhayana dan Mandukeya. Lima Sakha ini seterusnya bercabang dengan proses yang sama. Menurut Vishnu Purana, resi Sakala telah mencipta lima lagi Sakha dan memberikannya kepada lima orang pengikutnya - Mudgala, Galava, Vatsya, Saliya dan Saisiriya.[3]
Antara Brahmana Rig Veda yang masih wujud ialah:
- Aitareya Brahmana
- Kausitaki Brahmana
Terdapat dua Aranyaka Rig Veda iaitu:
- Aitareya Aranyaka
- Sankhayana atau Kausitaki Aranyaka
Upanishad dalam Veda ini ialah Aitareya Upanishad.
Ulasan-Ulasan
suntingPenulis-Penulis Hindu
suntingBahasa Sanskrit dalam Veda, khususnya Rig Veda adalah amat kuno dan penuh misteri. Tanpa bantuan ulasan-ulasan lama adalah mustahil untuk memahami maksudnya. Nighantu (sebuah kamus Veda yang amat purba) dan ulasannya, Nirukta oleh Yaska (800 S.M) adalah antara sumber-sumber interpretasi awal bagi konsep-konsep dan nama-nama dalam Veda.[4]
Ulasan awal Rig Veda yang masih wujud ialah ulasan Skanda Swami (kira-kira 630 Masihi). Beliau berasal dari negeri Valabhi. Pengikutnya, Hari Swami telah menulis ulasan Satapatha Brahmana dalam Sukla Yajur Veda. Ulasan Skanda Swami yang masih wujud adalah tidak sempurna. [5]
Ulasan Rig Veda yang penuh adalah oleh Venkata Madhava (kurun ke-11 Masihi) dari Kausika Gotra. Ulasan pendek ini telah dicetak.
Madhvacharya (1238-1317 Masihi) telah menulis suatu ulasan bagi empat puluh Sukta awal. Ulasan ini amnya dikenali sebagai Rg Bhasya. Jaya Tirtha (kurun ke-14 Masihi) telah menulis Sambandha Dipika, suatu penjelasan untuk Rg Bhasya ini. Dengan ulasannya, Madhvacharya cuba membuktikan bahawa seluruh Veda mengajar tentang Narayana.[6]
Pengulas Rig Veda yang paling hebat ialah Sayanacharya (1315-1387 Masihi). Sayanacharya juga telah menulis ulasan untuk semua Veda. Sayanacharya berasal dari Bharadvaja Gotra dan Vidyaranya (pengasas kerajaan Vijayanagara yang terkenal) adalah abangnya dan Bhoganatha, seorang cendikiawan terkenal adalah adiknya. Bagi memahami Veda dengan betul adalah penting untuk mempelajari enam Vedanga dan juga sistem Purva Mimamsa berdasarkan Sutra-Sutra Jaimini (serta ulasan Sabara Swamin). Selain itu, adalah juga penting untuk seseorang membesar dalam sesuatu Sampradaya (tradisi purba dan berterusan yang diturunkan dari generasi ke generasi). Sayana mempunyai kedua-dua kelebihan ini. Maka, ulasannya hendaklah dianggap sebagai autoriti paling unggul.[7]
Penulis-penulis Eropah
suntingSelain itu, terdapat beberapa orang cendikiawan Eropah yang telah menyumbangkan kepada pembelajaran Veda dalam kurun ke-18 dan ke-19, seperti Bloomfield (1855-1928), Grassman (1809-1877), Kaegi (1849-1925), Keith (1879-1944), Ludwig (1832-1912), Max Muller (1823-1900), Macdonell (1854-1930), Muir (1810-1882), dan Wilson (1786-1860). Karya Max Muller iaitu terjemahan penuh Rig Veda dengan Ulasan Sayanacharya dalam 6 jilid yang diterbitkan dalam tempoh 1849-1873 adalah suatu sumbangan yang amat berharga. Karya-karya Bloomfield, Wilson, dan Macdonell juga amat berguna untuk pelajar-pelajar Veda.
