Untuk rencana mengenai riwayat hidup Mark Twain, sila lihat: Mark Twain


Ilustrasi daripada novel "Huckleberry Finn" edisi pertama (1884) oleh E. W. Kemble.

Mark Twain ialah nama pena Samuel Langhorne Clemens (30 November 183521 April 1910), seorang penulis satira lucu, pengarang novel, serta pensyarah yang termasyhur di Amerika Syarikat. Karya-karyanya masih amat popular pada hari ini. Kemahiran Clemens dalam penulisan bahasa percakapan, berdasarkan tema dan bahasa basahan Amerika Syarikat, telah mencipta dan mempopularkan sebuah kesusasteraan Amerika Syarikat tersendiri.

Novel Clemens yang bertajuk "Pengembaraan Huckleberry Finn" (Adventures of Huckleberry Finn) telah dianggap secara umum sebagai sumbangannya yang terutama kepada Kesusasteraan Amerika Syarikat. Ernest Hemingway (1899-1961), seorang tokoh novel yang termasyhur, berkata: "Kesemua kesusasteraan Amerika Syarikat berasal daripada sebuah buku Mark Twain yang bertajuk Huckleberry Finn... Tiada apa-apa sebelum itu. Tiada apa-apa yang sebegitu baik sejak itu."

Karya-karya awalSunting

Selepas gagal dalam percubaan melombong perak di Comstock Lode — satu cara hidup yang beliau kemudian pergunakan untuk buku keduanya, "Hidup Bersusah Payah" (Roughing It) — Clemens bertugas untuk Territorial Enterprise di Virginia City dan di sini menggunakan nama pena "Mark Twain" buat pertama kali.

Pada tahun 1865, Clemens mencapai kejayaan kerjaya sasteranya yang sulung dengan cerpennya, "Jim Smiley dan Katak Melompatnya" (Jim Smiley and his Jumping Frog) yang kini lebih dikenali sebagai "Katak Melompat Terkenal dari Wilayah Calaveras" (The Celebrated Jumping Frog of Calaveras County). Atas permintaan Artemus Ward (seorang penulis satira lucu yang Clemens berkawan sewaktu Ward melawat Virginia City untuk memberi syarahan), Clemens menyerahkan sebuah cerpen satira lucu untuk koleksi yang Ward hendak menerbit.

Cerpen itu sampai terlalu lewat untuk buku Ward, tetapi penerbitnya menghantar cerpen Clemens kepada Saturday Press. "Jim Smiley dan Katak Melompatnya" mencapai kejayaan yang amat cemerlang dan dicetak semula di seluruh negara. Penyunting James Russell Lowell dari majalah bulanan, Atlantic Monthly, memuji cerpen itu sebagai "sebuah karya satira lucu yang terbaik dalam Amerika Syarikat setakat ini".

Novel sulungSunting

Walaupun Clemens telah mencapai kejayaan, suatu perjalanan kemudian merupakan peristiwa yang benar-benar mengasaskan kemasyhuran Clemens sebagai pengarang. Clemens telah meyakinkan Kolonel McComb dari Alta California untuk menanggung perbelanjaannya ke Eropah dan Timur Tengah. Rencana-rencana mengenai perjalanannya yang Clemens mengarang untuk surat khabar tersebut menjadi asas novel sulungnya, "Yang Tidak Tahu Apa-apa di Luar Negeri" (The Innocents Abroad). Travelog lucu ini yang langsung tidak memujakan seni-seni dan kelaziman-kelaziman Dunia Lama dijual secara langganan dan memberikan tumpuan utama kepada pengarangnya.

Clemens amat terpesona dengan sains dan penyelidikan saintifik. "Yanki Connecticut di Istana Raja Arthur" (A Connecticut Yankee in King Arthur's Court) menonjolkan seorang penggembara masa dari Amerika Syarikat pada zaman Clemens yang mempergunakan pengetahuan sainsnya untuk memperkenalkan teknologi moden kepada England pada zaman Raja Arthur.

Clemens juga merupakan tokoh utama dalam "Liga Anti Imperialis Amerika" yang membangkang pengilhakan Filipina oleh Amerika Syarikat. "Peristiwa di Filipina" yang diterbitkan selepas kematiannya pada tahun 1924 merupakan responsnya terhadap Pembunuhan Beramai-ramai di Kawa Moro yang menyebabkan kematian enam ratus orang Moro. Clemens juga mengarang tentang politik dalam buku bukan-fiksyennya, Kehidupan di Mississippi.

Selepas Clemens jatuh bankrap kerana kegagalan perniagaannya, beliau menerbitkan "Kenangan Peribadi Joan dari Arc" {Personal Recollections of Joan of Arc) pada tahun 1896 dan "Mengikut Khatulistiwa" (Following the Equator) pada tahun 1897. Kedua-dua terbitan itu memberikan wang yang mencukupi untuk melunasi hutang-hutangnya. Karya terakhirnya, "Orang Asing Bermisteri" (The Mysterious Stranger) siap pada tahun 1989, tetapi tidak diterbitkan sehingga tahun 1916.

Pengharaman karyaSunting

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, banyak perpustakaan telah sekali sekala cuba mengharamkan "Huckleberry Finn" kerana penggunaan bahasa percakapan tempatan oleh Clemens telah menyinggung perasaan sebahagian orang. Walaupun beliau menentang rasisme dan imperialisme jauh lebih awal daripada sentimen awam pada zamannya, sebahagian orang yang hanya mempunyai pengetahuan yang cetek terhadap karyanya telah mengutuknya kerana bersifat perkauman. Sebenarnya, Clemens cuma memberikan gambaran yang tepat tentang bahasa yang biasa digunakan di Amerika Syarikat pada abad ke-19.

