Vaishnavisme adalah suatu mazhab agama Hindu yang menyembah Maha Vishnu sebagai Tuhan Maha Esa. Sistem ini juga dikenali sebagai Bhagavatamata. Proses penyusunan agama Vaishnavisme ini secara sistematik nampaknya bermula dengan bahagian Narayaniya dalam epik Mahabharata (Santi Parva, Bab-bab 334-351). Sumber-sumber asal lain ialah Bhagavad Gita, Vishnu Purana, Bhagavata, Pancaratra, Vaikhanasa Agamas serta Narada Bhakti Sutras dan Sandilya Bhakti Sutra.

Suatu perkembangan penting dalam evolusi Vaishnavisme perlu diberikan perhatian. Meskipun Sri Krishna disenaraikan sebagai Avatara kesembilan Dasavatara (Sepuluh Avatara Maha Vishnu), secara beransur-ansur, Sri Krishna telah mendahului semua Avatara lain dan menjadi sama dengan Vishnu-Narayana. Maka, Dasavatara juga disebut sebagai Avatara Sri Krishna. Demikian, kultus Sri Krishna bersatu dengan Bhagavatamata. Oleh kerana, Sri Krishna atau Krishna-Vasudeva berasal daripada puak Satvata dalam bangsa Yadu, agama ini juga dikenali sebagai Satvatamata.

Pelbagai Sub-Mazhab Vaishnavisme sunting

Struktur asas Vaishnavisme seperti yang didedahkan dalam beberapa sumber awal seperti Narayaniya ialah bahawa Vishnu-Narayana sebagai Tuhan Maha Esa dan bahawa Bhakti pada-Nya adalah jalan utama untuk mencapai Moksha atau kebebasan muktamad. Namun, perbezaan dalam mengutarakan idea-idea ini oleh guru-guru berlainan, telah melahirkan pelbagai sub-mazhab dan kultus dalam Vaishnavisme. Beberapa sub-mazhab ini yang utama boleh dikelaskan seperti berikut.

Alvar sunting

(artikel utama: Sri Vaishnavisme)

Golongan Alvar merupakan guru-guru Vaishnava yang paling awal. Mereka berasal dari Tamil Nadu, India dan hidup antara kurun ke-2 hingga kurun ke-8 Masihi. Guru-guru mistikal ini terdiri daripada pelbagai kasta termasuk seorang wanita (Andal).

Ajaran Alvar ialah bahawa Vishnu-Narayana ialah Tuhan Maha Esa dan Bhakti pada-Nya adalah jalan untuk mencapai Moksha.

Mereka menerima Avatara atau Jelmaan Tuhan Vishnu seperti Sri Ramachandra dan Sri Krishna. Mereka juga memberikan keutamaan kepada pemujaan ritual atau arca dengan kepercayaan kuat bahawa Tuhan menjelma dengan rupa halus dalam arca semasa pemujaan dan sembahyang.

Ramanujacharya sunting

(artikel utama: Sri Vaishnavisme dan Ramanujacharya)

Bagi Ramanujacharya, Brahman atau Isvara dalam Vedanta ialah Narayana (atau Maha Vishnu) yang sentiasa ditemani oleh Sri atau Lakshmi. Narayana mencipta atau mencerminkan dunia ini dengan Prakrti-Nya (sifat semulajadi) iaitu acit (benda bukan hidup) dan cit (benda hidup, roh individu). Narayana memelihara ciptaan-Nya dan pada akhir suatu zaman, menariknya kembali.

Sri atau Lakshmi ialah pasangan-Nya dan penjelmaan kurniaan-Nya. Sri membantu seseorang mendapat apa yang dia mahu daripada Narayana, termasuk kebebasan. Bhakti atau iman pada kedua-dua Sri dan Vishnu-Narayana adalah penting untuk mendapat kebebasan.

Oleh kerana Ramanuja memberikan kepentingan yang sama kepada Sri dengan Vishnu-Narayana, maka, sistemnya dikenali sebagai Sri Vaishnavisme.

