Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan atau nama ringkasnya SMK Seri Pengkalan, merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Alor Gajah.
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan | |
---|---|
Lokasi | |
Malaysia Alor Gajah, 78000, Alor Gajah, Melaka Bandar Bersejarah Malaysia | |
Maklumat | |
Jenis sekolah | Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah kerajaan |
Moto | ILMU SULUH KEHIDUPAN |
Autoriti pendidikan | Alor Gajah, Melaka |
Sesi | Pagi- |
Nombor sekolah | 6065561268 |
Kod sekolah | MEB0077[1] |
Pengetua | Pn. Sanisah Binti Ahmad |
Slogan | "SERI GIGIH SEDERAP BERMARUAH" |
Lagu | 'Kami Anak SERI' |
GPK Pentadbiran dan Akademik | - |
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid | En. Mohd Ikhwan Bin Abd. Ghani |
Penolong Kanan Kokurikulum | Pn. Wan Suzaiwati Binti Md Soib |
Faks | 6065568241 |
Laman sesawang | https://smkseripengkalan.com |
Kini, SMK Seri Pengkalan mempunyai 1030 orang pelajar, 90 orang guru dan 15 orang Anggota Kumpulan Pelaksana. Jumlah kelas yang ada sehingga tahun 2024 ialah 47 buah yang terdiri daripada kelas Pendidikan Khas, Tingkatan Peralihan hinggalah Tingkatan Lima.
Sejarah
suntingSekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan terletak kira-kira 2 km ke arah Timur Laut Bandar Alor Gajah dan 17 km ke utara Bandar Melaka, iaitu di persimpangan Kampung Pengkalan ke Machap. Berhampiran sekolah ini terdapat sebatang anak sungai yang bernama Sungai Pengkalan yang menghala ke selatan. Sekolah ini mula didirikan pada tahun 1958 di kawasan Sekolah Rendah Kebangsaan Alor Gajah 1 untuk menampung keperluan pelajaran menengah di kawasan sekitar Alor Gajah. Sekolah ini merupakan sekolah menengah pertama di daerah Alor Gajah. Jumlah pelajarnya pada tahun itu ialah seramai 200 dengan bilangan tenaga pengajar seramai 7 orang. Pengetua yang pertama bernama En J.A.R. Wellington.
Pada tahun 1960, sekolah tersebut telah dipindahkan ke bangunan baru di Kampung Pengkalan (dalam kawasan Kolej Vokasional DSMZ sekarang), kira-kira 1.0 km dari Pekan Alor Gajah. Pada masa itu, sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan (Inggeris) Alor Gajah. Ketika itu, terdapat 5 buah bilik darjah, 2 buah bilik Sains Rumah Tangga, 2 buah Makmal Sains, sebuah bilik Seni Perusahaan dan sebuah Bilik Guru. Pengetua sekolah ketika itu ialah En. Yeoh Teng Khoo. Pada tahun inilah kumpulan pelajar yang pertama telah menduduki peperiksaan ”Lower Certificate of Education (LCE)”. Pada tahun 1961, sekolah ini telah berjaya menerbitkan majalah sekolahnya yang pertama yang diberi nama “SULUH”. Kemudian, pada tahun 1962, En. Yeoh Teng Khoo telah diganti oleh En. P.N Subramaniam sebagai pengetua sekolah ini. Pada tahun ini juga buat kali pertama pelajar-pelajar sekolah ini telah mengambil Peperiksaan Senior Cambridge. Pada tahun 1963, jumlah pelajar bagi sekolah ini telah meningkat kepada 773 orang manakala tenaga pengajarnya seramai 25 orang (seorang daripadanya siswazah), 3 orang guru Agama Islam dan seorang guru sukarelawan Amerika Syarikat.
Pada tahun 1973, Persatuan Ibu Bapa dan Guru telah ditubuhkan buat kali pertama di sekolah ini. Pengerusinya ialah Tuan Haji Ibrahim Bin Hassan J.P. Seterusnya pada tahun 1977, sekolah ini telah dipindahkan ke tapak baru iaitu bangunan yang ada sekarang. Bangunan lama di Kampung Pengkalan telah diserahkan kepada SMT Alor Gajah.Sehubungan dengan itu, sekolah ini telah mendapat nama baru, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan dengan kawasan 10 ekar. Pada awal penubuhan, sekolah ini menganjurkan dua sesi persekolahan. Tingkatan Peralihan dan Tingkatan 1 di sebelah petang, sementara Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 pada sebelah pagi dan mempunyai dua aliran , iaitu Sains dan Sastera. Tenaga pengajarnya pula ialah seramai 11 orang guru siswazah, 3 orang guru terlatih HSE dan 31 orang guru terlatih OSC/LCE/SPM. Pada Julai 1986, sekolah ini telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Abdul Rahim Tamby Chik, Ketua Menteri Melaka.
