Unsur (undang-undang jenayah)

Dalam undang-undang jenayah, unsur (Jawi: عنصور; jamak: anasir, عناصير) atau elemen (Jawi: ايليـمن) ialah fakta-fakta yang mesti dibuktikan untuk mensabitkan seseorang dengan jenayah. Sebelum defendan boleh didapati bersalah atas sesuatu jenayah, pihak pendakwaan perlu menunjukkan bukti bahawa orang kena tuduh itu telah melakukan setiap elemen bagi jenayah yang dipertuduhkan tanpa dapat diragui dengan munasabah. Elemen untuk satu-satu jenayah mungkin berbeza daripada jenayah lain.

Komponen-komponen asas jenayah disenaraikan berikut;[1] amnya, setiap elemen jatuh tergolong dalam salah satu kategori berikut. Dalam common law, suatu perbuatan tidak boleh dianggap jenayah melainkan defendan mempunyai niat melakukannya—sama ada dengan sengaja, tahu akibatnya, atau melulu melakukannya. Mereka perlu faham apa yang mereka telah lakukan dan tahu bahawa ia salah. Namun, dalam sesetengah jenayah dalam statut, seperti rogol berkanun, defendan tidak semestinya perlu tahu perkara-perkara tertentu (seperti umur penuduh) untuk perbuatannya dikira sebagai jenayah; jenayah begini dipanggil kesalahan liabiliti ketat.[2]

Keadaan fikiran (Mens rea) sunting

Mens rea adalah semasa melakukan jenayah, fikiran seseorang itu tahu perbuatannya itu salah atau jahat. Ini mustahak kerana perbuatan itu mestilah dilakukan secara sukarela atau sengaja untuk dikira sebagai jenayah. Mens rea ialah niat fikiran atau keadaan fikiran defendan semasa melakukan jenayah, juga dikenali sebagai fikiran yang bersalah. Ia berasal daripada pepatah kuno, "actus reus non facit reum nisi mens sit reas" yang diterjemahkan sebagai "perbuatan itu tidak bersalah melainkan fikirannya bersalah."[3] Contohnya, mens rea bagi serang sentuh teruk ialah niat untuk melakukan kecederaan badan yang serius. Mens rea biasanya bahagian penting dalam membuktikan bahawa jenayah telah dilakukan.[1][2]

Mens rea berbeza mengikut kesalahan. Bagi pembunuhan, unsur fikiran ialah seseorang itu mestilah bertindak dengan niat jahat yang difikirkan terlebih dahulu untuk mendatangkan mudarat. Kesalahan lain mungkin memerlukan bukti bahawa orang itu tahu apa yang mereka lakukan, melakukannya dengan sengaja, atau bertindak dengan cuai. Arson menghendaki niat untuk melakukan perbuatan yang dilarang, manakala kesalahan lain seperti bunuh memerlukan niat untuk mencapai hasil yang dilarang. Motif, sebab di sebalik jenayah, tidak sama dengan mens rea dan undang-undang tidak peduli dengan motif.[1]

Walaupun kebanyakan sistem undang-undang faham betapa pentingnya seseorang mempunyai fikiran yang bersalah semasa melakukan jenayah, makna konsep ini mungkin berbeza. Model Kanun Keseksaan oleh Institut Undang-undang Amerika telah merumuskan keadaan mental kepada empat. Umumnya, individu boleh dikira bersalah jika dia bertindak dengan "sengaja", "sedar", "melulu", atau "cuai". Keempat-empat kategori ini berkesan untuk menentukan kebanyakan persoalan tentang mens rea.[4]

Perbuatan (Actus reus) sunting

Semua jenayah memerlukan actus reus. Maksudnya perbuatan jenayah atau peninggalan perbuatan secara haram dari segi undang-undang, mesti telah berlaku. Memikirkan satu jenayah sahaja tidak boleh dihukum. Elemen ini berdasarkan beban pembuktian. Bagaimanakah dapat fikiran seseorang ditentukan, dan bagaimana ia dapat dibezakan dengan lamunan biasa? Undang-undang bertujuan untuk menghukum orang yang bertindak atas idea jenayah tersebut dengan sukarela, bukan kerana idea tersebut terlintas dalam fikiran.[5]

Berbeza dengan fikiran, kata-kata boleh dianggap sebagai perbuatan dalam undang-undang jenayah. Contohnya, ugutan, sumpah bohong, konspirasi dan pengumpanan adalah kesalahan yang mana kata-kata boleh dikira sebagai unsur actus reus.

Peninggalan sesuatu perbuatan juga boleh menjadi asas bagi liabiliti jenayah.

Keserentakan sunting

Umumnya, mens rea dan actus reus mesti berlaku pada masa yang sama—yakni niat jenayah mesti mendahului atau hadir pada masa yang sama dengan perbuatan jenayah, atau mencetuskan perbuatan itu dalam apa-apa cara. Mens rea tidak perlu sentiasa ada sehingga jenayah itu dilakukan, asalkan ia mencetuskan perbuatan yang menghasilkan perbuatan jenayah itu. Walau bagaimanapun, untuk liabiliti jenayah berlaku, mesti ada tindakan yang disengajakan atau dibuat secara sukarela.

Penyebaban sunting

Banyak jenayah menghendaki kemudaratan sebenar telah berlaku—dengan kata lain, hubungan antara perbuatan dan akibatnya mesti dibuktikan. Contohnya, homosid perlukan pembunuhan, dan serang sentuh teruk perlukan kecederaan badan yang serius. Tanpa akibat khusus begini, jenayah-jenayah tersebut tidak terjadi. Tindakan pesalah mesti dibuktikan telah menyebabkan akibat.[5]

Membuktikan penyebaban adalah rumit. Perbuatan itu mungkin perlu tetapi tidak cukup untuk menyebabkan kemudaratan. Perkara lain mungkin telah berlaku antara perbuatan itu dan kemudaratan. Jadi, perbuatan dan akibat itu mesti berlaku amat dekat dari segi masa.[1]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

Petikan sunting

  1. ^ a b c d Thomas, Charles W.; Bishop, Donna M. (1987). Criminal Law: Understanding Basics Principles. Newbury Park, New York: Sage. ISBN 0-8039-2669-3. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "basic" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  2. ^ a b "Criminal law". Encarta. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-10-31. Dicapai pada 2008-01-07. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "encarta" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  3. ^ Bonnie, Richard M.; dll. (1997). Criminal Law. Westbury, New York: The Foundation Press. m/s. 116. ISBN 1-56662-448-7.
  4. ^ "Criminal Law - The Mental Element". Encyclopædia Britannica. Dicapai pada 2008-01-07.
  5. ^ a b "Criminal law". Encyclopædia Britannica. Dicapai pada 2008-01-07."Criminal law". Encyclopædia Britannica. Retrieved 2008-01-07. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "brittannica" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza

Sumber sunting

  • Bonnie, Richard J.; dll. (1997). Criminal Law. Westbury, New York: The Foundation Press, Inc. ISBN 1-56662-448-7.