Mohd Zuhdi Marzuki

ahli politik Malaysia

Dr Mohd Zuhdi Marzuki adalah seorang ahli politik Malaysia berbangsa Melayu dari Parti Islam Se-Malaysia PAS. Beliau merupakan mantan pensyarah di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya. Selepas memilih bersara awal dari perkhidmatan di Universiti Malaya pada tahun 2016, beliau telah dilantik sebagai Rektor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad KUIZM, sebuah kolej pengajian tinggi yang dimiliki oleh PAS. Apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang dan diganti dengan kerajaan baru Perikatan Nasional pada 1 Mac 2020, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Di peringkat parti PAS pula, beliau pernah menjawat jawatan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat dan pernah memegang potfolio seperti Pengarah Jabatan Pelajar PAS dan Pengarah Institut Polisi Studi Dewan Pemuda PAS Pusat. Beliau juga pernah memegang Pengarah Pusat Penyelidikan PAS yang bertanggungjawab dengan hal ehwal strategi dan penyelidikan bagi PAS. Beliau telah dicalonkan bertanding mewakili PAS di Parlimen Shah Alam pada Pilihanraya Umum ke-14 tahun 2018. Sekarang beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Dr

Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
Dalam jawatan
2015 – 2017
Didahului olehDzulkefly Ahmad
Digantikan olehZainal Abidin Kidam
Butiran peribadi
Parti politik PAS
KediamanPerak Perak
PekerjaanAhli politik

Latar Belakang sunting

Mohd Zuhdi Marzuki dilahirkan di Slim River Perak dan membesar di sebuah pekan kecil, Behrang Stesen, Perak. Beliau telah memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Dato Kamaruddin, Behrang Stesen, Perak. Manakala pada sebelah petangnya beliau menghadiri Sekolah Rendah Agama Sungai Selisik, Kuala Kubu Baharu, Selangor. Beliau telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Sains, Teluk Intan, Perak, pada tahun 1987 dan mendapatkan kelulusan yang cemerlang. Pada tahun tersebut juga, Sekolah Menengah Sains Teluk Intan telah dinobatkan sebagai sekolah terbaik di Malaysia bersama Kolej Islam Kelang. Bebekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia, beliau telah memasuki Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya, iaitu sebuah institusi pra-universiti yang diasaskan oleh Professor Di Raja Ungku Aziz. Beliau melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda di Fakulti Sains, Universiti Malaya dalam pengkususan Geografi dan bergraduasi pada tahun 1994.

Setelah tamat pengajian di peringkat Sarjana Muda, beliau berkhidmat secara kontrak di Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyyah ILHAM, sebuah institusi latihan di bawah PAS. Beliau kemudian menyertai Universiti Malaya sebagai tenaga pengajar di Bahagian Sejarah dan Falsafah Sains, Fakulti Sains, Univeristi Malaya pada tahun 1995, di samping memulakan pengajian di peringkat Sarjana Sains. Pada tahun 1998 beliau berjaya menyiapkan disertasi Sarjana Sains bertajuk "Etika Alam Sekitar: Manifestasinya di Malaysia" di bawah bimbingan Professor Dr Azizan Baharuddin. Setelah berjaya memperolehi ijazah Sarjana beliau telah dilantik sebagai Pensyarah di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya pada tahun 1999. Di samping itu, beliau juga dilantik sebagai salah seorang Penyelaras Kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia TITAS di Univesiti Malaysa dan bertanggungjawab mengembangkan kurikulum tersebut di peringkat kebangsaan.

Pada tahun 2006, beliau telah meninggalkan tanah air dan menyambung ke peringkat Doktor Falsafah PhD di Universiti of Wales, Lampeter, United Kingdom. Di sana, beliau telah dibimbing oleh Professor Dr Mawil Izzi Dien, seorang sarjanawan Muslim yang terkenal di United Kingdom khususnya dalam bidang Falsafah Alam Sekitar Islam. Mohd Zuhdi telah membuat kajian yang bertajuk "The Practice of Islamic Environmental Ethics: A Case Study of Harim and Hima". Beliau telah berjaya mempertahankan Thesis PhD dan menamatkan pengajian pada tahun 2009. Setelah berjaya menamatkan pengajian PhD, beliau kembali ke Universiti Malaya menyambung kerjaya sebagai Pensyarah Kanan di universiti tersebut, di bawah jabatan yang sama. Selain daripada kerjayanya sebagai Pensyarah di Universiti Malaya, beliau juga terlibat secara aktif di dalam politik khususnya melalui PAS. Disebabkan keterlibatan dengan PAS, beliau pernah beberapa kali diberi amaran tindakan tatatertib sehingga membawa kepada beliau memilih untuk bersara awal.

Di dalam bidang akademik, beliau telah menerbitkan beberapa buku dan bab di dalam buku dalam bidang Etika Alam Sekitar, Falsafah Sains, Kajian Peradaban, Pembangunan Lestari dan Sains Islam serta puluhan artikel, jurnal dan kertas prosiding. Beliau juga terlibat dengan kerjasama penyelidikan di peringkat kebangsaan dan peringkat antarabangsa antaranya dengan Japanese Society for Promotion of Science JSPS. Beliau pernah menjadi sarjana pelawat di Universiti Kyoto di bawah tajaan JSPS. Selain itu, beliau juga pernah membuat penyelidikan berkaitan dengan Sains dan Teknologi Islam khususya di dalam bidang Perubatan Islam di Istanbul, Turki. Beliau juga pernah menghadiri persidangan-persidangan di peringkat antarabangsa di United Kingdom, Turki, Mesir, Jepun, Indonesia dan lain-lain. Selepas bersara awal dari Universiti Malaya, beliau telah dilantik oleh Dewan Ulama PAS Pusat mengetuai Kolej Univesiti Islam Zulkifli Muhammad KUIZM sebagai Rektor.

Di dalam bidang politik pula beliau banyak membuat kajian tentang politik Malaysia, yang menjadi sumber penting kepada PAS termasuk berkaitan dengan strategi politik dan penerbitan dokumen-dokumen politik PAS yang utama. Beliau terlibat dengan penggubalan manifesto pilihanraya PAS sejak Pilihanraya Umum ke-10 tahun 1999 sehingga yang terbaru manifesto Pilihanraya Umum ke-14 tahun 2018. Beliau juga terlibat secara langsung menghasilkan beberapa dokumen penting PAS seperti Dokumen Negara Islam, Dokumen Negara Berkebajikan, Budaya Politik Matang dan Sejahtera BPMS, Dokumen Hijau PAS dan Wawasan Induk Negara Sejahtera WINS. Beliau juga menjadi panel penulis Ucapan Dasar Presiden PAS yang disampaikan dalam setiap kali Muktamar tahunan PAS. Selain daripada itu, beliau banyak menulis tentang politik semasa yang diterbitkan di dalam majalah-majalah dan akhbar-akbar.

Rujukan sunting