Pemutus arus baki (PAB atau RCD), turut dikenali sebagai pemutus litar arus baki (PLAB atau RCCB), adalah sejenis pemutus litar bocor ke bumi kendalian arus yang memutuskan bekalan elektrik apabila ia mengesan arus elektrik yang tidak seimbang antara arus pada wayar hidup dengan arus pada wayar neutral. Ketidakseimbangan arus ini kadang-kala disebabkan oleh kebocoran arus elektrik melalui badan mangsa yang dibumikan dan tersentuh bahagian berlogam peralatan elektrik yang mengalami kerosakan. Keadaan ini boleh menyebabkan renjatan elektrik yang boleh membawa maut. PAB direka supaya dapat memutuskan litar dengan pantas untuk mengurangkan bahaya akibat renjatan elektrik walaupun ia asalnya tidak direka untuk memberi perlindungan daripada keadaan beban lampau ataupun litar pintas.

Peranti arus baki dwikutub.

Jenis sunting

Terdapat tiga jenis utama PAB yang sering digunakan dalam sistem pendawaian elektrik:-

  • Pemutus litar arus baki (RCCB) - merupakan sejenis pemutus litar bocor ke bumi (PLBB) kendalian arus yang ditambah PAB. Fungsinya sama seperti PLBB konvensional.
  • Pemutus Arus Baki dengan perlindungan Arus Lampau (RCBO) - merupakan sejenis pemutus litar arus lampau yang ditambah dengan fungsi pemutus litar arus baki. Keburukan RCBO ialah jika ia terpelantik adalah tidak dapat diketahui samada disebabkan arus lampau atau arus bocor ke bumi.
  • Penyampuk Kegagalan Bumi (GFI) - digunakan pada sistem fasa tunggal tiga dawai (belahan fasa) seperti di Amerika Utara. Fungsinya sama seperti PAB konvensional tetapi disesuaikan penggunaannya dengan sistem belahan fasa.

Komponen PAB sunting

 
Komponen dalaman peranti arus baki (PAB).
  1. Penyambung fasa / neutral dari suis utama
  2. Penyambung fasa / neutral ke sambungan pemutus litar kecil / penyambung neutral pengguna
  3. Suis "reset" (set semula) (Nota: Ia juga boleh jadi suis togel yang bersambungan secara terus dengan sesentuh)
  4. Sesentuh
  5. Solenoid
  6. Gelung pengesan - terdiri daripada transformer arus pembeza yang mengelilingi (tetapi tidak bersentuhan dengan) sambungan fasa dan neutral. Berfungsi mengesan perbezaan arus.
  7. Litar pengesan arus baki
  8. Butang ujian
  9. Wayar ujian (bagi operasi butang ujian)

Operasi sunting

Peranti arus baki direka untuk mencegah renjatan elektrik dengan mengesan kebocoran arus, yang boleh jadi jauh lebih kecil daripada arus yang diperlukan untuk membuatkan pemutus litar kecil ataupun pemutus litar bocor ke bumi konvensional terpelantik. Peranti arus baki direka untuk berfungsi dalam tempoh sesingkat 25-40 milisaat sebelum kesan renjatan elektrik sampai ke jantung.

Suruhanjaya Tenaga Malaysia telah menetapkan bahawa sesebuah peranti arus baki yang dipasang mestilah mempunyai tahap kepekaan maksimum antara 10-100 miliampere (mA), bergantung kepada penggunaan seperti berikut:-

Jenis penggunaan Kepekaan maksimum PAB
Pemasangan PAB dalam kotak unit pengguna (sistem fasa tunggal atau tiga fasa) 100 mA
Penggunaan peralatan mudah alih yang boleh dipegang dengan tangan (biasanya dipasang di kotak pengguna, tetapi boleh jadi juga pemasangan PAB berasingan) 30 mA
Tempat hiburan awam seperti arked permainan video 10 mA
Penggunaan peralatan elektrik di tempat yang berkemungkinan basah dan lembap (seperti di tandas dan bilik air) 10 mA

Limitasi sunting

Walau bagaimanapun, peranti arus baki tidak dapai melindungi peralatan elektrik daripada kerosakan voltan lampau seperti semasa panahan kilat, kecuali apabila panahan kilat tersebut mengenai pengalir kilat yang elektrod buminya dipasang berhampiran dengan elektrod bumi bagi pendawaian elektrik. Penggunaan PAB sahaja juga tidak memadai bagi perlindungan daripada keadaan arus berlebihan ataupun beban lampau; pemutus litar kecil turut digunakan bersama bagi tujuan ini. Selain itu, peranti arus baki juga kurang sesuai digunakan bagi penggunaan sistem tiga fasa memandangkan PAB tidak dapat melindungi peralatan elektrik daripada litar pintas fasa ke fasa; pemutus litar bocor ke bumi jenis arus imbang digunakan bagi sistem 3 fasa.

Selain itu, Peraturan IEC 60364 menetapkan bahawa PAB tidak boleh digunakan pada sistem pembumian TN-C. Untuk sistem pembumian TN-C-S pula, ia memerlukan penggunaan wayar bumi dan neutral yang berasingan.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting