VETERAN KELANTAN PENERIMA ANUGERAH PINGAT GAGAH BERANI (PGB)

PGB

1.       Panglima Gagah Berani (PGB) merupakan pangkat yang kedua antara lima pangkat dalam darjah-darjah Gagah Perkasa. Darjah-darjah Gagah Perkasa merupakan darjah kelapan antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. PGB dikurniakan kepada mereka yang telah menujukkan kegagahan dan keberanian yang luar biasa ketika berhadapan dengan musuh. Pada 2009, kerajaan telah meluluskan kenaikan elaun kenangan kepada penerima PGB daripada RM 300 kepada RM 1500. Pada masa kini, hanya terdapat 112 penerima PGB termasuk Polis dan Tentera dan dari jumlah ini seramai 16 penerima telah meninggal dunia. Kini, hanya terdapat seorang sahaja Penerima PGB yang menetap di negeri Kelantan bagi warga Tentera.

BIODATA 31306 PW II (B) TACHMI BIN ISMAIL

2.       PW II (B) Tachmi bin Ismail telah dilahirkan pada 5 Oktober 1957 di Kampung Gunung, Jeli, Kelantan. Beliau merupakan anak kelima daripada enam orang adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu Melintang, Kelantan dan pendidikan Sekolah Menengah di Sekolah Menengah Dato’ Mahmud Paduka Raja, Tanah Merah Kelantan. Beliau telah berkahwin dengan Puan Ruhani binti Daud iaitu seorang bekas anggota polis dan telah dikurniakan seramai 4 orang cahaya mata. Pada masa sekarang, beliau sudah tidak bekerja lagi dan menetap di Lot 355, Jalan Kapung Paloh, Tendong, Pasir Mas, Kelantan.

3.       Beliau mula memasuki bidang ketenteraan pada 1 Mac 1976 dengan menjalani latihan Asas Rekrut selama 6 bulan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di Port Dickson. Seterusnya, setelah tamat menjalani latihan rekrut, beliau telah dihantar bertugas di Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Seterusnya beliau dipilih untuk menyertai Platun UCIS (Unit Combat Intelligent Scot) dan menjalani kursus UCIS selama 3 bulan di Kem Kluang, Johor dan diikuti 3 bulan lagi di Pusat Latihan Peperangan Khas, Sungai Udang, Melaka. Sepanjang perkhidmatan, beliau telah terlibat dengan beberapa Operasi Ketenteraan diantaranya ialah;

a.       Operasi Doyai Musnah           - Sadao, Thailand.

b.           Operasi Selamat Sawaddee   - Betong, Thailand.

c.           Operasi Cahaya Bena            - Sempadan Malaysia/Thailand Di Kelantan.

d.           Operasi Indra                          - Raub, Pahang.

e.           Operasi Kota                           - Sempadan Malaysia/Thailand, Perak, Kedah, Kelantan.

f.             Operasi Jalan Aman               - Kanowet, Sarawak.

g.           Operasi Khas                          - Bersama PDRM Dan Rejimen Khas Perisikan Tempur (RKPT).


4.       Di sepanjang kerjaya beliau, beliau telah terlibat secara langsung di dalam beberapa siri pertempuran antaranya:

a.       Pertempuran dengan DCM (District Community Member) yang diketuai oleh Loh Poh Yin di kawasan Keroh, Perak.

b.       Membantu serangan yang dibuat oleh RKPT di Jelebu, Negeri Sembilan.   Semasa serangan, 3 orang pengganas komunis maut dan seorang anggota RKPT meninggal dunia.

c.       Membantu mengepung kedudukan musuh ketika APC V150 (Pasukan Keselamatan) ditembak di Jalan Keroh, Baling. 3 anggota APC V150 hangus terbakar.

d.       Memusnahkan kubu dan simpanan makanan serta tempat latihan Ketua Penggempur ke-16 CCM Chong Choo.


PERTEMPURAN SUNGAI TERIS KLAU RAUB

5.       Pertempuran Sungai Teris merupakan pertempuran antara hidup dan mati yang dilalui oleh beliau kerana berhadapan dengan musuh secara berdepan di jarak yang dekat. Hasil daripada maklumat musuh yang ditembak mati oleh LKpl  Kamal Bin Salleh di dalam satu Operasi Ketenteraan yang lain, Platun UCIS 18 RAMD telah diatur gerak untuk membuat follow up dan dipecahkan kepada kumpulan kecil yang dianggotai oleh seramai 6 anggota setiap kumpulan dan Kpl Tachmi bin Ismail mengetuai salah satu Kumpulan Penjejakan ini.

6.       Pada hari ke-4, operasi follow up dijalankan lebih kurang jam 1500, semasa sedang melintasi Sungai Teris, pengganas komunis telah menembak ke arah beliau. Beliau telah membalas tembakan dan memyebabkan pengganas komunis itu terbunuh. Hasil pemeriksaan mendapati 3 butir peluru hasil tembakan Kpl Tahcmi bin Ismail telah kena pada dada kanan musuh. Manakala pihak pengganas telah melepaskan 9 tembakan ke arah Kpl Tachmi berdasarkan kesan peluru di tempat kejadian. Setelah di selidik, pengganas yang ditembak itu adalah kumpulan tinjau yang menunggu bekalan makanan dan maklumat dari rakannya yang ditembak mati sebelum ini. Setelah di geledah keseluruhan kawasan pertempuran, hanya beberapa meter sahaja, pihak keselamatan menjumpai 15 tempat tidur komunis serta peralatan memancing dan api masih lagi menyala dan mereka meninggalkan pengkalan tersebut dalam keadaan tergesa-gesa.

7.       Mayat pengganas komunis tersebut telah dibawa keluar oleh pesawat nuri secara winching. Keesokan harinya, Beliau meneruskan follow up dikawasan hutan untuk mencari saki baki komunis. Semasa kumpulan beliau sedang makan tengahari, kumpulan beliau telah ditembak oleh pengganas komunis yang mengekori pergerakan mereka dan tembakan oleh pengganas komunis tersebut tidak mengenai pada mana-mana anggota keselamatan. Seterusnya kumpulan penjejakan yang di ketuai oleh Kpl Tachmi telah ditarik keluar oleh Markas Taktikal ke Kem Indera Raub, Pahang. Beliau telah bersara dari perkhidmatan ATM pada 28 Feb 97 setelah berkhidmat selama 21 tahun dan pangkat terakhir Beliau adalah PW II.


PERHARGAAN YG DITERIMA

8.       Semasa Perkhidmatan Beliau di dalam ATM, Beliau telah menunjukkan Tahap professional dan semangat juang yang tinggi dalam menjaga keamanan tanah air. Beliau juga telah terselamat daripada menjadi sasaran peluru musuh malah telah berjaya membunuh pengganas komunis. Bagi menghargai jasa beliau, D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail berkenan menganugerahkan beliau pingat Panglima Gagah Berani pada 1 Jun 1983. Beliau juga dianugerahkan Pisau Komando oleh Perdana Menteri ketika itu Y.A.B Dato’ Seri Dr Mahathir bin Mohamed pada 17 Jul 1984.