Datuk Kampo Radjo (1922-1988) lahir di Kampung Batagak, Sumatera Barat, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Nafias bin Rasul. Datuk Kampo Radjo adalah gelaran tradisi dalam masyarakat Minangkabau.

Dia mendapat pendidikan agama di surau dan pendidikan sekular dari sekolah dasar hingga ke sekolah pertanian. Selepas lulus sekolah perdagangan, beliau menubuhkan sekolah perdagangan swasta.

Politik sunting

Beliau mendapat kesedaran politik setelah mendapat pendidikan agama dan pergerakan politik Sarekat Islam yang aktif di Indonesia. Ketika berumur 16 tahun, dia menjadi Ketua Cawangan Pemuda Muslimin Indonesia di Bukittinggi, Sumatera. Kemudian mengikuti kursus kader anjuran Sarekat Islam selama dua tahun di Jakarta, Pulau Jawa. Beliau kenal rapat dengan Abikusno Chokrosuyoso dan Aruji Kartawinata . Ekoran itu dia ditahan penjajah Belanda kerana aktif dalam Sarekat Islam . Jepun mengharamkan Sarekat Islam semasa menduduki Indonesia 1941-1945. Pada 1945, semua parti politik dibenarkan bergerak semua. Oleh itu Kampo Radjo ditugaskan untuk menghidupkan semula Sarekat Islam di Sumatera Utara. 1946 dia ke pulau Jawa untuk memulihkan Sarekat Islam di sana.

Pada 1947, Kampo Radjo berhijrah ke Kuala Lumpur dan menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sebagai ahli biasa dan kemudian Bendahari UMNO Hulu Langat, Selangor. Pada 1959, beliau menang bertanding dalam Pilihan raya Malaysia 1959 dan menjadi wakil rakyat DUN Semenyih dan Beranang. Beliau juga merupakan EXCO Pertanian Kerajaan Negeri Selangor.

Kampo Radjo keluar parti UMNO bersama bekas Menteri Pertanian Malaysia, Abdul Aziz Ishak dan menubuhkan Parti Perhimpunan Kebangsaan. Abdul Aziz Ishak menjadi pengerusi sementara dan Kampo Radjo sebagai timbalan pengerusi. Parti itu bergabung dengan Front Sosialis Rakyat Malaya dan Kampo Radjo terpilih sebagai Bendahari.

Semasa Konfrontasi Indonesia-Malaysia 1962, Kampo Radjo ditahan selama empat tahun (1965-1968) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama Abdul Aziz Ishak,Pak Sako, Datuk Raja Hanifah dan Husin Yaakub kerana dilihat pro Indonesia. Selepas dibebaskan, Kampo Radjo menyertai Parti Rakyat Malaysia yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam dan memegang beberapa jawatan penting seperti Bendahari Agung, Timbalan Pengerusi dan akhirnya Pengerusi Parti Rakyat (1980-1988).

Beliau meninggal dunia pada 11 Ogos 1988.

Rujukan sunting