Perang Salib Kelima

Perang Salib Kelima (1217–1221) merupakan satu cubaan untuk merampas kembali Baitulmaqdis dan kawasan Tanah Suci selebihnya yang berada di tangan orang Islam dengan langkah pertama menakluki Dinasti Ayyubiah yang kuat di Mesir.

Perang Salib Kelima
Sebahagian daripada Perang Salib

Tentera Salib Frisia berhadapan dengan Menara Damietta, Mesir.
Tarikh1217 - 1221
Lokasi
Keputusan Perjanjian damai selama lapan tahun antara Kerajaan Ayyubiah dengan Eropah
Perubahan
wilayah
Damietta jatuh ke tangan Tentera Salib
Pihak yang terlibat

Tentera Salib

Mesir

Komandan dan pemimpin
John dari Brienne
Bohemond IV
Hugh I
Kaykaus I
Frederick II
Leopold VI
Pedro de Montaigu
Hermann von Salza
Guérin de Montaigu
Andrew II
William I
Phillip II
Al-Kamil
Kekuatan
32,000 orang Tidak diketahui
Kerugian dan korban
Tidak diketahui Tidak diketahui

Paus Honorius III telah menyusun pasukan-pasukan tentera salib yang diketuai Leopold VI dari Austria dan Andrew II dari Hungary, dan mengatur satu serbuan terhadap Baitulmaqdis yang pada kesudahannya berada dalam tangan orang Islam. Kemudian pada tahun 1218, sepasukan tentera Jerman yang diketuai Oliver dari Cologne dan satu ketumbukan tentera campuran yang terdiri daripada askar-askar Belanda, Belanda Belgium dan Belanda Jerman yang diketuai oleh William I, Count Holland tiba. Dalam usaha menyerang Damietta di Mesir, mereka bersekutu dengan Kesultanan Seljuk Rûm di Anatolia yang telah menyerang kerajaan Ayyubiah di Syria dalam satu cubaan untuk membebaskan Tentera Salib daripada pertarungan di dua barisan hadapan.

Selepas menduduki pelabuhan Damietta, Tentera Salib mara ke selatan menuju ke Kaherah pada Julai 1221, tetapi mereka berpatah balik selepas bekalan mereka yang semakin susut memaksa mereka berundur. Satu serangan mengejut pada waktu malam telah mengakibatkan kehilangan sejumlah besar nyawa tentera salib dan akhirnya penyerahan diri tentera-tentera tersebut. Al-Kamil bersetuju untuk mencapai perjanjian damai selama lapan tahun dengan Eropah.

Seruan kepada Perang Salib

sunting

Pada musim bunga tahun 1213, Paus Innocent III telah mengeluarkan piagam kepausan Quia maior, yang menyeru semua umat Kristian untuk menyertai satu Perang Salib yang baru. Walau bagaimanapun, raja-raja Eropah leka dengan perperangan sesama sendiri. Pada masa yang sama, Paus Innocent III tidak inginkan bantuan mereka, kerana satu perang salib terdahulu yang diketuai raja-raja telah gagal pada masa yang lalu. Dia mengarahkan perarakan, sembahyang dan khutbah diadakan untuk membantu dalam menyusun perang salib tersebut dengan membabitkan orang awam, bangsawan kelas bawahan dan kesatria.

Perancis

sunting

Risalah perang salib tersebut telah disampaikan di Perancis oleh Robert dari Courçon; walau bagaimanapun, tidak seperti Perang-perang Salib yang lain, tidak ramai kesatria Perancis yang menyertainya disebabkan mereka sudah pun berperang menentang mazhab sesat Kathar di selatan Perancis dalam Perang Salib Albigensian.

Pada tahun 1215, Innocent III telah menganjurkan Persidangan Lateran Keempat. Dalam persidangan ini, bersama-sama dengan Latin Patriarch dari Jerusalem, Raoul dari Merencourt, dia membincangkan penawanan kembali Tanah Suci di samping hal-hal gereja yang lain. Innocent mahu perang salib ini berada dalam kawalan penuh pihak Pope sebagaimana yang sepatutnya berlaku pada Perang Salib Pertama, untuk mengelakkan kesilapan-kesilapan Perang Salib Keempat yang diambilalih oleh orang-orang Venice. Innocent merancang bagi tentera salib untuk bertemu di Brindisi pada tahun 1216, dan melarang perdagangan dengan orang Islam untuk memastikan bahawa tentera-tentera salib dapat memiliki kapal-kapal dan senjata. Setiap tentera salib akan menerima surat pengampunan dosa, termasuklah mereka yang hanya membantu membiayai perbelanjaan seorang tentera salib tetapi mereka sendiri tidak pergi menyertai perang salib tersebut.

