Lingkungan Suara
Suara Wanita
Soprano
Mezzo-soprano
Kontralto (atau Alto)

Suara Lelaki

Kauntertenor (Alto atau Mezzo)
Tenor
Baritenor
Bariton
Bariton-bes
Bes

Kaitan

Sopranis
Kastrato

Kastrato atau Kastrati (lebih dari satu) ialah penyanyi lelaki bersuara soprano, mezzo-soprano, atau alto yang terhasil disebabkan proses kembiri sebelum mencapai akil baligh. Disebabkan situasi endokrinologikal yang terganggu semasa pembesaran, kanak-kanak lelaki yang telah dikembirikan tidak akan mencapai kematangan seksual.

Sejarah sunting

 
Kastrato di zaman Byzantine pada abad ke-11

Kembiri dianggap sebagai salah satu cara penaklukan, perhambaan ataupun hukuman yang mempunyai sejarah panjang, bermula dari zaman purba Sumeria. Penyanyi-penyanyi sida (eunuch) telah wujud daripada awal empayar Rom timur (Byzantine). Di Konstantaniah (Constantinople) pada sekitar 400 SM, Maharani Eudoxia dikatakan mempunyai seorang ketua koir sida, Brison, yang memulakan penggunaan kastrati dalam koir-koir Konstantaniah. Sejarah lengkap mengenai ini tidak ada untuk menentukan bahawa Brison sendiri dan juga lain-lain ahli koir adalah penyanyi atau tidak. Pada abad ke-9, penyanyi-penyanyi sida menjadi amat terkenal (terutama dalam koir Hagia Sophia), dan kekal sehingga berakhirnya era kegemilangan Konstantaniah setelah perang salib pada tahun 1204.

Kastrati dalam tradisi klasik Eropah sunting

Kebanyakan kastrati mempunyai nama-nama Sepanyol, muncul buat pertamakalinya di Itali dalam pertengahan abad ke-16. Salah seorang kastrato pertama yang dikenali ramai ialah Alfonso II d'Este, Duke untuk Ferrara pada tahun 1556. Terdapat juga penyanyi-penyanyi kastrato di gereja kecil di Munich pada tahun 1574 di bawah arahan pengarah muzik Heinrich Schütz. Pada tahun 1589, Paus Sixtus V menganjurkan koir khas untuk penyanyi kastrati, dan pada 1599, mereka adalah antara yang pertama diambil oleh Paus untuk koir peribadi beliau yang dikenali sebagai Sistine Chapel. Peranan nyanyian kastrati merangkumi kedua-dua bahagian untuk nyanyian suara budak-budak lelaki dan juga para falsettis. Pada ketika itu, kaum wanita diharamkan dari menyanyi di dalam gereja.

Kastrati dalam opera sunting

 
Lakaran gambar kastrati "Farinelli" dalam peranan wanita 1724

Kastrati mempunyai banyak bahagian dalam opera awal. Pada persembahan – persembahan awal termasuk karya penggubah Monteverdi berjudul Orfeo (1607), kastrati kerap diambil untuk lakonan peranan-peranan sampingan. Namun begitu dari tahun 1680, mereka telah berjaya menggantikan suara-suara penyanyi lelaki biasa untuk peranan-peranan utama selama hampir seratus tahun. Disebabkan populariti opera Itali pada kurun ke-18 di serata Eropah (kecuali Perancis), ramai penyanyi-penyanyi kastrato contohnya Ferri, Farinelli dan Pacchierotti menjadi bintang terkenal opera dan mendapat pendapatan yang amat lumayan. Corak opera terkenal pada zaman itu ialah opera seria yang memerlukan suara-suara tinggi, walaupun di luar dunia opera, kastrati sering dipermain-mainkan kerana rupa mereka yang agak aneh dan mempunyai sikap yang dianggap tidak baik.

Pengembirian "untuk muzik" adalah yang amalan yang amat biasa Itali pada masa tersebut. Di bawah hukum kanun gereja Roman Katolik, kembiri adalah menyalahi undang-undang yang mana pesalah boleh dihukum potong kaki atau tangan atau dibuang negeri. Seorang ahli sejarah muzik pada masa itu, Charles Burney telah diarahkan untuk mencari tempat-tempat di mana "operasi kembiri" dijalankan. Menurut beliau "Saya bertanya ramai orang di sepanjang pencarian saya di Itali untuk mendapatkan tahu tempat-tempat budak-budak lelaki yang boleh menyanyi dikembirikan, namun saya gagal mendapat jawapan yang munasabah. Di Milan, saya diberitahu lokasinya di Venice; namun apabila tiba di Venice, saya disuruh pergi ke Bologna; di Bologna, ramai menafikan dan menyuruh saya pergi ke Florence; dari Florence, mereka merujukkan saya ke Rom, dan dari Rom saya telah disuruh pergi ke Naples. Mereka menyuruh saya mencari sebuah kedai di Naples yang bertulis 'QUI SI CASTRANO RAGAZZI' ("Di sini budak-budak lelaki telah dikembirikan"). Namun sepanjang pencarian, saya masih belum dapat melihat atau terdengar ada kedai seumpama itu di Naples".[1]