Namun begitu, perlu diingati bahawa kesimpulan yang dibuat oleh para cendikiawan Eropah, sering tidak tepat kerana mereka tidak ada pendedahan tradisi Hindu yang dikenali sebagai Sampradaya, yang diturunkan secara turun-temurun, daripada guru kepada pelajar. Tambahan lagi, terdapat keraguan yang munasabah bahawa cendikiawan-cendikiawan Eropah telah didorong oleh motif untuk membuktikan keagungan agama Kristian dan bukannya dengan niat suci untuk mempelajari, memahami dan menterjemahkan Veda-Veda.[8]
Dewa-dewa Rig Veda
suntingKebanyakan Sukta dalam Rig Veda adalah him doa untuk aneka dewa-dewi. Umumnya terdapat tiga puluh tiga dewa-dewi dalam Rig Veda iaitu 12 Aditya, 8 Vasus, 11 Rudra, Indra dan Prajapati. Kebanyakan Mantera dalam Rig Veda adalah untuk Agni dan Indra.
Terdapat beberapa dewa lain yang penting seperti: Agni, kembar Asvin, Soma, Surya, Varuna, Vayu, Vishnu, Visvedevas, dan Yama.
Dewi-dewi yang penting ialah Usas, Ratri, Vac, Saraswathi, dan Prthvi.
Dewa-dewi ini sering dikelaskan mengikut tiga kumpulan berdasarkan kawasan operasi mereka iaitu di bumi, antariksha dan dyaus.
- Bumi : Agni, Prthvi, dan Brhaspati.
- Antariksha (bahagian tengah antara bumi dan syurga) : Indra, Vayu, Parjanya, Rudra dan dewa-dewa Marut.
- Dyaus (alam syurga) : Varuna, Mitra, Savitri, Surya, Pusan, Aditya-Aditya, dewa-dewa Visvedeva , Usas, dan dewa-dewa Asvini.
Walaupun terdapat pelbagai dewa-dewi, Rig Veda telah menyatakan bahawa Tuhan (atau Kebenaran) adalah satu dan semua dewa-dewi ini adalah pelbagai aspek berlainan Tuhan.[9] Suatu ayat suci Rig Veda yang popular yang mengungkap idea ini ialah:
Ekam Sat, Viprah bahudha vadanti ('Kebenaran adalah satu; para bijaksana memanggil-Nya dengan pelbagai nama.')
Dewa-dewi Hindu bukan seperti dewa-dewa Yunani yang bebas, berasingan dan sering bersengketa antara satu sama lain.
Tuhan Maha Esa
suntingRig Veda juga merujuk kepada Tuhan Maha Esa dengan pelbagai nama, misalnya: Atma[10] (= Roh), Chaya[11] (= Cahaya), Deva[12] (= Dewa), Hiranyagarbha[13] (= Telur Emas), Ka[14] (= Prajapati), Pita[15] (= Bapa), Purusha,[16] Savita[17] (= Matahari, Pencipta), Tvastha[18] (= Pembentuk), Vena,[19] Vidhata[20] (= Pemberi), dan Visvakarma[21] (= Pencipta dunia).
Selain itu, Indra, Agni dan Varuna juga telah disanjung tinggi sebagai Tuhan Maha Esa.
Mantra Popular
suntingTerdapat beberapa Mantra dalam Rig Veda yang amat popular. Antara mantra-mantra ini ialah:
Mantra Pertama
suntingOm̐ a̱gnimī̍ḻe pu̱rohi̍taṁ ya̱jñasya̍ de̱vamṛtvija̍m| Hotā̍raṁ ratna̱dhāta̍mam||1||
Ini ialah mantra pertama Rig Veda yang ditujukan kepada Dewa Agni dan dilihat oleh resi Madhucchandās, anak resi Viswamitra.
Gayathri Mantra
suntingGayathri Mantra (3.62.10) ialah mantra yang paling popular dan ia juga telah diulangi dalam Veda-Veda lain.
Falsafah Rig Veda
suntingRig Veda dikatakan sebagai sumber segala ilmu dan idea-idea Vedanta termasuk jnana (ilmu) dan bhakti (cinta-Ilahi).
Rig Veda mengajar 'Eka Devata Vada' atau monoteisme dan bukannya politeisme. Namun, ia juga menyarankan Saguna Upasana (penyembahan Tuhan dengan rupa dan sifat).
Hanya Tuhan yang wujud sebelum ciptaan bermula. Tuhan adalah Pencipta, Pemelihara, dan Pemerintah dunia ini.[22] Tuhan mencipta dunia dari diri-Nya sendiri[23] dan memerintahnya.[24] Tuhan Maha Wujud,[25] Maha Mengetahui[26] dan Maha Berkuasa.[27] Tuhan ialah Kesempurnaan[28] dan Maha Pengasih[29] dan mudah dirapati oleh pemuja-Nya.[30] Tuhan juga adalah Sahabat Karib kita[31] dan Dia memberikan keabadian.[32]
Terdapat dua idea tentang ciptaan alam semesta, iaitu ciptaan dan evolusi. Kedua-dua idea ini juga didapati dalam teks-teks Vedanta kemudian.[33]
Roh adalah entiti yang abadi dan keabadian dikecapi. Matlamat hidup adalah untuk mencapai Tuhan.[34] Disebabkan dosa dan kehidupan yang jahat, manusia tidak dapat mendekati Tuhan. Maka, manusia perlu berdoa kepada-Nya untuk pengampunan,[35] untuk penebusan dosa, dan untuk mengikuti jalan kebaikan.[36]
Disiplin-disiplin rohani yang dapat membantu manusia merapati Tuhan adalah:
- kepercayaan kepada Tuhan sebagai satu-satunya sokongan hidup[37]
- doa untuk mengikuti jalan kebenaran[38]
- doa untuk mendapatkan ilmu rohani sebelum tua[39]
- doa untuk sentiasa berkhidmat kepada-Nya[40]
- doa untuk perlindungan selama-lamanya[41]
- bhakti atau cinta-Ilahi[42]
- kedahagaan kuat untuk melihat-Nya[43]
Konsep Moksha atau kebebasan abadi yang dihuraikan dalam Upanishad, tidak ada dalam Rig Veda dalam bentuk yang sama.
Namun, wujud idea bahawa selepas kematian, badan fizikal terurai dan bersatu dengan lima unsur alam (bumi, air, api, udara dan angkasa). Selepas itu, roh menjadi bebas. Dewa Agni mengiringi roh melalui Jalan Dewa (Devayana) ke syurga yang diperintah oleh Yama. Roh akan hidup di syurga selama-lamanya dengan bahagia.
Masyarakat Zaman Rig Veda
suntingAgama dan Nilai-Nilai Hidup
suntingMasyarakat zaman ini merupakan suatu masyarakat yang dinamik dan penuh tenaga. Kesedaran rohani telah meliputi segala aspek kehidupan masyakarat. Kebaikan dan kesejahteraan duniawi tidak diabaikan tetapi diseimbangkan dengan kehidupan selepas ini. Satya (kebenaran) dan Dharma (kebaikan) disanjung tinggi dan Amrtatva (keabadian) dianggap sebagai matlamat kehidupan. Secara semulajadi, masyarakat mempunyai hubungan yang rapat dengan dewa-dewi seperti Indra, Agni, dan Varuna, terutamanya menerusi sistem upacara korban Vedik yang amat berleluasa. Pada zaman ini, sistem upacara korban telah berkembang ke tahap kesempurnaan.
Namun, tidak ada bukti bahawa masyarakat pada zaman ini membina sebarang kuil atau melakukan penyembahan berhala. Menurut satu pendapat, kemungkinan sembahyang secara kumpulan telah diamalkan.
Golongan resi sedar bahawa bagi mendapatkan kehidupan abadi, manusia perlu menjalani kehidupan duniawinya dengan baik. Maka, mereka tidak membenci kehidupan ini. Sebaliknya, mereka berdoa untuk mendapatkan badan yang kuat, sihat, suci dan usia yang panjang.[44] Pada masa yang sama, mereka juga menekankan moral dan nilai-nilai murni dalam kehidupan peribadi dan sosial.[45]
Satu aspek penting kehidupan ialah mencari rezeki yang halal dan berkongsi kekayaan dengan orang lain, terutamanya dengan orang-orang yang kurang bernasib baik. Oleh itu, dana atau pemberian derma disanjung tinggi.[46]
Perkahwinan dan Wanita
suntingVivaha Sukta ( Rig Veda 10.25) memberikan idea tentang konsep perkahwinan Vedik. Perkahwinan dianggap sebagai suatu Samskara (perbuatan agama). Masyarakat zaman ini juga mengamalkan monogami, poligami dan sistem svayamvara[47] (seorang gadis memilih suaminya sendiri). Perkahwinan semula wanita (mungkin yang tiada anak) dibenarkan dengan adik suaminya.[48]
Bapa ialah ketua keluarga dan biasanya anak lelaki diidamkan.