Madhvacharya sunting

(Artikel Utama: Madhvacharya, Dasakuta, Dvaita Vedanta Darsana)

Madhvacharya (1238-1317 Masihi) ialah ahli falsafah Hindu yang memberikan Vaishnavisme suatu dasar yang kukuh dan menjadikannya sebuah agama yang popular dalam masyarakat. Falsafahnya dikenali sebagai Dvaita Vedanta, boleh dirumuskan seperti berikut:

  • Srihari (Vishnu-Narayana) adalah kebenaran yang ulung dan Dia boleh dikenali hanya melalui Veda.
  • Dunia adalah benar.
  • Semua Jiva atau roh individu adalah berasingan dan bergantung kepada Srihari. Terdapat perbezaan status dan kualiti dalam Jiva.
  • Mukti atau kebebasan ialah sebenarnya mengalami atau menyedari sifat semulajadi seorang Jiva sebagai Ananda atau Nikmat Abadi.
  • Mukti diperolehi dengan memupuk Bhakti yang suci pada Srihari.

Daripada falsafah Bhakti ini wujud pelbagai perkara-perkara berkaitan seperti pemujaan ritual, menyanyikan lagu-lagu suci, juga kebangkitan gerakan Bhakti yang teratur.

Nimbarka sunting

Falsafah Nimbarka (kurun ke-12 Masihi) dikenali sebagai Dvaitadvaita.

Tuhan atau Parabrahman ialah Sri Krishna, iaitu realiti bebas yang agung. Jivatman atau roh individu adalah tidak terkira dan bersaiz atom. Prakrti ialah benda bukan hidup yang melahirkan dunia ini. Jiva dan Prakrti adalah realiti yang bergantung pada Parabrahman dan tidak boleh dipisahkan daripada Parabrahman. Perhubungan ini adalah seperti perhubungan antara ombak dan laut atau matahari dengan cahayanya.

Bhakti pada Sri Krishna dan Srimati Radha, berserah pada Mereka dan mematuhi guru rohani adalah jalan untuk mencapai kebebasan.

Nimbarka juga adalah orang pertama yang memperkenalkan Srimati Radha sebagai Shakti-Krishna atau pasangan-Nya.

Ramananda sunting

Ramananda telah menjadi seorang rahib menurut tradisi Ramanuja. Namun, selepas itu, Ramananda telah tercicir daripada Sri Vaishnavisme Ramanuja dan memulakan gerakan Bhakti pada Sri Rama. Menurut Ramananda, Bhakti pada Sri Rama adalah jalan untuk mencapai Mukti. Gerakannya juga menerima pengikut daripada semua kasta tanpa sekatan.

Antara pengikut-pengikutnya yang terkenal ialah Kabirdas, Sena, seorang tukang gunting rambut dari Maharashtra, dan Padmavati, seorang wanita. Tulasidas (1532-1623 Masihi) juga adalah seorang pengikut gerakan ini.

Gerakan ini berjaya menyebarkan Vaishnavisme dengan menjadikan Sri Rama sebagai Tuhan Maha Esa.

Kabirdas sunting

Antara pemimpin-pemimpin gerakan Bhakti pada zaman pertengahan, Kabir (1440-1518 Masihi), dikatakan seorang Muslim, adalah seorang pengikut Ramananda. Gerakan ini menyebarkan kepercayaan dan iman pada Sri Rama dengan mengetepikan pelbagai amalan masyarakat. Dengan peredaran masa, pengikut-pengikutnya membentuk suatu kultus berasingan atas namanya sendiri sebagai Kabirpanthis.

Vallabha sunting

Vallabha (1473-1531) berasal dari negeri Telugu (Andhra Pradesh). Kemudian, beliau berpindah ke Vrindavan. Beliau bukan sahaja seorang Bhakta yang hebat tetapi juga seorang sarjana agama. Beliau juga memperkukuhkan gerakan Krishna Bhakti.

Vallabha seorang yang berumahtangga. Beliau mengajar cara mudah penyembahan dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Sri Krishna. Beliau juga menerima pengikut daripada semua kasta dan agama. Pengikut-pengikutnya membina kuil-kuil Krishna dan menyebarkan agama mereka.

Sumbangan khas Vallabha ialah memperkenalkan Pustimarga (jalan khasiat rohani) yang menyarankan penyerahan penuh pada Tuhan selepas menerima Diksha daripada guru rohani yang bertauliah.

Caitanya sunting

(Artikel Utama: Sri Krishna Caitanya)

Sri Krishna Chaitanya juga dikenali sebagai Caitanya Mahaprabhu berasal dari Bengal. Beliau merupakan salah seorang pemimpin hebat Gerakan Bhakti.

Sumbangan utamanya ialah memperkenalkan Sankirtan - nyanyian lagu-lagu suci mengenai Sri Krishna secara kumpulan dan menari dengan nama-Nya.

Caitanya menyebarkan falsafah Acintyabhedabheda dan mencuba untuk menghapuskan perbezaan kasta dalam kalangan penganut-penganutnya.

Caitanya dipercayai sebagai jelmaan bersatu Sri Krishna dan Srimati Radha.

Perkembangan Vaishnavisme sunting

Vaishnavisme merupakan suatu aspek penting dalam Gerakan Bhakti yang tersebar di seluruh benua India bermula dari kurun ke-13 hingga 18. Secara amnya, Vaishnavisme telah bercabang kepada dua aliran yang berpusat pada Sri Ramachandra dan Sri Krishna. Pengaruh Sri Krishna, sesungguhnya adalah lebih luas.

Pelopor gerakan agama Sri Rama ialah Ramananda dan Kabir, dan seterusnya diteruskan dan diperkembangkan oleh Gosvami Tulasidas (1532 - 1623 Masihi), Samartha Ramadas (1608-1681 Masihi). Bhadrachala Ramadas (1630-1687 Masihi) dan Tyagaraja (1767-1847 Masihi) dan juga pengikut-pengikut mereka.

Gerakan agama Sri Krishna pula adalah tidak terkira. Antara gerakan-gerakan yang popular ialah:

Kultus Panduranga-Vitthala sunting

Ini ialah suatu kultus yang dimulakan oleh orang-orang alim dari Maharashtra, diketuai oleh Jnanesvar (akhir kurun ke-13 Masihi) dan diikuti oleh Namdev (1270-1350 Masihi), Eknath (1533-1606 Masihi), dan Tukaram (1607-1694 Masihi). Gerakan mistikal ini membawa revolusi dalam kehidupan masyarakat.

Gerakan Krishna Bhakti oleh para Haridasa sunting

Gerakan ini juga sama seperti gerakan Panduranga-Vitthala. Para Haridasa berasal dari Karnataka seperti Purandaradasa (1484-1564 Masihi), Kanakadasa (kurun ke-15) dan Vijayadasa (1687-1755).

Gerakan Krishna Bhakti di wilayah-wilayah Hindi di India Utara pula diketuai oleh Surdas (1478-1583 Masihi) dan Mira (1450-1547 Masihi).

Gerakan Bhakti di Gujarat didahului oleh Narasi Mehta (1415-1481 Masihi) dan Sankaradeva (1449-1569 Masihi) pula menyebarkan Krishna Bhakti di Assam.

Gerakan Bhakti oleh para pemuzik alim ini telah menjadikan agama sesuatu yang mudah difahami dan dihayati oleh masyarakat umum. Ia juga berjaya membawa kembali orang-orang Hindu yang tercicir daripada agama mereka.

Kesimpulan sunting

Seperti Saivisme, Vaishnavisme juga adalah satu aspek penting Hinduisme. Meskipun ia berasal daripada konsep Veda mengenai dedikasi kepada Vishnu, dengan peredaran masa, Vaishnavisme telah berkembang dan menjadi lebih mendalam untuk memenuhi keperluan masyarakat Hindu yang makin kompleks. Itulah sebabnya, agama Vaishnavisme masih menjadi suatu kuasa penting pada zaman moden ini, seperti yang boleh dilihat di kuil-kuil dan sambutan perayaan Vaishnava.