Filem bisu (juga: wayang gambar bisu[1][2]) atau filem senyap (bahasa Inggeris: silent film) ialah filem (wayang gambar) yang dirakam tanpa iringan bunyi mahupun lontaran dialog yakni "bisu". Dalam filem-filem jenis ini, lakonan pelakon disampaikan melalui gerakan isyarat, pantomim dan kad tajuk. Idea menggabungkan wayang gambar dengan rakaman bunyi adalah seusia perfileman itu sendiri, tetapi dengan cabaran teknikal, iringan dialog hanya dapat dizahirkan pada akhir 1920-an setelah tiub penguat audion sempurna dicipta serta pengenalan sistem Vitaphone. Selepas The Jazz Singer muncul dengan teknologi rakaman iringan dialog dan bunyi yang sungguh berkesan pada tahun 1927, filem bersuara semakin laris dikehendaki sehingga menyebabkan pupusnya filem jenis ini dalam masa sepuluh tahun kemudian.

Babak dari filem Four Horsemen of the Apocalypse (1921), antara filem senyap yang memperoleh kutipan tertinggi.

Unsur sunting

 
Roundhay Garden Scene (1888), filem seluloid terkenal pertama yang pernah dirakam.

Wayang gambar pertama dibikin oleh Louis Le Prince pada tahun 1888, iaitu filem dua saat yang merakam orang ramai bersiar-siar di taman Oakwood Grange, berjudul Roundhay Garden Scene.[3] Seni wayang gambar berkembang matang pada "zaman filem senyap" (silent era) sebelum filem senyap diganti oleh filem bersuara pada akhir 1920-an. Ramai cendekiawan dan peminat filem berhujah bahawa mutu estetik perfileman merosot selama beberapa tahun sehingga para pengarah, pelakon dan kakitangan penerbitan menyesuaikan diri dengan filem bersuara.[4]

Rakaman visual filem senyap, khususnya yang dihasilkan pada 1920-an, adalah bermutu amat tinggi pada zaman itu, tetapi ramai yang tersangka bahawa filem-filem ini adalah primitif dan tidak sedap ditonton pada masa kini. Tanggapan ini timbul daripada kesilapan teknikal (seperti filem yang dimainkan pada kelajuan yang tidak sepatutnya) serta keadaan filem yang merosot (kebanyakan filem senyap hanya wujud dalam salinan generasi kedua atau ketiga yang selalunya disalin dari stok filem yang sudah rosak atau terbiar).[4]

Filem lakonan semula Pertempuran Teluk Chemulpo antara Rusia dan Jepun (Edison Studios, 1904)

Intertitle sunting

Memandangkan filem senyap tiada bunyi segerak untuk dialognya, sari kata intertitle dipaparkan atas layar untuk menerangkan cerita, memaparkan dialog penting dan adakalanya juga mengulas aksi untuk kefahaman penonton di pawagam. Pada zaman filem senyap, adanya petugas profesional terpenting bergelar title writer yang berasingan dengan scenario writer yang mereka cerita filem. Intertitle ini juga dijadikan unsur grafik yang bercirikan ilustrasi atau hiasan abstrak yang mengulas aksi.

Muzik dan bunyi langsung sunting

Tayangan filem senyap selalunya diiringi muzik yang dimainkan secara langsung, bermula dengan alunan piano di tayangan awam pertama filem-filem Lumière Bersaudara pada 28 Disember 1895 di Paris.[5] Dari mula lagi, unsur muzik dipentingkan sebagai penyumbang suasana serta memberikan kiu emosi kepada penonton (adakalanya pemuzik juga bermain dalam set filem ketika penggambaran untuk tujuan sedemikian). Pawagam di pekan dan kawasan perumahan selalunya ada pemain piano, sementara pawagam di bandaraya besar dilengkapi pemain organ atau kumpulan pemuzik sejak 1910-an. Organ teater gergasi direka untuk menggabungkan keringkasan piano solo dan kebesaran orkestra. Organ teater ini dilengkapi pelbagai ciri-ciri kesan khas; contohnya, "Mighty Wurlitzer" boleh meniru beberapa jenis bunyi orkestra serta beberapa kesan genderang seperti tambur dan simbal, serta kesan bunyi termasuk derapan kuda dan deruman guruh.

