Santuari Burung Kuala Gula

Kuala Gula merupakan sebuah perkampungan nelayan terletak di persisiran pantai utara negeri Perak, kira-kira 50 km dari barat laut Bandar Taiping. Ianya merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Paya Laut Matang yang terdiri daripada hutan bakau dan kawasan pantai berlumpur. Berhampirannya ialah Pulau Kelumpang, sebuah pulau yang terdapat di dalam hutan simpan tersebut, disempadani oleh Sungai Selinsing di bahagian tenggara, Sungai Kelumpang di bahagian timur laut dan kawasan laut di bahagian baratnya. Keseluruhan Pulau Kelumpang dikelilingi oleh pantai berlumpur yang baru terbentuk di mana anak-anak pokok Api-api (Avicennia spp.) hidup di atasnya. Kawasan ini penting sebagai kawasan mencari makan untuk burung-burung berhijrah dan tempat bertelur untuk burung residen.

Kuala Gula mempunyai pelbagai jenis habitat tanah lembap yang terdiri daripada dataran lumpur, hutan paya bakau, muara sungai dan sistem-sistem sungai. ladang-ladang kelapa sawit dan kawasan sawah padi juga mempunyai liputan yang luas di Kuala Gula. Ia terletak di lokasi paling utara Hutan Simpan Paya Bakau Larut-Matang di Daerah Kerian, Perak. Kedudukannya lebih kurang 50km ke barat Taiping, 126km ke barat-laut bandar Ipoh dan 80km ke selatan dari Pulau Pinang.

Hidupan Liar sunting

Kuala Gula telah terkenal di peringkat tempatan dan antarabangsa terutamanya kepada pemerhati burung kerana ianya penting dengan kewujudan burung air/berhijrah. Ramai pelawat tempatan dan antarabangsa seperti Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Jepun dan negara lain datang ke Kuala Gula untuk melihat burung-burung ini.

Setiap tahun, pelbagai spesies burung singgah di Kuala Gula dalam laluan migrasinya. Terdapat beberapa laluan migrasi di dunia dan Malaysia terletak dalam laluan East Asian-Australasian Flyway. Pelbagai spesies burung air/berhijrah boleh ditemui bermula daripada akhir Ogos hingga April setiap tahun. Spesies-spesies yang dikelaskan sebagai terancam oleh IUCN seperti burung botak upih (Mycteria cinerea), burung botak kecil (Leptoptilos javanicus), bangau Cina (Egretta eulophotes) dan kedidi kaki hijau (Tringa nebularia) juga boleh didapati di sini. Kewujudan hutan paya bakau di Kuala Gula menyediakan kawasan persinggahan, kawasan berehat dan kawasan bersarang yang amat sesuai untuk pelbagai spesies tempatan di sini. Selain daripada itu, beting pasir dan beting lumpur menyediakan pelbagai sumber makanan yang diperlukan oleh burung-burung ini seperti ikan, ketam, siput dan cacing. Di Malaysia, sebahagian besar daripada spesies burung-burung di sini dilindungi bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara 76/72.

Kemudahan sunting

Santuari Burung Kuala Gula menyediakan kemudahan chalet untuk pelancong yang ingin menginap dan merasai keindahan alam semulajadi paya bakau dan didiami oleh beribu-ribu burung yang singgah dari pelusuk dunia, Santuari Burung Kuala Gula juga menyediakan kemudahan seperti restoran, ekspedisi, bot pelancong serta kemudahan asas yang lain untuk pelancong menikmati cabaran alam semulajadi yang tenang.Malah pelancong juga boleh bersiar-siar menaiki bot untuk meneropong dan melihat sendiri burung-burung yang singgah di paya bakau Santuari Burung Kuala Gula ini.


1.Chalet
2.Restoran
3.Bot pelancong
4.Ekspedisi paya bakau


Pautan luar sunting