Anjing penuding Friesland

baka anjing dari Belanda

Anjing penuding Friesland,[a] stabijhoun, stabyhoun, stabij, atau staby[b] ialah salah satu baka anjing terjarang di dunia.[1][2][3] Ia berasal dari provinsi Friesland di Belanda; asal usulnya terletak di rantau berhutan di Friesland timur dan tenggara. Baka ini telah disebut dalam kesusasteraan Belanda yang bertarikh kembali ke awal tahun 1800-an, tetapi hanya mulai tahun 1960-an, baka ini mula terkenal di luar provinsi asalnya; stabijhoun pertama meninggalkan Belanda berdekad-dekad kemudian, pada tahun 2000-an. Nama stabijhoun diterjemahkan kasar-kasar kepada "anjing berdiri di sisi". Anjing ini dianggap sebagai khazanah kebangsaan Belanda. Kini, hanya ada beberapa ribu ekor stabijhoun di seluruh dunia.

Anjing penuding Friesland
Seekor stabijhoun
Nama lainStabijhoun
Stabyhoun
Stabij
Stabij
Beike
Fryske stabij
Nama ringkasStaby
Negara asalBelanda
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sejarah

sunting

Asal usul

sunting
 
"Ús Hûnen" (Anjing Kita): arca yang ditemukan di taman tengah ibu kota Friesland, yang menggambarkan seekor stabij di latar belakang, dengan wetterhoun di latar hadapan

Stabijhoun disebut dalam kesusasteraan Friesland awal abad ke-19 oleh Joost Halbertsma, Waling Dijkstra, dan Nynke fan Hichtum. Dari segi sejarah, baka ini digunakan untuk memburu rubah, buruan kecil, dan burung. Sebagai unsur tetap di ladang-ladang Friesland, stabihhoun telah terbukti sebagai penangkap tikus mondok mahir. Semasa musim perburuan, ia digunakan sebagai gundog serba boleh. Kini, stabyhoun kekal sebagai pemburu cekap, walaupun baka pemburu British dan Jerman kekal lebih popular. Stabij, yang terkenal kerana pembawaan tenangnya, ialah anjing pengutip bermulut lembut, anjing penuding bagus, anjing pengesan cemerlang, dan anjing pengawal bagus. Ia juga telah digunakan oleh penternak tenusu sebagai anjing pedati.

Anjing ini pernah terdapat hampir secara eksklusif di ladang, yang pemiliknya mempunyai kemampuan terbatas dan memerlukan anjing ladang tujuan umum yang mampu bekerja, berburu, dan mengawas, sambil menjadi teman keluarga yang setia dan boleh dipercayai.

Penampilan dan tujuan baka ini belum berubah. Untuk mengoptimumkan trait-trait anjing ladang pekerja pada zaman-zaman awal, stabijhoun kerap dikacukkan dengan lagi satu baka lama dan jarang Friesland, wetterhoun, yang lapis bulu lasak dan susuk tubuh tegapnya menjadikan stabij lebih tegap.

 
Dua baka jarang Friesland kacuk: wetterhoun/stabyhoun

Walau bagaimanapun, pada tahun 1942, stabijhoun menerima pengiktirafan baka rasmi dan pembiakbakaan silang stabijhoun dengan wetterhoun dihentikan sama sekali dalam usaha untuk mengelakkan kepupusan baka-baka yang semakin jarang ini.

Kini, stabijhoun mempunyai jumlah pengikut kecil tetapi setia dalam kalangan ahli sukan dan keluarga Belanda. Bilangannya meningkat perlahan-lah tetapi berterusan. Baka ini telah menarik perhatian pencinta anjing di United Kingdom, di Skandinavia, dan di Amerika Utara.

Stabyhoun pekerja

sunting

Dari segi sejarah, stabijhoun ialah anjing ladang pekerja serba boleh. Selain perburuan, anjing ini digunakan untuk menjaga harta benda dan menangkap haiwan perosak seperti tikus, tikus mondok, dan musang. Keserbagunaan ini masih terbukti pada baka ini kini. Oleh sebab stabij ialah anjing serba mampu namun tidak mahir, ia belum menarik perhatian penggemar yang ingin menceburi sukan atau aktiviti tertentu.

Stabijhoun ialah kedua-dua anjing pengutip bermulut lembut dan anjing penuding dengan kebolehan penjejakan kuat. Ia bekerja dengan baik di dalam air, tanpa menghindarkan diri daripada sungai atau tasik sejuk, dan mudah dikawal pada jarak lebih jauh. Ia mengutip mana-mana buruan yang masih hidup dan tidak rosak. Walaupun binaannya lebih sederhana, ia merupakan anjing berkuasa dan tegap, dengan stabijhoun lebih besar yang dahulunya digunakan untuk menarik kereta anjing apabila bangkit keperluan.

Stabijhoun kini digunakan dalam hampir semua jenis ujian dan aktiviti anjing: ketangkasan anjing, kepatuhan, perburuan, triatlon, daya ketahanan, frisbee, dan lain-lain.

Perihal

sunting
 
Seekor stabyhoun dewasa

Perangai

sunting

Stabijhoun terkenal kerana pembawaan lemah lembutnya. Baka ini ramah, sensitif, cerdas, tenang, sabar, dan mudah patuh tetapi mungkin degil sekali-sekala. Stabijhoun amat toleran terhadap kanak-kanak dan haiwan lain. Dengan pelatihan mantap namun lembut, baka ini patuh dan berbakti kepada penjaganya. Stabijhoun tidak patut langsung menjadi ganas atau bengkeng.

Walaupun stabijhoun dapat menjadi sangat tenang di dalam rumah, seperti semua baka sukan, ia menikmati banyak kegiatan fizikal. Dengan akar Friesland-nya, stabijhoun menikmati peluang untuk berenang.

Penampilan

sunting

Dengan binaan tegap dan lapis bulu sutera lembut, stabijhoun adalah lebih panjang daripada ketinggian. Ia patut mempunyai skala dan keseimbangan fizikal baik dan tidak mempunyai binaan berotot atau langsing. Ciri-ciri wajah feminin dan maskulin adalah berbeza sehingga jantina mudah dibezakan.

Kebanyakan stabijhoun mempunyai lapis bulu hitam dan putih dan biasanya mempunyai kepala hitam padu dan ekor berhujung putih. Stabijhoun perang dan putih adalah kurang lazim tetapi mungkin terdapat di Belanda, sementara stabijhoun berlapis bulu jingga dan putih telah menjadi semakin jarang.[4]

 
Seekor anak stabij perang putih dan jarang

Bintik dan/atau kesan kemerah-merahan di bahagian putih pada lapis bulunya boleh diterima, tetapi triwarna dianggap sebagai kecacatan. Jantan adalah setinggi 53 cm (21 in) dan betina pula adalah setinggi 50 cm (20 in) pada paras kelasa. Berat unggul stabijhoun ialah 45 lb (20 kg) untuk betina dan 50–55 lb (23–25 kg) untuk jantan.

Kepala dan muka

sunting
 
Seekor stabij remaja

Kepalanya patut menunjukkan lebih panjang berbanding dengan lebar, dengan tengkorak dan muka hadapan yang sama panjang. Bulu pada kepala adalah pendek. Tengkorak patut sedikit berkubah—tetapi tidak sempit—dan mungkin tidak langsung memberikan kesan lebar. Kepala terangkat rendah-rendah pada leher kuat dan sedikit melengkung. Stop hanya jelas sedikit. Muka hadapan berkuasa dan meruncing perlahan-lahan ke arah hidung tanpa memberikan rupa titik. Batang hidung adalah lurus dan muncungnya lebar; hidung cukup terbentuk dan mempunyai lubang hidung lebar. Bibirnya ketat dan menutup gigi, yang kuat dan mempunyai gigitan gunting. Lehernya patut bebas daripada gelambir. Ekspresi wajah patut sentiasa lembut dan cerdas.