Banyak daripada karya Clemens juga sekali sekala tersekat atas satu sebab atau lain sewaktu kehidupannya. Pada tahun 1880, sebuah buku nipis tanpa nama pengarang bertajuk "1601: Perbualan, Sebagaimana yang Terjadi di Tepi Perapian Sosial Pada Masa Tudor" (1601: Conversation, as it was by the Social Fireside, in the Time of the Tudors) telah diterbitkan. Mengikut khabar angin, Clemens merupakan salah satu daripada pengarang-pengarang yang disyaki. Bagaimanapun, persoalan ini tidak dapat diatasi sehingga 1906, sewaktu Clemens mengaku diri sebagai pengarang mahakarya lucah itu.

Clemens juga mengarang sebuah rencana anti perang yang bertajuk "Doa Perang" (The War Prayer") sewaktu Perang Sepanyol-Amerika. Rencana itu diserahkan untuk penerbitan, tetapi pada 22 Mac 1905, Harper's Bazaar menolakkannya kerana rencana itu dianggap "tidak sesuai untuk majalah wanita". Lapan hari kemudian, Clemens menyurat kepada Dan Beard, kawannya yang pernah membaca cerita itu: "Saya berasa bahawa doa itu tidak akan diterbitkan dalam hayat saya. Tiada sesiapa kecuali orang mati diizinkan menceritakan kebenaran." Disebabkan sekatan kontrak eksklusifnya oleh Harper & Brothers, Clemens tidak boleh mencari penerbit yang lain dan karya itu tidak dapat diterbitkan sehingga 1923.

Pada akhir hayatnya, keluarga Clemens juga telah menyekat beberapa karyanya kerana karya-karya itu amat tidak menghormati agama, khususnya karya "Surat-surat dari Bumi" (Letters from the Earth) yang tidak diterbitkan sehingga 1962. "Orang Asing Bermisteri" (The Mysterious Stranger) yang juga merupakan anti agama diterbitkan pada tahun 1916.

Yang mungkin paling menimbulkan perbalahan ialah ceramah lucu Clemens di Kelab Stomach, Paris pada tahun 1879 yang bertajuk "Beberapa Buah Fikiran mengenai Sains Melancap" yang bertamat dengan pendapat: "Jika anda harus berjudi dengan nyawa anda terhadap seks, jangan terlebih bermain dengan satu tangan sahaja." Teks ceramah itu tidak diterbitkan sehingga 1943. Bagaimanapun, hanya lima puluh naskhah sahaja diterbitkan sebagai edisi terhad.

BibliografiSunting

  • 1867: The Celebrated Jumping Frog of Calaveras County (fiksyen)
  • 1869: Innocents Abroad (travelog bukan fikysen)
  • 1871: Mark Twain's (Burlesque) Autobiography and First Romance (fiksyen)
  • 1872: Roughing It (bukan fiksyen)
  • 1873: The Gilded Age: A Tale of Today (fiksyen)
  • 1875: Sketches New and Old (cerita fiksyen)
  • 1876: Old Times on the Mississippi (bukan fiksyen)
  • 1876: The Adventures of Tom Sawyer (fiksyen)
  • 1877: A True Story and the Recent Carnival of Crime (cerita)
  • 1878: Punch, Brothers, Punch! and other Sketches (cerita fiksyen)
  • 1880: A Tramp Abroad (travelog buah fiksyen)
  • 1880: 1601: Conversation, as it was by the Social Fireside, in the Time of the Tudors (fiksyen)
  • 1882: The Prince and the Pauper (fiksyen)
  • 1883: Life on the Mississippi (bukan fiksyen)
  • 1884: Adventures of Huckleberry Finn (fiksyen)
  • 1889: A Connecticut Yankee in King Arthur's Court (fiksyen)
  • 1892: The American Claimant (fiksyen)
  • 1892: Merry Tales (cerita fiksyen)
  • 1893: The £1,000,000 Bank Note and Other New Stories (cerita fiksyen)
  • 1894: Tom Sawyer Abroad (fiksyen)
  • 1894: Pudd'n'head Wilson (fiksyen)
  • 1896; Tom Sawyer, Detective (fiksyen)
  • 1896: Personal Recollections of Joan of Arc (fiksyen)
  • 1897: How to Tell a Story and other Essays (esei bukan fiksyen)
  • 1897: Following the Equator (travelog bukan fiksyen)
  • 1900: The Man That Corrupted Hadleyburg (fiksyen)
  • 1901: Edmund Burke on Croker and Tammany (satira politik)
  • 1902: A Double Barrelled Detective Story' (fiksyen)
  • 1904: A Dog's Tale (fiksyen)
  • 1905: King Leopold's Soliloquy (satira politik)
  • 1905; The War Prayer (fiksyen)
  • 1906: The $30,000 Bequest and Other Stories (fiksyen)
  • 1906: What Is Man? (esei)
  • 1907: Christian science (bukan fiksyen)
  • 1907: A Horse's Tale (fiksyen)
  • 1907: Is Shakespeare Dead? (bukan fiksyen)
  • 1909: Captain Stormfield's Visit to Heaven (fiksyen)
  • 1909: Letters from the Earth (fiksyen, diterbitkan selepas kematian)
  • 1916: The Mysterious Stranger (fiksyen, diterbitkan selepas kematian)
  • 1924: Mark Twain's Autobiography (fiksyen, diterbitkan selepas kematian)
  • 1935; Mark Twain's Notebook (diterbitkan selepas kematian)
  • 1995: The Bible According to Mark Twain: Writings on Heaven, Eden, and the Flood (diterbitkan selepas kematian)

Pautan luarSunting

Karya oleh Mark TwainSunting

Menyelidiki ClemensSunting