Pengepungan Malta (1565)
Pengepungan Malta berlaku pada tahun 1565 apabila Empayar Uthmaniyah cuba untuk menawan Pulau Malta yang diperintah oleh Kesateria Hospital. Kesateria tersebut terdiri daripada 2,000 tentera dan 400 penduduk asal Malta berjuang menentang pencerobohan dan serangan musuh. Kejayaan mereka telah disambut dengan meriah pada masa itu di Eropah. Voltaire pernah menyebut, "Tidak ada yang lebih mahsyur daripada pengepungan Malta". Tidak dinafikan bahawa kejayaan ini telah menyumbang kepada pengikisan tanggapan Eropah yang tinggi terhadap keunggulan Uthmaniyah. Bahkan, ia telah menandakan satu fasa baru bagi penguasaan Sepanyol di Mediterranean.[4][halaman diperlukan]
Pengepungan Malta | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|
Sebahagian daripada Perang Uthmaniyah-Habsburg | |||||||
Pengepungan Malta oleh Matteo Pérez de Alesio | |||||||
| |||||||
Pihak yang terlibat | |||||||
Empayar Uthmaniyyah | |||||||
Komandan dan pemimpin | |||||||
|
| ||||||
Kekuatan | |||||||
35,000/36,000-40,000 | 6,100 (9,000 bersama bantuan penduduk setempat) | ||||||
Kerugian dan korban | |||||||
25,000[1]-35,000 terkorban ketika pertempuran dan akibat wabak[2][3] |
2,500 tentera 7,000 orang awam |
Peristiwa ini merupakan kemuncak kepada persaingan perikatan Kristian dan Empayar Uthmaniyah untuk menguasai Mediterranean dan persaingan ini merangkumi serangan Uthmaniyah ke atas Malta pada tahun 1551, kejayaan Uthmaniyah menumpaskan armada perikatan Kristian dalam Pertempuran Djerba pada tahun 1560 dan peristiwa penting Pertempuran Lepanto pada tahun 1571.
Latar belakang
suntingDominasi Empayar Uthmaniyah di Mediterranean tidak dapat dinafikan setelah kejayaan dalam Pertempuran Preveza dan Pengepungan Castelnuovo. Laksamana Hayreddin Barbarossa telah menawan beberapa buah kota yang terletak di kawasan moden Montenegro serta menakluk kubu-kubu Kristian di Laut Ionia dan Laut Aegia pada tahun 1539. Barbarossa kemudian pulang ke Constantinople dan menghantar ketua leftenannya dan juga seorang veteran dalam konflik di Preveza, Turgut Reis yang dikenali sebagai 'Dragut' oleh masyarakat Kristian ke barat Mediterranean untuk menyerbu perikatan Liga Suci. Pada awalnya, kempen Dragut dilihat berhasil apabila beliau berjaya menyerang kawasan perairan di Sicily, Sepanyol dan Corsica pada tahun 1540. Namun pada bulan Jun, beliau telah diserang hendap oleh armada campuran Sepanyol dan Genoa di Girolata. Kesemua kapal Dragut telah ditawan manakala Dragut sendiri telah dijadikan sebagai tawanan dan dipenjarakan di Genoa.
