Musalmah atau nama sebenarnya Hajah Salamah binti Haji Ahmad merupakan seorang pelakon filem melayu hitam-putih, yang sering muncul bersama P. Ramlee.

Musalmah
Kelahiran
Hajah Salamah binti Haji Ahmad

(1925-07-25)25 Julai 1925
Meninggal dunia16 Disember 2004(2004-12-16) (umur 79)
WarganegaraSingapura
PekerjaanPelakon
PasanganA. Razak
Kamsani
Anak-anak5

Kerjaya sunting

Musalmah pernah memegang watak seorang wanita penggoda yang ingin berusaha berkahwin dengan P. Ramlee, sungguhpun dia tahu bahawa P. Ramlee telah pun beristeri (seniwati Rokiah Jaafar) dan mempunyai anak dalam filem Antara Senyum dan Tangis (1952). Dalam filem ini P. Ramlee menyanyi lagu Merayu Asmara bersama Musalmah yang menggunakan suara Lena. Lagu ini dirakam dalam rekod DPE 8078 menggunakan suara P. Ramlee dan Momo Latif.

Selain itu Musalmah terus diberi peranan bersama P. Ramlee dalam filem Miskin yang turut memaparkan Jamil Sulong, Omar Rojik, Saamah dan Salleh Kamil. Musalmah sekali lagi diberi peluang membawa watak bersama P. Ramlee dalam filem Patah Hati, keluaran Ogos 1952 yang diarahkan oleh K. M. Basker. Dalam filem ini, Musalmah turut berlakon bersama Neng Yatimah, Hashim Nor, Ulong Jawa, Marliah, Ahmad Chetty, Fatimah, Saidi, dan R. Samiadji Widjaya.

Selain berlakon bersama P. Ramlee, Musalmah turut memegang peranan utama dalam beberapa buah filem seperti filem Gelora Hidup yang diterbitkan pada tahun 1954. Juga memegang peranan utama dalam filem Merana, Raja Sehari, Hati Iblis, Pawang, Semerah Padi, Belantara, Gelora, Shorga Dunia dan Rimba.

Kehidupan peribadi sunting

Seniwati Musalmah dilahirkan pada 25 Julai 1925 di Singapura dan telah mendirikan rumah tangga bersama A. Razak, seorang penulis filem. Bersama A. Razak, dia mempunyai lima orang anak, dua lelaki dan tiga perempuan.

Tetapi rumah tangga mereka hanya kekal setakat 10 tahun sahaja. Musalmah berkahwin pula dengan seorang penyanyi, Kamsani. Sementara bekas suaminya A. Razak berkahwin pula dengan Maria Menado.[1]

Dua daripada anak Musalmah bersuamikan lelaki Inggeris dan menetap di Australia. Musalmah menetap di No. 271, Tembeling Road, Singapura. Suaminya, Kamsani meninggal dunia pada 22 Ogos 1994 ketika berusia 69 tahun kerana sakit jantung dan dikebumikan di Pusara Aman, Singapura.

Selain berlakon Musalmah dikenali sebagai seorang ahli perniagaan. Dia memiliki sebuah kedai solek dan dandanan.

Musalmah pernah menganjurkan satu pertunjukan gusti wanita yang diadakan di Stadium Happy World, Singapura yang dimodalinya sendiri.

Kematian sunting

Musalmah meninggal dunia di Singapura pada 16 Disember 2004 di usia 79 tahun.

Rujukan sunting

  1. ^ "Mengenang Artis Lama Musalmah Mengenang Artis Lama". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-09-03. Dicapai pada 2017-12-29.

Pautan luar sunting