Skor muzik untuk filem senyap terawal berupa improvisasi atau himpunan muzik klasik atau teater. Lama-kelamaan, latar muzik dihimpunkan dari muzik photoplay oleh pemain piano, pemain organ, pemimpin orkestra atau studio filem sendiri yang menghantar kertas kiu bersama filem. Kertas kiu ini biasanya amat panjang, dengan catatan terperinci mengenai kesan dan suasana yang harus diawasi. Bermula dengan skor asli gubahan Joseph Carl Breil untuk filem epik The Birth of a Nation (AS, 1915) oleh D.W. Griffith, filem berbelanja besar semakin kerap disampaikan bersama skor asli khusus dalam pawagam.[6]

Ketika menggunakan muzik lembaran, pemuzik masih boleh mengimprovisasi muziknya untuk menyerlahkan drama dalam layar. Juga, meskipun kesan khas tidak disertakan dalam skor, jika pemain organ sedang bermain organ teater yang dilengkapi ciri-ciri kesan khas luar biasa seperti "derapan kuda", dia boleh menggunakan ciri-ciri itu untuk babak kejar-mengejar berkuda.

Pada kemuncak zaman filem senyap, filem merupakan satu-satunya punca pekerjaan terbesar untuk pemain alat muzik (di Amerika Syarikat, setidak-tidaknya). Namun, setelah filem bersuara diperkenalkan, serentak dengan permulaan Kemelesetan Besar, menjadi tamparan hebat kepada para pemuzik.

Ada negara lain yang memikirkan cara lain untuk membunyikan filem senyap. Di Brazil, pawagam-pawagam terawal menampilkan fitas cantatas: filem opereta dengan kumpulan penyanyi yang bernyanyi di belakang tabir.[7] Di Jepun, filem bukan sahaja dilengkapi muzik secara langsung bahkan juga benshi, seorang pencerita langsung yang membacakan komentar dan suara watak. Benshi ini menjadi unsur terpenting dalam seni filem Jepun, di samping menyediakan terjemahan untuk filem asing.[8] Populariti benshi menjadi salah satu sebab filem senyap bertahan sehingga 1930-an di Jepun.

Tidak banyak skor filem yang masih dalam keadaan baik semenjak itu, dan para ahli musikologi masih banyak berdepan dengan persoalan dalam percubaan menyusun semula skor filem yang masih ada. Skor-skor ini boleh dibezakan kepada skor gubahan yang disusun semula selengkapnya, yang baru digubah untuk filem berkenaan, yang dihimpunkan dari pustaka muzik sedia ada, ataupun yang diimprovisasi.

Pada 1960-an dan 1970-an, minat kepada penskoran filem senyap semakin pudar, kerana timbulnya kepercayaan di kalangan program filem kolej dan pawagam repertori bahawa penonton harus menghayati filem senyap sebagai bahantara visual jati tanpa gangguan muzik. Kepercayaan ini mungkin didorong oleh mutu rendah runut muzik yang ditemui dalam cetakan semula filem senyap ketika itu. Baru-baru ini, bangkitnya juga minat untuk mempersembahkan filem senyap dengan skor muzik bermutu, baik menghasilkan semula skor lama mahupun menggubah skor asli yang berpatutan, semenjak usaha Francis Ford Coppola pada tahun 1980 untuk memulihkan filem Napoleon (1927) oleh Abel Gance dengan iringan skor orkestra langsung gubahan bapanya, Carmine Coppola.

Antara pakar-pakar masa kini dalam seni penyusunan dan persembahan skor filem senyap termasuk pemain organ dan piano seperti Chris Elliott, Clark Wilson dan Jim Riggs. Pemimpin orkestra seperti Carl Davis dan Robert Israel telah menulis dan menghimpunkan skor untuk berbilang filem senyap. Selain menggubah skor asli, Timothy Brock turut memulihkan skor-skor filem Charlie Chaplin.

Teknik lakonan sunting

 
Lillian Gish ialah seorang bintang terkenal zaman filem senyap yang menikmati kerjaya yang lebih berkekalan, dari tahun 1912-1987

