Tepuk amai amai (Jawi: تڤوق أماي أماي) juga dikenali sebagai Pok Amai Amai ialah sebuah lagu tradisional Melayu yang popular di Malaysia, Singapura, dan Indonesia. Ia merupakan sejenis lagu kanak-kanak yang sering dinyanyikan sambil bertepuk tangan secara berpasangan. Lirik dalam Tepuk Amai Amai adalah terbina daripada pantun. Ia seolah-olah menggambarkan seorang kakak yang mahu menenangkan adiknya yang masih kecil sementara ibu mereka sedang bekerja.[1]

Lirik sunting

Bahasa Melayu

Tepuk amai-amai
Belalang kupu-kupu
Tepuk ramai-ramai
Emak upah susu

Susu lemak manis
Santan kelapa muda
Adik jangan nangis
Emak ada kerja

Sejarah sunting

Tidak terdapat rekod tertentu mengenai asal usul sebenar lagu Tepuk Amai Amai. Bagaimanapun, ia diyakini berasal dari masyarakat Melayu yang kaya dengan seni dan kebudayaan tradisional. Rekod terawal lagu ini dicatatkan oleh seorang pegawai Inggeris yang berusaha melakukan penyelidikan tentang bahasa dan kesusasteraan Melayu bernama R.O Winstedt. Beliau mengumpulkan lagu-lagu rakyat dalam bentuk pantun dari negeri Selangor dan Perak, yang kemudian dimuatkan dalam jurnal bertajuk Malay Nursery Rhymes pada tahun 1917. Di antara pantun-pantun yang dikumpulkannya itu, terdapat rangkap lagu Tepuk Amai Amai.[2]

Kemudian pada tahun 1951, di bawah pentadbiran British Malaya lagu ini telah dirakamkan untuk pertama kalinya di dalam Piring hitam Columbia Orchestra yang diketuai oleh Osman Ahmad dan dinyanyikan oleh Miss Julia.[3]

Rujukan sunting