Sementara itu, Venezia telah menandantangani satu perjanjian berasingan dengan Uthmaniyah dan ia sedikit sebanyak melemahkan kedudukan Maharaja Charles V. Menurut beberapa sumber, Charles telah mengirim surat rahsia kepada Barbarossa yang menawarkannya peluang untuk berpaling pihak tetapi ia ditolak. Hal ini telah memaksa maharaja itu berperanan lebih aktif dalam menguruskan urusan angkatan lautnya. Pada bulan Oktober, armada Uthmaniyah pimpinan Ali Hamet yang sering melakukan serbuan di kawasan perairan Sepanyol telah tertumpas dalam pertempuran di Alborán. Peristiwa ini jelas memaparkan kedudukan Uthmaniyah di Afrika Utara memudahkan mereka menjalankan kempen serbuan ke atas Sepanyol dan Itali. Jadi, Charles memutuskan untuk menakluk kawasan tersebut. Ekspedisi Algiers pada tahun 1541 telah diketuai oleh Charles sendiri manakala Andrea Doria dan penakluk Empayar Aztek, Hernán Cortés memimpin 40,000 tentera. Pada masa itu, Algeria dipimpin oleh salah seorang leftenan kepada Barbarossa, Hasan Agha yang hanya memiliki sekitar 1,000 tentera. Malangnya bagi pihak Kristian, keadaan cuaca yang buruk dan taufan yang melanda telah membadai kapal armada mereka. Namun, tentera Charles masih mampu bertahan dan mengepung kota Algiers. Tentera Kristian kemudiannya diserang secara mengejut oleh perikatan Uthmaniyah dan Barbar. Kavalri Barbar menyerang hendap tentera Charles setiap kali beliau cuba merencanakan serangan. Kelihatan pengepungan ini tidak dapat terus bertahan lalu Charles mengarahkan pengunduran serta merta pada bulan November. Sebahagian besar pasukannya telah terkorban akibat bertempur dengan tentera Barbar dan juga semasa dalam perjalanan ke sana melalui jalan laut.
Semasa Raja Perancis, Francis I yang sememangnya sekutu kepada Uthmaniyah sejak tahun 1536 telah memulakan Perang Itali untuk menentang pesaingnya iaitu Charles V, Sultan Sulaiman telah menghantar armada Barbarossa bagi membantu angkatan Perancis di Laut Liguria dan Tyrrhenia. Pada tahun 1543, Barbarossa telah melakukan serangan ke atas kawasan pantai barat Itali sebelum mendarat berdekatan kota Rom pada hujung bulan Jun. Setelah kota suci Rom dilihat terdedah kepada ancaman, Paus memanggil Raja Francis I untuk memimpin sekutunya. Namun, raja tersebut meminta Barbarossa untuk menyertai tenteranya di Marseille. Tentera gabungan ini seterusnya mengepung dan menjarah kota Nice pada Ogos 1543. Barbarossa lalu menghabiskan musim sejuk di Toulon dan menghantar kapal-kapalnya untuk menyerbu kawasan perairan Sepanyol pada hujung tahun. Bermulanya tahun baru 1544, beliau terus menyerang Itali dan berlabuh di Genoa untuk mengancam melakukan serangan ke atas kota itu. Perinciannya tidak berapa jelas tetapi difahamkan Barbarossa telah berunding dengan Doria untuk membebaskan Dragut dengan bayaran tebusan yang agak lumayan. Hal ini juga menandakan titik penamat kepada permusuhan antara Uthmaniyah dan Genoa. Apabila Sultan Sulaiman dan Maharaja Charles turut menandatangani perjanjian damai pada tahun 1544, Barbarossa telah dipanggil pulang ke Constantinople. Dalam menuju perjalanan pulang, beliau telah menyerang beberapa kota di Itali. Barbarossa meninggal dunia pada tahun 1546 dan Dragut telah dijadikan sebagai komander Angkatan Laut Uthmaniyah.
Semenjak ancaman di daratan telah diredakan, Sultan Uthmaniyah mula menumpukan cara lain untuk meneruskan kempen penaklukannya. Kebetulan beliau telah mendominasi kawasan laut, Malta merupakan tempat yang strategik untuk dijadikan sebagai batu loncatan bagi menjayakan usahanya. Maharaja Charles yang juga sedia maklum akan kepentingan pulau itu telah menyerahkannya kepada Knights Hospitaller pada tahun 1530 di samping Tripoli dan Gozo turut diserahkan. Sejak itu, Hospitaller memulakan kegiatan lautnya untuk menyaingi kepentingan Uthmaniyah di rantau Mediterranean dan mereka telah menjadi ancaman besar kepada Sultan Sulaiman pada tahun 1550. Jadi, ia bukan satu kejutan apabila Dragut ditugaskan untuk memadamkan ancaman tersebut. Pada tahun 1551, Dragut mengorak langkahnya dan menyerang Gozo. Malah, beliau juga telah menghambakan hampir semua penduduk pulau itu namun percubaan Dragut untuk mengambil alih Malta telah dihalang oleh Hospitaller. Berikutan itu, Dragut beralih ke Tripoli dan berjaya menguasainya lalu membolehkannya nanti melancarkan sebarang serangan dan serbuan. Beberapa tahun berikutnya, Dragut dapat menduduki sebahagian besar Kepulauan Balear dan Corsica yang bakal mendorong kepada serangan balas Kristian. Pada tahun 1560, Hospitaller menyertai sekutu Sepanyol, Venice, Genoa dan lain-lain untuk merebut Tripoli semula daripada Uthmaniyah. Walau bagaimanapun, armada mereka telah diserang oleh Dragut dalam Pertempuran Djerba dan ditumpaskan serta merta. Pasukan bersekutu itu kehilangan berdozen-dozen kapal dan sekurang-kurangnya 15,000 tentera terkorban. Perkara ini menandakan terdapat kekosongan kekuasaan yang akan dieksploit segera oleh Uthmaniyah. Jelaslah bahawa Malta merupakan sasaran seterusnya oleh Dragut.
Persiapan
suntingKnights Hospitaller yang dapat menghidu serangan luar akan melanda telah melakukan persiapan mengukuhkan pertahanan. Kemudian pada tahun 1557, para kesateria telah mengundi Jean Parisot de Valette untuk menjadi Grandmaster yang menaungi semua kesateria di Malta. Di bawah pimpinan Valette, kapal-kapal telah menambah armada perang untuk mengganti semula armada yang telah musnah di Djerba. Mereka mula memperkuat tiga kubu teras di Malta iaitu Saint Angelo, Saint Elmo dan Saint Michael. Lebih penting lagi, kesateria memulakan kegiatan rompakan di laut. Keberanian mereka di lautan telah mencabar dan memalukan Turki Uthmaniyah apabila kesateria ini berjaya menawan gabenor Uthmaniyah di Iskandariah dan Kaherah. Ancaman ini telah mempercepatkan usaha Sultan Sulaiman untuk menyerang kesateria di Malta.
Untuk merintis kepada serangan Malta, Sultan Sulaiman telah melantik wazir kepercayaannya, Mustafa Pasha sebagai komander pasukan tentera. Laksamana Piali Pasha dan Dargut juga bersama-sama dengannya. Kebanyakan sumber telah meletakkan jumlah kekuatan tentera Uthmaniyah ialah 40,000 orang. Mereka terdiri daripada 9,000 sipahi dan 6,300 tentera elit janissari sementara saki baki yang lain merupakan askar dari Afrika Utara dan kelasi kapal Dragut.
Grandmaster Valette terus mempersiapkan pertahanannya sementara menunggu pendaratan tentera-tentera Uthmaniyah. Kesemua bangunan yang terdapat di luar benteng pertahanan dan pelabuhan telah dimusnahkan untuk melenyapkan perlindungan bagi penembak tepat. Para petani pula diarahkan untuk memungut semua hasil tanaman dan membawanya ke benteng kubu. Hal ini untuk memastikan tanah yang gersang dan tandus ditinggalkan kepada penceroboh manakala bekalan tambahan telah dibawa masuk dari Sicily. Dengan menjangka bahawa tentera Uthmaniyah akan cuba mendarat di Birgu dahulu, Valette mengarahkan penduduknya berpindah ke kota yang terletak di kawasan pedalaman, Mdina. Buat masa ini, hanya kira-kira 500 orang kesateria yang ada untuk melindungi Malta dan disokong oleh 3,000 militia Malta. Penduduk asal Malta tidak terlalu berpihak kepada golongan kesateria yang mereka anggap sebagai penindas asing. Akan tetapi, mereka semua merupakan taat kepada ajaran Kristian dan bersama-sama mempertahankan tanah warisan ini menentang musuh Islam mereka. Pada 9 April, bantuan luar telah tiba yang membawa 1,000 tentera Sepanyol dan Itali Habsburg yang dihantar oleh Don Garcia del Toledo. Don Garcia memberitahu Valette bahawa beliau akan mengerahkan lebih banyak bantuan ketenteraan tetapi dalam jangka masa beberapa bulan lagi.
Pengepungan
suntingKetibaan Uthmaniyah
suntingPada 18 Mei 1565, armada Uthmaniyah yang besar mula kelihatan dari pulau dan mereka berlabuh di kawasan pantai selatan. Armada Uthmaniyah telah mendaratkan kapal gali mereka yang hanya terletak tujuh batu dari selatan Grand Harbour sebelum kawasan tumpuan pantai didirikan di sana. Daripada posisi baru ini, tentera Uthmaniyah terus mara menuju ke pedalaman di Birgu sambil digugat oleh kesateria yang berjuang secara gerila. Apa-apa pun, tentera Uthmaniyah berjaya tiba berhampiran benteng pertahanan Grand Harbour. Mereka juga menempatkan meriam-meriam gergasi di Santa Margherita dan Gunung Sciberras yang merupakan sebuah bukit strategik menghadap ke arah Grand Harbour.
Pada 21 Mei, Piali Pasha mengarahkan serangan ke atas Birgu dan ia telah ditangkis oleh askar-askar Sepanyol. Pada hari seterusnya, tentera Uthmaniyah dilihat memberanikan diri menyerang dekat kubu Senglea dan sekali lagi mereka hanya mampu melakukan sedikit kemaraan ekoran berhadapan dengan kubu yang dipertahankan rapi. Berikutan ini, panglima Uthmaniyah meragui akan laluan serangan pasukannya. Mustafa berhasrat untuk menyerang kawasan pedalaman dan menguasai kubu yang lemah iaitu Mdina lalu semangat juang tentera Kristian akan lemah. Sementara itu, Piali Pasha pula berkeras bahawa penguasaan kubu Saint Elmo sangat penting untuk mencapai kejayaan. Akhirnya, rancangan Piali dipilih dan garison Uthmaniyah di Gunung Sciberras mula menggerakkan artileri menuju ke kubu Saint Elmo yang terletak di pantai sambil dikawal oleh janissari. Pengintip kepada La Valette memberitahunya sasaran sebenar yang ingin dituju oleh Uthmaniyah. Beliau mengirim 150 orang kesateria untuk mengukuhkan tahap pertahanan di sana. Ekoran pergerakan tentera Uthmaniyah yang perlahan, para kesateria di kubu Saint Elmo yang bersemangat melangkah keluar dan menghendap musuh lalu berlaku pertempuran kecil. Kedua-dua belah pihak mengalami kerugian nyawa tetapi kemaraan Uthmaniyah mula sedikit pantas.
Pada 24 Mei, penggali Uthmaniyah telah menggali parit yang tidak jauh dari benteng kubu Saint Elmo diikuti tiga barisan artileri, kavalri ringan dan kulverin di hadapan dan terdapat basilisk gergasi berada di belakang. Pembedilan kubu Saint Elmo bermula dan meriam Uthmaniyah dapat menghancurkan benteng Saint Elmo. Tentera pertahanan tidak dapat berbuat apa-apa untuk melakukan serangan balas apabila mereka dihujani bedilan meriam Uthmaniyah. La Valette menyaksikan serangan tersebut dari kubu Saint Angelo dan mengarahkan tenteranya melepaskan tembakan ke arah barisan meriam Uthmaniyah. Ledakan ini mencetuskan keadaan huru-hara di pihak Uthmaniyah sehinggakan terdapat batu yang terlepas menghentam Piali Pasha lalu membuatkannya tidak sedarkan diri. Ramai tentera Uthmaniyah menyangkakan bahawa pemimpinnya itu telah terkorban. Di kala waktu malam, tentera Uthmaniyah jelas tidak dapat menembusi benteng pertahanan di Saint Elmo. Komander pasukan pertahanan di dalam kubu Saint Elmo merayu kepada La Valette untuk membenarkan tentera-tenteranya meninggalkan pos kawalan dan berundur ke Saint Angelo. Grandmaster Knights Hospitaller itu menolak dan berfikir bahawa beliau perlu bertahan dengan sedaya upaya sambil menunggu bantuan luar tiba. Beliau kemudian menyatakan kubu Saint Elmo perlu dipertahankan walau apa jua sekalipun.
Pada hari seterusnya, pertempuran terus berlangsung lagi. Buat masa ini, penembak tepat Uthmaniyah berpaling ke arah kubu Saint Angelo untuk memastikan serangan dari kubu tersebut dapat dipastikan sekali gus dapat melindungi meriam yang lain melakukan bedilan ke Saint Elmo. Pada 29 Mei, penggali Uthmaniyah mula menggali parit menuju ke benteng pertahanan Saint Elmo dalam usaha untuk menjejaskan dan melemahkan asas binaan benteng. Pada malam itu, dua buah pasukan Sepanyol bergerak keluar daripada kubu sambil dilindungi oleh pekat malam melancarkan serangan mengejut ke atas penggali Uthmaniyah yang sibuk membuat kerja penggalian dan tidak mempunyai kawalan keselamatan. Ramai penggali telah terkorban tetapi tentera janissari segera terjaga dari lena dan bergerak dengan kepantasan luar biasa. Tentera elit sultan itu memberi tekanan hebat ke atas musuh sehingga memaksa tentera Sepanyol berundur ke benteng kubu mereka yang telah rosak.
Penawanan Kubu Saint Elmo
suntingPada 2 Jun, Dragut akhirnya tiba bersama dengan 13 buah kapal gali yang membawa 1,500 tentera. Sehingga titik ini, kesateria telah melayarkan feri yang cukup pantas semasa pekat malam untuk memberikan bekalan kepada kubu Saint Elmo dari Sicily. Tindakan pertama Dragut ialah mendirikan pasukan meriam di Gallow's Point. Dengan kedudukan yang baik dari Pelabuhan Marsamxett, beliau dapat melepaskan serangan ke arah mana-mana kapal yang menghulurkan bantuan kepada Saint Elmo sekali gus menjadikan kubu Saint Elmo terasing dan terpencil dari saki baki pulau yang lain. Namun pada 9 Jun, sebuah pasukan berkuda kesateria dari Mdina melakukan serangan mengejut ke atas penembak Uthmaniyah di Gallow's Point. Pasukan kesateria ini berjaya menyelerakkan dan mengganggu fokus meriam Uthmaniyah sekali gus membolehkan feri-feri dapat menghulurkan bantuan kepada Saint Elmo sekali lagi.
Pada 3 Jun, serangan yang dilancarkan oleh janissari berjaya membolehkan mereka untuk mengatasi dan memintas dinding ravelin. Dari situ, mereka telah membina jalan berkayu menghadap benteng dan bersembunyi supaya mereka dapat memanjat benteng Saint Elmo. Pasukan kesateria, tentera Sepanyol dan pejuang tempatan Malta telah bertahan dari serangan Uthmaniyah sehinggakan mereka dapat melakukan tentangan hebat yang menghasilkan jumlah angka korban yang ramai di pihak Uthmaniyah. Infantri Uthmaniyah telah melontarkan diri mereka sendiri ke runtuhan benteng Saint Elmo pada 10, 15 dan 16 Jun tetapi kesemuanya telah ditangkis oleh pasukan pertahanan. Terdapat laporan kontemporari yang menyatakan bahawa keberanian pejuang tempatan Malta semasa bertempur hampir menyamai keberanian dimiliki oleh pasukan kesateria. Hari demi hari kubu tersebut dipertahankan dengan bersungguh-sungguh dan ia merupakan masa berharga bagi pasukan pertahanan yang berada di kubu Saint Angelo dan Saint Michael. Mereka dapat mengorak langkah menyiapkan pertahanan sementara menunggu ketibaan Don Garcia bersama angkatannya. Dengan cara apa sekalipun, kubu Saint Elmo bersama penghuni di dalamnya perlu berkorban supaya seluruh pulau Malta dapat diselamatkan.
Pada 17 Jun, Dragut telah cedera parah di parit Uthmaniyah yang hampir-hampir meragut nyawa beliau sama sekali. Sumber-sumber tidak memerincikan dengan jelas sama ada ia berpunca daripada ledakan oleh meriam pasukan beliau sendiri atau ditembak oleh penembak tepat Malta dari kubu Saint Elmo. Apapun puncanya, Dragut telah diusung keluar daripada medan pengepungan. Pada 22 Jun, tentera janissari berjaya menyiapkan satu jambatan yang menyeberangi parit-parit di luar kubu lalu membolehkan angkatan besar Uthmaniyah melakukan serangan secara terus menerus dari segenap arah. Pasukan pertahanan di dalam kubu hanya dapat bertahan selama satu malam sebelum menjelang 23 Jun, mereka akhirnya kecundang dengan jumlah yang sedikit serta diserang oleh penembak tepat Uthmaniyah yang bertapak di ravelin. Pada hari yang sama, Dragut tewas kepada kecederaannya dan meninggal dunia. Penawanan kubu Saint Elmo hakikatnya merupakan kejayaan Phyrric bagi tentera Uthmaniyah. Pengepungan kubu tersebut menelan masa selama tiga minggu dan angkatan bantuan Don Garcia pula semakin hampir untuk berlabuh.
Senglea dan Birgu
suntingPada 4 Jun, Piali Pasha mengarahkan meriam-meriam yang digunakan semasa pengepungan Saint Elmo dibawa ke benteng Senglea. Gelombang ledakan yang baru tercetus dan fokus mereka kini tertumpu kepada kubu Saint Michael. Sementara itu, tentera Uthmaniyah telah 'melayarkan' kapal-kapal kecil mereka di pantai lalu membawanya ke kawasan pedalaman melalui kaki Gunung Scribberas sebelum sampai ke sungai kecil yang berada di bahagian barat Senglea dan juga melintasi meriam-meriam dari kubu Saint Angelo. Pada 15 Jun, tentera Uthmaniyah memulakan dua serangan yang berlainan. 1,500 korsair Uthmaniyah menyerang Sengela dari daratan manakala seramai 1,000 janissari pula cuba turut sama melakukan serangan. Mujurlah terdapat seorang pembelot Yunani telah memberi amaran kepada La Valette mengenai rancangan Mustafa. Pasukan kesateria bertindak membina pagar kayu bertombak di sepanjang kawasan teluk untuk menghalang pendaratan tentera Uthmaniyah di sana. Mereka juga telah menempatkan sebuah pasukan meriam yang menghadap ke arah jalah laut dan telah ditugaskan untuk menghujani serangan ke atas pihak musuh. Hasilnya, mereka berjaya menenggelamkan ratusan tentera Uthmaniyah. Dengan keadaan yang serentak, serangan tentera Uthmaniyah dari darat juga dapat ditangkis dan Malta dilihat masih berdegil untuk ditawan.
Serangan meriam terus dilancarkan oleh kedua-dua belah pihak. Pada 7 Ogos, Mustafa Pasha mengarahkan serangan penuh. Seramai 12,000 tentera mengasak benteng Senglea dan Birgu manakala artileri Uthmaniyah membedil hebat sehinggakan pasukan pertahanan tunduk dan menyerah. Situasi seterusnya menyaksikan benteng pertahanan Birgu terus rosak dan akan runtuh. Tentera Uthmaniyah pula bersiap sedia melancarkan serangan melalui runtuhan benteng tersebut. Pertempuran sengit tercetus di laluan-laluan kota Birgu. Apabila tentera Uthmaniyah meneruskan kemaraan ke dalam kota, nampaknya kota tersebut akan jatuh dan ditawan oleh Uthmaniyah. Namun, Malta sekali lagi bertuah dan terselamat. Sebuah kontinjen yang terdiri daripada 100 tentera Sepanyol dan kavalri kesateria bertolak dari Mdina dan menguasai kem Uthmaniyah yang tidak dikawal. Mereka telah menyerbu, membunuh tentera Uthmaniyah yang tercedera, membakar khemah-khemah dan memusnahkan bekalan. Apabila berita ini tersebar kepada tentera Uthmaniyah yang berada di Birgu, mereka mula panik dan cemas. Dengan menjangkakan bahawa lebih ramai tentera pertahanan akan sampai, tentera Uthmaniyah berundur dari Birgu dan kembali ke kem. Hari tersebut telah dimenangi oleh kesateria.
Mdina dan kemenangan kesateria
suntingPada masa tersebut, semangat juang tentera Uthmaniyah mula jatuh dan lemah. Lebih-lebih lagi, kematian Dragut telah melemahkan kepimpinan tentera Uthmaniyah setelah Piali Pasha dan Mustafa kini berselisih sesama mereka yang telah membawa kepada perpecahan dalam keseluruhan pasukan. Di Constantinople, Sultan Sulaiman tidak senang akan perkembangan kempen di Malta yang perlahan dan beliau telah mengutuskan beberapa surat kepada Mustafa untuk menginginkan laporan semasa. Hasrat tentera Uthmaniyah untuk terus berjuang telah luntur dengan mendadak. Memasuki bulan baru, Mustafa mengarahkan tenteranya berarak ke Mdina dan mereka hanya berhadapan dengan ancaman daripada serangan meriam musuh yang datang dari dalam kota Mdina. Dari sisi Uthmaniyah, mereka merasakan kota Mdina mempunyai jumlah bekalan peluru meriam yang mencukupi. Namun pada hakikatnya, ia merupakan satu lagak yang dilakukan oleh kota yang sama sekali tidak melakukan persediaan menghadapi situasi ini. Helah ini akhirnya berjaya apabila Mustafa berasa gerun dan mengarahkan kepada pasukannya supaya berundur.
Pada 7 September, keselamatan Malta terjamin. Selepas sebulan tertunda, Don Garcia tiba di St Paul's Bay bersama dengan tentera bantuan seramai 8,000 orang. Melihat kepada keadaan ini, tentera Uthmaniyah akhirnya kehilangan tekad dan bertindak berundur ke kapal mereka. Sesetengah kesateria yang bersemangat dimantapkan dengan bantuan ketenteraan melakukan serangan ke atas tentera Uthmaniyah yang sedang berundur. Apabila tentera bantuan menyertai mereka, ratusan musuh terkorban ekoran serangan ini. Pada 13 September, semua tentera Uthmaniyah telah berundur dari Malta sepenuhnya.
Kesan
suntingPasukan pertahanan Malta hanya kehilangan 2,500 orang tentera dan satu per tiga daripada jumlah penduduk Malta manakala Uthmaniyah pula kerugian sekurang-kurangnya 10,000 nyawa dan sesetengah sumber menganggarkan jumlah tersebut mencecah 30,000 nyawa. Knights of St. John dijulang sebagai pemenang terakhir. Kepentingan Pengepungan Malta ini tidak dapat disangkalkan lagi. Sekiranya pulau ini jatuh ke tangan Uthmaniyah, kemungkinan besar Empayar Uthmaniyah akan meluaskan kuasanya ke Itali dan lebih dalam menembusi Eropah Barat. Empayar Uthmaniyah mengalami kekalahan dalam beberapa pertempuran sebelum ini. Bahkan, kekalahan mereka dalam pertempuran di Vienna dan Eger sebelum ini semasa penghujung kempen berlangsung.
Rujukan
sunting- ^ Arnold Cassola, The 1565 Great Siege of Malta and Hipolito Sans's La Maltea (Publishers Enterprise Group: Malta, 1999).
- ^ name=SOM
- ^ name="Giacomo Bosio 1643"
- ^ Fernand Braudel, The Mediterranean and the Mediterranean World in the Age of Philip II, vol. II (University of California Press: Berkeley, 1995).
Pautan luar
suntingWikimedia Commons mempunyai media berkaitan Pengepungan Malta (1565) |
- Army and the Military Ranks at TheOttomans.org
- "History's bloodiest siege used human heads as cannonballs" by James Jackson – An account of the siege at DailyMail.co.uk
- In Our Time podcast episode, hosted by Melvyn Bragg, with guests Helen Nicholson, Diarmaid MacCulloch, and Kate Fleet.