Pelakon filem senyap menekankan bahasa gerak-geri dan riak wajah untuk memudahkan penonton memahami perasaan atau peranan yang disampaikan oleh pelakon dalam layar. Kebanyakan lakonan filem senyap boleh dikatakan kelihatan terlalu ringkas atau campy kepada penonton masa kini. Oleh yang demikian, filem komedi senyap lebih popular pada zaman moden berbanding filem drama, sedikit sebanyak kerana lakonan berlebih-lebih adalah kebiasaan untuk komedi. Gaya lakonan melodrama adakalanya menjadi tabiat yang dibawa oleh para pelakon dari pengalaman mereka di pentas dahulu. Kehadiran pelakon pentas yang memenuhi filem menjadi punca kutukan pengarah Marshall Neilan pada tahun 1917: "Lebih cepat orang pentas yang masuk dalam gambar keluar, lebih bagus untuk gambar itu." Adakalanya juga, pengarah lain seperti John Griffith Wray mengehendaki para pelakon untuk menyampaikan ekspresi yang lebih hebat daripada hakikat sebenar sebagai penekanan.[9] Seawal-awal tahun 1914, para penonton AS semakin menggemari lakonan yang lebih bersahaja dalam layar.

Apapun, saiz gambar yang besar serta kerapatan luar biasa yang dinikmati oleh pelakon bersama penonton mula mempengaruhi gaya lakonan agar ekspresinya kurang ketara. Pelakon wanita seperti Mary Pickford dalam kesemua filemnya, Eleanora Duse dalam filem Itali Cenere (1916), Janet Gaynor dalam filem Sunrise, Priscilla Dean dalam filem Outside the Law dan The Dice Woman, dandLillian Gish dalam kebanyakan persembahannya, mengharuskan kawalan perasaan dan mudah bersahaja dalam lakonan. Pengarah seperti Albert Capellani (seorang warga Perancis yang pernah di Amerika untuk filem-filem Alla Nazimova) dan Maurice Tourneur menegaskan kebersahajaan dalam filem mereka; ketika mengusahakan pementasan sebelum ini, Tourneur cenderung kepada minimalisme. Pada 1920-an, semakin banyak filem senyap AS yang menampakkan gaya lakonan yang lebih bersahaja, tetapi bukan semua pelakon dan pengarah menerima lakonan yang bersahaja dan tidak menonjol begitu sahaja; filem-filem yang bergaya lakonan ekspresionistik seperti Metropolis masih dikeluarkan selewat-lewat tahun 1927. Ada penonton yang menyukai lakonan ranggi kerana nilai eskapisme, apalagi sesetengah negara lebih lambat memeluk gaya bersahaja dalam filem berbanding AS. Sebenarnya, tahap kebersahajaan dalam lakonan masa kini berbeza dari filem ke filem sehingga filem kegemaran kita tidak semestinya yang lakonannya paling bersahaja. Seperti hari ini, kejayaan filem bergantung pada latar, suasana, lakon layar, kemahiran pengarah, dan bakat barisa pelakon keseluruhan.[10]

Kelajuan penayang sunting

Sehingga kelajuan penayang diselaraskan pada 24 bidang sesaat (frames per second, fps) untuk filem berbunyi pada tahun 1926, filem senyap dirakam pada kelajuan (atau "kadar bidang") yang berbeza-beza, iaitu lebih kurang di antara 16 dan 23 bidang sesaat, bergantung pada tahun dan studionya. Jika tidak ditayangkan betul-betul pada kelajuan asal, filem akan bermain terlalu laju atau tersentak-sentak sehingga kelihatan asing kepada penonton moden. Walaupun begitu, sesetengah babak sengaja diperlahankan engkolnya ketika penggambaran untuk memecutkan aksi, khususnya bagi komedi slapstick. Kadar bidang filem senyap yang sepatutnya sukar ditentukan dan mungkin berubah-ubah dalam satu filem kerana kamera filem ketika itu digunakan dengan memutar engkol dengan tangan. Kelajuan filem selalunya menyusahkan para peminat dan cendekiawan filem ketika hendak mempersembahkan filem-filem sebegini pada masa kini, khususnya bagi filem-filem yang "dipulihkan" untuk keluaran DVD; misalnya Metropolis (Jerman, 1927) yang dipulihkan pada tahun 2002.