Proses latihan budak-budak lelaki kastrati adalah amat ketat. Cara pembelajaran di satu sekolah di Rom pada sekitar tahun 1700, mengandungi satu jam nyanyian nota-nota sukar dan kekok, satu jam berlatih getaran suara, satu jam untuk latihan passaggi, satu jam latihan peribadi bersama guru dan di hadapan cermin untuk latihan gerak badan atau kerutan muka, dan satu jam lagi untuk kajian sastera. Semua ini hanyalah sessi latihan pagi sebelum makan tengahari.

 
Kastrato Carlo Scalzi 1737

Selepas rehat makan tengahari, mereka akan belajar untuk menghargai teori muzikal, menulis muzik iringan, satu jam menulis salinan dari muzik iringan, dan satu jam lagi untuk kajian sastera. Selebihnya, remaja kastrati ini harus mencari masa untuk berlatih bermain hapsikord, dan menulis muzik vokal, samada suci atau sekular bergantung dengan kecenderungan mereka. [2]

Jadual ketat ini bertujuan untuk mencari mereka yang amat berbakat tinggi dan sudah tentunya sukar dicapai oleh semua pelajar kastrati. Sekiranya mereka cukup berbakat, mereka akan diberi peluang untuk membuat persembahan pertama pada usia pertengahan remaja. Untuk mencapai peluang ini, mereka harus berjaya mencapai teknik suara yang sempurna dan berkuasa yang tidak tercapai oleh mana-mana penyanyi wanita atau lelaki biasa.

Ketika kemuncak suara-suara kastrato sekitar tahun 1720an dan 1730an sahaja, telah dianggarkan sebanyak lebih kurang 4,000 budak-budak lelaki dikembiri setiap tahun .[3] Kebanyakan mereka datang dari keluarga-keluarga miskin. Kebiasaannya mereka dijual oleh ibu bapa ke gereja-gereja atau kepada ketua koir dengan harapan agar anak mereka boleh mengangkat status mereka yang rendah dalam masyarakat. Salah seorang daripada mereka adalah penyanyi terkenal kastrato, Senesino. Namun begitu, terdapat juga budak lelaki muda yang meminta agar mereka dikembirikan untuk mengekalkan suara mereka contohnya penyanyi terkenal kastrato, Caffarelli, yang berasal dari keluarga yang berada. Caffarelli adalah di antara contoh tipikal kastrati terkenal yang dikatakan suka berlaku sumbang samada di atas dan juga di belakang pentas, dengan kisah-kisah berahi dengan ramai wanita-wanita bangsawan.

Namun begitu, pakar endokrinologi masa kini tidak bersetuju dengan laporan sedemikian. Menurut mereka, cerita-cerita ini hanyalah sikap kastrati yang menunjuk-nunjuk keberanian seksual yang sebenarnya bukan kebenaran. Tidak semua budak-budak lelaki yang dikembirikan berjaya mencapai status popular, ramai di antara mereka akhirnya hanya menyanyi dalam biara atau koir-koir gereja, menjadi pelakon teater dan ramai juga yang berakhir dengan pelacuran.

Penolakan konsep pengembirian kanak-kanak lelaki sunting

Pada penghujung kurun ke-18, perubahan dalam citarasa opera dan sikap kemasyarakatan adalah era penghabisan untuk kastrati. Kastrato opera terkenal yang terakhir ialah Giovanni Battista Velluti (1781-1861), yang mempersembahkan opera kastrato terakhir untuk peranan Armando dalam opera Il Crociato in Egitto gubahan penggubah Giacomo Meyerbeer di Venice pada tahun 1824. Tidak lama selepas itu, mereka digantikan terus oleh penyanyi-penyanyi lelaki sebagai baka baru peranan “hero”. Penyanyi tenor seperti Gilbert-Louis Duprez, seorang penyanyi Perancis adalah antara pengganti pertama kastrati yang juga digelar "raja C tinggi" (king of High Cs). Peranan penyanyi tenor sebagai hero dan watak utama dalam opera berterusan sehingga ke hari ini dengan melahirkan penyanyi-penyanyi seperti Enrico Caruso, Franco Corelli, Plácido Domingo Luciano Pavarotti dan ramai lagi.