Telinganya terletak dengan agak rendah, bersaiz sederhana, dan terbentuk dengan kuat. Telinganya menonjol dari kepala dan sederhana panjang dan berbentuk seperti kulir tukang batu. Jumbai pada telinga adalah tipikal, dengan bulu yang tumbuh dengan lebih panjang di pangkal telinga dan panjangnya semakin berkurangan. Sepertiga bahagian bawah telinga ditutup dengan bulu pendek.

Matanya patut terletak separas di kepala dan bersaiz sederhana dengan kelopak membulat ketat. Tidak patut ada rupa kelopak mata ketiga. Anjing dengan lapis bulu hitam dan putih patut mempunyai mata perang gelap, sementara stabijhoun perang dan putih mungkin mempunyai mata berwarna perang atau jingga. Mata burung pemangsa dianggap sebagai kecacatan.

Lapis bulu stabijhoun adalah panjang dan licin. Walaupun sedikit alunan di atas krup diizinkan, lapis bulunya tidak boleh keriting. Bulu di belakang sukuan hadapan dan sukuan belakang stabijhoun adalah lebih panjang dan lebih penuh tetapi tidak patut berjumbai langsung. Sebarang keriting lapis bulu menunjukkan bahawa pembiakbakaan silang telah berlaku dalam susur galur anjing berkenaan dan, atas sebab ini, tidak dapat dianggap sebagai stabijhoun baka tulen.

Tubuh stabijhoun patut berkuasa dengan rusuk cukup melengkung. Belakangnya lurus, dengan krup yang mencondong sedikit. Loinnya berkuasa dan perutnya hanya berkelim secara sederhana. Ekornya panjang sehingga mencecah paras keting. Ekornya terletak rendah-rendah dan terangkat ke bawah dengan bengkokan lembut ke atas ke arah hujung ekor. Semasa beraksi, ekornya terangkat ke atas tetapi tidak sekali-kali sehingga melingkar. Seperti bulu di belakang sukuan hadapan dan sukuan belakang stabijhoun, bulu ekor patut panjang, penuh, dan lebat. Walau bagaimanapun, bulu ekor tidak patut menjumbai.

Bahunya terletak dengan baik menentang dada, belikatnya terletak ke belakang dan bersudut. Sukuan hadapan bawah patut berkuasa dan lurus, begitu juga tungkai depan. Pasterna stabijhoun patut kuat. Sukuan belakang adalah berkuasa dan bersudut baik dengan keting yang terletak rendah-rendah. Kaki patut bulat dan agak besar dengan jari kaki yang cukup terbentuk dan melengkung. Stabijhoun patut mempunyai pad tebal.

Kesihatan

sunting

Sebagai baka agak sihat tanpa isu kesihatan lazim pada masa ini, purata jangka hayat bagi stabyhoun ialah 13–15 tahun.[5] Diet, senaman, penjagaan, dan persekitaran merupakan faktor yang paling banyak memberikan kesan kepada kesihatan dan jangka hayat baka ini.[4]

Keadaan kesihatan kongenital yang diketahui pada baka ini merupakan duktus arteriosus paten (PDA), epilepsi, displasia siku, displasia pinggul, dan penyakit von Willebrand Jenis 1 (vWB). Keadaan lain yang dicatatkan merupakan radius kurvus, katarak keturunan, meningitis-arteritis responsif steroid (SRMA), dan kanser tidak spesifik. Kebolehwarisan keadaan-keadaan ini tidak diketahui, tetapi dengan pembiakbakaan teliti, kebanyakan masalah ini telah dihapuskan. Epilepsi pernah menjadi lebih prevalen tetapi tidak lagi begitu lazim.

Penjagaan bulu

sunting

Stabijhoun tidak memerlukan penjagaan khas selain pemberusan biasa untuk meminimumkan kusutan. Anjing bersalin bulu dua kali setahun, dan pemberusan menyeluruh membantu proses salin bulu. Tanpa pemberusan, bulu stabijhoun dapat menjadi kusut seperti pilinan. Bulu halus di belakang telinga khususnya terdedah kepada kusutan. Pencucian dengan sabun dan syampu kasar patut dielakkan bila-bila mungkin kerana ini menanggalkan minyak semula jadi dan kilauan daripada lapis bulu. Lapis bulu stabijhoun secara semula jadi membersihkan dirinya daripada kotoran dan lumpur. Selepas berenang, anjing biasanya bersih dan kering dalam masa beberapa jam.

Pembiakbakaan

sunting

Oleh sebab saiz terbatas populasi stabijhoun, pembiakbakaan cermat adalah penting. Nederlandse Vereniging voor Stabij- en Wetterhounen (NVSW, "Persatuan Belanda untuk Stabijhoun dan Wetterhoun"), American Stabyhoun Association, dan UK Stabyhoun Association mempunyai penasihat baka yang menyelidik dan meluluskan pasangan. Dalam usaha untuk mengawal pembiakan dalam, persatuan mengekalkan pembiakbakaan pada tahap minimum dan secermatnya mempertimbangkan bakal pasangan. Walaupun terdapat populasi stabij yang sederhana di luar Belanda, populasi pembiakbakaan adalah kecil, dan kepelbagaian genetik terbesar kekal di Belanda. Memandangkan stabijhoun mewakili budaya dan warisan Belanda, khususnya Friesland, para pembiak baka memastikan agar harga anak anjing dan anjing mampu dibayar; hasilnya, pembiak baka stabijhoun lazimnya menjadi pembiak baka sebagai hobi.

Betina mungkin melahirkan tidak lebih daripada lima perinduk seumur hidup. Ia mungkin dibiakbakakan hanya pada usia antara 18 bulan dengan sembilan tahun dan direhatkan sekurang-kurangnya satu tahun antara perinduk. Purata saiz perinduk stabijhoun ialah tujuh ekor. Pinggul bakal pasangan pengawanan mesti dikenakan imbasan sinar-X (bukan di bawah keputusan FCI-C), dan pasangan antara betina dengan jantan perlu diluluskan oleh jawatankuasa pembiakbakaan kelab Belanda. Pembaka mesti berusia 18 bulan atau lebih untuk dibiakbakakan, dan ia mesti mempunyai hasil pertunjukan dan pinggul sama seperti pasangan betinanya. Anjing pembaka tidak boleh membapai lebih daripada tiga perinduk setahun atau lebih daripada sepuluh seumur hidup. Pemilik pembaka dijangkakan untuk menghadiri hari pembiak baka supaya anjing boleh dinilai dan dipasangkan dengan bakal pasangan.

Lihat juga

sunting

Catatan

sunting
  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤنوديڠ فريسلند; bahasa Inggeris: Frisian pointing dog; Frisian pointer
  2. ^ Jawi: ستابيهون; ستابي, Sebutan bahasa Melayu: [stabihun]; Bahasa Frisia: [stabijhûn; stabyhûn; stabij; staby] Error: [undefined] Error: {{Lang}}: tiada teks (bantuan): teks mempunyai penanda italik (bantuan)

Rujukan

sunting
  1. ^ "Saving rare breed one litter at a time" [Menyelamatkan baka jarang satu perinduk pada satu masa]. Blueridgenow.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Mac 2021. Dicapai pada 23 Januari 2024.
  2. ^ "Louisville couple breeding rare stabyhouns" [Pasangan Louisville yang membiakbakakan stabyhoun jarang]. Coloradohometownweekly.com (dalam bahasa Inggeris). 5 Mei 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Mac 2021. Dicapai pada 23 Januari 2024.
  3. ^ "Special delivery: Frozen sperm and a litter of rare pups" [Kiriman istimewa: Sperma beku dan seperinduk anak anjing jarang]. Juneauempire.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 15 September 2017. Dicapai pada 23 Januari 2024.
  4. ^ a b "Stabyhoun: Did You Know" [Stabyhoun: Tahukah Anda]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Ogos 2014. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  5. ^ "Stabyhoun Dog Breed Information" [Maklumat Baka Anjing Stabyhoun]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Mac 2021. Dicapai pada 5 Mac 2024.

Pautan luar

sunting