Penayang filem sering memutarkan filem senyap pada kelajuan yang lebih cepat sedikit berbanding kadar ketika penggambaran. Kebanyakan filem kelihatan ditayangkan pada kelajuan 18 fps ke atas, ataupun lebih cepat daripada kelajuan filem berbunyi (24 fps, atau 90 kaki seminit). Biarpun dirakam pada 16 fps (atau "silent speed"), namun penayangan filem berasas selulosa nitrat sebegitu perlahan membawa risiko kebakaran yang besar. Selalunya, penayang akan menerima arahan am dari pihak pengedar mengenai kelajuan penayangan gelungan atau babak yang sewajarnya pada kertas kiu pengarah muzik. Jarang sekali, biasanya untuk penerbitan yang lebih besar, kertas kiu terperinci khusus untuk penayang tercatat panduan terperinci untuk mempersembahkan filem. Adakalanya, pihak pawagam mengubah-ubah kelajuan tayangan mengikut waktu atau kelarisan filem untuk menaikkan keuntungan.[11]

Pewarnaan sunting

 
Sebabak filem Broken Blossoms yang dibintangi Lilian Gish, contoh cetakan berwarna sepia.

Memandangkan tiadanya pemprosesan warna semulajadi, filem senyap sering dicelup dalam bahan pewarna lalu dicelupkan pelbagai cahaya warna dan rona untuk menyerlahkan suasana atau menunjukkan waktu dalam babak, cth: biru untuk waktu malam, dan kuning atau ambar untuk waktu siang. Merah melambangkan api dan hijau melambangkan suasana misteri. Begitu juga, pengetonan filem (seperti ton sepia yang kerap digunakan pada zaman filem senyap) dengan larutan istimewa menggantikan zarah perak pada stok filem dengan garam atau bahan celup pelbagai warna. Gabungan seri warna dan pengetonan berguna untuk mendapatkan kesan yang amat menarik.

Ada sebilangan filem yang berseri warna tangan, seperti Annabelle Serpentine Dance (1894) oleh Edison Studios. Dalamnya, Annabelle Moore, seorang penari muda dari Broadway, memakai tudung putih yang kelihatan berubah warna ketika menari. Pewarnaan dengan tangan sering digunakan dalam filem "helah" dan fantasi terawal di Eropah, khususnya filem-filem Georges Méliès.

 
Sebabak The Birth of a Nation.

Pada awal 1910-an, ketika filem cetera panjang mula diperkenalkan, penyerian warna dikembangkan sebagai penimbul suasana yang sama kerap digunakan dengan muzik. Pengarah D.W. Griffith selalu berminat terhadap warna, dan menggunakan seri warna untuk menghasilkan kesan unik dalam kebanyakan filemnya. Filem epiknya, The Birth of a Nation (1915), menggunakan sebilangan warna, termasuk ambar, biru, gandaria, dan seri warna merah menyerlah untuk babak-babak seperti "kebakaran Atlanta" dan kemunculan Ku Klux Klan pada klimaks filem. Griffith kemudian mencipta sejenis sistem warna yang mana lampu berwarna berpancar di merata skrin untuk mendapatkan kesan warna.

Filem senyap berkutipan paling tinggi di Amerika Syarikat sunting

Berikut ialah filem-filem yang mengutip pendapatan kasar tertinggi dalam sejarah perfileman, seperti yang dihitung oleh majalah Variety pada tahun 1932. Perangkaan dolar tidak terlaras untuk inflasi.[12]

  1. The Birth of a Nation (1915) - $10,000,000
  2. The Big Parade (1925) - $6,400,000
  3. Ben-Hur (1925) - $5,500,000
  4. Way Down East (1920) - $5,000,000
  5. The Gold Rush (1925) - $4,250,000
  6. The Four Horsemen of the Apocalypse (1921) - $4,000,000
  7. The Circus (1928) - $3,800,000
  8. The Covered Wagon (1923) - $3,800,000
  9. The Hunchback of Notre Dame (1923) - $3,500,000
  10. The Ten Commandments (1923) - $3,400,000
  11. Orphans of the Storm (1921) - $3,000,000
  12. For Heaven's Sake (1926) - $2,600,000
  13. Seventh Heaven (1926) - $2,400,000
  14. Abie's Irish Rose (1928) - $1,500,000

Zaman filem berbunyi sunting

Peralihan sunting

Walaupun pernah ada cubaan mencipta wayang gambar berbunyi segerak seawal-awal makmal Edison pada tahun 1896, namun pada awal 1920-an barulah teknologi ini cukup berkembang. Tahun-tahun berikutnya menyaksikan persaingan mereka, melaksanakan, dan memasarkan beberapa format bunyi bunyi dalam cakera dan bunyi dalam filem. Walaupun keluaran The Jazz Singer pada tahun 1927 menandakan filem berbunyi pertama yang berjaya secara komersil, namun pengeluaran filem pada tahun 1927 dan 1928 masih dikuasai filem senyap. Oleh itu, zaman filem berbunyi dikatakan hanya mula mendominasi pada tahun 1929.