Selepas penyatuan semula Itali pada tahun 1870, pengembirian telah diharamkan secara rasmi (kerajaan baru Itali mengadaptasi undang-undang Perancis untuk melarang pembedahan seumpama ini). Pada tahun 1878, Paus Leo XIII dilarang mengambil kastrati baru oleh gereja: pada masa itu, terdapat beberapa kastrati sahaja tinggal dalam Sistine Chapel dan di Rom. Sebuah foto beramai-ramai kumpulan koir Sistine Chapel yang diambil pada tahun 1898 menunjukkan hanya enam kastrati sahaja yang tinggal dalam kumpulan koir tersebut. Pada tahun 1902, satu undang-undang baru telah dikeluarkan daripada Paus Leo bahawa tiada kastrati baru dibenarkan diambil untuk koir gereja.

Penghujung rasmi karier kastrati di gereja adalah pada hari St. Cecilia's pada 22 November 1903, apabila paus baru, Pius X, mengeluarkan perintah , Tra le Sollecitudini (Kalangan orang yang mengambil berat). Arahan itu mengatakan "Apabila . . . perlu untuk mengambil suara-suara tinggi seperti soprano dan kontralto, bahagian-bahagian ini mesti dibuat oleh budak-budak lelaki sepertimana penggunaan asal gereja masa dahulu." Kastrato Sistine Chapel yang terakhir yang adalah Alessandro Moreschi, satu-satu kastrato yang sempat membuat rakaman lagu. Beliau bersara secara rasmi pada 1913, dan meninggal dunia dalam tahun 1922.

 
Alessandro Moreschi 1900

Penglibatan gereja Roman Katolik dalam fenomena kastrato telah lama menjadi isu kontroversial, dan terdapat permintaan baru-baru ini untuk mereka mengeluarkan surat kemaafaan secara rasmi di atas pembabitan mereka dalam perkara ini. Sebenarnya, semenjak dari tahun 1748 lagi, Paus Benedict XIV telah cuba untuk mengharamkan kastrati dari gereja-gereja, tetapi beliau sedar bahawa kastrati pada masa itu amat popular dan tindakan mengharamkan mereka akan mengakibatkan kemerosotan mendadak untuk orang ramai dari menghadiri gereja.

Kastrati moden dan suara yang bersamaan dengannya sunting

Kewujudan "kastrati semula jadi" masakini adalah lelaki yang dilahirkan dengan anamoli atau keganjilan hormon, seperti sindrom Kallmann, yang membuat lelaki dewasa bersuara lantang seperti suara kastrati. Javier Medina merupakan salah satu contoh untuk lelaki dewasa bersuara tinggi, begitu juga penyanyi-penyanyi seperti Michael Maniaci dan Jorge Cano. Mereka tidak mempunyai apa-apa masalah hormon, tetapi untuk beberapa sebab yang kurang pasti, suara mereka tidak "pecah" seperti kelaziman untuk suara lelaki dewasa. Ini membolehkan mereka menyanyi dalam daftar tingkat penyanyi soprano. Kebanyakan penyanyi lelaki yang dewasa yang menyanyikan suara soprano, menggunakan teknik falseto seperti penyanyi kauntertenor.

Antonio Maria Bononcini: Vorrei pupille belle, nyanyian Radu Marian
Javier Medina Avila termasuk sampel audio Riccardo Broschi berjudul Ombra fedele anch'io

Kastrati terkenal sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Scholes, P (ed):Dr Burney's Musical Tours in Europe (London, 1959), vol 1, m.s 247
  2. ^ lihat Bontempi, G: Historia Musica (Perugia, 1695), m.s 170.
  3. ^ "The Castrati", Stereo Review, Julai 1966, m.s 38

Buku rujukan sunting

  • Bontempi, G: Historia Musica (Perugia, 1695)
  • Casanova, G: Memoirs (Machen, A., dengan maklumat tambahan oleh Symons, A (London, 1894)
  • Haböck, F: Die Kastraten und ihre Gesangskunst (Berlin, 1927)
  • Heriot, A: The Castrati in Opera (London, 1956)
  • Scholes, P (ed): Dr Burney's Musical Tours in Europe (London, 1959)
  • Pleasants, H: The Castrati ("Stereo Review", July 1966)
  • Rosselli, J: The Castrati as a Professional Group and a Social Phenomenon, 1550-1850, ("Acta Musicologica", LX, Basel, 1988)
  • Moran, N: Byzantine castrati ("Plainsong and medieval Music", vol 11, no 2, Cambridge, 2002, pp 99-112)
  • Tougher, S (ed): Eunuchs in Antiquity and Beyond (London, 2002)
  • Clapton, N: Moreschi, the Last Castrato (London, 2004)

Pautan Wikipedia Bahasa Inggeris sunting

(Untuk pemahaman lanjut)

Lihat juga sunting


Pautan luar sunting