Tempayan (Jawi: تمڤاين) merujuk kepada sejenis bekas yang diperbuat daripada tembikar. Bekas ini bermulut luas dan terdapat dalam pelbagai saiz, kekadang dengan pelbagai ukiran tetapi biasanya tanpa ukiran. Selain itu, terdapat juga tempayan yang mempunyai ukiran timbul pada bahagian sisinya.

Fail:Tempayan.jpg
Tempayan
Tempayan naga di Terengganu, yang berasal dari negeri China.

Tempayan ini berasal dari negeri China, dan digunakan bagi menyimpan barangan, makanan, air dan sebagainya. Apabila barangan yang di dalamnya habis dijual, bekas ini turut dijual. Tempayan mempunyai pelbagai kegunaan, antaranya penggunaan untuk membuat ikan pekasam, menyimpan air basuh kaki, memeram air tapai, dan malah digunakan bagi menyimpan mayat di kalangan orang pribumi Borneo.

Di kampung-kampung sekitar tahun 1960-an dan sebelumnya, orang Melayu meletakkan tempayan ini di kaki tangga depan untuk menyimpan air bagi membasuh kaki sebelum naik ke rumah. Selain itu, tempayan juga digunakan sebagai tempat membakar roti tempayan. Suatu waktu dahulu, orang Kelantan berperahu sarat dengan tempayan berisi budu untuk dijual menyusuri sungai.

Peristilahan sunting

Tempayan merupakan antara bentuk terbitan kata dasar tapai turunan akar Proto-Melayu-Polinesia *tapay mencerminkan fungsi asal ia sebagai suatu alat pemeram membuat bahan ini dan kuih jenis tertentu;[1][2] kata-kata turunan yang wujud dalam bahasa-bahasa serumpun merangkumi semua bahan makanan yang dibuat secara dimasak sebelum dibiarkan terperam matang mirip sajian ini seperti tuak beras (tápey dalam bahasa Ilokano), doh (tápay dalam bahasa Tagalog), roti (tinapay dalam bahasa Tagalog), malah bahan pematang itu sendiri yakni ragi (tapay dalam bahasa Maranao dan yang sekitarnya di Filipina).[2] Kata terbitan tapai lain yang ada diketahui adalah tapaian, tapayan dan tepayan.[1]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b Wilkinson, Richard James (1932). "tapai". A Malay-English dictionary (romanised). II. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 536 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
  2. ^ a b Blust, Robert; Trussel, Stephen. "*tapay: rice wine; yeast; fermented rice; fermented rice cake". Austronesian Comparative Dictionary. Dicapai pada 21 June 2018.