Jerman dan Hungary

sunting

Oliver dari Cologne telah berkhutbah mengenai perang salib tersebut di Jerman, dan Maharaja Frederick II cuba menyertainya pada tahun 1215. Frederick merupakan penguasa terakhir yang dikehendaki Innocent untuk menyertai perang salib tersebut disebabkan dia pernah mencabar kewibawaan pihak Pope. Bagaimana pun, Innocent meninggal dunia pada tahun 1216. Dia digantikan oleh Paus Honorius III yang menghalang Frederick daripada mengambil bahagian dalam perang salib tersebut, namun telah menyusun pasukan-pasukan tentera salib yang diketuai Raja Andrew II dari Hungary dan Duke Leopold VI dari Austria. Andrew mempunyai pasukan tentera diraja yang terbesar dalam sejarah perang salib (20,000 orang kesatria dan 12,000 buah garison kota).

Kempen ketenteraan

sunting

Baitulmaqdis

sunting

Andrew dan pasukan tenteranya belayar pada 23 Ogos 1217 di Spalato. Mereka mendarat pada 9 Oktober di Cyprus. Dari situ mereka belayar ke Acre dan menyertai John dari Brienne, pemerintah Kerajaan Jerusalem, Hugh I dari Cyprus, dan Putera Bohemund IV dari Antioch untuk menentang Dinasti Ayyubiyah di Syria.

Di Baitulmaqdis, tembok-tembok dan kubu-kubu telah dimusnahkan supaya orang Kristian tidak dapat menggunakannya untuk mempertahankan bandar tersebut sekiranya mereka dapat mengambil alih bandar tersebut. Orang Islam lari meninggalkan bandar tersebut kerana bimbang akan berulang kembali penumpahan darah semasa Perang Salib Pertama pada tahun 1099.

Pasukan tentera Andrew yang lengkap berkuda telah menewaskan Sultan Al-Adil I di Bethsaida di atas Sungai Jordan pada 10 November. Pasukan tentera orang Islam berundur ke benteng-benteng pertahanan dan bandar-bandar mereka. Ali-ali dan manjanik tidak sampai pada waktunya, jadi serangannya ke atas kubu-kubu di Lubnan dan di atas Gunung Tabor tidak membuahkan hasil. Sesudah itu, Andrew menghabiskan masanya dengan mengumpulkan barang-barang yang didakwa sebagai relik.

Andrew dan pasukan tenteranya bertolak ke Hungary pada Februari 1218, dan Bohemund serta Hugh juga pulang ke negara masing-masing.

Perikatan dengan Kesultanan Rum

sunting

Kemudian pada tahun 1218 Oliver dari Cologne tiba dengan satu pasukan tentera Jerman yang baru dan Count Belanda William I tiba dengan satu ketumbukan tentera campuran yang terdiri daripada askar-askar Belanda, Flemish dan Frisia. Mereka berbincang dengan Leopold dan John mengenai serangan ke atas Damietta di Mesir. Untuk mencapai matlamat ini, mereka bersekutu dengan Keykavus I, Sultan Rûm yang berbangsa Seljuk di Anatolia yang telah menyerang kerajaan Ayyubiyah di Syria sebagai satu cubaan untuk membebaskan Tentera Salib daripada berperang di dua barisan depan.