Untuk memenuhi tuntutan pembangunan kerohanian, SMK Seri Pengkalan juga mempunyai sebuah surau yang tersergam indah. Kewujudan surau ini membolehkan warga SERI menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam. Murid beragama Islam menjadikannya sebagai tempat untuk mendalami dan menghayati ajaran Islam. Surau ini telah dirasmikan pada 17 Mei 1995 oleh Datuk Hj. Mohd Zin Hj. Abdul Ghani, Ketua Menteri Melaka pada ketika itu. Sebuah Bilik Gerakan yang mampu menempatkan ruang mesyuarat juga merupakan antara kemudahan utama di sini. Bilik Gerakan ini telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 20 Ogos 1989. Selain kemudahan di atas, PIBG juga telah mengadakan inisiatif untuk membantu mewujudkan prasarana yang lengkap bagi meningkatkan tahap keselesaan, keindahan dan keceriaan sekolah.
Pada tahun 1999, Pentas dan Anjung SERI dibina untuk dijadikan tempat perhimpunan dan berkumpul bagi meraikan majlis-majlis tertentu. Perhimpunan rasmi setiap minggu juga diadakan di sini. PIBG juga telah membantu meningkatkan kemudahan dan keselesaan untuk para pendidik dan kakitangan dengan membina bilik guru dan ruang makan guru di kantin sekolah telah dilengkapi dengan alat penghawa dingin. Memenuhi tuntutan ibu bapa yang ingin mengoptimumkan potensi kanak-kanak istimewa, maka Kelas Pendidikan Khas telah dibuka pada tahun 1998. Kelas ini menawarkan khidmat guru yang terlatih khusus untuk mengasuh kanak-kanak istimewa. Seramai 8 orang pelajar lelaki dan 3 orang pelajar perempuan ditempatkan di bilik Pendidikan Khas yang mendapat peruntukan Jabatan Pendidikan negeri.
Bagi memenuhi keperluan bilangan pelajar yang kian meningkat maka tiga buah bangunan baru telah dibina bagi memenuhi keperluan pendidikan. Bengkel Kemahiran Hidup dan Makmal Sains Tulen telah dibina dengan diikuti oleh bangunan baru Blok E yang mula digunakan mulai tahun 2000. Hal ini menjadikan jumlah kelas yang ada sebanyak 32 buah kelas dengan 60 orang tenaga pengajar. Sebanyak 4 buah rumah guru juga telah dibina pada tahun 1994 dan telah dirobohkan pada tahun 2012 bagi tujuan pembangunan.
Pada tanggal 27 Jun 2002, Dewan SMK Seri Pengkalan telah siap dibina. Pembinaan dewan tersebut bermula pada bulan Jun 2001 dan dapat digunakan sepenuhnya pada bulan Julai 2002. Dewan tersebut dapat menampung 2000 orang pelajar dan lengkap dengan pelbagai kemudahan. Pada tahun 2011, kabin yang terdiri daripada 2 buah kelas dibina untuk mengatasi masalah kelas terapung. Manakala pada tahun 2012, 6 buah kelas daripada 2 blok kabin dibina untuk menampung jumlah kelas terapung.
Pencapaian
sunting- SPM 2021 = 83.91% Lulus, 3 orang SEMUA 'A'.
- SPM 2022 = 84.18% Lulus, 1 orang SEMUA 'A'.
- SPM 2023 = 90.86% Lulus, 4 orang SEMUA 'A', 8 orang 8A, 7 orang 7A.
Visi dan misi
sunting- Visi
Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.
- Misi
Melestarikan Sistem Pendidikan yang Berkualiti untuk membangunkan Potensi Individu bagi Memenuhi Aspirasi Negara.
Alamat
sunting- Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan
- Alor Gajah
- 78000, Alor Gajah
- Melaka, Malaysia
- Telefon = 6065561268
- Fax = 6065568241