Senarai berikut hanya merangkumi filem-filem yang dihasilkan pada zaman awal filem berbunyi dengan kekal senyap sebagai tujuan kesenian tertentu.

Penghormatan dari zaman kemudian sunting

Ada sebilangan pembuat filem yang memberi penghormatan kepada karya komedi pada zaman filem senyap, termasuk Jacques Tati dengan Les Vacances de Monsieur Hulot (1953) dan Mel Brooks dengan Silent Movie (1976). Drama tersanjung arahan Hou Hsiao-Hsien dari Taiwan, iaitu Three Times (2005) adalah senyap di tengah-tengah dan dilengkapi oleh intertitle; The Impostors oleh Stanley Tucci dibuka dengan babak senyap ala filem komedi senyap zaman dahulu. Penulis/pengarah Michael Pleckaitis memberi corak nada tersendiri dalam genre ini dengan filem yang brrjudul Silent (2007).

Sebahagian besar filem Jerman Tuvalu (1999) adalah senyap; jumlah dialog yang kecil merupakan campur aduk bahasa-bahasa Eropah yang menyerlahkan kesejagatan filem ini. Guy Maddin banyak meraih anugerah untuk penghormatannya kepada filem senyap zaman Soviet dengan filem pendeknya The Heart of the World; selepas itu, beliau membikin filem cetera senyap berjudul Brand Upon the Brain! (2006) yang menerapkan folei, penceritaan dan orkestra secara langsung di tayangan terpilih. Shadow of the Vampire (2000) ialah pencerekaan kisah penggambaran filem senyap yang seram Nosferatu, eine Symphonie des Grauens (1922) oleh Friedrich Wilhelm Murnau. Werner Herzog turut memberi penghormatan kepada Nosferatu dengan versi sendiri, iaitu Nosferatu: Phantom der Nacht (1979).

Ada sesetengah filem yang menunjukkan perbandingan antara zaman filem senyap dan zaman filem bersuara. Misalnya, Sunset Boulevard memaparkan ketaksinambungan antara kedua-dua era dalam watak Norma Desmond, lakonan bintang filem senyap Gloria Swanson, manakala Singin' In The Rain menceritakan pergelutan yang dihadapi para penggiat seni Hollywood dalam peralihan dari filem senyap ke filem bersuara. Film Nickelodeon (1976) oleh Peter Bogdanovich mengisahkan ketaktentuan industri perfileman senyap di Hollywood pada awal 1910-an, sehingga keluarnya The Birth of a Nation (1915) oleh D.W. Griffith.

Pada tahun 1999, seorang pembuat filem berbangsa Finland, Aki Kaurismäki menerbitkan filem Juha serba bergaya filem senyap dengan sari kata intertitle sebagai ganti perbualan dialog.[13] Di India, filem Pushpak (1988)[14] yang dibintangi Kamal Hassan, merupakan komedi hitam yang langsung tidak kedengaran dialog. Filem Dr Plonk (2007) dari Australia merupakan filem komedi senyap arahan Rolf de Heer.

Lakonan pentas tidak terkecuali daripada ilham filem senyap. Pelakon/penulis Billy Van Zandt dan Jane Milmore mementaskan komedi slapstick Off-Broadway berjudul Silent Laughter sebagai penghormatan kepada zaman filem senyap.[15] Geoff Sobelle dan Trey Lyford mencipta dan membintangi pementasan All Wear Bowlers (2004) yang bermula sebagai penghormatan kepada pasangan Laurel dan Hardy, kemudian berubah-ubah untuk menerapkan babak-babak filem bisu Sobelle dan Lyford yang melompat ulang-alik antara dunia nyata dan layar perak.[16] Filem animasi Fantasia (1940) yang terbentuk daripada lapan babak animasi berlainan yang beriringan muzik, boleh dikira sebagai filem pendek dengan hanya satu babak kecil yang berdialog.

Pemulihan dan filem hilang sunting

Banyaknya karya wayang gambar terawal yang hilang kerana filem nitrat yang digunakan pada zaman itu amat tidak stabil dan mudah terbakar. Lebih-lebih lagi, kebanyakan filem seperti siri filem Pinochle Boys, sengajar dibakar kerana ketandusan nilai pada zaman filem bercakap. Adalah diperkatakan bahawa kira-kira 75% filem bisu yang pernah dibikin sudah hilang, namun anggaran ini mungkin tidak tepat kerana kekurangan data berangka.[17] Antara filem bisu tersohor yang dianggap hilang termasuk Saved from the Titanic (1912);[18] El Apóstol (1917), filem cetera animasi pertama di dunia; Cleopatra (1917);[19] Arirang (1926); Gentlemen Prefer Blondes (1927);[20] The Great Gatsby (1926); dan London After Midnight (1927). Biarpun kebanyakan filem bisu yang hilang ini tidak akan dapat ditemui lagi, namun ada sebilangannya yang sudah dijumpai dalam arkib filem atau koleksi persendirian.

Pada tahun 1978 di Bandaraya Dawson, Yukon, setimbunan gelungan filem nitrat ditemui dalam kerja penggalian kambus tanah secara jentolak. Bandaraya Dawson pernah menjadi penghujung laluan pengedaran kebanyakan filem bisu; filem-filem tersebut disimpan dalam perpustakaan tempatan sehingga tahun 1929 apabila nitrat yang mudah terbakar itu digunakan sebagai kambus tanah di sebuah bekas kolam renang. Setelah 50 tahun terseorok di bawah permafrost Yukon, akhirnya filem-filem tersebut didapati terpelihara dengan secukup-cukupnya. Antara filem-filem khazanah ini adalah yang dibintangi Pearl White, Harold Lloyd, Douglas Fairbanks, dan Lon Chaney. Filem-filem ini kini disimpan di Pustaka Kongres.[21]

Stok filem lama boleh dipelihara dengan pengarkiban secara betul, jika tidak filem-filem ini boleh dipindahkan ke media digital. Pemiliharaan filem senyap menjadi keutamaan tinggi di kalangan sejarawan filem.[22]

Rujukan sunting

  1. ^ Mohd. Zamberi A. Malek; Aimi Jarr (2005). Malaysian Film: The Beginning. Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). m/s. 8.
  2. ^ Abi (1987). Filem Melayu dahulu dan sekarang. Mantin, Negeri Sembilan, Malaysia: Marwilis. m/s. 66.
  3. ^ Guinness Book of Records, semua edisi.
  4. ^ a b Film History of the 1920s, Part 1. Retrieved on May 6, 2009.
  5. ^ Cook, David A. A History of Narrative Film, 2nd edition. New York: W.W. Norton, 1990. ISBN 0-393-95553-2
  6. ^ Eyman, Scott. The Speed of Sound: Hollywood and the Talkie Revolution, 1926-1930. New York: Simon & Schuster, 1997. ISBN 0-684-81162-6
  7. ^ Parkinson, David. History of Film. New York: Thames and Hudson, 1995, pp. 69. ISBN 0-500-20277-X
  8. ^ Standish, Isolde. A New History of Japanese Cinema: A Century of Narrative Film. New York: Continuum, 2005. ISBN 0-8264-1709-4
  9. ^ filem diarahkan oleh John Griffith Wray
  10. ^ Brownlow, Kevin. The Parade's Gone By..., Borzoi Book, Alfred Knopf, 1968
  11. ^ Card, James (1955). "Silent Film Speed". Image: 55–56. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-04-07. Dicapai pada 2007-05-09. Unknown parameter |month= ignored (bantuan)
  12. ^ "Biggest Money Pictures". Variety: 1. 1932-06-21. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-07-08. Dicapai pada 2007-05-07.
  13. ^ Juha di Pangkalan Data Filem Internet (IMDb)
  14. ^ Pushpak di Pangkalan Data Filem Internet (IMDb)
  15. ^ Silent Laughter
  16. ^ All Wear Bowlers
  17. ^ Nitrate won't wait: a history of film preservation in the United States di Google Books
  18. ^ Thompson, Frank T. (March 1996). Lost Films: Important Movies That Disappeared. Carol Publishing Corporation. m/s. 12–18. ISBN 978-0806516042.
  19. ^ Thompson, op cit, pp. 68-78.
  20. ^ Thompson, op cit, pp. 186-200.
  21. ^ Slide, Anthony. Nitrate Won't Wait: A History of Film Preservation in the United States 2000, p. 99. ISBN 0-7864-0836-7
  22. ^ Kula, Sam. Rescued from the Permafrost: The Dawson Collection of Motion Pictures SFU Journal. Archivaria Isu 8.

Bacaan lanjut sunting

Pautan luar sunting