Pada bulan Jun tahun 1218, tentera salib memulakan Pengepungan Damietta dan di sebalik tentangan daripada Sultan Al-Adil yang tidak bersedia itu, menara yang terletak di luar bandar tersebut telah ditawan mereka pada 25 Ogos. Mereka tidak berjaya menawan Damietta itu sendiri, dan dalam bulan-bulan berikutnya wabak penyakit telah meragut banyak nyawa tentera salib termasuklah Robert dari Courcon. Al-Adil juga mangkat dan digantikan oleh Al-Kamil. Sementara itu, Honorius III menghantar Pelagius dari Albano untuk memimpin perang salib tersebut pada tahun 1219. Al-Kamil cuba merundingkan perdamaian dengan tentera salib. Beliau menawarkan Damietta sebagai ganti Baitulmaqdis, namun Pelagius menolak tawaran tersebut. Setelah mendengar tentang perkara ini, Count William I dari Belanda meninggalkan perang salib itu dan belayar pulang ke negara asal. Pada bulan Ogos atau September, Francesco d'Assisi tiba di kem tentera salibi dan menyeberang sungai untuk berkhutbah kepada al-Kamil dengan tujuan memujuknya. Pada November, tentera salib berjaya melemahkan pasukan tentera sultan dan akhirnya berjaya menakluki bandar pelabuhan tersebut.

Dalam sekelip mata, pihak-pihak berkuasa Pope dan sekular berebut untuk menguasai bandar tersebut, dengan John dari Brienne mendakwa bandar tersebut adalah miliknya dalam tahun 1220. Pelagius tidak dapat menerima dakwaan ini dan John kemudiannya pulang ke Acre pada tahun tersebut. Pelagius berharap agar Frederick II dapat tiba dengan satu pasukan tentera baru, tetapi dia tidak berbuat demikian; sebaliknya, selepas setahun tidak aktif di Syria dan Mesir, John of Brienne kembali dan tentera salib mara ke selatan ke arah Kaherah pada bulan Julai 1221.

Pada ketika ini, al-Kamil sudah mampu bersekutu dengan kerajaan-kerajaan Ayyubiah di Syria yang telah menewaskan Keykavus I. Tentera salib yang sedang mara ke Kaherah dilanda bencana; Sungai Nil telah banjir terlebih dahulu daripada mereka lalu menghalang kemaraan tentera salib. Sebatang terusan kering yang sebelumnya dilalui tentera salib juga dipenuhi air justeru menyekat mereka daripada berundur. Dalam keadaan bekalan yang semakin susut, mereka terpaksa mula berundur, berkesudahan dengan serangan kilat pada waktu malam oleh al-Kamil yang mengakibatkan kehilangan sejumlah besar nyawa tentera salib dan akhirnya penyerahan diri pasukan tentera tersebut di bawah Pelagius.

Kesudahan

sunting

Syarat-syarat penyerahan diri ini menyaksikan pelepasan Damietta kepada al-Kamil sebagai tukaran pada pembebasan tentera salib. Al-Kamil bersetuju dengan perjanjian perdamaian dengan Eropah dan pemulangan secebis salib sebenar.

Kegagalan Perang Salib ini telah menyebabkan limpahan sentimen anti-Paus dari pemuisi Occitan, Guilhem Figueira. Gormonda de Monpeslier yang lebih ortodoks menjawab D'un sirventes far Figueira dengan satu lagunya sendiri, Greu m'es a durar. Dia tidak menyalahkan Pelagius atau pihak Pope, sebaliknya menyalahkan "kebodohan" orang yang jahat.

  • R. L. Wolff/H. W. Hazard (Hrsg.): The later Crusades, 1189–1311 (A History of the Crusades, volume II). University of Wisconsin Press, Madison/Wisconsin 1969, S. 377ff., Here online.
  • Jonathan Riley-Smith (Hrsg.): Illustrierte Geschichte der Kreuzzüge. Frankfurt/New York 1999, S. 478 (Index, s.v. Damiette).
  • Barbara Watterson. The Egyptians. Blackwell Publishing, 1998, S. 260.
  • Heinrich von Zeißberg. Allgemeine Deutsche Biographie (ADB). Einzelband Nr. 18: Lassus – Litschower. 1. Auflage. Leipzig, Verlag von Dunder & Humblot, 1883, S. 389.
  • J. Tolan, St. Francis and the Sultan: The Curious History of a Christian-Muslim Encounter. Oxford: Oxford University Press, 2009. [book about Francis of Assisi's mission to the Egyptian Sultan Al-Kamil at Damietta in 1219]


Pautan luar

sunting