Wanita Hindu pada zaman ini diberikan penghormatan tinggi dalam keluarga sebagai ibu dan isteri.[49] Golongan wanita juga diberikan kebebasan untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Malah, dalam kalangan resi-resi juga terdapat wanita-wanita (dinamakan sebagai 'resika'). Rig Veda sendiri mempunyai hampir 30 resika.
Tamadun dan Kebudayaan
suntingMasyarakat Rig Veda telah mencapai tamadun dan kebudayaan yang tertinggi. Mereka hidup di kampung-kampung atau pekan-pekan, yang sering dilindungi dengan benteng pertahanan.[50]
Kegiatan ekonomi yang utama ialah pertanian dan penternakan. Namun, pekerjaan seperti pertukangan besi,[51] pertukangan kayu,[52] perubatan,[53] menenun,[54] pembinaan kapal,[55] dan kerja-kerja barangan kulit[56] juga dilakukan. Para petani juga mengetahui kaedah pengairan yang baik.[57]
Kesenian, muzik dan tarian juga digalakkan.[58]
Sistem varna telah mula berakar. Golongan sami dan raja-raja adalah amat berkuasa. Kejayaan dalam peperangan dan keberanian raja-raja juga disebut dalam Veda ini.
Pautan Luar
suntinghttp://www.sacred-texts.com/hin/rigveda/
Rujukan
sunting- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3, ms.106, Ramakrishna Math, Bangalore, 2008
- ^ ibid, ms.106
- ^ Vishnu Purana (3.4.21, 22)
- ^ Swami Harshananda, Vol.3, ms.110
- ^ Swami Harshananda, Vol.3, ms.110
- ^ Swami Harshananda, Vol.3, ms.110
- ^ Swami Harshananda, Vol.3, ms.110
- ^ Swami Harshananda, Vol.3, ms.111
- ^ Rid Veda (1.164.46; 7.58.2; 10.114.5)
- ^ Rig Veda, 1.115.1
- ^ Rig Veda, 5.44.6
- ^ Rig Veda, 10.121
- ^ Rig Veda, 10.221.1
- ^ Rig Veda, 10.121
- ^ Rig Veda, 10.81.1
- ^ Rig Veda, 10.90.2
- ^ Rig Veda, 3.62.10
- ^ Rig Veda, 3.55.19
- ^ Rig Veda, 10.123
- ^ Rig Veda, 10.82.3
- ^ Rig Veda, 10.82.2
- ^ Rig Veda, 10.221.1-4; 10.82.1-6; 10.129
- ^ RigVeda 10.81.2-4
- ^ RigVeda 10.82.1; 6.19.10; 6.45.20
- ^ RigVeda 1.13.10
- ^ RigVeda 6.7.6; 8.25.9
- ^ RigVeda 6.30.1; 2.29.3; 3.59.1
- ^ RigVeda 6.24.7; 6.11.14
- ^ RigVeda 2.34.5
- ^ RigVeda 8.32.15
- ^ RigVeda 10.80.2
- ^ RigVeda 6.45.6; 5.47.7
- ^ Swami Harshananda, Vol.3, ms.531
- ^ Rig Veda 6.31.4
- ^ Rig Veda 1.24.14
- ^ Rig Veda 8.45.34; 5.82.5
- ^ Rig Veda 8.45.20
- ^ Rig Veda 10.133.6
- ^ Rig Veda 1.71.10
- ^ Rig Veda 6.45.9
- ^ Rig Veda 8.1.13; 8.61.17
- ^ Rig Veda 8.70.3
- ^ Rig Veda 6.3.4
- ^ Rig Veda 1.8.98; 3.53.18; 2.21.6
- ^ Rig Veda 9.73.1; 9.73.6; 8.31.13
- ^ Rig Veda 5.24.2; 2.21.6; 3.14.6; 10.107.2; 10.117.3,4
- ^ Rig Veda 10.27.12
- ^ Rig Veda 10.40.2
- ^ Rig Veda 10.85.27, 44
- ^ Rig Veda 1.114.1; 7.3.7
- ^ Rig Veda 9.112.2
- ^ Rig Veda 9.112.1
- ^ Rig Veda 9.112.1
- ^ Rig Veda 6.9.2
- ^ Rig Veda 10.101.2
- ^ Rig Veda 7.63.1
- ^ Rig Veda 3.45.3; 7.49.2
- ^ Rig Veda 10.18.3